Phenomenon-Based Learning (PBL) Untuk Integrasi Organik

Pelajar Khalifah Model School (Secondary) bermusafir ke Lembah Bujang dan kemudian ke Lenggong Valley UNESCO World Heritage untuk program Malaysiana Jones menyelidik peninggalan sejarah dan mengenal kerja-kerja arkeologi.

 

Subjek-subjek yang kita kenal di dalam pengalaman bersekolah hari ini, lahir daripada proses induktif yang dibuat daripada pengalaman kehidupan serta pemerhatian oleh bijak pandai. Subjek-subjek itu membantu kita melihat, apakah sendi-sendi ilmu di sebalik realiti kehidupan.

Daripada fenomena alam, lahirnya matematik, biologi, fizik, kimia, linguistik, psikologi, sosiologi dan pelbagai cabang ilmu pengetahuan. Ia menjadi mata pelajaran yang dipelajari bermula daripada awal persekolahan hingga ke tahap tertinggi.

Subjek-subjek tersebut perlu kekal berhubung dengan realiti kehidupan. Apabila ia terputus hubungan, subjek berkenaan menjadi ‘ilmu-ilmu mandul’ di dalam pendidikan yang tidak kuat membantu kehidupan kita pasca persekolahan. Apatah lagi jika kebolehan membuat hubungan di dalam minda melemah, lebih teruk lagilah bencana gagal mengaitkan ilmu yang dipelajari di sekolah dengan kehidupan.

Di mana subjek ini dalam kehidupan?

Benda yang kita belajar ini sebenarnya apa?

Algebra ini, wujudkah dalam kehidupan seharian kita?

Apa faedahnya belajar benda ini?

Soalan demi soalan; kalau daripada pembelajaran itu lahir soalan, menerjah motivasi pelajar untuk belajar. Lima enam jam sehari, selama bertahun-tahun dari hingusan hingga dewasa, malang sekali jika pelajar kenal subjek, tetapi tidak kenal ilmu dan hubungkaitnya dengan kehidupan.

NARATIF ALTERNATIF

Selepas mengambil kira banyak naratif alternatif tentang pendidikan dan pengamatan kita terhadap realiti semasa, pembelajaran berasaskan fenomena ini sudah dimulakan di Khalifah Model School (Secondary) sejak 2014. Mata pelajaran masih diajar sebagai mata pelajaran, tetapi ada banyak pembelajaran direka bentuk untuk mengintegrasikan subjek antara satu sama lain.  Sudah beberapa kali pelajar mengadakan sesi pembelajaran di lokasi-lokasi luar seperti Melaka dan Pulau Pangkor, dengan maksud meneliti isu-isu yang wujud di dalam masyarakat, menggunakan subjek Geografi, Sejarah, Ekonomi, Fiqh, Dakwah, Bahasa dan lain-lain untuk memahami dan melakukan analisis.

Ia bukan mustahil. Ia boleh dilakukan.

Ia mampu dilakukan.

Dengan azam dan kemahuan guru untuk terus menerus belajar, dan membuat perubahan kepada PdP.

PBL DI FINLAND

Finland sedang mengorak langkah untuk mengembangkan pendekatan ini. Bermula Ogos 2016, semua sekolah di Finaland perlu mengajar dan merangsang pembelajaran dalam bentuk yang lebih kolaboratif (collaborative learning). Penggunaan teknologi ditingkatkan di dalam dan di luar bilik darjah. Semuanya dengan maksud untuk menjayakan project atau phenomenon-based learning (PBL)  sebagai sebahagian daripada pembangunan pendidikan alaf 21.

Apabila ia dilaksanakan secara menyeluruh di seluruh negara, pelbagai keperluan baru timbul.

Keperluan untuk mengubah latihan perguruan.

Keperluan untuk menyediakan latihan dalam perkhidmatan.

Keperluan untuk menyediakan alat-alat mengajar, terutamanya yang berkaitan dengan cara membuat penilaian (assessment) kepada cara belajar yang ‘lain macam’ ini.

Di sinilah banyaknya kajian yang dibuat di dalam program seperti program pembelajaran saya di Finland. Dan kajian itu pantas dihubungkan dengan produk dengan maksud untuk mengguna pakai semuanya bagi menyokong keperluan pelajar dan guru di sekolah.

Misalnya senior kami telah membangunkan aplikasi SKYLER untuk membantu guru dan pelajar merancang dan membuat  assessment kepada phenomenon-based learning (PBL) berkenaan. Teori dan konsep pembelajaran di dalam topik self regulated learning, collaborative learning, segera disinergi dengan technology-enhanced learning untuk menghasilkan produk yang membantu menjayakan perubahan ini.

Bukan semua pihak bersetuju.

Salah satu sebab utama, adalah tiadanya bukti-bukti untuk menunjukkan keberkesanan phenomenon-based learning (PBL) tersebut. Saya kurang pasti mengapa isu ini dibangkitkan. Di sana ada banyak data untuk melihat kesan pembelajaran di sekolah IB (International Baccaulaurate) yang banyak menjalankan  phenomenon-based learning (PBL)  sejak sekian lama. Kurikulum Primary Year Program (PYP) dan Middle Year Program (MYP) banyak membabitkan projek dan kajian lapangan di kalangan pelajarnya.

Malah jika tiada bukti keberkesanan phenomenon-based learning (PBL) sekali pun, kita ada banyak bukti yang cara belajar sekarang ini tidak berkesan, dan perubahan mesti dibuat!

Saya melihat keperluan kepada phenomenon-based learning (PBL)  ini lebih jauh daripada sekadar menyediakan pelajar untuk alam pekerjaan di masa hadapan. Pendekatan ini mengajar pelajar untuk melihat komponen ILMU di belakang fenomena kehidupan. Apa ilmu yang diperlukan untuk memahami satu-satu topik yang dikaji.

Tidaklah nanti mudah-mudahannya, selepas bertahun-tahun belajar sains, tetapi terperangkap dalam pseudosains. Belajar kaedah penyelidikan, tetapi tidak menyelidik hal-hal seharian di luar tesis dalam kehidupan. Menamatkan persekolahan tidak harus sama sekali menamatkan proses belajar dan memanfaatkan ilmu pengetahuan. Pendidikan yang baik, melahirkan manusia konwledge based society, masyarakat yang bersendikan ilmu dalam kehidupan.

Tidakkah ini boleh membantu menyembuhkan masalah semasa kita?

Zaman orang lebih sibuk dengan isu berbanding ilmu.

Jika datang satu kejadian, mengutamakan ilmu menyebabkan kita lebih teliti dalam berpendapat. Jika kita hanya sibuk dengan isu, kehidupan menjadi hingar bingar tetapi kosong makna. Kita tidak mahu masa hadapan anak-anak kita didominasi oleh keadaan yang sedemikian rupa.

Perubahan pendidikan semasa, jalan mengislah masa hadapan mereka.

HASRIZAL
Oulu FI

Capaian artikel BBC

Facebook Notice for EU! You need to login to view and post FB Comments!

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share