Tulisan Tangan Di Era Menaip Serba Serbi

“Kalau kamu mengembara menggunakan terowong masa ke tahun 1982, menjenguk kelas Darjah 1 di SRK Raja di Hilir Ekram, Ipoh, kamu mungkin akan menyangka yang murid Darjah 1 ketika itu ‘bodoh’. Satu hari, kami belajar menulis A, A, A, A, bermuka-muka surat!” saya berceloteh selepas makan malam.

Teringat Mrs. Dorse mengajar kami.

Ketika itu saya sudah boleh membaca dan menulis kerana semasa di usia 6 tahun, saya mengikut emak ke sekolah. Emak mengajar kelas Darjah 1. Beliau mengajar saya menulis, membaca dan mengira.

Saya sedang melatih anak bongsu kami memperbaiki tulisan tangannya. Setelah Grade 4 di Finland ini, beliau masih menulis huruf atas ke bawah, menghasilkan tulisan tangan yang sakit mata memandang. Isunya bukanlah tulisan itu cantik atau tidak di pandangan mata. Tetapi apabila beliau sendiri tidak gembira dengan tulisannya, dan menulis perlahan, ia menjejaskan satu daripada kemahiran belajar (kemahiran hidup!) yang penting.

Hah, ada la nampak elok sikit tulisan tu

“Kenapa jadi macam itu?” tanya anak-anak.

“Di negara kita dan banyak negara lain di dunia juga, masyarakat semakin tidak sabar mahu melambakkan pelbagai benda kepada kanak-kanak untuk mereka pelajari. Baru Darjah 1, sudah dilambakkan dengan maklumat sains, matematik, agama, dan macam-macam lagi. Zaman abi dulu, Darjah 1 itu hanya fokus kepada 3M yang asas iaitu membaca, menulis dan mengira” saya bercerita.

“Abi tak cakap ke mengenai hal ini kepada kerajaan?” tanya anak.

“Haha, siapa yang mahu percaya, ye dak? Abi dah cakap mengenai hal ini sejak 2014. Semasa itu abi sudah berceramah tentang kepentingan ilmu bahasa, tentang scriptio continua” saya ketawa.

“Oh ya, saya ingat lagi. Pernah dengar abi sebut dalam ceramah!” si anak sulung menyampuk. Dahulukala, beliau sering juga mengikut saya berceramah.

Pada masa itu saya bercerita di dalam ceramah tentang sejarah penulisan, dengan mengambil contoh scriptio continua daripada manuskrip Greek dan Latin. Pada masa itu tulisan adalah untuk mendokumentasikan ucapan. Justeru tulisan ditulis tanpa memisahkan antara perkataan. Akibatnya tulisan GODISNOWHERE sebagai mencontohkannya di dalam bahasa Inggeris, boleh dibaca sebagai GOD IS NOW HERE atau GOD IS NOWHERE, dengan maksud yang sangat kontras. Oleh itu, semasa membaca tulisan berkenaan, sang pembaca mestilah mempunyai tahap cognisant of context yang tinggi semasa membaca.

Al-Quran juga di peringkat awal ia ditulis, bentuk tulisannya berbeza. Titik-titik untuk huruf ba, ta, nun bukanlah seperti yang kita kenal pada hari ini.

Tulisan berkembang dari semasa ke semasa. Ia adalah proses mengkodkan perkataan.

MELUKIS BUNYI

“Ingat tak semasa kita menonton filem The 13th Warrior tempoh hari? Northman itu bertanya kepada Ibnu Fadlan, can you draw sounds? Beliau teruja dengan kemampuan Ibnu Fadlan bertutur di dalam bahasa mereka hanya dengan mendengar. Menulis asasnya ialah melukis bunyi sebab asal kebanyakan bahasa ialah pertuturan, bukan penulisan. Apabila manusia mula menulis, maka sesetengah teori berkata, bermulalah sejarah!” saya menyambung cerita.

“Wow. This is mind blowing!” kata si anak.

FINLAND DAH TULISAN TANGAN

Tahun 2017, anak ketiga kami dapat hadiah tulisan tangan tercantik di kelasnya!

Saya garu kepala.

Anak pun sama.

Selepas hampir 4 tahun kami berada di Finland, jelas sekali tulisan tangan kawan-kawan di sini agak malapetaka.

“Ada pembantu guru di kelas akak, tulis nombor 8 dengan lukis dua ketul bulatan satu di atas satu di bawah” cerita anak kami.

