Istiqamah Pasca Ramadan Demi Setia Dengan Kebenaran

consistency

“Hmm, buang masa sahaja kursus-kursus ni. Sedarnya seminggu dua sahaja, lepas itu balik jadi macam dulu-dulu juga!” keluh seorang pekerja yang pesimis dengan kursus yang dihadirinya.

Dia tidak sedar, bukan hanya kursus buatan manusia itu sahaja yang berdepan dengan masalah pi mai pi mai tang tu ini. Hatta yang pergi Haji, sejauh mana dia mampu mengekalkan status ‘seperti bayi yang baru dilahirkan ibu’ kesan Hajinya itu hingga ke mati?

Juga bagaimanakah pula dengan kursus intensif Ramadan buatan Allah ini? Tidakkah isu yang sama juga muncul? Soalnya bukan kursus buatan Allah atau kursus buatan manusia. Tetapi memang watak manusia itu, ada pasang dan ada surutnya. Justeru persoalan bagaimana diri selepas kursus, memang bukan calang-calang soalan!

APA SELEPAS RAMADAN?

“Apa selepas Ramadhan?” persoalan berat yang mengulang datang.

“Kembali kepada diri sebelumnya?” kebarangkalian yang amat meletihkan.

Timbul bibit sesal.

“Mampukah untuk terus berlaku baik dan terus menerus menambah baik?” pertanyaan yang berat di pertimbangan. Segalanya menjadi bahan renungan pada malam-malam akhir melepaskan Ramadan. Menggamit Syawwal dengan seribu satu persoalan, yang kesemuanya adalah tentang ISTIQAMAH. Itulah persoalannya. Istiqamah, konsistensi untuk kekal baik dan lebih baik.

KEPELIKAN

Memang pelik, manusia berbondong-bondong mengejar solat SUNAT Tarawih di Masjid, tetapi lengah terhadap solat FARDHU yang WAJIB sepanjang masa.

Pelik benar Ramadan diisi dengan al-Quran, 11 bulan yang lain, al-Quran ditinggalkan.

Janggal benar, Ramadan menutup aurat, bulan-bulan yang lain macam berubah hukum, berubah Tuhan… justeru asing sekali, puasa sudah puasa, tetapi SOLAT belum-belum juga!

Semua itu adalah sebahagian daripada kepelikan kita.

Keganjilan yang terbit daripada berlainannya watak dan pembawaan kita di dalam bulan Ramadan dan bukan Ramadan. Itulah kusutnya persoalan istiqamah.

BEBAN ISTIQAMAH

hadith-uban-hud“Abu Bakr berkata: wahai Rasulullah, aku melihat engkau telah beruban? Jawab baginda: aku telah diubankan oleh Surah Hūd, al-Wāqi’ah, al-Mursalãt dan ‘Amma Yatasā’alūn”

لراوي: عبدالله بن عباس المحدث: ابن دقيق العيد – المصدر: الاقتراح – الصفحة أو الرقم: 105
خلاصة حكم المحدث: صحيح

Seriusnya baginda berfikir tentang makna, fizikalnya terkesan sama. Jika surah Hud yang kita berikan tumpuan, ia menjadi salah satu pencetus uban baginda. Itulah beban surah Hud, surah yang memperkatakan tentang istiqamah, bahawa setelah hati disentuh iman, hidup bersama iman dan akhirnya mati dengan iman.

Bagaimanakah Ramadhan dan segalanya boleh kekal hingga ke penghujung, khawatim yang hasanah?

RUKUN ISTIQAMAH

Tiada andaian-andaian yang bisa membantu seseorang itu untuk beristiqamah, melainkan harus patuh kepada rukun-rukunnya yang dibentangkan Allah di dalam surah Hud.

Firman Allah SWT di dalam surah Hud ayat 112 hingga 115:

hud_112-115

(112) Oleh itu, hendaklah engkau (Wahai Muhammad) sentiasa teguh berdiri di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas; Sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.

(113) Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), nescaya Neraka akan menyambarmu kepadanya, sedang kamu tidak ada sebarang Penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.

(114) Dan dirikanlah solat, pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat.

(115) Dan sabarlah, sesungguhnya Allah tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan.

