Dari Jauh Aku Merinduimu, Buku

Di suatu ketika, saya sering bermelankolik dengan buku. Adakalanya saya berbicara tentang buku seolah-olah buku itu seorang ‘kekasih’.

Sayang saya kepada buku bermula semenjak di bangku sekolah lagi. Semasa bersekolah asrama, sebahagian wang saku yang abah bekalkan, akan saya peruntukkan untuk membeli buku, juga majalah. Ke mana sahaja saya pergi, pasti ada buku di tangan. Aktiviti paling ditunggu-tunggu ialah apabila menaiki bas ekspres ke Kuala Lumpur. Hentian Puduraya ada banyak kedai buku. Saya sanggup datang awal ke stesyen bas berkenaan agar cukup masa merayau ke satu demi satu kedai buku berkenaan.

Semasa belajar di Jordan, buku memang menjadi kegilaan saya dan kawan-kawan. Apabila wang saku sampai setiap tiga bulan, kami akan ke kedai buku di pusat bandar Amman, dan pernah  pulang dengan lori pick-up! Berpuluh malah beratus buku dibeli. Bermula dari awal pagi, membelek satu demi satu buku di Dar ‘Ammar, atau Maktabah Dandees, dan di puluhan kedai buku lain, kami berhenti solat zohor dan makan, kemudian menyambung aktiviti membeli dan bersembang tentang buku.

Buku.

Buku.

Buku.

Semasa pulang ke tanah air, ada yang mengirim pulang 10 kotak buku, ada yang 20, ada yang 60, dan ada yang melebihi 100 kotak! Malah yang hampir maut ditimpa buku sendiri pun ada!

Saya sangat sayang dengan buku-buku tersebut.

Ia adalah apa yang menjadikan diri saya seperti mana yang ada. “Kamu adalah apa yang kamu baca” itu sangat benar.

Ketika bermastautin di UK dan Ireland, saya berpisah seketika dengan buku-buku berkenaan. Ia diletakkan di rumah emak di kampung. Beliau rajin mengelap buku dan almari, dan dalam keuzuran beliau, ada di antara buku saya yang musnah dimakan anai-anai!

CERITA DI SEBALIK BUKU

Buku-buku itu bukan sekadar buku. Setiap satunya ada cerita. Saya pernah berangan-angan mahu menulis sebuah buku bercerita tentang kisah di sebalik buku. Memburu buku boleh jadi sebuah naskhah yang menarik untuk dibaca, dan berkongsi inspirasi.

Sebelum buku diambil dan dibaca, memandangnya sahaja sudah membuka pelbagai cerita.

Ada buku yang saya perolehi, selepas berbulan-bulan mencari.

Ada antara buku itu, saya temui tersorok dalam longgokan buku lama di kedai buku bawah tanah di Amman dan al-Zarqa’.

Ada juga buku, yang saya perlu bersumpah dengan nama Allah untuk merahsiakan siapa penjual buku berkenaan.

Ada buku yang saya kena ikat perut untuk membelinya.

Ada yang saya kena bermusafir beribu batu untuk mendapatkannya.

Ada juga buku, yang kerananya saya mendapat sahabat baru, dan ada juga buku yang menjadi punca saya berseteru.

 

KE FINLAND

Apabila saya membuat keputusan untuk memohon menyambung pelajaran ke Finland, antara perkara yang saya fikirkan adalah buku. Saya sangat sayangkan buku-buku berkenaan, tetapi bertukar bidang ke sains pendidikan, menyebabkan saya terpaksa berhjrah ke seksyen lain buku-buku untuk dibaca dan ditelaah. Kesemua buku itu menjadi tidak relevan untuk saya bawa bersama kerana kehidupan di Finland amat berbeza, dan kami perlu hidup secara minimalist sekeluarga. Berpindah daripada rumah 6 bilik ke rumah flat kecil dua bilik, saya tidak punya ruang untuk bermanja-manja dengan almari buku.

