Kehidupan Seorang Yang Mempersoalkan Segalanya

“Semua tak kena!”

“Dia sahajalah yang betul. Orang lain semua salah.”

“Sikap holier than thou itu tak ke mana. Akan membinasakan dirinya sahaja.”

“Kamu sebenarnya mahu apa dalam hidup ini? Apa kesudahannya?”

Kenyataan-kenyataan ini adalah belenggu yang perlu dihadapi oleh sesiapa sahaja yang hidupnya penuh persoalan, dan mempersoalkan segalanya. Saya tidak minta untuk menjadi sebahagian daripada jenis manusia yang sebegini. Namun, inilah yang perlu saya hadapi kerana hidup saya penuh persoalan.

Persoalan-persoalan yang timbul bukan saya sengajakan. Bukannya tidak ada kerja lalu mereka-reka persoalan. Sebaliknya persoalan itu hadir kesan desakan di dalam diri saya untuk tidak berupaya hidup go with the flow, terutamanya apabila benda-benda yang sudah diterima dan stabil itu tidak berfungsi. Tidak seperti yang sepatutnya.

Saya tidak ingat semenjak bila saya menyoal.

Apabila nama dan makna tidak seiringan, saya akan mempersoalkannya

Apa yang saya ingat ialah, apabila nama dan makna tidak seiringan, saya akan mempersoalkannya. Setiap kali saya mempersoalkannya, saya akan ditimpa kesusahan.

Selalunya orang akan kata kesusahan itu ialah kerana bahasa yang saya guna. Mungkin juga. Bahasa saya bukanlah elok sangat. Adakalanya kemarahan di dalam diri membuak-buak untuk saya berkata 100 kali lebih besar daripada apa yang saya pilih untuk katakan. Malah ada kalanya saya ingin mencarut, memaki, memberi middle finger, malah menumbuk apabila reaksi yang datang kepada saya itu terlalu absurd, merepek dan low class. Tetapi mazmumah itu setakat usia menghampiri separuh abad ini, saya masih mampu mengunyahnya dan menelan dalam diam. Masih memilih perkataan yang sebaik mungkin, kerana saya percaya redha Tuhan masih menuntut saya berbahasa dengan baik.

Apa gunanya betul, kalau Tuhan tak suka.

Oh ya! Saya sudah ingat. Kali pertama saya menyusahkan diri sendiri dengan pertanyaan semasa nama tidak seiring makna ialah semasa saya di Tingkatan 1. Sekolah agama. Baru belajar ikat serban. Bukan alim sangat pun. Budak pekan Ipoh. Baru dapat kesedaran agama.

Tetapi kenapa semasa bersekolah agama, saya dapati budak sekolah agama perangai tak senonoh? Kawan-kawan semasa sekolah rendah yang Cina, India, bukan Muslim, lebih berbudi bahasa daripada bangsa sendiri dan budak sekolah agama? Saya tidak selesa soalan ini tersimpan membusuk di dalam jiwa. Saya tanya semasa menyampaikan tazkirah selepas Isyak, Ogos 1988.

Saya analogikan, sekolah kita sudah jadi macam durian. Luarnya elok dan menyelerakan, tetapi apabila dibelah, dalamnya berulat dan busuk. Bukankah sepatutnya di sekolah agama ini, lagi naik Tingkatan, lagi duduk saf depan? Bukankah abang Form 5 dan Form 6 yang duduk saf depan di musolla, manakala budak macam saya yang Form 1 ini duduk paling belakang?

Soalan saya menimbulkan kemarahan.

Malam itu ramai pelajar Tingkatan 2 sampai Tingkatan 5 berkumpul keliling Blok C, mendesak budak gemuk celupar itu keluar. Saya jenguk di jaring asrama, nampak ada yang pegang kayu, dan menjerit-jerit macam nak bunuh saya.

Apa lagi, menangislah saya di atas katil di dalam kelambu. Budak kecil. Baru 13 tahun. Abang Form 5 kepala gengster masa itu masuk asrama nak ‘culik’ saya bawa ke tempat mereka. Mujurlah Abang Form 5 lain yang menjadi pengawas dan Ketua Blok menghalang. “Kau kalau nak tunjuk gengster, bukan dengan budak Form 1, tapi dengan aku. Kau sentuh budak-budak aku, sama kau sentuh aku!” kata Pengawas yang namanya sama macam ayah saya.

