Pembaziran Wang Dalam ‘Lawatan Sambil Belajar’ (di Finland)

Lee Jenkins di dalam bukunya, Permission to forget: and nine other root causes of America’s frustration with education. ASQ Quality Press, 2013, menyenaraikan sepuluh sebab mengapa sistem pendidikan di Amerika Syarikat bermasalah. Di dalam bab yang kelima, beliau memberi tajuk “Change after Change with No Improvement” yakni perubahan demi perubahan terjadi tanpa sebarang penambah baikan.

Ia seperti seorang kanak-kanak menunggang kuda kayu. Keseronokan si anak meningkat dengan meningkatnya pergerakan kuda kayu tersebut. Perubahannya berterusan, atas ke bawah, bawah ke atas dan ia terus berlanjutan selama mana kanak-kanak itu menunggangnya.  Si ibu pergi sebentar untuk menjamah makan malamnya, kemudian datang balik dan beliau dapati si anak dan kuda kayunya masih di lokasi yang sama, tidak berubah-ubah.

Penunggangnya kanak-kanak.

Tunggangannya pula adalah kuda kayu!

Dalam peribahasa yang lebih dekat dengan budaya kita, ia disebut, pi mai pi mai tang tu!

Kenapa jadi begini?

Lee Jenkins menerangkannya dalam perenggan berikut:

“…The process is easy to describe. Someone with influence attends a conference, picks up a good idea, convinces others of the merit of the idea, and a change is born. Unintentionally, a fight is also born; it starts in six months with 49 percent of the people saying this change made things worse and 51 percent saying it made things better…”

Terjemahan:

…Proses ini mudah untuk diterangkan. Seorang yang berpengaruh hadir ke sebuah conference, menemui idea yang bagus, lalu beliau yakinkan  orang lain mengenai merit idea berkenaan, dan lahirlah sebuah perubahan. Sesuatu yang tidak dijangka, pertentangan juga lahir bersamanya. Ia bermula enam bulan selepas itu apabila 49 peratus daripada audien berkata perubahan tersebut memburukkan keadaan manakala 51 peratus lagi berkata perubahan tersebut membuatkan keadaan bertambah baik…

Perubahan yang cuba dijana di dalam sistem pendidikan tidak mungkin terjadi dalam bentuk bertampal-tampal. Ia adalah sesuatu yang sistemik, saling berkait, dan sesuatu yang kelihatan mudah, ada teori di belakangnya yang perlu diambil kira. Itu sedikit sebanyak menjelaskan kenapa dengan hadir ke sebuah seminar, atau dengan membuat lawatan ke sebuah sekolah, sebuah perubahan BELUM boleh dihasilkan dalam erti kata yang sebenarnya (substantive).

DILEMA DI FINLAND

Dari semasa ke semasa, saya dihubungi oleh pelbagai pihak yang meminta saya membantu mereka mengadakan lawatan ke sekolah-sekolah di Finland. Sama ada NGO, sekolah swasta, termasuk persatuan pelajar.  Malah ada yang bertanya di manakah mereka boleh mendapatkan dana untuk membiayai ‘hasrat murni’ mereka itu.

Di satu peringkat, saya membalas satu dua mesej memberitahu bahawa saya juga masih baru di Finland. Saya hanya ada akses ke kelas pengajian saya, malah saya juga sangat teringin melawat sekolah, tetapi perlu menunggu masa yang sesuai di dalam struktur keseluruhan pembelajaran kami kerana ada di antaranya yang akan membabitkan kerjasama dengan pihak sekolah.

Saya tidak kenal sesiapa, saya jauh di utara (700km dari Helsinki), dan saya ada kelas yang perlu saya hadir. Sistem pembelajaran di sini di dalam kebanyakan subjek tiada ‘peperiksaan akhir’. Maka assessment dibuat secara berterusan sedari awal permulaan kelas, melalui penyertaan diskusi di dalam kelas, pembentangan demi pembentangan, esei dan lain-lain bentuk pembelajaran dari minggu ke minggu’. Kami terselamat daripada bebanan belajar saat akhir semester untuk peperiksaan, tetapi kami perlu sentiasa komited dengan semua kelas yang berjalan. Tiada rehat dan sentiasa sibuk, kalau boleh dikatakan sibuk.

Justeru, saya sarankan agar pihak yang mahu mengadakan lawatan sambil belajar, atau lawatan kerja, agar berhubung dengan pihak-pihak yang memang menyediakan perkhidmatan tersebut. Mereka ada pakej lengkap membabitkan beberapa ceramah, diskusi, dan lawatan ke sekolah, iaitu bahagian yang paling diinginkan oleh kebanyakan pihak buat masa ini.

