Krisis Pendidikan Seksualiti Dalam Budaya Lucah

“Sebelum Abi dengan Ummi kahwin, Yop ada dekat mana?” anak sulung saya bertanya. Usianya baru enam tahun.

“Sudah besar, anak aku rupanya” hati saya terdetik. Sentiasa melihat anak-anak dengan wajah mereka tatkala di dukungan, terlupa yang mereka sudah meniti usia dewasa.

“Sebelum Abi dengan Ummi kahwin, Yop duduk di tempat lain. Tempat tu Allah sahaja yang tahu” saya cuba memberitahu. Entah ya entahkan tidak, saya mencuba.

“Macam mana Yop boleh ada dalam perut Ummi?” tanya si anak lagi.

Err, saya tergamam. 

“Abi kan kahwin dengan Ummi. Sebab itulah Yop ada dalam perut Ummi” saya menjawab (tapi tidak menjawab).

Anak saya mengangguk-angguk.

Mujur!

Soalan-soalan seperti ini sudah muncul semenjak usia lima atau enam tahun lagi. Malah pada usia sebegitu, ada kemungkinan anak-anak sudah mula berkesperimentasi. Mereka sudah sedar akan persamaan dan perbezaan fizikal antara adik beradik berlainan jantina, malah perbezaan fizikal kanak-kanak dan orang dewasa.

Atas kesedaran itu, Baginda SAW telah mengarahkan agar anak-anak lelaki dan perempuan dipisahkan bilik pertiduran mereka pada usia mereka belajar tentang solat.

“Ajarkanlah anak kamu bersolat pada usia 7 tahun, pukul andai masing enggan bersolat tatkala berusia 10 tahun, dan pisahkan pertiduran mereka” [Hadith Riwayat Abu Daud]

Tertib ini perlu kerana tahap umur bereksperimentasi mereka sudah bermula pada usia sedemikian rupa. Kesedaran anak-anak terhadap kejantinaan mereka sudah bermula. Di sinilah ibu bapa dengan bantuan guru, harus mula memperkenalkan kepada anak mereka beberapa panduan berkaitan dengan seks.

Kita sedar akan betapa besarnya tanggungjawab ibu bapa dan guru-guru untuk mengajak pendidikan seks kepada anak murid. Seawal usia pra sekolah, keperluan memperkenalkan beberapa garis panduan kepada kanak-kanak ini sudah jadi mendesak, akibat exposure yang pelbagai di sana sini di dalam kehidupan mereka.

MULAKAN DENGAN NILAI

Pendidikan seks boleh dimulakan dengan memperkenalkan nilai kepada anak-anak. Ajar mereka tentang sifat MALU, yang akan membantu mereka membina batas-batas pergaulan, seterusnya memilih tindakan dengan bertertib.

“Yop, keluar bilik air pakailah tuala siap-siap!” Ummu Saif menegur anak kami.

“Naurah, duduk elok-elok” saya betulkan duduk Naurah, agar ada sopan santun.

Tidak mudah… tetapi saya dan isteri terus mencuba. Perlahan-lahan. Perlu sekali untuk anak-anak dipupuk agar sifat malu mereka terjaga. Sifat malu itu tidak perlu diperkenalkan kerana ia naluri. Namun naluri itu boleh mati dan hilang jika ia tidak dipupuk, apatah lagi didedahkan kepada nilai yang bertentangan.

“Sesekali biarkan anak-anak kita bertelanjang bebas, untuk mereka bereksperimentasi!” kata Miriam Stoppard di dalam salah sebuah buku parenting tulisan beliau.

Oh, walaupun saya amat terbuka malah menggalakkan semua orang membaca buku-buku seperti ini, namun kita hendaklah selektif dalam menilai. Mana-mana yang tidak sesuai dengan nilai agama dan budaya kita, haruslah bijak membuat saringan.

Saya tidak selesa dengan sikap sesetengah ibu bapa yang membiarkan sahaja anaknya ‘bolen‘ bertelanjang ke sana sini di dalam atau di halaman rumah.

Sifat malu yang hilang akan menyulitkan pendidikan seks kepada mereka nanti.

MENURUTI PERTAMBAHAN USIA

Pendedahan ibu bapa kepada permasalahan seks kepada anak-anak juga harus meraikan aspek umur. Sesuaikan penjelasan dengan tahap keupayaan memahami anak-anak. Sesuaikan juga dengan tahap keperluan.

“Kenapa mama tak sembahyang?” boleh sahaja anak pada usia 7 tahun bertanya. Hairan melihat ibunya ‘bercuti’.

“Allah sayang ibu. Sebab itu semua ibu Allah beri cuti seminggu. Ayah kuat. Jadi Ayah boleh terus solat. Tak perlu cuti” mungkin penjelasan sebegini sudah memadai.

Tetapi apabila usia anak meningkat ke 10 hingga 12 tahun, persoalan haid sudah boleh dijelaskan dengan baik kepada anak-anak.