Ternganga saya mendengarnya.

Saya tidaklah bermaksud menyandarkan kisah selanjutnya kepada kejadian itu, tetapi Finland ada kisahnya berkenaan dengan tulisan tangan ini.

Pada tahun 2014, Finland mengumumkan bahawa negaranya menjadi negara pertama di dunia yang tidak lagi mengajar kanak-kanak menulis secara fizikal menggunakan pen atau pensil. Apabila isu ini menjadi hangat diperdebatkan di seluruh dunia, kerajaan Finland menjelaskan bahawa ia berkaitan dengan cursive writing (tulisan sambung) sahaja dan bukannya tulisan tangan secara keseluruhan. Sebaliknya ia diganti dengan tulisan cetak atau block letters.

Guru juga masih mempunyai autonomi untuk mengajar cursive writing mengikut keperluan masing-masing.

Apa yang pasti, tulisan anak kami perlukan bantuan.

Tidak cantik tidak mengapa. Tetapi jangan ‘salah’ hingga diri sendiri berdepan kesukaran menulis. Itu yang cuba saya atasi.

TULISAN TANGAN DAN PERSEDIAAN MEMBACA

Pada tahun 2012, Karin James dan Laura Engelhardt menggunakan fMRI untuk menyelidik kesan menulis berbanding menaip kepada perkembangan otak kanak-kanak berusia 5 tahun yang belum boleh membaca. Mereka mendapati menulis membantu mengaktifkan bahagian otak yang diperlukan untuk nantinya kanak-kanak itu belajar membaca. Mereka merumuskan bahawa tulisan tangan secara old-fashioned masih penting untuk menggalakkan kebolehan membaca di dalam kanak-kanak kecil.

Penelitian ini kemudiannya dibuktikan lagi oleh penyelidikan mengenai otak dan pembelajaran oleh Alyssa Kersey bersama Karin James pada tahun berikutnya.

TULISAN TANGAN DAN KEMAHIRAN MENGINGAT

Pam Mueller dan Daniel Oppenheimer telah menjalankan tiga penyelidikan untuk menentukan sama ada wujud perbezaan di antara menaip dan menulis tangan semasa mengambil nota. Hasil ketiga-tiga penyelidikan menunjukkan golongan yang lebih muda belajar dan mengingati sesuatu dengan lebih baik, sama ada untuk short term (langsung selepas belajar) atau long term (selepas seminggu dua), jika mereka mengambil nota dengan pen dan kertas. Ia teraplikasi untuk kedua-dua konteks iaitu dalam mempelajari fakta, atau memahami kandungan.

Sebabnya mudah.

Menaip adalah transkrip literal kepada apa yang diperkatakan oleh pengajar, dan kita juga sedia maklum bagaimana golongan muda hari ini boleh menaip lebih pantas berbanding menulis, malah menaip sepantas syarahan itu sendiri. Sedangkan menulis tangan adalah adaptasi kepada apa yang diucap. Oleh kerana menulis tangan lebih perlahan berbanding dengan menaip, anda perlu menterjemahkan makna kepada perkataan dan ayat anda sendiri, menggunakan lebih banyak proses mental. Justeru anda akan belajar dan mengingatinya dengan lebih baik.

Menulis dengan pen atau pensel di atas kertas juga bukan terbatas setakat proses kognitif. Ia juga membabitkan gerakan tangan dan lengan. Maklumat cerebral tambahan yang terhasil daripada tambahan gerakan semasa menulis menghasilkan pengesanan memori yang kompleks berbanding menaip.

Saya juga memanfaatkan kajian untuk menyokong transisi saya mengambil nota menggunakan Apple Pencil di iPad Pro. Ia melegakan saya daripada cabaran memahami nota selama bertahun-tahun sebelumnya ketika nota banyak diambil dengan menaip.

Bersempena dengan pengasingan diri kami sekeluarga di rumah pada musim penularan wabak COVID-19 ini, saya gunakan aplikasi di iPad bagi melatih si anak bongsu membetulkan tulisan tangannya.

Aplikasi yang saya gunakan adalah kompilasi aplikasi Writing Practice Bundle terbitan Abécédaire yang terdiri daripada Fine Motor Skills Practice, High Frequency Words – Read and Write, Cursive Handwriting, Cursive & Joined-up Writing with Anatole dan tambahannya, Calligraphy Pad.

Hasrizal
Oulu FI

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.