Kira-kira dua atau tiga tahun sebelum itu lagi, apabila saya mula terfikir yang satu hari nanti saya mungkin akan meninggalkan tanah air, saya sudah mula beralih ke buku digital. Selagi boleh, buku baru yang hendak dibaca, saya akan membeli versi digital (ebook) sama ada di Kobo, Kindle, atau Google Play Book.

Alasan-alasan ‘lebih suka menyelak kertas’, ‘saya suka cium bau buku’ dan lain-lain ayat lazim tentang buku, saya tinggalkan. Semua itu tiada makna sebab matlamat membaca ialah untuk mendapatkan ilmu dan maklumat di dalamnya. Bukan bermanja-manja dengan kertas. Mata saya yang berpinar membaca di skrin pun saya paksa diri untuk jadi selesa membaca di iPad, di iPhone, di laptop, dan kemudiannya di peranti Kindle dan Kobo.

Majoriti buku berkaitan sains pendidikan yang saya perlu baca untuk melengkapkan diri dengan ilmu sekolah, mengajar, belajar dan cabang-cabangnya, saya kumpul dalam format ebook. Ia bersedia untuk bermusafir bersama saya, walau ke mana saya berkelana. Buku-buku rujukan di dalam tema lain pun banyak terkumpul di dalam ‘perpustakaan digital saya, tidak lagi perpustakaan fizikal.

Buku-buku itu hakikatnya hanya kertas, kecuali apabila tulisan di dalamnya dibaca dan dimanfaatkan. Nilai buku ialah pada baca. Bukan pada simpan, jauh sekali pada menggemukkan anai-anai.

Apa yang patut saya buat dengan buku-buku yang terkumpul di ‘perpustakaan’ rumah? Jika ditinggalkan di rumah yang tidak berpenghuni, buku itu mungkin rosak, dan pasti tidak berguna. Buku-buku itu hakikatnya hanya kertas, kecuali apabila tulisan di dalamnya dibaca dan dimanfaatkan. Nilai buku ialah pada baca. Bukan pada simpan, jauh sekali pada menggemukkan anai-anai.

Saya kira, keputusan terbaik yang patut saya buat, walaupun dengan hati yang sangat-sangat berat, adalah dengan mewakafkan semua buku yang ada ke perpustakaan Khalifah Model School (Secondary)! Ia hasil istikharah dan istisyarah.

KMSS adalah jantung dan hati saya. Saya berikan seluruh hidup pada usia yang berbaki ini untuk membangunkan pendidikan di KMSS. Maka KMSS adalah lokasi terbaik untuk buku-buku saya berteduh, dan dimanfaatkan dengan sebaiknya. Apatah lagi di perpustakaan sekolah, nanti ada guru dan pelajar yang menjadi pustakawan. Tidakkah mereka insan-insan terbaik yang boleh memikul amanah ini?

Tidak mengapalah rumah saya sudah tiada buku berkenaan. Satu hari nanti, jika anak-anak saya sendiri ingin memahami sebahagian daripada kepingan puzzle ayah mereka, mereka boleh ke sekolah dan membelek buku-buku yang pernah menjadi milik abi mereka.

Semasa mengemas buku-buku di bilik sejurus sebelum berangkat ke Finland, saya menangis dalam diam di bilik buku di rumah. Satu demi satu buku yang ada saya belek. Menyerahkan buku kepada pihak lain, adalah seperti menyerahkan roh dan nyawa keluar dari tubuh ini. Saya rasa seperti menyerahkan anak kepada orang lain. Seperti kehilangan sesuatu yang merobek-robek hati. Merepek-repek rasanya kerana saya berangan-angan seolah buku-buku itu berkata, “engkau sudah tidak mahu memandang kami? Engkau membuang kami? Sampai hati engkau tinggalkan kami?”

Arghh…

Satu hari nanti saya akan mati.

