Pendidikan Kanak-kanak Yang Bukan Untuk Kanak-kanak

Untuk kita kata manusia penting memang mudah. Tetapi realitinya tidak semudah bicara.

Apabila isteri demam, kita kata “memanglah demam sebab awak sudah tua. Biasalah tu.” Tetapi apabila kereta kita demam, ambil emergency leave teman kereta di bengkel.

Kata manusia penting.

Itu kisah suami.

Isteri pun sama juga.

Anak-anak berlari di dalam rumah, terlanggar pasu bunga beli di Beijing. Jatuh berkecai di lantai. Kita angkat tangan dan lempang anak sebab anak ada ramai dan boleh kalau nak ada lagi. Pasu itu tiada duanya.

Kata manusia penting.

Mat Rempit jatuh motor, periksa motor dahulu. Tidak perasan kaki dah terkulai.

Kata manusia penting.

Di masjid kita sayang karpet sebab karpet kita jaga, anak-anak kita jegilkan mata. Pergi sembahyang jauh-jauh di belakang sana. Diam semua. Hoi, kamu tak reti bahasa ke?

Kata manusia penting.

Sebab itu di sekolah pun, kita fikir kerusi, meja, pintu, buku, dinding, kemudian markah, angka, simbol, malah majlis kejayaan murid pun, yang very important person adalah orang politik, orang jabatan, orang berpangkat-pangkat dan bergelar nama.

Anak-anak hanya penting kepada penjual produk pendidikan. Beli buku ini, beli modul itu, beli kad ini, guna bahan itu. Dengan kanak-kanak, kita buat harta.

Keletihan kanak-kanak, keinginan mereka bermain, kemahuan mereka untuk tahu, perasaan mereka, suara mereka, imaginasi mereka, kelebihan mereka, masalah mereka, kekurangan mereka, rintihan mereka, rindu mereka kepada ibu bapa, keinginan untuk hidup sebagai kanak-kanak, bukan sebagai pekerja jam 8 ke 5 malah jam 6 seawal usia 4 tahun… semua itu tidak penting. Ikut sahaja cakap kami orang dewasa sebab engkau budak-budak, engkau tahu apa!

Hilang ditelan zaman, teladan semasa Ibrahim menerima perintah Allah untuk menyembelih Ismail anaknya, Ibrahim masih bertanya, โ€œ duhai anakku, apa pandanganmu?โ€ (Q37:102)

Hingga nyawa mereka pun tiada harga.

Mati terbakar, bunuh diri, mangsa liwat, mati kerana kedegilan ibu bapa menolak vaksin, tiada sedikit pun menggoncang negara.

Sebab mereka cuma budak-budak.

Bukan tahu apa.

Kehidupan kanak-kanak penuh dengan kualitiย divergent thinking tetapi semakin mereka mendapat ‘pendidikan’, semakin berkurang kualiti itu berkembang kerana kita mengurung mereka kepada sekumpulan maklumat dan kemahiran pilihan untuk dikuasai dan diuji

KESONGSANGAN PARADIGMA

Sahabat semua,

Selama 60 tahun ini kita memaksa anak-anak kita memenuhi impian negara. Akibatnya impian anak-anak kita jadi tiada makna dan harga, impian negara juga tiada hasilnya. Anak-anak jadi mangsa, negara juga rugi tak berlaba.

Yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran berselirat.

Kerana…

Selama ini kita songsang.

Kesongsangan yang menjadikan sekolah sebagai kilang.

Anak-anak menjadi pekerja yang melahirkan angka dan simbol untuk KPI sini dan sana.

Tanpa kita sedar kilang kita sudah ketinggalan zaman.

Pekerja kilang yang sebenarnya berkepintaran dan berkepakaran yang pelbagai, tetapi kita kerah mereka bekerja menggunakan kemahiran yang kita tetapkan sahaja.

Ketetapan semasa.

Bukan ketetapan masa hadapan.

Zaman yang bukan lagi zaman kita.

Tetapi zaman mereka yang mungkin kita pun sudah tiada.

Sesungguhnya,

Ini bukan lagi zaman anak-anak kena bekerja memenuhi impian negara.

Ini adalah zaman negara perlu bekerja memenuhi keperluan dan impian anak-anak kita.

Mereka amanah Tuhan kepada kita.

HASRIZAL
Oulu Finland

Check Also

Fenomena Agamawan Berbahasa Kesat Dalam Ceramah

Persoalan ustaz-ustazah, orang-orang agama berbahasa kesat di meja ceramah bukan perkara baru. Apabila saya mengulasnya …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share