Abang gengster itu tinggalkan saya yang sedang tersedu-sedu di dalam kelambu. Tetapi dengan amaran, yang hidup saya tidak akan aman.

Memang hidup tidak pernah aman semenjak itu.

Tetapi ejekan dan ugutan itu tidak dapat memberhentikan saya daripada terus menyoal dan mempersoalkan.

Walaupun akademik saya baik semasa di sekolah, saya bukanlah seorang yang disenangi, termasuk oleh guru-guru saya sendiri. Saya hormat, kasih dan ingin disayangi guru. Tetapi saya menutup tirai persekolahan sebelum terbang ke Jordan, dengan keinginan beberapa orang guru yang kalau jumpa saya ingin menampar saya.

Saya memang budak yang celupar. Saya tidak boleh terima salah laku guru menyonglap duit murid. Saya tidak boleh terima salah laku cikgu yang ponteng mengajar tak masuk kelas. Saya tidak boleh terima sekolah biarkan kontrak dewan makan sekolah diseleweng hingga pelajar makan makanan macam sampah.

Saya rasa semasa itu, yang selalu beri semangat kepada saya ialah arwah abah. Beliau tidak layan saya macam budak-budak. Malah apabila berinteraksi dengan kawan-kawan saya pun, abah bahasakan dirinya ‘saya’ dan bukan ‘pakcik’. Maka benda-benda yang abah tahu sebagai orang dalam di bahagian kewangan, abah kongsi dengan saya. Saya tahu calculation bajet dan munasabahkah pelajar makan sayur yang bak kata abah, “kura-kura pun tak sudi!”

Tapi abah pergi terlalu awal.

Meninggalkan saya sebagai anak remaja yang terlebih ‘menyedari’ realiti kehidupan hingga tidak sempat menikmati zaman remaja yang ceria dan happy go lucky.

Semasa di Jordan, banyak masalah timbul kesan isu yang sama. Saya mempersoalkan, mempersoalkan dan enggan berdiam diri apabila ada benda yang tidak kena.

Saya berbalah dengan pensyarah subjek Hubungan Antarabangsa, apabila beliau menuduh Daulah Uthmaniyyah menawan daerah baru, mengislamkan penduduk dan membiarkan mereka dalam kejahilan. Saya tahu tuduhan itu tidak benar. Saya tanya balik. Menyoal. Berbahas dan berdebat, sampai habis kelas petang itu, antara saya dan beliau. Entahlah kawan-kawan lain suka atau menyampah. Saya tak sempat nak fikir.

Ada pensyarah yang masuk sahaja ke kelas, mengejek nama pelajar Thailand, Malaysia, Indonesia dan Filipina yang pelik-pelik. Bagi saya nama adalah hak pelajar, kurniaan ibu bapa mereka. Jika Rani sepatutnya diejak Ghani, sebutlah dengan baik. Bukannya buat kelakar dengan nama tersebut. Allah haramkan dalam surah al-Hujurat dan awak sebagai pensyarah Syariah, takkanlah tidak tahu.

Saya tanya.

Syukur, kawan-kawan lain yang rock-rock pun tanya juga. Kami bantah. Bangun, dan kami buang subjek itu. Ambil subjek itu depan-depan nanti. Tidak mahu mengalah.

Selepas kena marah depan semua orang dalam kelas, dan diminta berhenti daripada subjek A, saya yang terkasima dan tahu terpaksa extend semester kalau berbuat demikian, berjalan ke pejabat pensyarah. Saya tunggu hingga pensyarah tenang, baru saya ketuk pintu dan beri salam. Dia nampak sahaja saya, terus ditengkingnya saya “kamu nak apa!!!?” Terkejut saya dengan jerkahan pensyarah itu dan saya terlanjur menyepak pintu beliau kerana marah. “Saya tidak mahu apa-apa daripada doktor kecuali tandatangan!” Beliau yang terkejut dengan reaksi saya, melembutkann perkataannya, dan menurunkan tandatangan ke borang pengguguran subjek. Saya minta maaf dan beliau maafkan.