KUNCINYA KOMUNIKASI

Berbalik kepada isu utama, ibu bapa hanya berada di dalam mood yang betul untuk berperanan mendidik tentang seks kepada anak-anak, hanya apabila mereka mempunyai hubungan yang baik dengan anak-anak. Sikap terbuka ibu bapa berbincang dengan anak-anak membolehkan pelbagai isu dapat dibincangkan, dan ibu bapa menjadi orang kepercayaan anak-anak.

Tentu sahaja pendidikan terbaik oleh ibu bapa kepada anak-anak ialah dengan menjadi model mesej kepada mereka. Sifat malu, menjaga batas aurat, penggunaan bahasa yang sopan dan bertertib, adalah suatu kemudahan yang besar untuk mendidik anak tentang seks dalam konteks akhlaq Islam.

Sebelum bercakap tentang tajuk sesusah seks kepada anak-anak, perlulah ibu bapa sudah biasa berbincang tentang tajuk-tajuk yang lain dengan mereka.

MELUCAHKAN SEKS

Dalam susah payah kita mahu memberikan panduan pendidikan seks dan benteng penyelamat bagi anak-anak, usaha itu diancam oleh mentaliti kotor sebahagian masyarakat kita yang gemar MELUCAHKAN SEKS.

“Orang lelaki, kena balik rumah. Orang perempuan, balik rumah… kena!”, kata seorang ustaz di akhir sebuah kursus.

Peserta perempuan tersipu-sipu tunduk menahan malu.

Peserta lelaki ketawa sampai memukul-mukul meja.

Hebatlah ustaz itu barangkali! Lawaknya menjadi.

Kejadian seperti ini sangat kerap berlaku. Bahan senda gurau yang mengandungi unsur-unsur lucah sudah menjadi kebiasaan hingga kayu ukur sexual harrasment masyarakat kita menjadi lebih kebal. Budaya ini adalah budaya kerendahan akal dan budi.

Budaya ini menggambarkan betapa masyarakat kita sudah tidak menghormati kesucian institusi keluarga. Hubungan seks di antara suami isteri adalah suatu ‘ibadah’ yang dilindung oleh Allah dengan adab-adab yang diungkap dengan wahyu. Malangnya, orang kita menjadikannya sebagai benda murahan yang disenda guraukan.

Siapakah juara dalam budaya melucahkan seks ini?

Tolak ketepilah lelaki-lelaki singkat akal yang kotor hidup dan kotor bahasanya.

Budaya melucahkan seks ini jadi satu ‘kemalangan’ ke atas akhlaq umat apabila ia dijuarai oleh orang agama sendiri. Ustaz-ustaz lucah!

Kursus Kahwin – Gambar Hiasan

Kalaulah boleh diadakan kaji selidik, siapakah peserta kursus kahwin yang terselamat dari lawak lucah penceramahnya? Saya sendiri turut mengalaminya. Kursus kahwin yang saya sertai, bukan sahaja penuh kekeliruan terhadap perbahasan hukum hakam, malah turut tercemar secara rutin dengan lawak-lawak yang lucu bagi manusia singkat akal. Melawakkan seks dan melucahkannya.

Di dalam ceramah agama pun sama juga. Kotor sungguh majlis-majlis ilmu dengan cakap-cakap sebegini.

Malah, bukan sahaja ustaz-ustaz yang buat kerja kotor seperti ini, ustazah-ustazah pun sudah turut menjadi mubalighnya. Bercakap kotor, membuat gaya-gaya gatal dan gedik, bergaya mengalahkan selebriti… entah apa yang cuba didemonstrasikannya.

PUNCA

Sukar untuk saya mengenal pasti punca kecenderungan orang agama terhadap lawak lucah sebegini.

Menjadikan seks sebagai bahan lawak jenaka jauh sekali menjadi petanda yang seseorang itu cool kecuali tiada agama yang hendak dirujuk sebagai penentu nilai. Cakap-cakap kotor sebegini tidak akan berlaku kecuali ia datang dengan kombinasi dua faktor.

Pertamanya adalah faktor kerendahan mentaliti.

Keduanya adalah faktor kerendahan iman dan hati.

Namun seandainya lawak-lawak berlibido ini disertai dengan perlakuan hiperaktif, mahu sahaja saya cadangkan bahawa golongan ini mempunyai masalah psikiatri yang serius.

SESUNGGUHNYA

Jika rumahtangga bermula dengan pendidikan seks lucah terhadap calon ibu bapa… apakah ada sinar dalam budaya gelap ini?

Falaa yalumanna illa nafsah!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

Check Also

Tragedi Gaza Runtuhkan Tembok Rome

Sama ada kematian mencecah dua puluh ribu saudara-saudara kita di Gaza, semenjak 7 Oktober 2023 …

One comment

  1. Terima kasih ustaz untuk sebuah artikel ini. Membuka mata!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share