Kalau Rindu, Mengapa Pergi Beribu Batu

Keputusan meninggalkan tanah air bukanlah keputusan yang mudah.

Gelora jiwa, Tuhan sahaja yang mengetahuinya.

Paling membimbangkan, adalah emak di kampung. Emak semakin uzur. Sudah lama emak tidak berupaya memasak. Ingatan pun semakin berkurang.

Apabila saya suarakan hajat hati untuk menyambung pelajaran ke Finland, emak dengar tetapi emak ingat Ireland. Negeri yang emak pernah menjejakkan kaki lebih sedekad lalu dan emak kurang menyukainya sebab musim panas pun sejuk. Hari-hari bersarung kaki, macam hidup dalam pantang.

Kuatkah hati saya untuk ke Finland?

Saya sering termenung sendirian semasa berhenti memandu di stesyen-stesyen minyak. Baik semasa pulang ceramah dan seminar, atau semasa mengambil dan menghantar anak yang bersekolah asrama di Chenderong Balai.

Saya takut kehilangan emak.

Tetapi…

Emak jugalah sebab saya nekad meninggalkan tanah air.

Bukan sebab emak memberi galakan.

Tetapi saya berputus asa.

Putus asa daripada mengubah kehidupan agar saya boleh banyak berbakti kepada emak.

Susah sangat hendak balik kampung menjenguk emak. Sibuk dengan pelbagai urusan. Kalau kerja, boleh juga kerja itu ‘dikutuk’ sebagai sibuk mengejar dunia. Tetapi kerja saya ialah mengajar, berdakwah, berceramah, berseminar. Ia bukan sibuk duniawi.

Habis itu apa?

Entahlah… yang pasti ialah saya tidak berpuas hati jarang dapat balik ke kampung duduk berbual dengan emak, walaupun saya tahu itu sahaja yang emak mahu.

Semasa kecil, saya selalu diejek sebagai anak emak. Saya tidak pedulikan sangat sebab saya tidak rasa ia memalukan. Saya suka sahaja meluangkan masa dengan emak walaupun emak selalu berleter marahkan saya, berbanding abah yang tidak pernah membebel, malah sama-sama meratap dalam ketawa mengenang nasib kami kena bebel dengan emak.

Setiap bulan, emak akan ke Maybank di Pekan Lama untuk mengambil pencen. Saya akan berjalan kaki dengan emak dari rumah melalui celah-celah rumah orang kampung untuk ke perhentian bas di sebelah padang sekolah. Semasa itulah orang selalu mengusik saya sebagai anak emak. Saya sengih sahaja.

Oleh kerana emak tiada anak perempuan untuk melayannya di dapur, apatah lagi untuk mengadun atau diadun, saya yang secara rela dan paksa banyak meluangkan masa menolong emak di dapur. Bukan belajar memasak. Tetapi membantu mengopek ikan bilis, membasuh kerang, mencuci sotong, mengupas bawang, dan menterbalikkan ikan yang sedang digoreng.

Apabila masuk asrama, saya tidaklah begitu rindukan emak sebab di usia muda, sibuk dengan alam remaja dan kawan-kawan. Tetapi sebulan sekali dua akan balik rumah. Ketika itu emak tidaklah selalu sangat menyuruh saya menolong di dapur sebab selalunya apabila balik rumah, saya akan banyak tidur. Qadha’ tidur, kata budak asrama.

Tetapi berada di luar rumah memang mula mengurangkan masa saya dengan emak. Tidak cukup dengan bersekolah di asrama, saya sambung pula belajar di luar negara langsung selepas SPM. Walaupun emak bangga, tetapi emak sedih. Apabila telefon dari Jordan, tidak pernah emak tidak menangis. Tambahan pula abah baru sahaja kembali ke rahmatullah. Selepas kehilangan suami, anak bongsu pula merantau.

Sepatutnya belajar hanya empat tahun. Malangnya, saya yang memang sentiasa bernasib malang di dalam dunia akademik, meleret tahun pembelajaran hingga lapan tahun lamanya. Tamat belajar, saya tidak kembali ke tanahair, tetapi menyambung kembara ke United Kingdom dan Ireland.

Saya mula tersedar yang emak kehilangan saya apabila saya beritahu emak hasrat untuk berumahtangga. Semasa itu suara emak di telefon amat sedih. Kata emak, sudahlah dahulu saya jadi anak kerajaan (sebab hidup di asrama), kini mahu berkahwin dan menjadi suami orang.

“Tak ada dah le kamu!” itu kata emak.

Umpama tombak menikam dada.

Saya berjanji dengan emak bahawa walaupun saya berkahwin, saya tidak akan menjadikan status ‘suami orang’ sebagai bukan lagi ‘anak emak’. Itu hasratnya.

