Rotan dan Tampar: Disiplin Murid Menurut Pandangan Klasik Ilmuan Islam

“Allah, itu pun nak terasa. Lembik!”

“Manja sangat!”

“Aku kalau tak kerana kena pelempang cikgu, mak bapak aku, rasanya aku tak jadi orang macam hari ni!”

“Semua ini tarbiah. Ulama dulu lagi susah hidup mereka!”

Guru bertindak mengasari murid secara fizikal bukanlah sesuatu yang asing di dalam masyarakat kita. Selain merotan, tindakan-tindakan seperti menampar, menarik sideburn, mencubit, menendang, menumbuk dan sebagainya itu lebih membimbangkan. Mengapa hal ini boleh berlaku? Bagaimanakah murid-murid sebagai kanak-kanak dipandang oleh guru sebagai seorang dewasa?

Ramai di kalangan kita ada pengalaman dalam hal ini. Saya juga.

30 TAHUN DAHULU

Pernah suatu ketika saya meminta kebenaran guru untuk membenarkan saya ke klinik. Ibu jari kaki saya mengalami cagu (cekam) dek tersalah memotong kuku serta kasut sekolah yang agak sempit. Ia sudah bernanah pada masa tersebut. Pelajar yang mahu ke klinik akan disaring oleh guru harian bertugas (ada sahaja pelajar yang cuba ponteng kelas dengan mengikut rombongan van sekolah ke klinik). Semasa saya memberitahu guru akan masalah kaki, beliau memperlekeh saya dan mengatakan saya mengada-ngada. Tidak cukup dengan itu, beliau telah memijak kaki saya sekuat hatinya dengan berkasut hingga nanah itu terpancut keluar. Saya diarahkan pulang ke kelas.

Saya mencoretkan hal ini tanpa dendam atau marah terhadap pengalaman itu. Apa yang ingin saya ketengahkan adalah keazaman kita untuk mencegah hal yang sama daripada terus berlarutan. Ia tidak boleh ditoleransi. Salah dari semua segi, termasuk dari segi agama. Menampar muka misalnya, bukan setakat muka manusia, muka haiwan pun dilarang daripada ditampar. Manusia jenis apa yang menjadi pendidik, tetapi ringan tangan menampar murid?

Al-Imam al-Nawawi semasa mensyarahkan Sahih Muslim, telah meletakkan bab khusus yang diberi tajuk بَابُ النَّهْيِ عَنْ ضَرْبِ الْحَيَوَانِ فِي وَجْهِهِ وَوَسْمِهِ فِيهِ ( terjemahan: Bab Larangan Memukul Binatang dan Membuat Tanda Pada Mukanya).

Apakah murid lebih rendah kedudukannya daripada haiwan?

Hal ini lebih membimbangkan apabila ia berlaku di sekolah berasrama, yang mana murid berada di luar jagaan ibu bapa. Tambah membimbangkan, apabila kes ini dipandang remeh hingga aduan tidak diendahkan, dan pelajar di’brainwash‘ agar menerimanya sebagai ‘tarbiah’, jangan mengadu kepada sesiapa.

Ia bukan tarbiah. Ia adalah jenayah.

FINLAND

Di negara seperti Finland, corporal punishment telah diharamkan semenjak 1984. Kajian pada tahun 2017 mendapati terdapat sekitar 15 peratus ibu bapa yang masih menggunakan pendekatan fizikal ke atas anak-anak di Finland.

kuritusvakivalta_kysely_tiivistelma_en-1

Sumber: https://www.lskl.fi/materiaali/lastensuojelun-keskusliitto/kuritusvakivalta_kysely_tiivistelma_en-1.pdf

Penampar dan kekasaran fizikal tiada nilai Syariatullah mahu pun Sunnatullah. Bukan agama, tidak juga sains. Hanya nafsu amarah yang cela.

PENDISIPLINAN MURID MENURUT PANDANGAN KLASIK ILMUAN ISLAM

Petikan: Cook, B. J. (2010). Classical foundations of Islamic educational thought: a compendium of parallel English-Arabic texts. Brigham Young University Press.

Falsafah pendidikan yang mendasari aktiviti mengajar kanak-kanak terutamanya di kuttāb adalah ketat. Situasi kanak-kanak di awal usia mereka belajar selalunya agak kasar.

