Teman Nak Jadi Angkasawan!

Shariman, saya, Faisal, Dzulkhairi, Ziad, Harith dan Fazrin, Blok B SIS, 1990

“Kenapa mike sugul ni?” saya menyapa Fazrin.

“Mike tengok tu. Yang sana tu Bintang Utara, yang sebelah sini Buruj Pari” katanya sambil menunding jari ke langit.

Angin malam di tepi padang sekolah, terasa nyaman sekali.

“Habis, apa yang anta sugulkan?” saya masih belum faham.

“Idak le. Teman nak jadi angkasawan. Tapi ayah teman suruh teman jadi cikgu aje!” jawab Fazrin. Bersungguh benar dia bercerita.

”Ayah mike kan cikgu. Dia tentu le suka mike jadi cikgu” saya membalas.

”Itu le. Masalahnya, teman nak jadi angkasawan” kata Fazrin lagi.

Saya ketawa.

Jam sudah hampir pukul 11 malam. Saya dan Fazrin sama-sama beredar ke asrama.

DARI KECIL SEHINGGA DEWASA

Saya sudah bersahabat dengan Fazrin semenjak di sekolah rendah lagi. Kadang-kadang kami sekelas, tetapi masa paling banyak kami luangkan bersama, adalah kerana aktiviti kami di dalam Pengakap. Tambah pula adiknya Fazlan turut sama menyertai kami apabila cukup usianya.

Persahabatan saya dan Fazrin terus lagi mengiringi usia remaja kami apabila kami bersekolah di sekolah yang sama. Dari SRK Raja Di Hilir Ekram, membawa ke SMA Izzuddin Shah, kami rapat seperti adik-beradik.

Seperkara yang saya ‘tidak gemar’ dengan Fazrin ialah sikapnya yang suka melayan saya seperti seorang ketua. Permintaan saya, dilakukannya seperti menerima arahan dari seorang kapten tentera.

”Teman bukannya bos. Janganlah mike buat teman macam ni” saya merungut semasa kami duduk sebelah menyebelah di kelas.

”Baik bos!” balasnya.

”Tengok tu!” saya tidak puas hati.

Seingat saya, Fazrin tidak pernah mempunyai musuh. Semua orang suka kepadanya. Terutamanya disebabkan oleh gaya beliau yang kadang-kadang seperti agak kelam kabut, sering mengundang ketawa.

TINGKATAN 4

Tetapi, kegusaran timbul semasa saya di Tingkatan 4.

“Anta bawa-bawalah bertenang. Ana tolong…” saya cuba menenangkan Fazrin.

Beliau gelisah kerana tidak sempat menghabiskan ulangkaji subjek Matematik, menjelangnya Peperiksaan Akhir Tahun 1991. Puas saya memujuk dia, malah berjanji untuk memberikan pertolongan tambahan. Apa gunanya sahabat, jika tidak dapat membantu pada saat-saat seperti ini?

Tetapi Fazrin terus panik. Hingga urat tengkuknya pun kelihatan tegang dan dahi berkerut sepanjang masa.

Akhirnya Peperiksaan Akhir Tahun yang digeruni itu tiba. Saya rasa Fazrin tidaklah begitu sulit untuk menjawab soalan peperiksaannya. Malah sudah mampu tersenyum selepas habis peperiksaan.

Semua ok, kan!

Selepas hari penyampaian hadiah, saya hairan melihat gelagat Fazrin.

”Eh, kenapa anta bawa balik semua barang ni. Cuti sebulan sahaja tahu” saya menegur.

Semua barangnya, termasuk kertas-kertas kecil semuanya dibungkus dan dibawa pulang. Malah tilam pun siap diikat dengan tali.

”Apa-apa hal nanti, senang. Barang dah habis kemas” jawab Fazrin selamba.

”Tangan anta macam mana?” saya semakin risau dengan keadaan tangannya. Semenjak sebelum peperiksaan lagi, tangan Fazrin seperti beransur lemah.

”Entah le. Makin kebas rasanya” jawab beliau.

Saya memegang tangan kirinya itu, dan terasa sedikit sejuk.

