Apabila Murid Berbohong

Sekolah kami juga mengalami masalah disiplin. Ketika berlakunya kecurian dan beberapa kejadian yang memeningkan guru, hati kami memang panas. Marah, kecewa dan baran, semua naik sekali gus. Kena sabar dan kawal diri.

Kami kena ingat kepada tanggungjawab mendidik. Sama ada semasa murid baik, atau semasa mereka buat perangai. Pelajaran bukan hanya dalam kelas bersama subjek formal, malah semua kejadian perlu ditukar menjadi pelajaran, yang bermakna.

Pertama sekali, ketika itu kami jelaskan kepada pelajar bahawa kami tiada kepentingan terhadap perbuatan mereka. Kami tiada urusan menjaga air muka, maruah sekolah, dan hal-hal yang tidak berkenaan. Apabila mereka buat salah, tanggungjawab kami ialah berusaha mendidik dan menyedarkan mereka sebab mereka yang perlukan pelajaran itu.

Dipendekkan cerita, asas paling utama ialah kami tidak mahu memalukan pelajar yang buat salah. Kami cuma mahu tahu siapa yang melakukannya, dan bagaimana ia boleh diselesaikan. Andai kes ini tidak berjaya kami selesaikan, kami akan buat laporan polis dan pihak polis akan selesaikan mengikut cara polis sebagai kejadian jenayah. Semua hal itu perlu jelas kepada semua murid.

STRATEGI

Kami sediakan beberapa stesyen tertutup yang mana semua murid perlu seorang demi seorang berjumpa dengan guru untuk sama ada

  1. mengaku salah,
  2. memberi maklumat sebagai saksi, atau
  3. membuat pengakuan tidak tahu apa-apa.

Kami telah yakinkan pelajar bahawa apabila kami menemui siapa pesalah, kami akan selesaikan kes tanpa mendedahkan identiti pesalah. Pelajar dan guru diingatkan supaya tidak tajassus, yakni mengintai-intai mencari salah dan dosa.

Proses tersebut memakan masa yang panjang, dan semua kelas satu sekolah kami batalkan. Tetapi hari itu, semua murid mendapat pelajaran penting yang tiada di dalam silibus, bahawa apabila Khalifah Model School mendukung agenda “shaping excellent character“, kami serius dan menjaga integritinya.

Hasil pendekatan itu, kami bukan sahaja berjaya menemui pesalah, tetapi dapat memahami masalah yang lebih serius di sebalik perbuatan mencurinya, untuk diajukan kepada psikologis sekolah bagi bantuan profesional.

Mendidik memang susah. Kalau tak sanggup susah, kami tak buat sekolah.

Apabila saya ulas mengenai sekolah dan perihal guru, ia bukan bermaksud saya menafikan peranan dan tanggungjawab ibu bapa di rumah sebagai guru pertama murid dan yang akan kena jawab depan Tuhan nanti. Tetapi saya tidak mencampur adukkan antara keduanya.

Halaman ini banyak menyentuh hal pendidikan, guru dan sekolah, untuk penambahbaikan urusan kerja yang memang secara profesional kita warga pendidik perlu buat di sekolah. Tak bolehlah jika kita tersilap langkah dan ada sesuatu yang kita perlu betulkan sebagai warga pendidik, kita berpindah kepada “mak bapa yang kena didik anak betul-betul”.

Benda itu betul.

Memang banyak bebanan dan penderitaan warga pendidik di sekolah adalah kerana kepincangan yang berlaku di rumah. Apabila kita bekerja di sekolah, kita bekerja di institusi yang didatangi oleh segala jenis murid, termasuk murid yang datang daripada rumah yang bermasalah. Dan jumlah mereka semakin ramai.

Tetapi emak ayah, kena buat kerja mereka.

Kita sebagai guru, perlu memperbaiki profesionalisme perguruan kita.

Jika mak ayah di rumah tidak solat, memang luar biasa untuk kita jadikan anak-anak mereka Muslim yang bersolat di sekolah. Justeru apa yang mereka perlukan, demi benar-benar mendidik mereka, bukannya kekasaran, aib awam, atau semata-mata penguatkuasaan peraturan yang ketat.

Tuhan kita sendiri yang berjanji di dalam Kitab-Nya (surah Fussilat ayat 34) bahawa musuh hanya boleh ditukar menjadi kawan, apabila kejahatan dibalas dengan kebaikan.

Sungguh.

Kebaikan bukan bermaksud memanjakan.

Kebaikan bukan bermakna bagi muka.

Kebaikan bukan punca budak naik lemak.

Kebaikan bermaksud, kesalahan budak-budak itu perlu dibalas dengan pendekatan yang halal, Allah redha, Nabi setuju, dan sains menyokong keberkesanannya.

Dan ia memang susah.

Sebab itu dalam ayat 35 Allah kata, ia hanya mampu dilakukan oleh orang-orang yang berterusan bersabar dan hatinya beroleh kurniaan yang besar daripada Allah (rahmat-Nya).

Moga Allah limpahkan rahmat ke hati warga guru agar perjuangannya mendidik keturunan Adam di akhir zaman ini, diberi petunjuk dan dimudahkan.

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share