Khalifah Model School (Secondary) Bukan Sekolah Finland

Khalifah Model School (Secondary) di Hati
Khalifah Model School (Secondary) di Hati

Khalifah Model School – Secondary (KMSS) tidak menggunakan sistem pendidikan Finland. Malah banyak perkara di KMSS yang berlawanan dengan sistem pendidikan Finland. Saya, seorang kakitangan KMSS, belajar di Finland pada masa ini, bukan untuk meng’Finland’kan KMSS.

  • KMSS menggunakan kurikulum IGCSE (British). Ia berlainan dengan sekolah di Finland.
  • KMSS tidak mensyaratkan kelayakan minimum menjadi guru adalah ijazah sarjana (master). Tidak seperti Finland.
  • KMSS adalah sebuah sekolah berasrama, namun kini memberi pilihan jika ada pelajar yang mahu berulang rumah. Ia berlainan dengan sekolah Finland.
  • KMSS ada program hafazan al-Quran, subjek-subjek pengajian Islam dan metode Khalifah. Ia tiada di Finland.
  • KMSS menekankan kepentingan meletakkan pendidikan di dalam kerangka pandangan alam yang spesifik berasaskan pandangan alam Islam dan ia menjadikan tauhidisasi subjek sekular dengan subjek agama di peringkat epistemologi sebagai agenda utama. Ia mengatasi kurikulum Finland dan pergi lebih jauh berbanding kemasukan ‘faith’ di dalam Theory of Knowledge program  International Baccalaureate® (IB).
  • KMSS masih beroperasi di bangunan kedai. Sesuatu yang tidak mungkin berlaku di Finland.
  • KMSS mengenakan yuran kepada ibu bapa / penjaga pelajar. Ia berlainan dengan sekolah di Finland.

Jika ingin dicari persamaan, buat masa ini persamaannya amat sedikit tetapi kami menghargainya.

Antaranya:

  • Biar pun tidak mensyaratkan guru berkelulusan sarjana (master), kita tetap berusaha agar para guru mempunyai asas pemikiran reflektif bermetodologi, agar apa-apa masalah wujud di dalam kelas, cikgu akan memikirkan penyelesaiannya dengan asas ilmu pendidikan.
  • Biar pun menggunakan kurikulum IGCSE, KMSS berusaha memperbaiki cara mengajar dan belajar, daripada teacher-centered kepada student-centered merangkumi beberapa jenis pembelajaran seperti pembelajaran aktif (active learning), pembelajaran berinkuiri (inquiry learning) dan pembelajaran kontekstual (contextual learning). Ia selari dengan sasaran pendidikan Finland yang mahu pembelajaran para pelajar bersifat organik dan bergerak ke arah deep learning.
  • KMSS tidak membuat ranking dengan membandingkan seorang pelajar dengan pelajar yang lain. Sebaliknya KMSS berusaha meningkatkan penggunakaan summative assessment yang lebih berkualiti pada menerangkan perkembangan pelajar dengan membandingkan pencapaian beliau pada satu-satu masa dengan pencapaian sebelumnya.
  • Biar pun masih beroperasi di rumah kedai dan berdikari sehabis baik dari segi kewangan, KMSS masih komited mensasarkan perkembangan prasarana dan infrastrukturnya kepada membina sebuah kampus mithali, semoga diizinkan Allah realisasi ini tercapai.
  • KMSS melihat pendidikan sebagai hak asasi manusia dan bukan kelebihan, jauh sekali kemewahan. Biar pun pelajar dikenakan yuran, KMSS melalui Yayasan Pendidikan Khalifah sentiasa berusaha mendapatkan dana dengan pelbagai cara untuk membiayai pelajar yang tidak berkemampuan untuk terus belajar di KMSS.
  • KMSS menekankan kepentingan elemen constructivism di dalam pembelajaran yakni ‘learning by doing‘ di semester pendek, dan ia selari dengan agenda Finland memperkenalkan phenomenon based learning yang buat masa ini adalah dengan beberapa jam khusus dalam seminggu.