Kami sama-sama melangkah menuju ke perkarangan sekolah untuk balik ke rumah masing-masing.

”Eh, ayah teman dah balik. Isk…” Fazrin begitu terkejut kerana ayahnya, Ustaz Fahmi, yang juga Pengerusi PIBG di sekolah saya, sudah meninggalkan kawasan sekolah.

”Itulah anta. Kan ayah anta cakap suruh cepat. Dia banyak kerja. Yang anta dok sibuk kemas barang beriya-iya tu, memang patutlah kena tinggal pun” saya menyampuk.

Fazrin nampak begitu sedih. Hingga bergenang air matanya.

”Jom, ikut ana balik. Biar ayah ana hantar. Rumah kita pun dekat aje” saya menarik tangannya.

Kami pulang bersama.

CUTI YANG MENGUBAH SEGALANYA

Semasa cuti sekolah, saya sibuk dengan pelbagai kursus. Hampir tidak lekat di rumah. Sama seperti kebanyakan cuti yang lain. Sedar-sedar, kami sudah menghampiri penghujung cuti persekolahan tahun itu.

Saya tidak sempat menjenguk Fazrin, hinggalah ke minggu terakhir cuti sekolah kami.

”Ya Allah, kenapa dengan anta ni?” saya rasa seperti hendak terputus urat jantung melihat keadaan Fazrin.

Badannya kurus kering. Wajahnya pucat. Malah tangan kirinya kelihatan semakin lemah dan lembik.

”Doktor cakap, ana kurang zat!” jawabnya lemah.

”Hah, kurang zat? Anta kan kuat makan?” saya terkejut.

Fazrin memang suka makan. Tetapi badannya tetap kurus dan saya cemburu dengannya.

”Itulah. Puas teman makan macam-macam, tapi senang-senang aje doktor tu cakap ana kurang zat” jelas Fazrin. Dalam suara yang lemah, beliau masih sempat bergurau.

Sambil berbual, saya menggosok-gosok kepala adik bongsunya Faiz. Adik-adik yang lain juga duduk bersama di ruang tamu.

Ada Fazlan, Farhan, Fahzan, juga Farah Wahidah yang malu-malu sebagai anak perempuan tunggal dalam keluarganya.

”Hasrizal duduk dulu ya. Makcik buatkan air” kata emak Fazrin.

”Jangan susah-susah, makcik!” saya cuba beradab sopan.

Melalui perbualan kami, saya mendapat tahu yang sakit di tangan Fazrin semakin menjadi-jadi. Bukan sahaja tangan, malah seluruh badannya menjadi lemah tidak bermaya. Saya sungguh bimbang.

”Habis, minggu depan dah sekolah. Mike datang sekolah tak?” saya bertanya.

”Aih, mestilah. Kan kita masuk Form 5. Tahun ni SPM woo!” katanya penuh semangat.

Saya lihat wajah Fazlan semacam resah. Begitu juga adik-adik yang lain.

Selepas beberapa ketika, saya memohon izin untuk pulang.

”Nanti kita jumpa di sekolah ya” saya melambai tangan, sambil mengayuh basikal balik ke rumah.

SEKOLAH BERMULA

Saya berada di kelas 5 Perdagangan manakala Fazrin di kelas 5 Sastera. Semenjak di Tingkatan 4, kami tidak lagi sekelas kerana berubah aliran. Saya ke SMAP Labu seketika, kemudian pulang ke SIS masuk ke kelas aliran sains sosial, manakala Fazrin di aliran sastera.

Lalu di kelas sastera, saya menoleh ke dalam bilik darjah. Bangku Fazrin kosong.

Sahabat saya tidak datang ke sekolah.

Hati semakin bimbang.

Tengah hari Selasa, saya menelefon ke rumah Fazrin mahu bertanya khabar. Tetapi kata ayahnya, Fazrin sudah terlalu lemah untuk bercakap. Beliau meminta saya dan rakan-rakan mendoakannya.

”Ya Allah, apa dah jadi dengan sahabatku ini?” saya semakin gusar.

Saya terus menelefon abah di rumah.

”Abah kalau sempat, abah ziarah Fazrin ye. Macam mana keadaan dia?” saya meminta bantuan abah.