Dan pada hari itu bukan sahaja buku, malah segala yang saya cintai dan kasihi tidak akan mengikut saya ke alam barzakh. Mereka mungkin menangis di tepi nesan, tetapi saya akan bersendirian di kuburan. Tiada isteri, tiada anak-anak, tiada buku dan tiada apa-apa. Kecuali amal sebagai teman.

Janganlah tunggu mati, baru buku itu dipindah milik. Lakukan semasa hidup. Sayangkan buku itu hakikatnya adalah nafsu memiliki, sedangkan saya tahu, buku-buku itu bakal ditinggalkan.

Saya berpesan kepada pihak sekolah, bahawa ada sebahagian kecil buku yang telah saya asingkan, saya masih berharap buku itu disimpan sebagai koleksi peribadi saya dan saya harap satu hari nanti saya dan buku-buku itu kembali bersama. Koleksi kecil itu saya bina dengan susah payah, ada naskhah yang mencecah ribuan ringgit dan mungkin satu-satunya naskhah yang wujud di Malaysia. Tunggulah saya mati, baru buku itu berpindah milik ke perpustakaan sekolah.

Manakala sebahagian besar yang lain, koleksi buku yang terkumpul semenjak 20 tahun yang lalu, di dalam pelbagai bidang terutamanya pengajian Islam dan sejarah, dengan lafaz Bismillah, saya serahkan ia menjadi khazanah perpustakaan Khalifah Model School (Secondary).

Pergilah duhai buku, ke kediaman baru dan tuan barumu.

Saya harap buku-buku itu akan mengingatkan anak-anak murid saya bahawa Ustaz Hasrizal suka buku, dan dia sangat suka jika buku-bukunya anak murid semua baca. Jika sayang Ustaz Hasrizal, bacalah buku itu dan manfaatkan ia. Ingat Ustaz Hasrizal, ingat buku, Bukan ingat nasi arab atau apa-apa yang lain.

Sesekali saya masih rasa kehilangan.

Tetapi saya bahagia, kerana saya tahu buku-buku itu kini berada di tempat yang terbaik.

Moga ia memudahkan perjalanan saya, selepas ini.

HASRIZAL
Oulu, Finland.

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

2 comments

  1. Semoga mendapat keberkatan dari Allah. Semoga selamat merantau di tanah orang.

  2. Oh jawapannya dah pun ada di sini rupanya. Ustaz membesar dalam persekitaran ‘mencintai’ buku. I see 🙂

    Betul tu Ustaz, untung kita hidup di zaman ebook. Bak kata Sh. Waleed Basyouni, “I wonder… If the people of [Medieval] Baghdad and Cordoba, who used to pride themselves at the vastness of the collection of their libraries, saw the amount of books that can be carried by a college student on their USB drive, how would they feel?”

    Dan sekarang, ebook pun evolved even further, boleh di-convert menjadi format MP3 pula (ala audiobook). So deria ‘lihat’ boleh diganti dengan deria ‘dengar’ pula, mengikut preference setiap individu masing-masing. So bertambah lagi satu variation pilihan dalam cara menelaah ilmu. Kalau macam Dr. James White, beliau prefer ‘mendengar’ ebook sambil mengayuh basikal, ahha.

    Dan… sebut tentang variation pilihan cara menelaah ilmu ni, 2 minggu lepas, ada kawan saya kongsikan satu link, yang menceritakan tentang kajian di Universiteit Leiden bertajuk “Anime as a source of human knowledge”. I found that title intriguing, sebab 2 tahun lepas, saya pun pernah kongsikan idea yang seakan sama di ruang komen blog ni.

    To quote a paragraph from that link: “The general assumption is that non-European and non-textual forms of ideas and thoughts have nothing to do with “the common ideological heritage of mankind”, as American philosopher Francis Fukuyama wrote. Under that assumption, anime could be regarded as a frivolous distraction from philosophy or political science. [But] My research shows that philosophical arguments are discussed, questioned and even formed in animated films. I hope my work will contribute to anime being seen as an important source of human knowledge.”

    Just sharing.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share