Membina Sempadan Minda dan Bahasa Dengan Video Logan Paul

Lama kami berbual malam ini tentang Logan Paul dan video kontroversinya.

Sebelum ini saya  sudah berulang kali mengingatkan anak-anak, bahawa saya tidak berkenan dengan hobi mereka menonton video-video Logan Paul, dan yang seumpama dengannya. Sebelum meninggalkan Malaysia, nasihat yang sama saya berikan kepada mereka tentang kecenderungan melayan video Luqman Podolski. Memang sekali sekala tidak mengapa, tetapi dengan menjadi pelanggan, ada kesan sampingan yang saya tidak mahu mereka kutip daripadanya.

Saya harap dengan kejadian Logan Paul membuat video kontroversi tentang suicide forest di Jepun dan buat lawak dengan isu seserius suicide, dapat menamatkan perhatian anak-anak saya dan kita semua kepadanya. Saya sudah menonton video asal yang Logan Paul kongsikan di Youtube channel beliau itu dan saya tahu apa yang saya perkatakan.

Saya tidak mahu komen apa-apa tentang Logan Paul sebab beliau adalah beliau. Pada masa ini, mereka yang menyerang Logan Paul dan yang membelanya, sama-sama ‘gedik’ dan membuang masa meleret-leret berbahas mengenainya. Logan Paul sendiri sudah memohon maaf di channel beliau dan saya berharap kejadian ini membantu beliau memperbaiki dirinya, dan berpindah ke peringkat kematangan yang lebih baik. Logan Paul terlalu gergasi untuk diabaikan, terutamanya dalam konteks kami di Finland ini.

Larangan saya ke atas anak-anak untuk melayan video Logan Paul dan Luqman Podolski di Malaysia, adalah atas sebab anak-anak  ini masih di peringkat usia pembentukan. Mudah terpengaruh dan meniru dalam keadaan sedar atau tidak sedar. Apabila siang malam pagi petang mereka melayan video seperti ini, ia boleh menjadikan anak-anak kita loyak buruk, tak habis-habis nak buat lawak bodoh hingga tidak tahu bila masanya mereka perlu serius dan bila masanya mereka boleh bergurau. Jika tidak dibendung, nanti jadi biadab dan kurang ajar, yang mendarah daging. Belajar sekolah agama dan tahfiz pun nanti jadi kaki mencarut dan swearing sana sini. Logan Paul dan Luqman Podolski tidak mencarut. Tetapi minda loyar buruk itu menjadikan anak-anak ini tidak sensitif terhadap dengan siapa mereka bercakap dan dalam konteks yang bagaimana mereka berinteraksi.

Keduanya, kami tinggal di negara yang bahasa ibundanya bukan bahasa Inggeris. Sedangkan di sekolah anak-anak kami, bahasa Inggeris banyak digunakan sebab mereka bersekolah di International School. Anak-anak masih di peringkat pembentukan bahasa. Saya tahu sumber yang paling mempengaruhi bahasa Inggeris anak-anak kami adalah bahasa video-video yang viral ini. Ekspresi mereka semasa berbahasa Inggeris sangat cringeworthy.

Cringeworthy yang macam mana?” tanya anak-anak kami.

“Kalian tidak perasan, penggunaan ekspresi seperti duh  atau kadang-kadang dengan tambahan duhhh itu adalah onomatopoeic yang menjengkelkan. Jadi biadab kalau diungkapkan kepada orang tua. Sama macam apabila abi tegur kalian guna istilah tahu takpe! Begitu juga dengan ekspresi seperti like whaaat???, ia adalah ungkapan-ungkapan yang mencemar bahasa Inggeris kalian.” saya cuba menerangkannya.

Anak-anak kami mendengar.

“Walaupun bahasa Inggeris abi sangat sederhana, tetapi abi bersyukur sebab abi tidak pick up  benda-benda yang mencemar bahasa Inggeris di Malaysia macam ungkapan la la la itu.  Semasa di UK baru-baru ini, abi memasang telinga mendengar perbualan kalian. I am not spying on you, neither comparing you with anyone. Tetapai apabila kita duduk dalam persekitaran native English ia lebih memudahkan kita mengesan apa yang tidak kena dengan bahasa kita.” saya mengomel panjang.

Bacaan buku dan tontotan program yang baik di tv tidak mampu mengatasi pengaruh video ala Logan Paul di Youtube. Ia boleh menyebabkan bahasa Inggeris yang mereka pick up penuh sampah sarap yang mereka sendiri tidak sedar. Dengarlah bahasa Inggeris remaja umur 10 tahun ke atas sekarang, ia adalah bahasa Logan Paul dan yang sekaum dengannya. Dan anak-anak ini tidak sedar mengenainya.