Jika saya fikirkan kembali, sayalah contoh pelajar yang tidak pernah percaya dengan kekudusan status guru untuk sebarang salah laku guru boleh didiamkan. Saya tidak percaya dengan konsep ‘tak berkat kalau lawan cikgu’ semasa cikgu atau pensyarah buat benda yang salah dari segi agama dan profesionalisme mereka sebagai pendidik. Jika guru itu seorang yang mendidik, mengasihi pelajar, merendah diri, saya tanpa perlu disuruh-suruh akan secara otomatik menghormatinya, walaupun guru itu mengajar subjek bukan subjek agama, tidak bertudung, bukan Islam, atau agnostik mahu pun atheist.

Semasa di dalam gerakan Islam pun sama juga.

Saya menyertai gerakan Islam sebab saya ingin membuat sesuatu untuk Islam. Gerakan Islam membantu saya merealisasikan hasrat saya untuk menjadi hamba dan khalifah Allah. Tetapi apabila gerakan Islam merepek, mengenepikan akhlak, terbabit dengan korupsi, sampai ke tahap tidak lagi berkhidmat untuk Islam, saya mempersoalkan kewajaran untuk terus bersama gerakan itu, yang juga saya persoalkan sama ada ia masih gerakan Islam atau apa.

Akibatnya maklum.

Hidup jadi tunggang langgang.

Sampai masanya, saya fikir bumi Allah itu luas. Jika saya akur, nak buat macam mana, ikut sahajalah, saya hanya menurut perintah, saya takut Allah tak kasihan.

Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri, mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata: “Apakah yang kamu telah lakukan mengenai agama kamu?” Mereka menjawab: “Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi”. Malaikat bertanya lagi: “Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?” Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah Neraka Jahanam, dan Neraka Jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali. (Al-Nisā 4: 97)

Saya belajar Syariah bukan kerana mahu menjadi agamawan. Saya hanya mahu mencari jawapan kepada persoalan. Sebahagian daripada persoalan itu telah terjawab. Namun sebahagiannya belum. Daripada bidang Syariah saya beralih ke bidang sejarah. Sebabnya sama. Ada beberapa persoalan mengenai kehidupan yang saya tidak mendapat jawapan daripada ilmu agama. Belajar sejarah, bukan hanya fakta siapa, di mana, apa, dan bila, tetapi juga bagaimana dan mengapa.

Daripada sejarah, yang sifatnya makro, yang telah banyak membantu saya memahami beberapa perkara tentang mengapa hari ini seperti hari ini, dan bagaimana rupanya pada masa silam, saya melanjutkan pencarian jawapan kepada beberapa persoalan mikro di bidang yang menelaah manusia secara mikro iaitu pendidikan.

Di dalam dunia pendidikan yang luas, sosiologinya memahamkan saya tentang beberapa perkara, tetapi saya mendapat jawapannya di dalam sains pembelajaran yang merangkumi aspek kognitif, metakognitif, emosi, motivasi, regulasi pembelajaran kendiri, kolaborasi… yang mana semua ini menjawab persoalan tentang BELAJAR AGAMA. Bukan pada agama tersebut, tetapi pada BELAJAR. Apa sebenarnya yang terjadi kepada seorang yang belajar semasa beliau belajar, termasuk belajar agama.

Untuk menjawab persoalan itu, saya memilih lokasi yang amat jauh daripada kehidupan sebelum ini. Jauh, dengan membawa keluarga bersama, hidup di negeri sejuk di utara planet bumi ini, kerana ini adalah negeri yang nama dan makna selaras dalam amalan pendidikan.

Sudah tentu, hasil belajar di Finland ini, saya ingin berbuat sesuatu untuk tanahair.

Tetapi saya sedang cuba memujuk diri bahawa ketenangan dan kepuasan harus sudah boleh dinikmati apabila persoalan mendapat jawapan. Dan jawapan terguna pakai untuk dunia paling kecil, iaitu diri saya sendiri, keluarga dan anak-anak, dan dua buah sekolah yang sudi memanfaatkan jawapan-jawapan yang saya cari kepada pelbagai persoalan selama ini.