RUKUN PERTAMA: JANGAN MELAMPAU DALAM BERAGAMA

11_112_i

“Janganlah kamu melampau”

Biasa sekali kita ketemu orang yang cenderung kepada perbuatan melampau dalam beragama. Tidak perlu kepada contoh-contoh yang ekstrim. Cukup sekadar melampau itu diertikan sebagai melakukan sesuatu melebihi apa yang diperintahkan oleh Allah SWT, dengan sangkaan bahawa memberat-beratkan diri dengan melampaui perintah Allah itu petanda kepada TAQWA.

Uniknya, Rasulullah sallallāh ‘alayhi wa sallam mengingatkan kita sesuatu tentang amalan bersahur dan melewatkannya, serta amalan menyegerakan berbuka puasa.

“Bawa bertenang, kalau tak bersahur pun bukannya tak boleh. Jom makan siap-siap. Ini pun dah jam 12 malam” kata seorang anak muda kepada rakannya.

Allah memerintahkan dia memulakan puasa pada jam 5:45 pagi waktu Malaysia. Dia berpuasa seawal jam 1 pagi. Melampau.

“Alahai, aku agak dah. Jalan mesti sibuk punya. Tak apalah, bukannya mati berbuka lewat setengah jam” kata seorang lelaki yang terperangkap di tengah-tengah lautan kereta.

Allah memerintahkan dia berpuasa cukup sehingga jam 7:30 petang waktu Malaysia. Dia berpuas sehingga jam 8 malam. Melampau.

Bukan tanggungan fizikal itu yang menjadi persoalan. Tetapi perlatihan spiritual pada beragama mengikut dos Tuhan yang mensyariatkannya. Sikap mengabaikan amalan bersahur dan membiarkan kejadian terlewat berbuka puasa kerana terperangkap di dalam traffic jam yang sudah dijangka, adalah menyanggahi peringatan Nabi sallallāh ‘alayhi wa sallam.

Daripada ‘Amr bin al-’Aas radhiyallahu ‘anhu, bahawa sesungguhnya Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda:

hadith-sahur

“Pemisah di antara puasa kita dengan puasa Ahli Kitab adalah (kita ini) makan sahur” [Hadith Riwayat Muslim (1096)]

hadith-segera-berbuka

“Agama kita akan teguh nyata selama mana orang ramai menyegerakan berbuka puasa kerana sesungguhnya orang-orang Yahudi dan Nasrani itu melewatkannya”

Begitu signifikan sekali perintah menjamah sahur serta menyegerakan berbuka puasa, hingga kedua-duanya dikaitkan dengan soal jati diri, pembeda di antara Muslim dengan Yahudi dan Nasrani, tinggi atau rendahnya agama. Dalam erti kata yang lain, Baginda sallallāh ‘alayhi wa sallam menggambarkan kepada kita bahawa berpuasa lebih awal daripada yang sepatutnya, dan lebih panjang daripada yang telah ditetapkan, menyerupai pemikiran dan kecenderungan Ahli Kitab, Yahudi dan Nasrani.

Kecenderungan apakah itu?

Tidak lain dan tidak bukan, iaitulah kecenderungan kepada perbuatan melampau dalam beragama.

Kemusnahan ajaran Yahudi dan Nasrani banyak berlegar di sekitar perbuatan melampau dalam beragama. Lihat sahaja kepada idea berpuasa mengikut bulan syamsiyyah dan mengharamkan perkahwinan semata-mata kerana mahu mendampingi Tuhan. Lihat sahaja pemujaan Nasrani ke atas Nabi Isa ‘alayhi al-salām yang mengangkat baginda ke maqam Tuhan… dan banyak lagi contoh betapa penafsiran dan pemahaman terpesong yang melampaui ketetapan Allah SWT amat mengundang binasa.

Justeru di bulan Ramadan, perbaikilah kecenderungan diri kita yang sering menganggap perkara-perkara yang berat dan susah itu sebagai jalan menuju TAQWA.

Sesungguhnya sifat melampau dengan mengabaikan penangguhan sahur ke hujung malam serta kesegeraan Iftar ketika sampai masa berbuka, juga memberat-beratkan ibadah puasa hingga berpuasa di sepanjang Rajab, Sya’ban dan Ramadan, apatah lagi puasa di sepanjang tahun… perbuatan melampaui perintah Allah itu mencabar upaya konsistensi.