Antaranya adalah:

Kesemua khidmat di atas menyediakan pakej lengkap untuk memenuhi kemahuan pelawat. Ia berbayar dan harganya tidak murah. Ada yang mencecah EUR300 seorang, hanya untuk yuran program, tidak termasuk penginapan, perbelanjaan makan minum dan semestinya tiket pesawat dan cenderamata!

PERSOALAN

Tetapi di satu peringkat, saya sudah berat hati membalas semua mesej yang dihantar. Ada sesuatu yang tidak kena. Kini saya ada isu yang lebih berat berlegar di fikiran.

Untuk apa semua ini?

Apa faedahnya melawat sekolah dan mendengar dua tiga ceramah tentang sistem pendidikan Finland?

Mampukah dengan dua tiga ceramah tersebut, bersama lawatan ke sebuah sekolah di Finland, menjadikan pasukan pelawat itu bersedia melakukan transformasi apabila pulang ke tanah air?

Saya meraguinya.

Saya tidak nafikan adanya manfaat. Tentu ada. Tetapi berbaloikah manfaat tersebut dengan kos yang dibelanjakan? Terutamanya dalam arena pendidikan. Pendidikan sekolah swasta kebanyakannya bertungkus lumus mencegah defisit kewangan kerana setiap sen perlu dijana sendiri. Bagaimanakah puluhan ribu Ringgit Malaysia boleh dibelanjakan, untuk lawatan berkenaan? Itukah cara terbaik untuk belajar tentang sistem pendidikan?

Saya pernah menyertai Helsinki Summer School pada tahun 2015, di dalam program Understanding Finnish Education, yang dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan dan Latihan Perguruan University of Helsinki. Program itu berlangsung selama sebulan dan kami dianugerahkan 6 ects. Di Finland, 1 ects menyamai 27 jam waktu belajar maka 6 ects bermaksud, program itu direka bentuk secara intensif untuk 162 jam pembelajaran dalam tempoh sekitar 20 hari. Jumlahnya menyamai sekitar 8 jam sehari Isnin hingga Jumaat.

Semasa melawat sebuah sekolah di Helsinki, kami tidak dibenarkan mengambil foto bersama pelajar atau di dalam premis sekolah sebab untuk tujuan berkenaan, kami perlu mendapat kebenaran ibu bapa pelajar sekolah tersebut, dan cas dikenakan untuk tujuan itu. Kami yang seronok dengan lawatan ini, hanya bergambar beramai-ramai di luar perkarangan sekolah sebelum kembali ke kediaman masing-masing. – Helsinki Summer School 2015

Mungkin jumlah 6 ects ini munasabah untuk menjadikan kami yang menyertainya faham dengan sistem pendidikan Finland. Itukah yang saya rasa selepas menamatkan kursus? Jawapannya, belum!

Saya belum faham.

Tetapi tidaklah tidak faham. Dapat memahami banyak aspek. Tetapi belum betul-betul faham, belum cukup untuk menjadikan saya seorang yang arif dengan sistem pendidikan Finland, lalu mampu misalnya, mengubah sistem pendidikan Khalifah Model School (Secondary) agar mengamalkan sistem pendidikan Finland! Tidak sama sekali. Masih banyak yang saya perlu belajar.

Apabila Finland memperkenalkan phenomenon based learning, ia heboh diviral dengan sangkaan semua subjek di sekolah Finland dihapuskan dan digantikan dengan rekabentuk baru ini. Sedangkan phenomenon based learning itu hanya beberapa jam dalam seminggu. Bagaimanakah Finland melakukannya? Ada macam-macam teori di dalam learning science berkaitan Self Regulated Learning (SRL), Collaborative Learning (CL), Technology-Enhanced Learning (TEL), Computer Supported Collaborative Learning (CSCL), Learning of Expertise dan sebagainya, yang perlu difahami, sebelum Finland membuat keputusan untuk memperkenalkan phenomenon based learning tersebut.

Kekhuatiran saya ialah apabila pelawat ini melihat pelajar-pelajar comel itu berdiskusi di dalam kelas, mereka senyum-senyum, lalu kita rumuskan bahawa collaborative learning itu bagus sebab pelajar seronok belajar, maka mari kita perbanyakkan collaborative learning di sekolah kita, oh ya… dan ia sunnah, sebab terjumpa sepotong hadith yang nampak macam ada kaitan dengan apa yang mata kita nampak!

Maka makin rancaklah kanak-kanak tadi menunggang kuda kayu sampai terpelanting puting tercarik pampers, namun akhirnya ia masih pi mai pi mai tang tu!

