(Artikel 2008) UJIAN: Antara Berani dan Bijaksana

“Syabas Ustaz kerana berani menyatakan pendirian. Jangan takut diugut. Jangan takut kehilangan rezeki!” pujuk pembaca.

“Ayuh semua, gunakan amanah ilmu yang Allah berikan kepadamu untuk menentang kebatilan. Apa ditakut pada gertakan manusia!” semangat seorang lagii.

Semenjak menulis dengan bahasa yang lebih telus, saya semakin kerap menerima saranan sedemikian rupa. Seolah-olah selama ini saya tidak telus kerana tidak tulus. Kerana saya takut atau pengecut.

Lalu kecerahan pendirian saya disambut dengan tepuk-tepuk bahu agar terus berani dan jangan lagi takut.

“Kalau takut dengan ujian, jangan cakap soal perjuangan!” komen pejuang reformasi pula.

ANALISA KAKU

Ia adalah analisa yang kaku, berkemungkinan dibaca dari buku. Bahawa sesuatu yang bernama perjuangan akan berdepan dengan ujian. Manakala ujian itu pula memang menakutkan. Hilang punca rezeki, kena buang negeri, kehilangan kepentingan diri, malah syahid… cita-cita yang dicari!

Itulah hafalan skema Tarbiyyah terhadap ujian bagi sebuah perjuangan. Seolah-olah perjuangan hanya teruji dengan ujian satu warna.

WARNA BIASA

Pandangan bahawa ujian muncul dalam bentuk ketakutan dan ancaman tidaklah salah. Bahkan Allah SWT sendiri sudah mengingatkan:

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar (Q2: 155)

Kita belajar daripada al-Quran bahawa perjuangan diiringi ujian. Segala musibah yang menguji adalah bukti kezaliman kaum durhaka yang dihadapi, dan mengangkat darjat pejuang yang diuji.

Dibuang kerja…

Diugut dan diancam…

Dipenjara…

Dibunuh…

Lalu kita menyeru manusia dengan bahasa berani. Bahawa keengganan menyahut panggilan perjuangan, mesti kerana TAKUT kepada ujian-ujian itu tadi.

Inilah yang saya katakan sebagai kefahaman yang kaku.

UJIAN YANG ‘TIADA KENA MENGENA’ DENGAN PERJUANGAN

Terkena penyakit yang mengaibkan.

Suami atau isteri seorang pejuang berkelakuan curang.

Anak ditangkap kerana menagih dadah.

Bagaimanakah semua ini boleh dibaca sebagai ujian terhadap perjuangan, jika segala musibah itu datang bukan kerana perjuangan? Bagaimanakah seorang pejuang yang lantang memperjuangkan Islam, tiba-tiba terkena penyakit kulit yang hodoh? Atau menjadi mangsa AIDS akibat suami yang berkelakuan sumbang di belakang, dan memindahkan sakitnya kepada isteri, seorang mujahidah?

Terlalu keji untuk membayangkannya…

Bagaimanakah kita boleh menterjemahkan ujian terhadap perjuangan, jika bencana yang datang adalah kegagalan rumahtangga? Pejuang menyeru agar masyarakat meninggalkan pergaulan bebas, memilih pasangan hidup yang baik-baik, tetapi kemudian diuji oleh Allah dengan rumahtangganya sendiri musnah akibat perbuatan buruk si suami atau isteri?

Apakah itu masih dianggap ujian terhadap perjuangan?

Apakah kita masih kuat upaya untuk bertemu dengan masyarakat dan meneruskan perjuangan, dalam keadaan diri memikul beban ujian yang mengaibkan itu?

Jangan bermain-main dengan ujian. Tidak semua ujian ada unsur heroic di dalamnya. Bukan semua ujian datang daripada Taghut yang ditentang. Ujian boleh datang, daripada punca yang tidak disangka-sangka, yang tiada kena mengena dengan perjuangan.

TELADAN KISAH AYYUB ALAYHI ‘AL-SALAM

Ayyub ‘alayhi al-Salaam bukan mangsa makar golongan al-Mala’. Tetapi ujian yang dihadapinya adalah ujian yang terlalu semulajadi. Ujian yang jarang dikaitkan dengan perjuangan.

Beliau diuji dengan penyakit yang menimpa tubuh badan. Penyakit yang bukan sahaja menjadikan fizikal baginda derita menanggungnya, bahkan ia membawa pula kepada kehilangan harta benda dan ahli keluarga.

