Kenapa Tak Jadi Cikgu?

“Sukacita saudara dipelawa menghadiri temuduga…” saya membaca surat itu baris demi baris.

Pulang dari perantauan, usaha memulakan kehidupan penuh cabaran. Antaranya adalah mencari pekerjaan.

Surat di tangan adalah surat panggilan temuduga untuk program j-QAF. Saya mengemukakan permohonan tersebut di saat-saat akhir. Ayah Anjang mencadangkan saya memohon program berkenaan. Ustaz Anuar bekas Atase Pendidikan di MSD London juga memberi sokongan.

Tetapi saya berbelah bagi.

“Betul ke nak jadi cikgu?” saya menyoal diri.

Emak kami cikgu. Abah bukan cikgu, tetapi entah kenapa selalu juga dipanggil sesetengah orang sebagai cikgu. Ada abang yang mendapat tawaran ke Maktab Perguruan suatu ketika dahulu. Emak suka sangat. Tetapi minat tidak boleh dipaksa. Abang menolak. Emak terima sahaja. Mungkin bukan kebiasaan dalam keluarga kami, ibu bapa mendesak bidang atau pekerjaan ke atas anak-anak.

Saya suka mengajar. Suka pendidikan. Tetapi saya tidak suka jadi cikgu.

Ketika itu saya rasa kerja cikgu adalah rutin dan boleh membosankan. Mengajar murid-murid sekolah rendah pula rasa tidak mencabar. Belajar tinggi-tinggi masakan hanya mengajar ABC?

Tapi tanpa ABC, tiada yang seterusnya.

Besar jasanya guru yang mengajar ABC, 123 dan Alif Ba Ta.

Selain emak, Mrs. Doss berjasa mengajar saya asas induk ini.

Minda saya sudah lama menyoal, kalau sekolah menengah dan universiti lebih penting, kenapa sekolah rendah yang disebut ‘primary school‘? Mesti ada sebabnya.

Dalam bahasa Melayu, istilah sekolah rendah itu semacam merendahkan. Di dalam bahasa Inggeris, kalau daerah yang menggunakan istilah primary, ia menggambarkan sekolah rendah sebagai sekolah paling utama, fundamental. Manakala pendidikan menengah hanya secondary.

Habis, kenapa tidak mahu jadi cikgu sekolah rendah?

Entahlah…

Sebab…

Saya fikir ketika itu j-QAF ini macam program politik sahaja bunyinya. Projek Pak Lah. Saya tidak mahu bekerja dalam pekerjaan yang tunduk kepada agenda politik. Minda anak muda yang ideal ini melawan-lawan rasional menyahut jemputan temuduga tersebut.

Bimbang, minat pada mengajar, tetapi akhirnya jadi hamba birokrasi yang bukan-bukan. Lagi bimbang, jadi alat politik.

Saya berat hati hendak menerima panggilan berkenaan.

Kalau minat mengajar, bukankah boleh juga mengajar tanpa menjadi cikgu? Jadi motivator, jadi penceramah, jadi pensyarah… saya menjawab pertanyaan sendiri.

Peluang KPLI memang terlepas.

Peluang j-QAF sudah terbuka.

Ahh… nantilah saya fikirkan.

Surat panggilan temuduga saya letak di tepi.

DISEMBER 2004

“Aduh penat sungguh!” saya tersandar di sofa.

Penat mengangkat barang. Ada yang dari Ipoh. Dari Ireland pun banyak juga. Ada yang dari Courts Mammoth. Perabot terpakai yang dibeli dari Courts Mammoth menjadi set permulaan saya dan isteri memulakan kehidupan baharu kami di Kuala Lumpur.

“Eh… kenapa rasa macam hari ini ada sesuatu!” saya suarakan kepada abang saya yang membantu mengangkat barang.

“Entah. Kamu ada berjanji dengan orang ke?” abang saya bertanya.

Aduhai… temuduga j-QAF!

Punyalah saya tidak mengambil berat akan panggilan temuduga berkenaan hingga saya berpindah dari Ipoh ke Cheras pun terjadi pada hari temuduga berkenaan.

Terlepaslah peluang masuk ke program j-QAF.

Berakhirkah perjalanan saya menjadi cikgu?

Program j-QAF, berakhir.

Tetapi tidak semestinya jalan menjadi cikgu telah mati.

Perjalanan harus diteruskan.

Kecenderungan diri untuk belajar, mengajar dan berkongsi adalah kerja-kerja yang sentiasa memberi kepuasan diri. Kalau pun tidak dapat menjadi cikgu di sekolah kerajaan, mengajar dan belajar masih boleh diteruskan.

Saif dan Naurah pun memerlukan didikan serta tunjuk ajar.

Cuma hasrat hati emak hendak melihat ada anaknya yang menjadi cikgu itu nampaknya tidak kesampaian.

Saya memulakan kehidupan di Kuala Lumpur sebagai pembantu jurulatih di dalam syarikat Fitrah Perkasa Sdn Bhd sebagai Penolong Pengarah bahagian penyelidikan dan modul, di bawah tunjuk ajar sifu saya, Ustaz Pahrol M Juoi. Pengalaman melalui program latihan kendalian syarikat berkenaan menawarkan rezeki mahal kepada saya iaitu peluang berinteraksi dengan pelbagai lapisan masyarakat, profesional dan amatur, pelajar cemerlang dan pelajar bermasalah, orang kampung dan orang bandar… saya banyak belajar.

Saya perlu banyak belajar.

Sebelum terjun ke dunia mengajar.

Facebook Notice for EU! You need to login to view and post FB Comments!

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share