The Banshees of Inisherin

Saya sudah selesai menonton filem hebat THE BANSHEES OF INISHERIN ini.

Filem ini mengisahkan Colm Doherty, seorang pemuzik lagu asli di sebuah pulau bernama Inisherin, tiba-tiba ‘tak nak kawan’ dengan sahabat sepanjang hayatnya, Pádraic Súilleabháin (boleh disebut sebagai ‘Patrick Sullivan’). Bagi Colm, Pádraic itu walaupun seorang yang baik dan disenangi penduduk pulau tersebut, beliau terlalu membosankan. Beliau rasa persahabatannya dengan Pádraic mensesiakan hayatnya yang berbaki kerana Colm mula berfikir tentang mengarang lagu sebagai legasi yang ingin beliau tinggalkan agar beliau dikenang selepas mati.

Perbuatan Colm enggan bercakap dan berpindah tempat duduk setiap kali didekati oleh Pádraic menyebabkan beliau tidak resah dan tertekan. Akibatnya, semakin lama Pádraic menjadi semakin ‘agresif’ berusaha memperbaiki persahabatan mereka.

Tindakan Pádraic itu mengundang Colm mengugut beliau dengan sesuatu yang tidak masuk akal. Setiap kali Pádraic mengganggunya, Colm akan memotong jari tangannya satu demi satu, menggunakan ketam bulu kambing, sampai tiada lagi jari yang berbaki!

Itu sinopsisnya.

Rumusan awal saya ialah: jika penonton memberi fokus kepada aksi, cerita yang tersurat semata-mata, maka penonton dalam kategori ini mungkin akan berasa bosan dan menolak sepenuhnya filem THE BANSHEES OF INISHERIN ini. Andai membuka mata kepada bakat lakonan, mungkin akan menghargai kehebatan penampilan Colin Farrell yang melakonkan watak Pádraic Súilleabháin , serta Brendan Gleeson, sebagai Colm Doherty.

Mungkin ada juga yang teruja dengan kecomelan keldai kesayangan Pádraic bernama Jenny.

Tetapi saya menonton filem THE BANSHEES OF INISHERIN ini sebagai persembahan sebuah metafora bahawa setiap watak dan kejadiannya, mewakili realiti masa silam dan semasa yang menimpa Ireland, dan ia adalah skrip yang sungguh bijak lagi mendalam.

Krisis antara Colm Doherty yang tiba-tiba memutuskan persahabatannya dengan Pádraic Súilleabháin, adalah untuk menggambarkan kerumitan perpecahan antara orang Irish yang hakikatnya tidak patut ada sebab untuk mereka bermusuhan. Baik kerana agama, atau sentimen silam, ia tidak masuk akal untuk diteruskan di zaman ini. Jangan kita rasa tertekan memikirkan kecil dan terasingnya pulau Inisherin, sedangkan Ireland itu sendiri adalah sebuah pulau.

Terpencil.

Ugutan Colm memotong jarinya jika Pádraic masih tidak berhenti cuba membetulkan persahabatan mereka sungguh simbolik. Setiap usaha, mengundang masalah, tragedi, air mata dan darah.

Muzik tradisional Irish yang dimainkan oleh Colm dengan tangannya yang penuh darah bersama murid-murid baharu, mengganggu fikiran saya dan menimbulkan rasa sedih yang mendalam. Cuba untuk memaling diri daripada tragedi, mengadap generasi muda, semasa darah masih menitik di tangan kiri yang semakin kudung.

Apakah yang diwakili oleh sang keldai comel bernama Jenny itu?

Colm berpegang kepada ugutannya. Beliau memotong jarinya dan melemparkan ia ke pintu rumah Pádraic. Ia menguji idea kesatuan Ireland sekarang, di era meningkatnya keinginan melihat Ireland bersatu, kesusahan di Ireland Utara ekoran Brexit… akhirnya mencetuskan perkara yang paling tidak patut dan tidak perlu iaitu secara simboliknya: kematian Jenny yang tercekik kerana memakan potongan jari Colm.

Kematian seekor keldai yang membakar rentung persahabatan hingga tiada lagi harapan berdamai.

Entahlah…

Saya harap filem ini menang banyak di Golden Globe award.

Tetapi saya faham kalau ramai yang membenci filem ini dan lebih rela gembira melayan Thor: Love and Thunder.

Satu sahaja yang saya cemburu.

Saya sangat damai menikmati sunyinya pulau Inisherin. Sunyi, tidak semestinya kesunyian. Ramai tidak semestinya meriah dan gembira.

Hasrizal
Naas, Ireland

Facebook Notice for EU! You need to login to view and post FB Comments!

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share