Dan (ingatkanlah peristiwa) hamba Kami: Nabi Ayub ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: ” Sesungguhnya aku diganggu oleh Syaitan dengan (hasutannya semasa aku ditimpa) kesusahan dan azab seksa (penyakit)”. (Q38: 41)

Qatadah Rahimahullah menjelaskan bahawa kalimah Nusb itu bermaksud penyakit yang menimpa jasad, manakala ‘Adzaab pula memberikan makna kehilangan harta dan ahli keluarga (Tafsir al-Thabari Taqrib wa Tahdzib 6: 405 – 406)

Namun Allah SWT menjelaskan bahawa Ayyub ‘alayhi al-Salam itu adalah HAMBA-NYA. Itulah ‘alasan’ yang sudah cukup untuk menjelaskan betapa Allah SWT Maha Berkehendak, Bebas mengenakan apa sahaja ujian ke atas orang-orang yang beriman. Kerana kita semua ini HAMBA.

Hamba itu tidak berhak untuk menentukan perlakuan tuannya. Hamba ini bebas disuruh, boleh duji malah sentiasa bersedia untuk apa sahaja. Dia kehilangan diri kerana segala-galanya adalah ketentuan tuannya. Apatah lagi hamba kepada Tuan yang Maha Tuan, iaitu Allah SWT.

Selayaknya kita diuji… bukan dengan ujian yang kita persiapkan diri terhadapnya, tetapi ujian yang tidak disangka-sangka. Terserah kepada-Nya.

Ujian adalah cara Allah meningkatkan imej kita di hadapan Dia, bukan status kita di sisi manusia.

UJIAN PERIBADI

Anda sebagai pelajar yang berjuang bimbang digantung biasiswa, tetapi anda diuji dengan gagal dalam peperiksaan, atau diuji dengan keluarga yang memusuhi Islam.

Anda sebagai pekerja yang berjuang bimbang dibuang kerja, tetapi anda diuji dengan anak yang terpengaruh dengan rakan sebaya hingga menjadi pelesit bangsa.

Apakah anda masih ada muka untuk istiqamah di jalan perjuangan ini, andaikata ujian yang datang bukan kerana anda berjuang?

Syaitan akan membisikkan rasa aib, malu, rendah diri, kecewa… sebagaimana syaitan membisikkan perkara yang sama. Kerana itu Ayyub ‘alayhi al-Salam berkata seperti yang terakam di dalam al-Quran,  ” Sesungguhnya aku diganggu oleh syaitan dengan (hasutannya semasa Aku ditimpa) penyakit tubuh badan dan azab penderitaan”.

UJIAN YANG BUKAN KEHILANGAN PERIBADI

Pejuang yang lari dari perjuangan kerana mencari kemewahan hidup, serahkan sahaja mereka untuk diuruskan oleh Allah SWT.

Namun bukan semua pejuang yang tidak memakai baju pejuang jenama kita, terus dengan mudah dilabelkan mereka sebagai penakut, pengecut atau gerun dengan kehilangan kemewahan diri.

“Hai, takkan takut hilang glamer kot!”, bahasa orang sekarang menyindir sesama pejuang.

“Rezeki boleh dicari di mana-mana broCome on laa!”, seru rakan kepada ‘pendakwah bebas’ agar tidak terus bergerak bebas dengan gelaran pendakwah bebas itu.

Mereka ini tersalah sifir.

Sangkanya pertimbangan seorang pendakwah hanyalah soal makan minum dan keselesaan hidup semata.

Dia lupa bahawa dalam perjuangan bukan hanya BERANI yang menjadi bekal, malah CERDIK dan bijaksana juga sebahagian daripada senjata.

Berani membuta tuli, jangan disangka hero kerana di sisi Islam dia itu mungkin seorang yang dungu dan membinasakan perjuangan dengan keberaniannya.

UJIAN ERA MILENIUM

Di era kehidupan milenium ini, perjuangan menjadi lebih rumit. Kerumitan itu menjadikan kita lebih tercabar untuk mengaitkan rupa bentuk gambarannya di dalam al-Quran, dengan realiti yang semakin berbeza.

Jika di era turunnya al-Quran, pencuri yang dihukum hudud didefinisikan sebagai penjenayah yang mencuri dengan tangan, hari ini pencuri mencuri dengan keyboard. Bagaimanakah pensabitan hudud hendak dilakukan ke atas kecurian seperti ini? Ia memerlukan kepada kefahaman yang dinamik dan ketelitian yang mendalam terhadap apa yang hendak direalisasikan daripada hukuman itu.

Begitulah juga dalam soal ujian.

