PERISTIWA MERDEKA 2007

Sebahagian peserta dan AJK Peristiwa 2007

Saya amat menghargai aplikasi Win-Win sahabat-sahabat di Perth yang menyusun sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-50 agar seiring dengan PERISTIWA 2007.

Oleh kerana pada tarikh berkenaan sahaja yang saya bercuti semester di UIA, maka PERISTIWA 2007 berlangsung pada Hari Kebangsaan. Kesediaan pihak penganjur memberikan peluang kepada anak-anak muda kita Perth memperolehi manfaat daripada kedua-dua PERISTIWA 2007 dan Malam Merdeka ini, amat bermakna buat saya, kerana suatu aplikasi asli pemikiran Win-Win berjaya dicapai. Semoga kerjasama seperti ini dapat terus subur pada masa-masa akan datang.

Sambutan Malam Merdeka bakal diadakan pada Sabtu ini dan saya doakan agar ia menambahkan lagi erti Kemerdekaan bagi anak-anak muda pemimpin masa depan negara di Perth ini, Insya Allah.

7 HABITS MEMBEKALKAN IDEA MERDEKA

Be Proactive, bererti kita memulangkan keupayaan dan kuasa mengawal diri sendiri. Kita memilih kerana kita adalah makhluk yang dikurniakan Allah keupayaan dan peluang untuk memilih, dan kita tidak lagi terpaksa menjadi hitam dan putih akibat pilihan orang, peristiwa dan keadaan di sekitar kita.

Saya mahu jadi baik, saya pilih untuk menjadi baik. Saya tidak jadikan alasan orang lain tidak baik, untuk saya tidak mampu menjadi baik.

Saya mahu berubah, saya memilih untuk berubah. Saya tidak jadikan alasan orang lain yang normal, untuk saya takut menjadi pelik. Pelik kerana memilih Islam dan kebaikan di akhir zaman.

Sayalah yang memiliki diri saya, dan saya bertanggungjawab sepenuhnya atas keputusan yang saya pilih.

Be Proactive juga mengajar saya untuk tidak sedih semata-mata oleh kesedihan yang ada di sepanjang kehidupan. Be Proactive juga mengajar saya untuk tidak ketawa lupa diri semata-mata oleh kegembiraan yang mendatang, secara sementara dalam kehidupan ini. Be Proactive mengajar saya agar mampu bertenang ketika sedih, terus stabil ketika gembira, dan bijak memilih tindakan terbaik, demi mencapai yang terbaik.

Mood saya tidak lagi ditentukan oleh cuaca. Celupar saya tidak lagi ditentukan oleh traffic jam. Saya berjaya melepaskan diri dari ditentukan oleh orang atau pihak lain. Sayalah insan merdeka… seperti saya dilahirkan sebagai insan merdeka.

Khutbah Jumaat di Curtin dan ceramah di UWA pula mengingatkan saya, bahawa puasa itu bukan tidak makan dan tidak minum, tetapi memilih untuk tidak makan dan tidak minum ketika saya boleh makan dan minum. Demi melatih diri untuk berkata “tidak” pada sesetengah keinginan diri… demi patuh kepada Dia.

Ramadhan yang datang bakal mengukuhkan lagi saya sebagai insan merdeka. Insan yang mampu menentukan pilihan, dan tidak lagi seperti layang-layang terputus tali, atau daun kering dihanyut kali.

MESEJ MERDEKA SAYA UNTUK PERISTIWA 2007

Manusia yang tidak mampu membuat keputusan sendiri, dan segala sudut kehidupannya adalah tunduk kepada pengaruh orang lain dan persekitaran, adalah manusia yang benar-benar manusia terjajah. Manusia yang lemah untuk berdiri sendiri, dan tidak yakin pada keupayaan diri untuk melakukan yang terbaik dalam hidup, adalah mangsa penjajahan.

Islam adalah agama yang menyiram bahagia dan hidup penuh makna, bukan tertekan, ditekan atau menekan dengan sangkaan semua itu adalah agama

Justeru itu, nafsu, pemikiran, atau manusia, atas nama apa sekali pun, yang mengongkong rasional dan akal fikir serta hati zikir kita, ketahuilah mereka itu PENJAJAH dan agenda mereka adalah PENJAJAHAN. Islam adalah agama yang mengajar manusia membuat pilihan kebaikan, bukan menelan propaganda dan mudah terpengaruh dalam tindakan.

Jadikan 7 Habits sebagai alat untuk mengenal potensi diri, azam untuk memulakan perubahan keluarga, masyarakat, negara dan dunia dengan mengubah diri sendiri, hasil kejayaan memerdekakan diri… setelah berhasil upaya membuat pilihan sendiri.

Pilihlah yang terbaik untuk hidupmu, kerana kalian adalah mukmin efektif anggota sebaik umat.

MOGA DENGAN 7 HABITS ITU

Moga dengan 7 Habits, anak-anak muda ini gagah menolak kehidupan nafsu yang lalai dan leka.

Moga dengan 7 Habits, anak-anak muda ini berupaya menolak kehidupan kosong yang tiada makna.

Moga dengan 7 Habits, anak-anak muda ini mampu bertindak menolak sikap reaktif kepada positif lagi proaktif.

Moga dengan menjadi insan yang proaktif lagi efektif, Islam lebih indah dan subur di bumi Perth, hasil dokongan insan merdeka.

Merdeka! Merdeka! Merdeka! Ia benar-benar peristiwa Merdeka!

Seeru ‘alaa barakatillaah .

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
Bentley Perth, Australia

Facebook Notice for EU! You need to login to view and post FB Comments!

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share