Keesokan harinya, saya menelefon kembali ke rumah, ingin mendapatkan kepastian.

”Rizal, abah tengok keadaan Fazrin makin tenat. Dia antara kenal tak kenal dengan abah. Ajaklah kawan-kawan, ziarah dia” abah bersuara perlahan.

Saya tahu yang abah sangat prihatin dengan kawan-kawan yang rapat dengan saya. Sebab itu abah tidak teragak-agak pergi melawat Fazrin. Apatah lagi abah dan Ustaz Fahmi berkawan baik.

Saya panik.

Tanpa bertangguh, saya terus ke bilik guru dan meminta sokongan pihak sekolah untuk membenarkan kami melawat Fazrin yang sedang sakit tenat.

Tetapi entah kenapa, pihak pentadbiran sekolah sengaja menyusah-nyusahkan protokol mendapatkan bas. Kena tandatangan sini, tandatangan sana, mahu tidak mahu kena dapatkan juga persetujuan guru harian, yang hakikatnya sudah tiada di sekolah selewat 3 petang. Ini bukan permintaan biasa-biasa. Kawan kami nazak.

Akhirnya hasrat saya tidak berjaya. Pihak sekolah langsung tidak peduli dengan saya yang semakin tersepit di antara takut, marah, geram dan gelisah tidak menentu.

Setiap kali selepas solat, saya memanjatkan doa kepada Allah agar Fazrin disembuhkan.

Setiap solat… setiap saat.

JUMAAT 20 DISEMBER 1991

Saya baru sahaja selesai mandi untuk Solat Jumaat. Seperti biasa, dalam perjalanan ke Musolla, saya singgah ke bilik rakan-rakan sekelas di Blok D untuk mengejutkan sebahagian mereka yang tertidur.

Tiba-tiba saya terdengar dari jauh, sebahagian rakan saya berbual sesama mereka.

”Eh, aku dengar Fazrin meninggal. Betul ke?” Rafizul bercakap dengan Khairi dan Zaizuraimy.

”Ooi! Kalau nak melawak pun jangan le sampai lawak membunuh. Aku tahu le kawan tu sakit!” saya menjerit dari jauh.

Terkejut mereka dengan sapaan itu. Saya pun sebenarnya tidak berapa siuman ketika itu. Kebingungan.

Setibanya saya di Musolla, saya didatangi oleh Muhaimin. Beliau memegang bahu saya.

”Hasrizal, bawa bersabar ya. Ada berita sedih. Fazrin kawan kita, baru sahaja menghembuskan nafasnya yang terakhir sekejap tadi. Kami baru dapat berita ni dari pejabat sekolah!” kata Muhaimin.

”Ya Allaaaah!!!” saya tersepuk di tangga Musolla. Menggigil tubuh badan seperti hilang separuh nyawa.

Air mata sudah tidak terbendung. Dada sudah seperti hendak meletup.

HILANG AKAL

Seperti orang gila, saya terus berlari meluru ke pejabat sekolah dan menjerit kepada guru-guru dan kakitangan, ”Hah, puas hati kamu semua, kawan aku dah matiiiii!” saya menangis di pintu pejabat sekolah.

Menangis.

Sekuat-kuat hati.

Muhaimin dan Akramin cuba menenangkan saya. Mereka memegang saya dan mengajak ke Musolla.

Sepanjang khutbah dan solat Jumaat, saya menangis tidak tertahan. Basah lengan baju saya. Masih mengharapkan semua yang saya dengar itu hanya mimpi.

Selepas solat Jumaat, sekolah menghantar rombongan ke rumah Fazrin. Saya melangkah lesu. Terasa gementar dan tidak upaya mengadap kenyataan.

Orang ramai penuh mengerumuni rumah Fazrin. Setibanya sahaja saya di pagar rumah, Fazlan berlari dan memeluk saya ”Abang Has, Abang dah tak ada…..!”

Kami berbalas tangisan. Adik-adik yang lain juga datang memeluk kami berdua. Saya nampak abah berdiri di tepi pintu rumah dan menganggukkan kepala mengisyaratkan saya supaya terus sabar dan masuk ke rumah menjenguk jenazah.

