Jangan Berasa Lemah di Musim Musibah Ini

Kalau masak, saya cuba masak elok-elok dan sedap-sedap sebab itu sahajalah ‘hasil kerja’ seharian saya. Tak ada profesyen yang ‘profesiona’l untuk buat hasil kerja dengan cemerlang macam orang berkerjaya. Saya tiada bakat untuk masak yang hebat-hebat macam seorang chef, tetapi masakan yang saya tahu masak, saya masak elok-elok. Banyak yang saya kongsikan di Instagram dengan hashtag #brorizkitchen.

Apabila buat pembentangan, saya akan buat slaid dengan cermat dan kemas. Saya jarang kitar semula slaid walaupun sudah banyak kali membentangkan topik berkenaan. Mesti ‘touch up’ sedikit agar personalised kepada khalayak yang bakal mengikuti pembentangan tersebut. Kebiasaan itu menjadikan ceramah atau kelas 1 jam, pasti adalah hasil kerja purata 5 ke 6 jam. Ia tidak menghasilkan pulangan keuntungan dunia dalam bentuk bayaran atau gaji. Tapi untuk kepuasan diri, suka tengok hasil kerja yang kemas dan bukannya ‘cincai’. Design yang bagus ialah design yang khalayak kita tak perasan apa-apa, naturally selesa dengan pembentangan kita.

Pernah selepas saya membuat pembentangan untuk pitch session di dalam projek Demola di Finland, saya didatangi oleh seorang pensyarah yang menawarkan kepada saya peluang untuk menjalankan kursus bagi pensyarah universiti bagaimana hendak membuat slaid yang baik. Katanya, slaid saya bukan sahaja ‘sejuk mata memandang’, tetapi ia adalah kekuatan utama pembentangan saya agar idea besar dapat disampaikan dengan berkesan di dalam 5 minit masa yang diberi. Saya ambil cadangan beliau itu sebagai kata-kata semangat, walaupun tawaran itu tiada follow up dan tidak menjadi.

Apabila saya menulis buku, walaupun hakikatnya ia tidak terjual banyak, rating di Goodreads adalah baik. Maknanya kumpulan pembaca saya yang sedikit itu, rata-ratanya berpuas hati dengan bacaan mereka. Itu yang utama. Meninggalkan genre buku yang kena dengan selera ramai, dan beralih kepada genre yang cuba mempengaruhi pembaca keluar daripada zon selesa, berisiko besar, tetapi menjadikan karya lebih bermakna untuk penulis, juga pembaca mudah-mudahannya.

Moga dengan mengenang hal-hal baik yang telah atau pernah berhasil, saya boleh tingkatkan rasa syukur kerana pada diri dan hasil kerja, ada kualiti yang wajar saya jaga dan syukuri. Jangan biarkan self efficacy kita ranap oleh fikiran negatif tentang diri.

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung dengan-Mu daripada kesusahan dan kesedihan. Dan aku berlindung dengan-Mu daripada rasa lemah dan malas. Juga aku berlindung dengan-Mu daripada sifat penakut dan bakhil. Serta aku berlindung dengan-Mu daripada bebanan hutang dan cengkaman orang yang berkuasa.”

Apabila rasa macam loser tidak buat apa-apa, kena ingatkan semula diri sekarang ni Covid-19. Ke masjid pun belum dapat dibuat, kawan baharu di Ireland baru beberapa orang yang dapat dikenali. Belum ada jaringan kerja.

Apabila keadaan pulih suatu hari nanti, saya ingin buat pelbagai kerja, projek dan meninggalkan legasi yang baik sebelum menutup mata.

Anak-anak tanya, pentingkah cemerlang semasa di sekolah?

Saya kaget hendak menjawabnya.

Saya adalah budak cemerlang itu. Tak pernah miss naik pentas tiap-tiap tahun ambil hadiah. Bukan satu, tapi sentiasa beberapa. Tetapi jika dilihat kepada keadaan diri yang semasa, saya ingin usulkan kualiti yang lebih utama berbanding kecemerlangan akademik yang sempit dan berisiko mencipta fatamorgana.

