Sindrom Sheikh Saya Sahaja Yang Betul

Al-Mawardi menceritakan bagaimana beliau melihat di dalam sebuah majlis ada seorang lelaki berdebat. Lawannya telah mendatangkan bukti dan hujah yang betul.

Tetapi hujah tersebut dijawab oleh lelaki berkenaan:

إنّ هذه دلالة فاسدة، و وجه فسادها أنّ شيخي لم ىذكرها وما لم يذكره الشيخ لا خير فيه

“Sesungguhnya penghujahan ini rosak. Kerosakannya adalah dari sudut ia sesungguhnya tidak ada disebut oleh sheikh saya (guru saya). Apa-apa yang tidak pernah disebut oleh sheikh saya, tiada kebaikan padanya!”

Pihak lawan tergamam.

Demikian juga para hadirin.

Ada yang tergamam, terpana dengan kejahilan si penghujah tadi, dan berta’awwuz meminta perlindungan Allah, dan ada juga yang mengejek kejelekan cara lelaki itu tadi berhujah.

Kata al-Mawardi, “bagi aku, ia adalah akibat lemahnya akal fikiran!”

Berhujah secara dungu bukanlah fenomena baru.

Ia cabaran zaman berzaman.

Bezanya di zaman ini, kedunguan itu tidak terbatas hanya di lokasi kejadian, sebaliknya diberi suara dan disalin berkoyan-koyan dengan kemudahan teknologi maklumat. Lalu dungu bukan lagi terpencil, sebaliknya berkuasa membentuk pandangan awam.

Bagaimanakah guru merekabentuk pembelajaran secara progresif, dengan mengutamakan kemampuan murid belajar dan berfikir secara kritis, berbanding mengikut dengan betul apa-apa yang beliau ajar kepada mereka?

TAQLID

Semasa meneliti tentang falsafah pendidikan al-Mawardi di dalam bukunya Adab al-Dunya wa al-Din, saya tertarik dengan sebuah kisah yang beliau datangkan berkaitan dengan sanggahan al-Mawardi terhadap kelemahan proses pembelajaran di dalam sikap bertaqlid.

Al-Mawardi menegur penuntut ilmu agar tidak berlebih-lebihan dalam menghormati si alim hingga membawa kepada bertaqlid dan menjadikan kata-kata orang alim itu sebagai hujah.

Hal ini dikupas oleh Dr. Majid A. Al-Kilani di dalam bukunya تطور و مفهوم النظرية التربوية الإسلامية (The Evolution of Islamic Educational Theory).

Pendidikan yang tidak menatijahkan upaya fikir dan luhur budi, adalah pendidikan mandul yang mencederakan kehidupan.

HASRIZAL
Oulu Finland

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share