Justeru amalan yang sederhana malah sedikit tetapi konsisten itulah yang terbaiknya. Juga sebaik-baik amalan adalah mematuhi had minimum serta had maksimumnya kerana “sesungguhnya berlebihan dan berkurangan adalah adik beradik,” kata Sheikh Fadhl Hasan Abbas ketika menyentuh isu ini (Al-Khumāsiyyat al-Mukhtārah fi Tahdhīb al-Nafs al-Ammārah)

Keterangan-keterangan al-Quran sering menyertakan perbuatan melampau ini dengan fasad. Melampau punca kerosakan. Sifat melampau (taghut dan tughyan) itu dirujukkan kepada kaum ‘Aad dan Thamud, Firaun dan Qarun, bahawa melampau mereka itulah yang mengundang kerosakan dan kebencanaan.

Bukan hanya pada soal moral dan akhlaq, malah hukum Allah pada alam juga begitu. Melampau pada makan minum, binasa badan, melampau pada meratah alam, kehidupan manusia binasa. Sifirnya mudah, melampau itu membunuh keseimbangan. Ia tidak mesra alam, kerana itu ia dicela Pemilik alam.

Jangan melampau dalam beragama. Pada amalan, juga pada prinsip, pemikiran dan perasaan.

Masyhur tercatat, sahabat yang kepingin solat malam tanpa tidur, puasa tanpa iftar dan beribadah tanpa nikah, ditegur oleh Nabi sallallāh ‘alayhi wa sallam kerana bukan  itu caranya manusia berTuhan.

Semua harus seimbang.

Puasalah, tetapi berbukalah juga. Bangunlah malam, tapi peruntukkan juga masa untuk tidur. Beribadahlah semahunya, tetapi bernikah juga. Enggan pada peraturan seimbang ini, “engkau bukan dari umatku” kata Nabi  sallallāh ‘alayhi wa sallam .

burnout

RUKUN KEDUA: JANGAN CENDERUNG KEPADA GOLONGAN YANG ZALIM

Melampau itu zalim, kerana ia meletakkan pemikiran dan tindakan di luar neraca agama yang ditentukan Allah. Lantas kezaliman itu juga harus dihindarkan sejajar dengan rukun kedua Istiqamah, iaitu jangan pula cenderung kepada golongan yang zalim.
Jangan zalim, dan jangan cenderung kepada si zalim. Orang zalim itu jelas. Orang yang cenderung kepada si zalim, adalah kekuatan-kekuatan tersembunyi si zalim meneruskan kezalimannya.

11_113

“Janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim”

Hasan al-Basri pernah menyebut, “telah dijadikan agama itu di antara DUA JANGAN. Jangan melampau, dan jangan cenderung kepada orang-orang yang zalim”

Cenderung yang bagaimana?

“Cenderung pada dua keadaan. Sama ada kecenderungan prinsip dan emosi, atau kecenderungan pada kebergantungan” kata Sheikh Fadhl Hasan Abbas di dalam bukunya al-Khumāsiyyāt al-Mukhtārah itu tadi.

Kecenderungan pertama yang menghapuskan Istiqamah dan konsistensi, ialah pada kecenderungan hati dan emosi kepada manusia yang berlaku zalim. Hatinya tidak menolak, malah cenderung pula dengan jiwa dan perasan, atas sebab yang pelbagai. Rasa terhutang budi, lemah pendirian, semua itu boleh sahaja menjadi puncanya.

Manakala kecenderungan kedua pula, ialah berbalik kepada makna perkataan RUKUN yang digunakan di dalam ayat itu tadi. Rukun itu adalah tempat bersandarnya sesuatu, sebagaimana struktur rumah bergantung kepada tiang yang disebut RUKUN. Maka mereka yang cenderung kepada manusia zalim itu, antaranya ialah manusia yang bergantung kepada si zalim.

Bergantung kepadanya untuk makan minum.

Bergantung kepadanya untuk mengekalkan posisi. Atau apa sahaja kebergantungan yang berbalik kepada penggadaian prinsip itu tadi.

