Pendidikan Adalah Urusan Proses

Pendidikan adalah daerah yang mengutamakan proses, mengatasi hasil.

Jika hasil yang menjadi keutamaan, mungkin saya kekal di dalam industri motivasi, dan tidak memilih terjun ke dunia pendidikan di sekolah.

Semasa mengendalikan program-program motivasi, saya cuba belajar melakukannya dengan baik, namun nature program itu sendiri yang bersifat jangka pendek, menjadikan ia berorientasikan hasil. Di hujung program, hasilnya perlu kelihatan. Sama ada insaf dan memeluk ibu bapa dengan ucapan maaf, atau bersemangat menuju dewan peperiksaan, serta borang maklum balas penuh dengan pujian dan kepuasan pelanggan, orientasinya adalah hasil.

Tetapi kepuasannya tiada.

Saya tidak pasti sebanyak mana hasil itu lekat dan bertahan.

Selepas program habis, akad saya dengan peserta program selesai.

Ia mungkin lebih mudah, tetapi nyata semakin lama dan kerap saya melakukannya, rasa tidak puas hati bertambah. Apa yang boleh saya ‘magiskan’ dalam tempoh sesingkat sehari atau tiga empat hari?

Berfikir mengenai hal ini, mendorong diri menterjemahkan hasrat dan impian pendidikan ke sekolah.

Sebab pendidikan mesti mengutamakan proses.

Hasil memang kita mahu. Buat apa melakukan sesuatu yang tidak berhasil. Tetapi hasil sebuah pendidikan selalu dipalsukan melalui pentaksiran yang sempit, lantas kita tertipu. Sebaliknya, proses yang diberi perhatian dan usaha, boleh menatijahkan hasil yang lebih luas daripada kemahuan pentaksiran formal.

Keduanya, hasil itu jalannya rencam. Kita sukar mengawal hasil agar jadi seperti yang ‘sepatutnya’. Sebab, faktor yang mempengaruhi pembelajaran seseorang itu hakikatnya berbagai-bagai. Ada yang kita boleh kawal, ada yang kita tidak boleh kawal.

Profesor John Hattie dari Australia, di dalam kajiannya yang berjudul Visible Learning for Teachers mengatakan bahawa pencapaian seorang murid dipengaruhi oleh beberapa faktor yang boleh dikategorikan kepada enam kelompok manusia iaitu:

  1. Pelajar
  2. Guru
  3. Keluarga
  4. Sekolah
  5. Rakan sebaya
  6. Pengetua

Bayangkan, siapa di kalangan enam di atas yang kita boleh kawal? Selain dua iaitu kita sebagai guru, dan murid. Atau sebenarnya murid pun kita tidak boleh kawal. Lagi malang, kalau yang paling kita boleh kawal iaitu diri kita sendiri sebagai guru itu pun hilang kawalan diri!

Justeru, menyandarkan kekuatan diri semasa mendidik semata-mata kepada hasil, ia melelahkan dan mudah mengundang putus asa. Salah membina harapan. Membina sesuatu yang kita hanya satu daripada enam atau lebih lagi bahan binaannya.

Justeru, belajarlah memperbaiki proses, yakin dengan proses yang betul, jadikan proses pembelajaran, serta proses mengajar atau menyelia pembelajaran, sebagai sesuatu yang bermakna.

Ia permulaan kepada kurangnya keperluan kepada tsunami pengukuran.

Ukur, ukur dan ukur. Taksir, taksir dan taksir, dengan soalan “bagaimana kamu tahu benda yang kamu buat itu betul?” Jawapannya mudah ditipu melalui laporan dan dokumentasi yang dibuat-buat. Jawapan tulennya ialah memulihkan kepercayaan bahawa guru adalah tenaga mahir di bilik darjah, mereka tahu bagaimana sesuatu itu patut dilakukan, lalu dipercayai untuk melakukannya.

Bak kata pepatah Finnish, “esteet katoavat etevän tieltä” yang bermaksud, “halangan hilang di kembara sang mahir”.

Di sekolah, yang mahir itu adalah guru.

Moga dengan mengutamakan proses, warga pendidik lebih bernafas panjang.

Hasrizal
Naas, Ireland

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share