Semasa SPM, saya dapat A1 untuk subjek Perdagangan, Sains dan lain-lain, tetapi saya bukan pedagang yang berjaya, jauh sekali seorang ahli sains. Subjek paling rendah gred semasa SPM, adalah Bahasa Malaysia. Saya dapat C3, tetapi hari ini Bahasa Malaysia adalah alat utama saya kerana saya adalah seorang penulis.

Kecemerlangan akademik masa zaman sekolah bukan yang paling penting dan boleh jadi tidak begitu bermakna. Apa yang utama ialah karakter diri, grit and resilience untuk menempuh perjalanan hidup yang penuh liku, sepanjang hayat.

Terutamanya sebab kita orang lelaki.

Hasrizal
Oulu Finland

Facebook Notice for EU! You need to login to view and post FB Comments!

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

3 comments

  1. Menyentuh hati dan perasaan. Seperti kebiasaan penulisan Encik Hasrizal akan ada sahaja ayat ‘punch line’. Asyik terkena sahaja. Terima kasih atas kata-kata semangat. Saya selalu pinjam ayat-ayat Encik Hasrizal, buah fikiran dan idea kalau bersoal jawab dengan anak-anak. Setuju sangat dengan ayat yang terakhir itu. Saya juga pelajar yang agak cemerlang, masuk MRSM, masuk UM, jadi Ahli Geologi. Dan sekarang saya seorang suri rumah.End up, semua kita akan mati. Apa bekalan yang perlu dibawa berjumpa Tuhan itu adalah keutamaan. Saya juga, apabila saya memasak menu yang saya tahu masak. Saya akan masak bersungguh-sungguh. Apabila saya mengajar anak-anak saya mengaji, saya akan cuba ajar betul-betul. Apabila saya berinteraksi dengan anak-anak, suami, adik-beradik dan orang keliling saya. Saya cuba bercakap elok-elok. Tapi ini saya masih struggle lagi. Sungguh! karakter diri, grit and resilience itu lebih penting.Sepanjang hayat.

    • Terima kasih sudi singgah ke blog saya dan memanfaatkan perkongsian. Kalau ada manfaat sikit-sikit tu, Alhamdulillah, dan saya pun menumpang pahala sama 😁

  2. Assalamualaikum Nany, saya pun sama.
    Dulu all girls SBP, then etc..etc..

    Cuma waktu sekolah, pendekatan saya terhadap pelajaran agak menentang arus cara guru2 dan rakan2.

    Alhamdulillah, rezeki Allah beri berkat pengalaman awal kindergarten di luar negara bertahan, iaitu diwaktu usia cara minda berfikilr dan menilai, dicorakkan.
    Lantas di sekolah menengah, saya belajar berbekalkan olahan itu, hati puas dengan ilmu yang ditelaah meskipun tak dapat menggenggam ilmu sebanyak kawan2 yang setia dengan latih tubi (dan yang suka spot soalan).

    Alhamdulillah, kini, meskipun surirumah, bagi saya semua pengalaman hidup yang ditelah ditelusuri dengan izin dan kehendak Allah, semua ada hikmahnya. Ada butir-butir permata yang dapat dikutip, tidak kira pengalaman itu baik mahupun buruk. Tidak kira, ia dipandang oleh masyarakat ataupun tidak. Ia dapat dijadikan pedoman untuk selama-lamanya, baik bagi diri sendiri mahupun untuk dikongsikan bersama anak-anak.

    Terima kasih En. Rizal, atas blog ini, lebih kurang 10 tahun juga saya singgah – ikut angin :). Tapi, mana tertinggal tu, saya usahakan baca.
    Suka baca penulisan tuan berkongsi pengalaman di samping menimbulkan persoalan-persoalan dan perbincangan-perbincangan yang mengetuk fikiran saya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share