Hancur luluh hati saya melihat wajah teman setia semenjak usia hingusan hingga meniti remaja, berbalut kain putih, terbujur kaku di ruang tamu. Saya gagahkan diri mencium dahi Fazrin, dan terus mengesat air mata saya yang tumpah ke dahinya.

”Maafkan teman, tak sempat menjenguk mike…” saya berbisik ke telinganya.

”Hasrizal, Fazrin dah tak ada. Janganlah pula Hasrizal tak datang menjenguk kami ya. Sekarang ni tinggal Hasrizal jadi abang kepada adik-adik ini semua” kata emak Fazrin. Suaranya lesu, tapi tidak setitik pun air mata kelihatan di wajahnya.

Makcik terus bertahan.

Saya mengangguk.

Ustaz Fahmi masih terus menangis di halaman rumah. Sahabat-sahabatnya termasuk abah berusaha menenangkan beliau.

Jenazah Fazrin dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Pasir Puteh, yang letaknya berhampiran dengan belakang rumah saya. Malah terjenguk jelas dari tingkap.

Kain putih penutup wajah Fazrin, makcik hadiahkan kepada saya. Kain itu saya bungkus dengan baik dan terus membawanya sehingga ke tahun akhir pengajian saya di Jordan.

DETIK-DETIK AKHIRNYA

Dari Fazlan, saya mendapat cerita, betapa Fazrin telah meninggalkan kepada beliau segala perincian tentang duit perpustakaan yang dipegangnya. Lencana pustakawan dan tali leher juga diberikan siap-siap. Beberapa hari sebelum beliau meninggal dunia, beliau meminta kepada ayahnya agar membawa beliau melihat kawasan sekolah buat kali terakhir. Saya sahaja yang tidak menyedarinya.

Pagi Jumaat itu, tiba-tiba Fazrin berselera untuk makan. Beliau meminta dari opahnya agar memasakkan gulai lemak telur kesukaannya. Mungkin kerana itu, ibu dan ayah Fazrin merasakan anak mereka beransur kebah, lantas masing-masing pergi ke tempat kerja.

Tiba-tiba Fazrin terbuang air kecil dengan banyak hingga basah kainnya.

Semasa Fazrin dipapah ke bilik air, beliau berpesan kepada opahnya agar menyampaikan salam kepada kedua ibu bapanya.

”Abang rasa abang tak sempat jumpa emak dengan abah. Sampaikan salam abang” kata Fazrin.

”Opah, abang rasa mengantuk sangat” keluh Fazrin kepada opahnya.

”Ha abang, apa opah ajar kalau nak tidur?” opahnya terus melayan cucunya yang semakin lemah itu.

”Opah ajar baca Fatihah” jawab Fazrin lemah.

”Ha, baca le” kata opahnya.

“Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen. Ar-Rahmaanir Raheem…”, semasa membaca surah al-Fatihah itu, suara Fazrin semakin perlahan, dan akhirnya beliau menghembuskan nafas yang terakhir sejurus sebelum azan Jumaat berkumandang.

Semoga Allah mencucurkan rahmat dan kasih sayang-Nya kepada teman saya ini, yang telah pergi lebih 16 tahun yang lalu. Namun setiap kenangan semenjak di sekolah rendah, hingga ke detik akhir pertemuan kami, masih segar di ingatan saya.

Fazrin tentu cemburu melihat Dr Sheikh Muszaphar Shukor terbang ke angkasa.

”Teman nak jadi angkasawan!”, Fazrin tidak pernah malu dan jemu mengulang ungkapan ini hingga ke akhir usia persahabatan kami.

Semoga Fazrin terbang lebih tinggi dari angkasawan, di Syurga Ilahi yang damai abadi, hingga ke pertemuan semula kita mudah-mudahannya, suatu hari nanti.

Hasrizal
68000 Ampang, Selangor

Check Also

Tragedi Gaza Runtuhkan Tembok Rome

Sama ada kematian mencecah dua puluh ribu saudara-saudara kita di Gaza, semenjak 7 Oktober 2023 …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share