Dan si zalim pula bersandar kepada orang-orang yang bersandar dengannya. Golongan yang cenderung kepada si zalim itulah yang memberi ‘nyawa’ kepada kezaliman si zalim, yang bernafas pada meratah seribu kezaliman, kemudian bersedekah satu kepada perukun-perukun yang bergantung kepadanya.

SIAPA SI ZALIM ITU

Oleh kerana ia disebut secara umum, maka Sheikh Fadhl Hasan Abbas memilih untuk mengekalkan konteks umumnya. Si zalim itu boleh jadi orang bukan Islam yang menindas, ia juga boleh jadi Muslim sendiri yang turut berlaku zalim dengan pelbagai wasilah yang ada. Maka konsistensi seorang mukmin amat penting pada mengelakkan diri dari kecenderungan kepada golongan ini.

Manusia zalim itu adalah manusia mensyirikkan Allah, melakukan maksiat dan menindas hak sesama manusia.

Mungkin dalam konteks kehidupan semasa, bagi kita yang telah berhasil membuat perubahan kepada kebaikan, peliharalah rukun kedua ini tatkala berada bersama dengan lingkungan kenalan lama yang masih mengajak kepada clubbing, main golf hingga mengabaikan solat dan berkompromi tentang aurat. Jangan pula perubahan kita terus membawa kita kepada memencilkan diri dan meninggalkan mereka. Mana tahu, perubahan kita itu boleh menjadi asbab untuk Allah memercikkan hidayah kesedaran yang sama kepada mereka. Tetapi dalam pada kita meneruskan persahabatan dengan mereka, hati jangan cenderung kepada kezaliman, yakni maksiat-maksiat mereka. Jangan kerana mahu menjaga hati, kita terpaksa mengikut kehendak mereka. Andai berlaku perkara sebegini, hilanglah daya diri untuk istiqamah dalam mengekalkan perubahan yang telah dijana.

Mereka perlu didampingi demi dakwah. Tetapi dampingan itu bukan dengan kecenderungan prinsip untuk mengiyakan perlakuannya. Soal pendekatan, itu pelbagai. Tetapi pada melihat kemungkaran dan kezaliman itu sebagai kemungkaran dan kezaliman, ia harus jelas di dalam pegangan diri.

Manusia zalim itu adalah manusia penindas.

Manusia zalim juga adalah manusia menduakan Tuhan.

Manusia zalim itu manusia yang berprinsip salah, meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya.

KISAH TUKANG JAHIT

Sufyan al-Thauri pernah ditanya oleh seseorang, “aku bekerja sebagai penjahit untuk si zalim itu. Apakah aku termasuk di dalam golongan orang cenderung kepada si zalim? (merujuk ayat surah Hud ini)”

Sufyan al-Thauri menjawab, “tidak! Bahkan engkau termasuk di dalam golongan manusia yang zalim. Ada pun mereka yang cenderung kepada si zalim (yang disebutkan oleh surah Hud itu) ialah mereka yang menjual jarum kepadamu untuk kamu menjahit!”

Begitu sekali kerasnya amaran Sufyan al-Thauri kepada lelaki berkenaan.

Istiqamah itu sangat berkait rapat dengan keseimbangan. Seumpama seorang yang meniti di atas jambatan lurus yang kritikal. Sepenuh konsentrasi harus tertuju pada upaya untuk mengimbangkan diri. Jambatan itu terus lurus, namun kegagalan kita mengimbangkan diri dalam perjalanan itulah yang akan menjadikan kita terjerumus.

11_113_full

Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), nescaya Neraka akan menyambarmu kepadanya, sedang kamu tidak ada sebarang Penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.

Golongan yang cenderung kepada para zalimin, bukannya dicampakkan ke neraka, bahkan mereka itu disambar oleh api murka Allah. Semua itu terjadi kerana ketiadaan upaya ingkar hatinya terhadap kesalahan berlaku zalim, sesuatu yang Allah sendiri haramkan ke atas Diri-Nya. Neraka membakar orang zalim, Neraka menyambar orang yang memberi nyawa kepada kezaliman orang zalim.

Justeru tiada pembantu di Akhirat, selepas terhina di dunia kerana tiada pembantu selepas Allah berlepas Diri daripadanya.