Merotan

Hukuman merotan selalu digunakan sebagai teknik merawat masalah kemalasan dan kelemahan dalam menghafal. Disiplin adalah jelas merupakan satu bentuk peneguhan pembelajaran yang utama dan tidak boleh dielakkan. Seterusnya, hukuman rotan itu pula, tidaklah dilakukan sesuka hati tanpa sebarang panduan. Sesetengah teks klasik Muslim secara berhati-hati memperincikan panduan melaksanakan hukuman rotan itu dengan betul dan dalam situasi bagaimanakah ia dibenarkan.

Sebahagian ilmuan ilmu pendidikan seperti al-Qābisi, menasihatkan para guru supaya bersederhana semasa mendisiplinkan pelajar, membataskan hukuman rotan itu tidak lebih daripada tiga sebatan. Sebarang hukuman yang mahu melebihi had tiga itu, mestilah mendapat kebenaran penjaga murid tersebut (Ibn Sahnun menyebut ‘bapa’). Al-Qābisi juga menggesa guru supaya menjaga perspektif semasa membuat keputusan hendak menggunakan hukuman rotan tersebut. Katanya, “Guru sebenarnya berinteraksi dengan maruah dan tubuh badan seorang Muslim (semasa hendak merotan murid), maka beliau tidak boleh menyakiti murid itu secara yang tidak adil dan semberono.”

Juga, guru hendaklah mengelak daripada memukul murid itu di bahagian muka atau kepala. Pukulan yang dikenakan mestilah pada kadar yang cukup untuk mengingatkan murid itu agar tidak mengulangi kesalahan berkenaan di masa hadapan, tetapi jangan sekali-kali hingga “menyebabkan kesakitan yang melarat dan melemahkan tubuh murid berkenaan.”

Guru juga dinasihatkan oleh al-Qābisi supaya tidak menghukum murid semasa dirinya mungkin diselubungi kemarahan. “Ini (proses menghukum murid) bukan tempat untuk marah!” beliau menulis.

Bahasa Kesat

Satu perkara lain yang sama kemudaratannya ke atas jiwa kanak-kanak adalah perbuatan menggelar-gelar nama dan penggunaan bahasa yang memalukan. Al-Qābisi, semasa membicarakan tentang kesan psikologi penggunaan bahasa, menegur guru-guru supaya mengelak daripada menggunakan bahasa yang kesat seperti memanggil murid seperti ‘hantu’ atau ‘monyet’. Bahasa-bahasa sedemikian rupa mencederakan maruah murid dan merosakkan keyakinan dirinya. Bahkan sebaliknya, apa yang perlu ialah memberi pujian dan memuliakan murid apabila mereka ada melakukan perkara-perkara yang baik. Tegasnya, walaupun teks-teks klasik Islam memberi penegasan terhadap pentingnya usaha mendisiplin murid di dalam pembelajaran mereka, disiplin tidak boleh dilakukan secara yang menghancurkan jiwa murid itu, keyakinan dan harga dirinya.

Kebanyakan ilmuan pendidikan di era pertengahan menganggap disiplin sebagai satu keperluan dalam pembelajaran. Adalah penting untuk murid-murid diatur kehidupannya dalam bentuk yang boleh menjadikan mereka lasak, menjadi dan terpelihara minda dan rohnya.

Dalam konteks yang lebih umum, karyawan di dalam hal ini turut mencoret panduan tentang masa-masa yang sesuai untuk menjadualkan pembelajaran murid. Al-Zarnuji dan Ibn Jama’ah berpendapat bahawa masa sebelum terbit matahari adalah masa paling optimum untuk aktiviti menghafal. Waktu tengah hari pula didedikasi untuk menulis, manakala waktu senja dan lewat petang adalah waktu yang terbaik untuk membaca dan mengulangkaji secara berkumpulan.

Kemewahan

Ketika mana ramai karyawan klasik memberi amaran tentang bahayanya kemewahan yang boleh menjadikan murid malas, mereka juga mengusulkan supaya murid dibenarkan untuk beriadah dan bermain kerana ia boleh “meningkatkan potensi semulajadi, memelihara kesihatan, menghapus kemalasan, mencegah kebosanan, menambah keceriaan dan melunakkan jiwa dan perasaan.” Belajar secara berterusan tanpa bermain difahami sebagai mempunyai kesan tidak baik ke atas pembelajaran dan moral.

HASRIZAL
OULU FINLAND

Check Also

Tragedi Gaza Runtuhkan Tembok Rome

Sama ada kematian mencecah dua puluh ribu saudara-saudara kita di Gaza, semenjak 7 Oktober 2023 …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share