Sistem pendidikan bukanlah sesuatu yang boleh ditiru-tiru. Biar pun Qatar dan Arab Saudi mempunyai Finnish International School, ia tetap menerima pengubah suaian agar kena dengan konteks tempatan. Pembelajaran saya di Finland setakat beberapa bulan ini membantu saya memahami sedikit demi sedikit apa sebenarnya yang dikatakan sebagai sistem pendidikan Finland, dan apakah sisi pro dan kontranya.

Jika ada sekolah di Malaysia yang mendakwa ia mengamalkan sistem pendidikan Finland, saya meraguinya. Jika ada yang mendakwa KMSS mengamalkan sistem pendidikan Finland, saya menafikannya. Malah jika ada yang berkata bahawa sistem pendidikan Finland adalah penyelesaian masalah sistem pendidikan Malaysia, saya turut menolaknya.

Pembelajaran saya di Finland bukan suka-suka.

Saya berusaha untuk belajar sesuatu yang berguna, untuk manfaat KMSS dan mudah-mudahan masyarakat seluruhnya.

Program sarjana saya pada masa ini adalah berkaitan dengan sains pembelajaran (2/3) dan bagaimana teknologi boleh membantu menjayakan pembelajaran (1/3). Kepakaran yang disasarkan di hujung program ialah graduan memahami aspek pembelajaran berkaitan kognitif, metakognitif, emosi, sosial, motivasi, kelakuan manusia dan reaksinya terhadap persekitaran, termasuk komputer, implikasinya kepada rekabentuk kurikulum serta aktiviti pembelajaran, dan seterusnya bagaimanakah masalah-masalah pembelajaran atau prospek-prospek pembelajaran boleh dibantu dan disokong oleh teknologi.

Ada banyak lagi program sarjana lain berkaitan pendidikan di Finland dan banyak di antaranya bersesuaian dengan penyataan masalah pendidikan di negara kita. Jika ada yang berminat untuk menyambung pelajaran di Finland dalam bidang pendidikan, ia mestilah berasaskan kepada penyataan masalah yang jelas.

Bukan terikut-ikut, jauh sekali kerana salji dan aurora. Cuaca ekstrim di sini akan mengazab anda hingga ke tulang sumsum.

PENTADBIRAN KMSS

Sepanjang 2016, semenjak permohonan menyambung pembelajaran di Finland dibuat pada Disember 2015, saya tidak membabitkan diri di dalam pentadbiran sekolah, hanya fokus kepada aspek kurikulum dan latihan perguruan. Ketiadaan sementara saya di KMSS setakat ini tidak menjejaskan pentadbiran KMSS kerana saya sememangnya tidak terbabit dengan aspek pentadbiran. Apa yang cuba diusahakan ialah pembangunan diri para guru (professional development) terus berlangsung, dengan komunikasi berterusan saya bersama mereka walaupun dijarakkan oleh sempadan geografi dan masa.

Kita perlu sentiasa menjauhi rekabentuk sistem termasuk pentadbiran yang berasaskan individu kerana ia tidak sihat dan bukan sunnah di dalam Islam. Hatta kewafatan Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam pun tidak menjejaskan kelangsungan Deen Allah ini.

Pandanglah KMSS sebagai satu bentuk ‘kritikan membina’ terhadap sistem pendidikan semasa yang dilakukan bukan dalam bentuk cakap kosong, gosip, salah menyalahkan, tetapi berusaha menyediakan satu model penambah baikan. Ia tidak mempunyai tujuan lain kecuali mengembalikan manfaatnya kepada masyarakat, dan mendapat keredhaan Allah.

Pendidikan jalan islah.

Hasrizal Abdul Jamil
Oulu, Finland.

Check Also

Tragedi Gaza Runtuhkan Tembok Rome

Sama ada kematian mencecah dua puluh ribu saudara-saudara kita di Gaza, semenjak 7 Oktober 2023 …

3 comments

  1. Salam ust.

    Apakah bahasa pengantar di KMS?

    • Wsalam wbt.

      Bahasa pengantar sekolah adalah English. Tetapi untuk kelas foundation (Tingkatan 1 dan 2), perlaksanaannya berperingkat kerana keutamaan adalah kefahaman dan kemampuan berfikir.

  2. Rohaya Arshad

    As salamualaikum

    Bagaimana cara untuk mohon ke tingkatan 1 ye dn syarat kemasukan

    Terima kasih

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share