Vlog: Stand By Me (1986): Nilai Sejati Sebuah Persahabatan

Filem Stand By Me (1986) arahan Rob Reiner adalah filem zaman kanak-kanak ‘favourite’ saya sampai ke tua. Biar pun filem seperti Goonies, ET dan The Dirt Bike Kid 🤣juga menarik, filem Stand By Me ini mempunyai kekuatan yang menjadikannya lekat di minda merentas masa.

Ia adalah filem yang merakam nilai sejati sebuah persahabatan di kalangan empat orang kanak-kanak remaja iaitu:

  1. Gordie Lachance lakonan Wil Wheaton
  2. Chris Chambers lakonan River Phoenix
  3. Teddy Duchamp lakonan Corey Feldman, dan
  4. Vern Tessio lakonan Jerry O’Connell

Filem ini diadaptasi daripada novel Stephen King bertajuk The Body. Mungkin kekuatan paling utama filem ini adalah pada bakat lakonan pelakon kanak-kanak paling hebat di Hollywood sepanjang masa terutamanya River Phoenix dan Corey Feldman. River Phoenix adalah abang kepada Joaquin Phoenix yang melakonkan watak Joker (2019).

Menonton filem ini akan memberikan kesan yang lebih mendalam jika kita membaca novel The Body tersebut kerana ia memperincikan banyak perkara yang tidak ditonjolkan di dalam filem.

Antara perkara yang menjadi ‘highlight’ saya di dalam filem ini adalah satu isu yang diulang berkali-kali di sana sini iaitu krisis atau konflik yang ditanggung oleh kanak-kanak kesan kerenah orang dewasa.

Gordie menderita dalam kepercayaannya bahawa beliau tidak disayangi oleh ayahnya, Chris yang dilabel pencuri, tiada masa hadapan, kerana datang daripada keluarga bermasalah, Teddy diejek kerana bapanya adalah pesakit mental yang mengidap post traumatic stress disorder dan pelbagai lagi kerumitan hidup mereka yang mencorakkan peribadi dan masa hadapan kesan formative year yang malang.

Tetapi saya paling terasa dengan luahan kesedihan perasaan Chris mengenai sikap guru-guru yang meremehkannya kerana kalau adik beradik dan ibu bapa di dalam keluarga Chambers bermasalah belaka, tentu sahaja Chris pun begitu. Ia membunuh ‘growth mindset’ yang sepatutnya dipupuk oleh sebuah pendidikan yang baik, seperti laporan PISA 2018 semalam (3 Disember 2019).

Saya tidak berkenan dengan sikap guru yang suka mengulang-ulang ayat “tanggungjawab mendidik anak-anak adalah tanggungjawab ibu bapa!” Siapa yang tidak tahu tentang hal ini? Memang ibu bapa akan mengadap Tuhan dan menjawab kecuaian mereka di hadapan-Nya nanti. Tetapi sebagai guru dan pendidik, apa yang kita fikirkan ialah apa usaha yang boleh dibuat untuk membantu kanak-kanak yang datang ke sekolah membawa kekecewaan daripada keluarganya sendiri, seperti Chris, apa intervensi yang boleh diusahakan, itu yang utama.

Filem Stand By Me juga mengingatkan saya kepada sahabat baik saya sepanjang usia kanak-kanak, daripada sekolah rendah hingga ke sekolah menengah pun kami duduk sebelah menyebelah, tetapi beliau pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya selepas jatuh sakit semasa di awal Tingkatan 5.

Setiap kali menonton Stand By Me, saya akan teringatkan arwah Fazrin Fahmi, semoga Allah melimpahkan kasih sayang, keampunan dan rahmat ke atas sahabat yang satu ini. Coretan mengenai persahabatan saya bersama Fazrin pernah saya coretkan di blog pada tahun 2007:

Berbasikal keliling taman perumahan, berenang di lombong, mengutip anak ikan yang selepas tiga hari keluar kaki (berudu, anak katak rupanya!), main sungai yang busuk secara misteri, dan macam-macam lagi kenangan zaman kanak-kanak di tahun 1980an dahulu, namun mesej utama yang ingin saya wariskan kepada anak-anak melalui filem ini adalah nilai sejati sebuah persahabatan. Semoga mereka baik dan setia kepada kawan-kawan mereka sebagaimana Fazrin setia sebagai sahabat kepada Hasrizal.

Tersentuh dengan catatan akhir Gordie di penghujung cerita: “I never had any friends later on like the ones I had when I was twelve. Jesus, did you?

Follow me on

Youtube: https://www.youtube.com/iamhasrizal
Instagram: https://www.instagram.com/iamhasrizal/
Facebook: https://www.facebook.com/hasrizalabduljamil/
Twitter: https://twitter.com/minaolenrizal
Linkedin: https://www.linkedin.com/in/hasrizal/
Blog: http://www.saifulislam.com
Edublog: http://hasrizal.com

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

2 comments

  1. River Phoenix 😦
    Langsung tak terlintas dalam imaginasi saya yang seorang ustaz akan sebut nama ni (in a good sense).

    • Beliau adalah pelakon muda paling berbakat yang sayang sekali usianya begitu pendek. Banyak juga lakonannya yang telah saya tonton. Jika berkelapangan, saya coretkan nanti pandangan mengenai lakonan beliau di dalam filem Running on Empty.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share