Namun dinamika hidup saya rencam. Berumahtangga, kemudian bermastautin di luar negara, sukar sekali hendak berbakti kepada emak. Saya bercita apabila kami lima beradik berumahtangga maka isteri-isteri kami akan menjadi anak-anak perempuan yang emak tidak pernah ada. Biar ada orang yang boleh mengadun emak serba sedikit sebab selama ini tiada perempuan yang memuji baju emak cantik atau mencadangkan cara mengenakan pin tudung yang lebih ayu. Namun kami adik beradik sama-sama belajar menginsafi bahawa apabila berumahtangga, impian sedemikian perlu berada di kategori bonus. Jika dapat, Alhamdulillah. Jika tiada, tidak mengapa. Sebab urusan hendak memulakan keluarga dan membina kehidupan sendiri pun penuh cabaran.

Apabila pulang ke tanahair pada tahun 2004, selepas 11 tahun hidup merantau, saya berharap agar masanya kembali tiba untuk berbakti kepada emak.

Tetapi saya tersilap langkah.

Menjadi orang berkelulusan agama, gaji kecil, pendapatan amat sederhana. Maka saya kena bekerja lebih. Walaupun saya mengajar, berceramah dan berdakwah adalah dengan niat kerana Allah, serba sedikit imbuhan amat berharga. Apalah sangat nilai RM850 sebulan untuk diharapkan berperanan sebagai suami dan bapa, apatah lagi anak.

Maka berprogram, berprogram dan berprogram tanpa henti. Saya tutup hujung minggu sekurang-kurangnya satu sebulan, agar boleh pulang ke kampung. Tetapi selalu juga tergadai akibat perubahan jadual atau saya sendiri terperangkap dalam dilema bahawa program ini penting. Hujung minggu yang sepatutnya pulang ke kampung, berakhir dengan hanya membuat panggilan telefon berbual seketika bertanya khabar.

Selalu keluar televisyen dan setiap bulan menghiasi kolum majalah, mungkin kebanggaan sesetengah orang. Tetapi ia bagi saya adalah harapan kecil untuk menggantikan ketiadaan saya di sisi emak. Setiap bulan semua majalah yang saya bertindak sebagai kolumnis, naskhah penulis saya halakan ke kampung. Jika ada berceramah di televisyen, saya akan telefon emak beritahu, supaya emak tengok, menggantikan saya yang tidak habis-habis berprogram.

Jika dapat balik kampung pun, saya perlu adil dalam membahagikan masa sebahagian di rumah keluarga isteri dan sebahagian lagi di rumah sendiri. Adakalanya di Tol Simpang Pulai barulah kami buat keputusan mahu ke rumah mana dahulu.

Kekesalan tidak dapat banyak berbakti kepada emak tidak pernah berkurang. Saya sentiasa memandang rendah kepada diri sendiri kerana birr al-walidayn saya tidak sempurna.

Sampai ke satu tahap, saya berputus asa.

Alang-alang duduk dekat pun susah hendak balik kampung, lebih baik saya pergi jauh agar susah hendak balik kampung bukan lagi salahnya adalah saya. Sebaliknya kerana lautan luas terbentang yang memisahkan kami.

Semasa memeluk emak di KLIA, jauh di sudut hati saya dapat rasakan ia pelukan terakhir dan kucupan terakhir saya di dahi emak.

Penghujung Julai 2018, saya berjanji untuk balik ke Malaysia menjenguk emak. Tetapi saya tidak boleh bermusafir kerana tersangkut dengan urusan memperbaharui residence permit Finland.

Abang saya telefon sejurus selepas selesai solat subuh.

“Rizal, emak dah tak ada!”

Saya menangis sendirian. Tangisan yang hati saya sudah bersiap sedia sejak sekian lama, tetapi sampai harinya, persediaan itu hanya debu yang berterbangan.

Di bawah pohon birch, air mata bercucuran.

Emak pergi jua…

Semenjak itu, jadilah hati saya terendam dalam rindu kepada bonda yang tidak sembuh buat selama-lamanya.

Saya pulang ke kampung mengusap kayu nesan di tanah merah.

Maafkan Rizal, emak.

Jika rindu, mengapa pergi beribu batu?

Kerana rindu itu rindu yang tiada ubatnya.

Kecuali kembali memeluk emak dan abah di Syurga suatu hari nanti.

Impian yang disemat di dalam hati dalam kembaraku sekeluarga di negeri jauh beribu batu.

Hasrizal
Naas, Ireland

Check Also

Perangkap New Age Movement Untuk Agamawan

Bagaimana agamawan terjebak ke kancah New Age Movement? Saya tiada jawapan mudah. Tetapi saya boleh …

One comment

  1. Siti Nursyuhada

    Sayu saya baca penulisan Ust ni.. Rindu yang tiada berpenghujung.. moga Allah ganti dengan kebaikan tanpa henti buat Ust sekeluarga..Erti sebuah pengorbanan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share