“Tapi kami bukan hanya tengok video Logan Paul. Kami menonton juga video dokumentari lain, di Youtube dan di televisyen!” kata Imad.

“Betul. Tapi dokumentari itu panjang. Perhatian kalian sudah ke tempat lain. Video-video Logan Paul, Luqman Podolski, dan video-video kelakar yang berjuta di Youtube itu lebih pendek, catchy, dan kalian menontonnya dengan penuh fokus. Lagi pun, memori kita ini ada banyak fasa. Daripada apa yang kita dengar, kemudian kita ingat, kemudian lekat di ingatan, ada prosesnya. Cuba kalian hafal nombor ini: 424215131108!” saya menduga,

Saif dan Naurah kelam kabut nak menghafalnya.

Saya ulang sekali lagi, “424215131108!”

Mereka hanya dapat ingat beberapa digit awal dan akhir sahaja.

“Kenapa kalian tak ingat?” saya tanya.

“Panjang sangat!” kata Saif.

“Tak, bukan sebab panjang. Tapi sebab nombor-nombor itu kedengarannya rawak, random, tiada sebarang makna. Betul tak? saya menyoal.

“Betul!” kata mereka.

“Cuba abi beritahu kalian bahawa 42 adalah umur abi, 42 umur ummi, 15 umur Yop, 13 umur Naurah, 11 umur Imad dan 08 umur Muiz. Sekarang ingat tak nombor tu?” saya menyoal lagi.

Mereka ketawa dan mengangguk.

“Memori kita akan merekod maklumat dengan kuat, dan tersimpan dalam long term memory, apabila satu-satu benda itu meaningful. Sebab itu pembelajaran di sekolah kena meaningful. Bukan main hafal sahaja. Semasa abi belajar sejarah, abi kena hafal sangat banyak tahun. Tahun kelahiran, tahun kematian, tahun naik takhta. Macam mana caranya?” saya terus berceloteh.

“Bagi minat!” jawab Naurah.

“Betul, dan pada masa yang sama, abi kena reka makna tertentu kepada tarikh berkenaan. Misalnya bilakah Katip Çelebi meninggal dunia? Beliau meninggal dunia tahun 1657. Macam mana abi boleh ingat? Abi tahu Katip Çelebi  hidup di abad ke-17 sebab abi faham abad ke-17 itu apa, dan apa yang terjadi di abad berkenaan. Abi ingat 57, sebab ia tahun Malaysia merdeka. Sama macam Sultan Abdul Hamid II menaiki takhta pada 31 Ogos 1875. 31 Ogos tarikh Malaysia merdeka. 1875 ialah seratus tahun sebelum abi lahir. Kesimpulannya, apa-apa yang meaningful dan dipelajari dengan penuh fokus, itu yang lekat masuk dalam kepala. Maka antara dokumentari National Geographic, dengan video-video klip pendek Logan Paul dan Luqman Podolski, mana yang lebih meaningful bagi kamu semua?” saya menyoal.

Mereka mengangguk.

Akur dengan hujah saya.

Saya tahu, saya adalah bapa dan guru yang tidak cool dengan teguran ini. Tetapi saya menegur secara berasas. Sebelum saya haramkan anak-anak saya bermain Roblox, saya sudah terlebih dahulu bermain Roblox di atas talian, menyamar sebagai kanak-kanak dan dalam masa yang singkat, setan-setan paedophile Melayu sudah muncul mahu berbaik-baik. Anak-anak kena ingat, abi ini adalah pelajar sarjana Learning, Education and Technology. I am not naive. Apabila abi beri nasihat, ada sebab nasihat itu diberikan. Dan dalam pada itu pun, abi masih lagi berdoa kepada Allah semoga Allah lindungi anak-anak daripada bahaya internet.

Di Malaysia, most likely kalian tidak diberikan telefon bimbit. Tetapi di Finland ini, kita sudah berbincang mengenainya, dan kalian semua tahu di mana sempadannya. Ahad ini apabila cuti sekolah tamat, aplikasi Kidslock, Screen Time dan WebWatcher akan kembali beroperasi.

Lagi pun, telefon-telefon kamu semua itu, abi dan ummi yang punya.

Betul tak?

Beeetuuullll!

HASRIZAL
Oulu, FI

 

Check Also

Fenomena Agamawan Berbahasa Kesat Dalam Ceramah

Persoalan ustaz-ustazah, orang-orang agama berbahasa kesat di meja ceramah bukan perkara baru. Apabila saya mengulasnya …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share