Perjalanan diteruskan.

Sebagai non conformist yang terus menyoal dan menyoal.

Mungkin menyebabkan diri sendiri semakin tidak difahami oleh dunia sekeliling dan mengundang kecaman yang sebenarnya bukan sesuatu yang asing.

Tetapi tidak mengapa.

Moga Allah pelihara hatiku daripada sebarang mazmumah diri.

Cukuplah dengan doa yang pernah diungkapkan oleh seorang lelaki dan didengari oleh Umar bin al-Khattab r.a.

“Ya Allah, jadikanlah aku daripada golongan yang sedikit!”

Umar bertanya, “daripada manakah datangnya doa kamu yang sedemikian rupa?”

Lelaki itu menjawab, Allah menyebut di dalam kitab-Nya:

Dan sememangnya sedikit sekali di antara hamba-hambaKu yang bersyukur. (Saba’ 34: 13)

Umar bin al-Khattab r.a. menangis lalu berkata, “semua orang lebih memahami berbanding engkau, wahai Umar!”

Jika ingin bersama yang ramai, mencarinya di dalam al-Quran menemukan pelajaran yang pelbagai.

Jika yang dicari ialah kebanyakan manusia (أكثر الناس) maka yang ditemui adalah:

وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ
وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يُؤْمِنُونَ
وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَشْكُرُونَ

“Akan tetapi kebanyakan manusia itu tidak mengetahui”
“Akan tetapi kebanyakan manusia itu tidak percaya”
“Akan tetapi kebanyakan manusia itu tidak bersyukur”

Seandainya yang dicari ialah kebanyakan mereka (أكثرهم) maka yang ditemui ialah:

وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لَا يَعْلَمُونَ
أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْقِلُونَ
بَلْ أَكْثَرُهُمْ لَا يُؤْمِنُونَ
وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لَا يَشْكُرُونَ
كَانَ أَكْثَرُهُم مُّشْرِكِينَ
وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَهُمْ يَجْهَلُونَ
وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ
وَأَكْثَرُهُمْ فَاسِقُونَ
وَأَكْثَرُهُمُ الْكَافِرُونَ
وَأَكْثَرُهُمْ كَاذِبُونَ

“Akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui”
“Akan tetapi kebanyakan mereka tidak memikirkannya”
“Bahkan kebanyakan mereka tidak percaya”
“Akan tetapi kebanyakan mereka tidak bersyukur”
“Kebanyakan mereka itu adalah orang-orang musyrik”
“Akan tetapi kebanyakan mereka itu jahil”
“Kebanyakan mereka itu adalah orang-orang fasiq”
“Kebanyakan mereka itu fasiq”
“Kebanyakan mereka itu adalah orang-orang kafir”
“Kebanyakan mereka itu adalah pendusta”

Tetapi, seandainya kita bersama lelaki yang Umar r.a. temui itu, yang berdoa menjadikan dirinya daripada golongan yang sedikit (القليل) maka yang ditemui ialah:

وَقَلِيلٌ مِّنْ عِبَادِيَ الشَّكُورُ
وَمَا آمَنَ مَعَهُ إِلَّا قَلِيلٌ
إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَقَلِيلٌ مَّا هُمْ
ثُلَّةٌ مِّنَ الأَوَّلِينَ ۝ وَقَلِيلٌ مِّنَ الْآخِرِينَ

“Dan sedikit sekali daripada kalangan hamba-Ku yang bersyukur”
“Manakala tidaklah mereka yang beriman bersamanya itu kecuali sedikit”
“Kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh, mereka itu hakikatnya sedikit”
“Sebilangan besar daripada golongan terdahulu, dan sedikit sekali daripada golongan yang terkemudian”
(1)

Matikan diriku ya Allah di kalangan golongan yang sedikit itu.

Ameen.

Learning without thinking is useless

Thinking without learning is dangerous

Hamba-Mu,
Hasrizal
Oulu Finland


Rujukan:

(1) maqola.org

Check Also

Tragedi Gaza Runtuhkan Tembok Rome

Sama ada kematian mencecah dua puluh ribu saudara-saudara kita di Gaza, semenjak 7 Oktober 2023 …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share