Arkangel di Netflix: Teknologi Membantu ‘Mengawal’ Anak, Sepenuhnya!

Salah satu perkara teras di dalam pembelajaran kami di dalam program LET di Finland ini​ ialah teknologi tidak mengawal tingkah laku manusia, sebaliknya keperluan manusialah yang membimbing bagaimana teknologi direka bentuk dan digunakan di dalam kehidupan.

Menonton episod Arkangle (tulisan Charlie Brooker dan arahan Jodie Foster) di dalam musim baru Black Mirror di Netflix, menimbulkan rasa gerun dalam diri saya, bagaimana keibubapaan yang baik didefinisikan secara ‘pintar’ sebagai ‘mengawal’ anak-anak.

Teknologi memungkinkan cara mengawal anak-anak itu dibawa ke tahap yang lebih tinggi apabila insertable technology memungkinkan microchip ditanam di dalam Sara sehingga semua kondisi si anak boleh dipantau oleh ibunya, Sara, seorang ibu tunggal. Teknologi amat membantu beliau menjaga anaknya, bukan sahaja dari segi keperluan nutrisi dan peningkatan kadar resah (anxiety) di dalam diri, malah apa yang dilihat oleh Sara, boleh dilihat oleh Marie di peranti kawalannya melalui Arkangelimplanted chip technology di dalam diri Sara.

TEKNOLOGI MASA KINI

Pada masa ini, saya menggunakan teknologi untuk mengawal penggunaan telefon pintar anak-anak dari jauh. Dari Universiti, semasa saya sedang mengulangkaji pelajaran atau menghadiri kuliah, saya boleh menawal telefon anak-anak. Misalnya pada suatu hari,  anak-anak saya semua memakai earphone hingga mereka tidak mendengar si adik menekan loceng pintu rumah untuk masuk. Dengan teknologi aplikasi Screen Time, saya ‘pause‘ telefon semua anak bersama mesej yang ‘pop up’ di skrin mereka “buka pintu, adik di luar!”

Setakat itu sahajalah.

Penggunaan teknologi ini pun, saya lakukan bersama diskusi berterusan dengan anak-anak agar mereka memahami tujuan saya melakukannya. Walaupun sesekali mereka menyampah dan bengang dengan saya, mereka tahu saya melakukannya untuk kebaikan mereka. Ia tidak menyekat, tetapi secara berperingkat membimbing mereka menggunakan telefon pintar dengan lebih selamat dan jauh daripada kemudaratan.

Filem Arkangel ini sangat menarik.

Jika anda melaksanakan tanggungjawab keibubapaan secara helicopter parenting, mahu campur tangan daripada sebesar-besar perkara hingga ke sekecil-kecil urusan anak-anak, anda mungkin mengidamkan teknologi Arkangel ini.

Tetapi jika kita sama-sama sedar bahawa keibubapaan kita mestilah bersifat berundur daripada kehidupan anak-anak sedikit demi sedikit untuk membuka ruang mereka menjadi dewasa yang mukallaf, maka pendekatan-pendekatan yang lebih organik, perlahan, bergabung antara betul dan salah, berjaya dan gagal, mungkin lebih realistik dan wajar.

Pilihan di tangan anda.

Hasrizal
Oulu, FI

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.