Bolehkah PMS Menjadi Alasan?

Suatu ketika Rasulullah sallallāh ‘alayhi wa sallam menyuarakan pengetahuannya selepas diperlihatkan kepadanya Neraka, bahawa di dalam Neraka ada ramai perempuan.

Mereka bukan masuk Neraka kerana mereka perempuan.

Tetapi sama seperti lelaki, mereka masuk Neraka ekoran apa yang mereka lakukan.

Sesuatu yang manusia diberi akal fikiran untuk cermat memilih tingkah laku perbuatan.

“Diperlihatkan kepadaku Neraka dan aku lihat majoriti penghuninya adalah wanita. Mereka itu kufur.” Lalu baginda ditanya, “apakah mereka kufur kepada Allah?” Baginda menjawab, “mereka mengkufuri nikmat kehidupan berumahtangga, dan mengkufuri kebaikan. Seandainya engkau berlaku baik dengannya sepanjang masa dan tiba-tiba dia nampak ada sesuatu yang tidak kena, wanita itu berkata, “aku tidak nampak satu apa kebaikan pun daripadamu!”

Penerangan baginda sangat spesifik.

Malah didialogkan bagaimanakah bentuk ungkapan yang menjadikan seorang wanita itu kufur nikmat dan dihumban ke Neraka.

Ia bukan kesalahan orang ‘jahat’. Sebaliknya ia adalah ‘rutin’ orang baik-baik. Orang bersolat, orang berpuasa, mengaji, menutup aurat. Tetapi sikap mengkufuri kebaikan yang ada dalam kehidupan berkeluarga mengheret kaum perempuan menjadi ahli Neraka.

Adakah Nabi sallallāh ‘alayhi wa sallam dan Islam memandang rendah kepada wanita?

Tidak sama sekali.

Sebaliknya lelaki dan perempuan adalah sama di sisi Allah berkaitan ketaatan dan kehambaan mereka.

Lelaki juga boleh terheret ke Neraka apabila culas dengan pelbagai tanggungjawab yang terpikul di atas bahunya. Lelaki diancam sebagai dayus apabila wanita di dalam rumahtangga dan keluarganya ingkar perintah Allah, dia tidak berbuat apa-apa. Senarai bahayanya lelaki di hadapan Neraka Allah itu berderet panjangnya.

Namun, untuk wanita, Rasulullah sallallāh ‘alayhi wa sallam meninggalkan pesanan yang realistik tanpa apologetik.

Jaga mulut daripada berkata-kata perkara yang bukan setakat melukakan hati pasangan, tetapi dikategorikan sebagai kufur nikmat yang risikonya adalah Neraka.

Semasa bilakah seorang wanita boleh mengungkapkan ungkapan tercela ini?

Harapnya tidaklah setiap masa, setiap hari, hingga jadi makan ruji. Ia pasti membinasakan rumahtangga dan keluarga.

Tetapi apa yang wanita perlu beri perhatian adalah semasa keadaan diri tidak selesa, semasa low mood, iaitu semasa premenstrual syndrome atau PMS.

Ia adalah cabaran bulanan yang ramai wanita hadapi. Sekitar seminggu sebelum tibanya haid, perasaan tidak menentu, fikizal yang sakit dan tidak selesa, menjadikan seseorang itu sensitif, gelisah dan rapuh.

Wanita semasa mengalami PMS perlu diberi sokongan, diberi keselesaan, ditenangkan dan diberi ruang untuk melepas ujian bulanan ini. Suami yang memahami realiti PMS, boleh amat membantu isteri tersayang melepasinya.

Namun, semasa PMS, wanita masih mukallaf. Semasa itu wanita bukan gila, bukan pengsan. Semasa mukallaf, dosa pahala masih berjalan. Justeru tidak ada kelihatan di mana-mana peruntukan syara’ untuk PMS menjadi alasan seorang wanita berkata kesat, menyindir tajuk, melukakan hati suami, dan kemudian beberapa hari kemudian meminta maaf, sebelum mengulangi perkara yang sama bulan hadapan.

Berapa banyakkah kes cerai yang terjadi akibat wanita hilang kawalan diri semasa PMS?

Berapa banyak emosi anak-anak menjadi rosak apabila ibu mereka bertukar menjadi ‘monster’ beberapa hari dalam sebulan?

Sayangnya Rasulullah sallallāh ‘alayhi wa sallam kepada kaum wanita, baginda ungkapkan dengan jelas sejelasnya kufr al-‘asyir bukan sebagai sekadar satu konsep, tetapi dicontohkan, didialogkan, agar terang bersuluh apa yang baginda maksudkan.

Semoga kasih sayang baginda ini disambut dengan kita sokong menyokong dan ingat mengingatkan, bahawa kita perlu mentaati Allah semasa sihat, dan semasa sakit. Biarlah yang masuk Neraka itu adalah lelaki dan perempuan yang benar-benar kufur kepada Allah mengingkari-Nya. Bukannya golongan yang ‘baik-baik’ tetapi cuai mengambil peringatan.

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share