Jika di era turunnya al-Quran, jihad itu banyak manifestasinya adalah di dalam peperangan di medan pertempuran. Hari ini musuh mungkin bersarang di dalam kepala dan muncul dalam bentuk yang halus tetapi tetap merbahaya. Maka berkewajipanlah bagi pejuang untuk menganalisa tabiat jalan dakwahnya, agar prinsip amar makruf dan nahi munkar terus berjalan seiringan dengan ujian yang ‘menghiasinya’.

KEHILANGAN PELUANG DAKWAH

Pertimbangan pendakwah bukan hanya pada ujian peribadi, kesakitan, kerugian atau ketakutan. Perjuangan bukan hanya teruji dengan hal-hal yang sedemikian itu.

Perjuangan juga berdepan dengan ruang-ruang bergerak yang semakin disempitkan. Ia bukan disempitkan oleh kongkongan dan akta zalim semata-mata, tetapi disempitkan juga oleh prejudis dan sumbatan minda yang amat kompleks.

Perjuangan mempertahankan keadilan dan hak kemanusiaan, dilabel sebagai pembangkang.

Pembangkang dilabel sebagai penjenayah dan mengganggu ketenteraman awam.

Sekurang-kurangnya itu adalah mazhab politik Malaysia hari ini. Fasiliti kelas satu, minda beku dan biru.

Label pembangkang menjadikan orang telah pun lari, sebelum kita sempat memperkenalkan diri.

Inilah kerisauan terbesar pejuang era milenium.

Prinsip-prinsip dan kepercayaan diri terhadap kebenaran, keadilan, kejujuran, ada masanya perlu diterjemahkan sebagai prinsip dan pendirian politik. Namun apabila pendirian itu menyebabkan kita perlu berdiri di bulatan politik yang membangkang, bulatan itu mengecilkan ruang dakwah kita.

“Jangan jemput dia sebab dia orang belah sana!”, kata seorang pegawai sumber manusia.

“Dia tu, kalau kita sediakan mikrofon, mesti dia nak suruh kita masuk parti dia!”, tegas seorang pengerusi sebuah badan makruf.

Biar pun seorang pendakwah bersikap profesional dalam mengasingkan mesej politik dari mesej dakwahnya, ia tidak sempat untuk dihargai kerana telah tertolak mentah akibat prejudis dan gangguan mental masyarakat. Inilah yang menjadi kerungsingan pendakwah.

TIDAK CUKUPKAH DENGAN KUASA POLITIK?

Bagaimanakah kita mampu mengajak orang kepada memperjuang dan memenangkan Islam, jika orang itu sendiri pun tidak nampak apakah perlunya dia kepada Islam?

Bagaimanakah kita mampu mengajak orang untuk kembali kepada hukum agama, jika agama itu sendiri dipandang oleh orang itu sebagai punca masalah hidupnya?

Maka tidak semua ‘antena’ masyarakat dapat menangkap gelombang politik dan perjuangan.

Ramai yang memerlukan kepada perkara yang lebih asas untuk mengembalikan signifikasinya agama kepada diri. Maka ruang dakwah di masjid, surau, apatah lagi ceramah umum, tidak akan sekali-kali menemukan kita dengan golongan ini. Mereka tidak akan datang, malah tidak pernah terfikir untuk datang.

Jika ada tok guru yang sombong dengan formula “ilmu itu didatangi dan bukan mendatangi”, dakwah tidak mampu bersikap begitu. Dakwah harus datang, dakwah perlu proaktif. Dakwah perlu mencari ruang dan memanfaatkan ruang. Khususnya di era kebejatan minda hari ini, dakwah dan politik terpisah oleh prejudis manusia, prejudis sistem, dan prejudis rejim yang sudah terlalu lama berkuasa.

UJIAN PERLU DIPELAJARI

Justeru, ujian di sepanjang jalan perjuangan ini perlu dipelajari dan diteladani. Ia tidak muncul secara skema mengikut skrip yang dihafal dalam manhaj Tarbiyah yang diberi.

Pendakwah harus sentiasa peka dan mengenalpasti, apakah ujian yang sedang dihadapinya, lantas bertindak sesuai dengan ujian itu.

Dia itulah yang telah menjadikan kematian dan kehidupan (kamu) sebagai ujian untuk menguji siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa lagi Maha Pengampun (Q67 : 2)

Kehidupan dan kematian telah dijadikan Allah memang sebagai medan ujian buat kita. Namun kejayaan adalah untuk mereka yang memahami bentuk ujian yang datang, dan seterusnya bertindak sesuai dengan ujian yang dihadapinya itu.

Setelah wujud keberanian, bijaksanalah dalam menekuninya!

HASRIZAL
OULU FI
Artikel asal disiarkan pada tarikh 3 Mac 2008

Facebook Notice for EU! You need to login to view and post FB Comments!

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share