Simpanlah duit tersebut. Jangan membazir. Jangan datang Finland untuk ‘lawatan sambil belajar’ atau ‘lawatan kerja’. Jangan menipu diri sendiri  dan jangan tergelincir menipu masyarakat.

Jika ia terjadi dengan niat yang baik, izinkan saya mengemukakan saranan agar niat yang baik itu tidak disia-siakan, tetapi diubah kepada pendekatan yang lebih mencapai maksud. Bacalah kajian-kajian tempatan tentang SRL, CL, CSCL, TEL dan lain-lain. Kajian penyelidik tempatan itu juga merujuk literatur yang sama oleh Bandura, Zimmerman, Pintrich, Schunk dan Boekaerts yang dirujuk dalam literatur di Finland.

Ada pun keinginan melawat Finland, lawatlah Helsinki, mungkin Rovaniemi dan Inari. Kejarlah aurora, hayatilah suhu -30ºC dan salji setebal 2 meter dan makanlah nasi goreng sedap makcik Taiping di pasaraya Kamppi di Helsinki. Ia harus, halal, dan menarik. Namakan ia sebagai lawatan biasa. Lawatan yang mungkin mahu meraikan pasukan kerja. Tetapi bukan lawatan mengkaji ‘sistem pendidikan Finland’. Pelbagai pihak di Finland menawarkan perkhidmatan untuk lawatan sedemikian rupa, mereka melakukannya dengan maksud bisnes dan menjana pendapatan daripada kesanggupan kita membayar. Itu ditegaskan sendiri oleh Prof Fred Dervin koordinator program Helsinki Summer School 2015 yang saya sertai tahun lalu. Pendidikan adalah salah satu brand komersil Finland pasca Nokia.

Jika benar-benar mahu memahami sistem pendidikan Finland, hubungi beberapa orang graduan universiti Finland, yang sudah pun kembali ke tanah air. Jemput mereka beri ceramah, berdiskusi dengan mereka. Bayar bagus-bagus, sebab mereka akan menghargai bayaran anda sebagai tanda anda menghargai ilmu dan kemahiran mereka. Bahkan lantik mereka menjadi konsultan sekolah anda.

Jika masih ada rombongan ‘rasmi’ yang hendak diatur melawat Finland, rombongan yang diperlukan adalah rombongan birokrat dan ahli politik, melawat Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan Finland [http://minedu.fi/en/frontpage], serta City Council bandar-bandar terpilih untuk belajar tentang sistem pentadbiran pendidikan Finland, kemudian pulang ke tanah air dan berusaha mengubah falsafah dan implimentasi pentadbiran pendidikan sedia ada.

Sekolah kita bukan tempat dapatan rombongan mengusul perubahan.

Banyak benda menarik yang ditemui di sekolah dan bilik darjah Finland, adalah hasil autonomi dan kepercayaan yang guru serta sekolah Finland nikmati, jauh daripada arahan dan campur tangan ahli politik serta birokrat di pejabat, jabatan dan kementerian.

Hasrizal Abdul Jamil
LET Oulu,
Finland.

 

Check Also

Fenomena Agamawan Berbahasa Kesat Dalam Ceramah

Persoalan ustaz-ustazah, orang-orang agama berbahasa kesat di meja ceramah bukan perkara baru. Apabila saya mengulasnya …

7 comments

  1. Poin ni paling best walaupun agak sarkastik. Haha

    “Kekhuatiran saya ialah apabila pelawat ini melihat pelajar-pelajar comel itu berdiskusi di dalam kelas, mereka senyum-senyum, lalu kita rumuskan bahawa collaborative learning itu bagus sebab pelajar seronok belajar, maka mari kita perbanyakkan collaborative learning di sekolah kita, oh ya… dan ia sunnah, sebab terjumpa sepotong hadith yang nampak macam ada kaitan dengan apa yang mata kita nampak!”

  2. Razisatul Asyifah Ismail

    Itulah yang dirasai oleh kami para guru – tampalan demi tampalan dalam sistem pendidikan. Tengoklah…. akan banyak lagi tampalan yang kami akan terima….

  3. benar seperti yang ustaz kata. perlu improve apa yang nampak di depan mata.

  4. ‘Lawatan yang mungkin mahu meraikan pasukan kerja.’ Agree.

  5. Ustaz…..bantulah pendidikan kita….

  6. Sangat setuju dengan pendapat Us & sahabat-sahabat yang lain…
    walaupun hampir 6 dekad merdeka tapi masih mencari identiti pendidikan yang tersendiri.

    • Pencarian boleh berakhir dengan penemuan apabila hala tuju diperbetulkan. Bahawa pendidikan adalah untuk khidmat kita kepada anak-anak. Bukan politik, birokrasi dan ahli birokrat serta ahli perniagaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share