Defending Jacob: Mengadili Remaja Sebagai Seorang ‘Dewasa’

Mereka sering tidak faham saiz sebenar tindakan mereka.

“It was just a joke”

“It doesn’t mean anything!”

“Drop it!”

Ungkapan-ungkapan yang bagi remaja ia mudah dilafaz, tetapi bagi kita orang dewasa, ia adakalanya seumpama meteor menghempas bumi!

Defending Jacob adalah sebuah siri mini di Apple TV+. Drama keluarga bersiri ini mengisahkan seorang remaja 14 tahun, Jacob Barber dituduh membunuh rakan sekelasnya, Ben Rifkin. Ia berdasarkan novel dengan tajuk yang sama, tulisan William Landay.

Oleh kerana drama ini sangat menarik semenjak episod satu lagi, saya telah membaca novel berkenaan di Kindle secara pantas dan tahu ceritanya dari awal sampai ke hujung. Imaginasi kita yang diberi kebebasan oleh novel, walaupun dikongkong oleh interpretasi drama di televisyen, ia masih tetap menimbulkan satu ‘excitement‘ lain. Saya ingin tahu bagaimanakah gambaran drama untuk satu plot berpindah ke satu plot sebagaimana yang saya bayangkan semasa membaca novel berkenaan.

Kisah ini menarik perhatian saya mungkin sebab saya sebagai bapa di rumah ini, bergelumang dengan drama remaja anak-anak. Pelbagai kejadian kecil dan besar malah amat besar, pernah menimpa anak-anak kami di sini yang menguji bukan sahaja mereka malah kami sebagai ibu bapa hingga ke akar umbi. Dalam semua keadaan, saya menyayangi anak-anak tanpa syarat. Tetapi ada masanya rasa marah, geram dan kecewa itu datang.

Saya belajar di Finland bagaimana saya perlu meluahkan perasaan itu secara tenang kepada anak-anak agar mereka faham apa kesan perbuatan mereka kepada saya. Pendekatan ini juga melatih kami semua membina perbendaharaan kata yang betul dalam menghurai emosi, seperti yang ditunjukkan di dalam filem animasi Inside Out.

Kegeraman saya di dalam drama ini adalah perangai dungu Jacob pada membawa watak remajanya, sesuatu yang saya berminat secara khusus. Mengapa remaja berkelakuan dungu, saya berterus terang dengan anak-anak tanpa mendungukan mereka. Mereka perlu cerdik untuk memahami kedunguan mereka, yang terjadi antaranya kerana otak mereka sendiri belum terbentuk sempurna. Masih ada aspek-aspek yang halus seperti empati, mempertimbangkan risiko, serta memahami tindakan ibu bapa, yang remaja belum mampu buat dengan baik.

Saya rumuskan kepada anak-anak selepas episod 7, apabila kalian sekat saya di IG dan membina kehidupan yang dengan sengaja cuba dielakkan daripada pengetahuan saya, ia meningkatkan keyakinan di dalam diri saya bahawa “I don’t know you“.

Nauzubillah, jika kalian terjebak di dalam apa-apa situasi, saya sebagai bapa tidak akan dengan mudah berkata “saya tahu anak saya tidak bersalah” sebab saya sendiri tidak tahu sama ada saya kenal anak saya atau tidak.

Ini ekoran tindakan Jacob menulis sebuah cerita ‘fantasi’ di sebuah halaman web gelap, The Cutting Room, dengan menggunakan nama samaran, bagaimana ‘Jason Fears’ membunuh ‘Brent Mallis’ dengan penuh kepuasan. Bagi Jacob, beliau hebat apabila menulis kisah berkenaan. Sedangkan bagi kita yang membaca cerita berkenaan, ia bukan sebuah fantasi, sebaliknya satu pengakuan.

Sekurang-kurangnya itu juga adalah apa yang dirasa oleh Laurie Barber, ibu Jacob. Manakalanya bapanya, Andy Barber, dibelenggu ‘confirmation bias‘ kerana beliau sendiri adalah pendakwaraya yang asalnya mengendalikan kes ini, tetapi dikeluarkan daripada perbicaraan apabila anaknya sendiri, Jacob, menjadi suspek. Ada banyak ‘benda kecil’ yang si ibu nampak tentang tindak tanduk anak untuk beliau mengesyaki sisi gelap anaknya, berbanding bapa yang sentiasa optimis bahawa si anak tidak bersalah.

Ia mungkin berbalik kepada siapa yang lebih banyak meluangkan masa dengan anak-anak untuk meneliti serta menyedari all the small details.

Drama ini menguji kita, sama ada kita akan menjadi seperti si ayah, Andy, yang bermati-matian mempertahankan bahawa anaknya tidak bersalah, atau seperti si ibu, Laurie, yang perlahan-lahan membina sangkaan yang semakin menjadi nyata bahawa anaknya Jacob tidak boleh lagi dipercayai, kemungkinan anaknya Jacob adalah si pembunuh, hampir tidak dapat disangkal lagi.

Pendedahan siapa ayah Andy Barber, datuk kepada Jacob yang selama ini merengkuk di penjara atas sabitan kejadian pembunuhan yang kejam, menambah kekeliruan perjalanan perbicaraan kes Jacob. Mungkinkah ada dna warisan berkaitan sifat kejam yang menyebabkan seseorang itu boleh mewarisi kecenderungan malah keupayaan membunuh? Apakah sikap William selaku pembunuh, apabila cucunya yang tidak pernah dikenali, dibicarakan atas kes bunuh, dengan liputan media hingga ke penjara?

Saya tahu kesudahan kisah ini bagaimana, tetapi biarlah ia tidak saya ceritakan di dalam coretan ini agar mereka yang hendak menonton drama ini atau membaca novel berkenaan tidak kecewa. Saya sendiri masih excited menunggu minggu demi minggu untuk menonton episod seterusnya.

Ia adalah drama atau novel yang menguji proses berfikir kita dalam membesarkan anak-anak remaja yang sangat kompleks. Izinkanlah agar kompleksnya remaja ini dirujuk kepada anak-anak di usia belasan tahun, dan ia sama sekali berbeza daripada kompleksnya kanak-kanak di usia pra sekolah atau semasa mereka bersekolah rendah. Ibu bapa yang anak-anak masih kecil, jangan berfantasi tentang kompleksnya remaja untuk berkata, “anak saya pun macam itu juga”. Lebih baiklah membanyakkan doa, dan cari ilmu banyak-banyak, agar anda lebih bersedia berbanding saya, dalam mengendalikan keremajaan anak-anak di zaman ini.

Ia adalah tema drama Defending Jacob.

Membicarakan seorang remaja, sebagai seorang dewasa.

Kekeliruan melangkaui keibubapaan.

Hasrizal
Oulu Finland
www.saifulislam.com

Check Also

Clickbait di Netflix Yang Saya ‘Click’

Apa-apa yang bersifat clickbait di media sosial, saya akan mengelak daripada termakan umpannya. Kecuali Clickbait, …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share