Mendidik Anak Remaja: Semasa Semua Strategi Tidak Menjadi


Mendidik anak remaja di akhir zaman ini amat mencabar. Kita perlu bersaing dengan pelbagai faktor yang mempengaruhi anak-anak. Jika dahulu, perubahan siang malam secara semulajadi membantu. Tenggelam sahaja matahari, kebanyakan anak berada di rumah. Mereka ‘memutuskan hubungan’ daripada alam kawan-kawan seketika, bersama keluarga, berehat dan tidur. Sesuailah dengan aturan Allah:

 وَجَعَلۡنَا ٱلَّیۡلَ لِبَاسࣰا . و َجَعَلْنَا النَّهَارَ مَعَاشَا


Dan Kami telah menjadikan malam (dengan gelapnya) sebagai pakaian (yang melindungi). Dan Kami telah jadikan siang untuk kamu berkehidupan. (Al-Naba’ : 10-11)

Hal-hal yang mempengaruhi anak juga terbatas kepada faktor di dalam rumah, kejiranan dan sekolah, serta serba sedikit dunia luar yang ditinjau melalui televisyen dan majalah yang terbatas.

TIBA ZAMAN INTERNET

Semua ini berubah dengan kehadiran internet.

Siang dan malam jadi sama sahaja.

Malah malam menjadi waktu untuk lebih aktif melayan dunia tanpa sempadan itu.

Dunia anak kita bukan lagi sekitar rumah, kejiranan dan sekolah.

Apa yang berlaku di Korea, Amerika Syarikat atau Syria, hampir secara ‘real time’ memberi bekas kepada anak kita. Mungkin secara biologinya, anak itu adalah anak kita. Tetapi mereka mungkin tidak lagi mewarisi budaya, kepercayaan, sistem nilai malah agama kita selaku ibu bapa.

BERSEDIA

Menyedari akan cabaran ini sejak anak-anak kecil, saya cuba mencari ilmu, baik ilmu agama mahu pun ilmu sains sebagai bekalan diri. Harapannya, dengan ilmu itu saya boleh melakukan sesuatu untuk keperluan anak-anak semasa mereka kecil, dan mencegah mereka daripada terjerumus ke lembah gelap di masa akan datang. Lembah gelap yang amat sukar untuk mereka dibantu semasa mereka menolak dan melawan bantuan kita.

Jaga hubungan kasih sayang, selalu berbual dan merangsang fikir, agar matang menjadi khalifah Allah di muka bumi.

Manakala penggunaan telefon pintar dan akses kepada internet, dilewatkan selewat mungkin.

DESAKAN MEMBERI TELEFON PINTAR KEPADA ANAK

Akan tetapi semasa di Finland, saya berdepan dengan cabaran baharu. 

Anak-anak memerlukan telefon sendiri untuk keselamatan diri dan pembelajaran. Apatah lagi saya bersendirian dalam kebanyakan masa menguruskan keluarga. Teknologi membantu saya memantau mereka, mengkomunikasikan pujian dan nasihat serta kebimbangan berdasarkan data-data penggunaan yang bercerita. Sekolah di Finland pula aktif melatih murid agar bijak menggunakan telefon pintar dan komputer sebagai alat belajar, dan bukannya sumber hiburan keseronokan.

Tetapi telefon itu pintu dunia luas ke alam anak kita. Ujiannya bukan sebarangan.

Selain pendidikan mengenai penggunaan telefon pintar berkenaan, saya pastikan setiap telefon anak disertakan di dalamnya aplikasi kawalan ibu bapa (seperti Family Link dan lain-lain). Selain dengan Family Link itu saya tahu lokasi mereka, saya gunakan ia untuk mengunci telefon anak secara automatik pada jam 9 malam agar mereka tidur pada masa yang sepatutnya.

Tidak berjaga malam itu sangat penting.

Selain kegelapan malam hadir dengan pelbagai kejahatan yang kita mohon di dalam surah al-Falaq perlindungan Allah daripadanya, sleep deprive yang kronik menghancurkan proses belajar anak-anak. Fungsi kognitif merosot, bangun pagi penuh rungutan, ke sekolah tidak fokus, dan apabila semua itu membawa kepada kemerosotan akademik, rasa seronok ke sekolah juga akan terjejas.

Tidak suka sekolah, dan kemudian tidak tahu apa yang hendak dicita-citakan , menggunakan hasil persekolahan.

Malang sekali jika kesan tidak minat dengan pelajaran dan persekolahan, menjerumuskan anak-anak kepada ponteng sekolah. Tidak berada di sekolah pada waktu persekolahan, dan tidak juga di rumah, meletakkan anak-anak kepada pelbagai risiko. Bukan hanya soal keselamatan dan kesihatan diri, malah risiko jenayah dan pelbagai kerosakan.

