Situasi Zikir Diperlukan Tanpa Fikir

Berfikir adalah nikmat anugerah Allah.

Ia merupakan kualiti induk yang membezakan kita sebagai manusia, berbanding makhluk-Nya yang lain.

Otak yang berfikir perlu berupaya meregulasi hubungan-hubungan di dalamnya untuk berfungsi secara baik. Ia melakukan synchronise, kemudian desynchronise, di bahagian-bahagian yang berbeza untuk membolehkan kita bertindak balas, meregulasi emosi, belajar dan menyelesaikan masalah. Tetapi ada situasi tertentu, walaupun otak kita boleh membentuk fungsi-fungsi perhubungan berkenaan, ia boleh berhadapan dengan kesusahan untuk ‘switch off’.

Hiperaktif bukan hanya terjelma secara luaran.

Kesukaran saya adalah pada memberhentikan keaktifan otak berfikir.

Ia sumber produktiviti pada satu tahap seperti zaman blog ini begitu aktif suatu ketika dahulu. Saya telah menulis sehingga dua atau tiga artikel setiap hari selama bertahun-tahun lamanya.

Tetapi sampai ke satu tahap saya menjadi lelah.

Berfikir tanpa henti bertukar menjadi kegelisahan (anxiety) yang sukar dikawal.

Apabila hendak melelapkan mata, kepala masih ligat berfikir walaupun hati dan tubuh yang kepenatan berkata, “tidurlah!” Saya memerlukan masa yang panjang untuk melelapkan mata. Adakalanya cemburu melihat orang yang begitu mudah terlelap.

Di dalam situasi biasa yang kita belajar, mendengar ayat-ayat al-Quran adalah syifa’ kepada situasi sebegini. Akan tetapi, apabila saya mendengar bacaan al-Quran untuk melelapkan mata, kepala menjadi sibuk hendak menganalisis ayat yang didengar dan memikirkannya. Ia menyebabkan otak saya bertambah aktif.

Memikirkan hal ini (fikir lagi), saya bersyukur kerana Allah ada menjadikan beberapa zikir sebagai zikir, yang tidak menyebabkan fikir, apabila zikir itu tidak hadir dengan makna, sebaliknya hanya membekalkan rasa.

Mendengar bunyi air hujan, cengkerik, guruh dan bunyi-bunyi alam, mengundang damai.

تُسَبِّحُ لَهُ ٱلسَّمَـٰوَ ٰ⁠تُ ٱلسَّبۡعُ وَٱلۡأَرۡضُ وَمَن فِیهِنَّۚ وَإِن مِّن شَیۡءٍ إِلَّا یُسَبِّحُ بِحَمۡدِهِۦ وَلَـٰكِن لَّا تَفۡقَهُونَ تَسۡبِیحَهُمۡۚ إِنَّهُۥ كَانَ حَلِیمًا غَفُورࣰا

Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun. (Al-Isra’ 17 : 44)

Bunyi-bunyi alam adalah tasbih memuji Allah yang akal kita tidak memahaminya. Mendengarnya, dapatlah saya berzikir tanpa perlu berfikir; semasa berfikir itu bertukar daripada kawan menjadi lawan.

Hasrizal
Naas, Ireland

Check Also

Perangkap New Age Movement Untuk Agamawan

Bagaimana agamawan terjebak ke kancah New Age Movement? Saya tiada jawapan mudah. Tetapi saya boleh …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Youtube
Instagram
LinkedIn