Semoga pelaziman ke masjid di sepanjang Ramadan menemu dan membiasakan kita dengan manusia-manusia yang baik, sebagai kenalan kehidupan menuju husnul khatimah.

RUKUN TIGA: DIRIKAN SOLAT

11_114

Dan dirikanlah solat, pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat.

Istiqamah bersandar kepada Solat. Solat itu menjadikan kita terus menerus berhubung dengan Allah SWT. Pada bahagian siang dan bahagian malam, Solat berfungsi menjadikan seseorang itu sedar akan hidupnya yang berTuhan. Sentiasa berhubung dengan Allah SWT.

Ramadan datang dengan pakej Qiyam Ramadan sebagai perlatihan ke atas diri secara tubi agar solat menjadi kebiasaan. Bukan sekadar suatu pengabdian, malah menjadi kerehatan.

Berehat dengan bersolat? Janggal benar bunyinya.

Janggal, hanya jika kita terlupa bahawa dengan solat itulah setiap kita bercakap dengan Yang Maha Pengasih. Soalnya, adakah kita kekasih yang mengasihi Sang Maha Pengasih itu? Itulah jawapan, sama ada solat menjadi kerehatan buat diri atau sebaliknya.

Orang yang berkasih boleh berbual telefon berjam-jam lamanya. Tidak jemu bercakap dan tidak jemu mendengar percakapan. Kuasa kasih, menjadikan kesusahan hilang keberatan, jadi kenikmatan juga kerehatan.

Jika terbeban dengan solat, tandanya kita tidak mengasihi Kekasih yang Maha Pengasih itu…

Lantas, mampukah kita konsisten, beristiqamah dengan kehendak-kehendak-Nya, tanpa kasih kepada Dia?

Peringatan juga buat kita semua, khuatir sekali jika sepanjang hayat kita bersolat, tetapi lima hari terakhir sebelum mati kita tidak bersolat kerana uzur, walhal selagi masih sedar, selagi itulah kita mukallaf terhadap kewajipan solat itu. Mampukah kita pastikan solat kita hingga ke waktu solat terakhir sebelum berangkat mati?

Allah! Allah!

solat

RUKUN EMPAT: BERSABARLAH

11_115

Dan sabarlah, sesungguhnya Allah tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan.

Sabar itu sudah saya kupas dengan panjang lebar di sepanjang Ramadan, bahawa ia saya fahamkan sebagai keupayaan mengawal diri dan tindakan.

Bersabarlah wahai sekalian kita dalam beribadah, dalam belajar untuk jadi terpelajar.

Bersabarlah wahai sekalian kita dalam berdakwah, agar penolakan yang berlaku tidak mendorong kita mencari jalan pintas yang mengugat Istiqamah.

Sabar menjadikan kita terhindar dari dorongan emosi yang mengundang sifat melampau. Sabar menghindarkan diri kita dari ghurur dengan ilmu yang kita perolehi kerana sesungguhnya ilmu dan harta adalah dua subjek panas tatkala masuk ke genggaman seseorang. Sabarlah… agar ilmu datang dengan ketundukan, hartamu datang diiringi kesyukuran.

Jangan dengan ilmu itu kamu melampau.

Jangan dengan harta itu kamu melampau.

Sebagaimana jangan dengan kuasa itu, kamu melampau.

Bersabarlah… tiada sabar kecuali dengan Allah, tiada sabar kecuali dengan melazimkan diri bersama Allah, tiada sabar kecuali sabar untuk Allah, dan jangan sekali-kali berlaku sombong dengan menyabarkan diri DARI Allah.

Berat sungguh pengucapan Istiqamah ini.

Tidak hairanlah Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam naik beruban kerana memikirkannya.

Demi setia dengan kebenaran.

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Kullu ‘Ām wa Antum bi Alf al-Khayr…

Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP

 

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

One comment

  1. Ayuh jangan tagguh lagi untuk istiqamah. Hari ini cukup ramai orang yang pandai berkata-kata secara berbagai bentuk tetapi pikirianlah adakah kita istiqamah mengamalkannya atau terus-terusan istiqamah dalam memperkatakan sahaja. Terima kasih tuan. Ilmu baru yang ku dapat hari ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share