Bukan mudah hendak menunjukkan kaitan sesuatu dengan sesuatu (correlation and causation) dalam pendidikan dan keibubapaan. Tetapi kesan berangkai daripada enggan mengikut bimbingan ibu bapa, memang besar malapetakanya. Kita cuba menghalang keburukan bertahun-tahun sebelum keburukan itu menzahirkan warna paling buruknya.

Nasihat-nasihat seputar hal sebegini, kita cuba pupuk semenjak anak kecil, dan semasa mereka mula meniti usia remaja. Jika dahulu, anak-anak perlu mahir memegang pisau agar pisau memotong bawang dan bukan tangan sendiri, demikianlah hari ini anak-anak perlu mahir menggunakan telefon bimbit agar alat itu membantu mereka mencari manfaat, bukan dosa maksiat dan segala yang mudarat.

TERIMA DAN TOLAK

Ada anak yang menerima. 

Ada juga yang ujiannya lebih besar.

Apabila ada yang kecundang, terperangkap dalam lembah gelap yang dibimbangi sejak sekian lama, hadirlah masa-masa yang menguji saya, sebagaimana ia juga ujian kepada ramai ibu bapa seperti kalian.

Ujian sebegini mengingatkan kita, selepas puas berusaha, bahawa Tuhan saya bukan ilmu, kemahiran dan maklumat agama serta sains. Semua itu hanya bekalan untuk berusaha dan berusaha dengan sebaik mungkin. Andaikata ada yang masih tidak berjaya terbentuk baik, saya ambil ia sebagai peringatan daripada Allah untuk saya kuatkan pergantungan kepada-Nya.

Seperti luahan Nabi Ya’qub ‘alayhi al-salam:

قَالَ إِنَّمَاۤ أَشۡكُوا۟ بَثِّی وَحُزۡنِیۤ إِلَى ٱللَّهِ وَأَعۡلَمُ مِنَ ٱللَّهِ مَا لَا تَعۡلَمُونَ 

“Ya’qub berkata, sesungguhnya aku adukan kehibaan dan kesedihan hatiku hanya kepada Allah, kerana sesungguhnya aku mengetahui daripada Allah apa yang kalian tidak tahu” (Yusuf : 86)

Kita malu untuk mengadu kepada Allah jika kita belum terlebih dahulu berusaha bersungguh-sungguh. Malah kesungguhan kita tidak sepadan usaha Nuh ‘alayhi al-salam yang menyeru sehingga 950 tahun. Tetapi kita bukan Nuh, bukan Ya’qub, dan usia kita tidak sepanjang itu. Semasa hati berasa sempit, lirik nasyid Iman Mutiara nyanyian Raihan tidak lagi menjadi sekadar nyanyian, aduan Nabi Ya’qub ini penting untuk kita hayati.

Bahawa tanggungjawab kita adalah berusaha.

Berusaha bersungguh-sungguh.

Tetapi jangan sehingga terlupa, bahawa kita hanya mampu berusaha. 

AGAR KITA TERUS KUAT DAN BERUSAHA

Justeru,

Hargai usaha masing-masing, bahawa penolakan anak bukan bermakna usaha itu sia-sia.

Jangan putus asa daripada terus berusaha, dan terus memegang harapan untuk anak yang terpesong kembali lurus, yang pergi akan pulang, yang melawan akan menemui kesedaran dan keinsafan. Jadilah seorang yang terus memaafkan, agar dengan maaf kita, peluang mereka terus terbuka.

Hindarkan diri daripada meninjau kebahagiaan dan kejayaan orang lain, terutamanya melalui paparan media sosial. Apa yang kita lihat, hanya rakaman sedetik untuk menceritakan detik itu. Kita tidak tahu susah payah orang lain di luar detik yang terakam itu.

Jika akibat memikirkannya kita rasa rendah diri, ia tidak baik untuk kita.

Jika akibat memikirkannya kita rasa cemburu dan dengki, ia tidak baik untuk kita dan mereka. Perasaan yang bergelora hasil memandang, boleh membakar emosi yang menghantar syaitan untuk memudaratkan mereka. Penyakit ‘ain itu haq!

Jika akibat memikirkannya kita mengagumi mereka, kekaguman itu tidak membuahkan apa-apa manfaat kepada kita dan mereka. Hanya dengan memberi fokus kepada ilmu dan kemahiran yang berterusan, kita boleh terus kuat untuk meneruskan perjalanan.

Teruskan perjalanan.

Daripada Allah, kita dan zuriat kita datang.

Kepada Allah jua, kita dan zuriat kita kembali.

Hasrizal Abdul Jamil
Naas, Ireland
www.saifulislam.com

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share