Bolehkah Murid Finnish Ketawa Dengan Jenaka Bahasa Arab?

Seorang Arab dari Jordan berjumpa dengan seorang Arab dari Sudan. Sama-sama Arab.

Arab Jordan itu ingin memulakan perbualan. Beliau bertanya, “ish lownak (إيش لونك)?”

Arab Sudan itu bulat matanya.

Ditumbuknya Arab Jordan tersebut lalu menjawab, “aswad (أسود)!”

“Kalian tahukah kenapa kejadian itu berlaku?” saya bertanya kepada murid-murid Finnish di kelas pagi itu.

Mereka faham apa yang berlaku selepas saya terjemahkan kisah di atas. Tetapi mereka tidak faham kenapa ia berakhir dengan pergaduhan.

Saya terangkan.

Orang Arab Jordan apabila bertanya khabar, mereka jarang sebut “kayfa haluka” yang bermaksud “apa khabar”. Ia ungkapan standard mengikut buku. Sebaliknya mereka akan guna ungkapan “ish lownak”. Ungkapan inilah punca masalah.

Di Jordan, ia bermaksud “apa khabar?”. Tetapi ia bukan terjemahan literal. Terjemahan literalnya ialah “apa warna kamu?”

“Ooo, sebab itulah lelaki Sudan berkenaan mengamuk, kan? Dia jawab HITAM!” salah seorang pelajar ‘get the point’.

Satu kelas ketawa.

Kisah berkenaan menceritakan kepentingan konteks dan budaya dalam bahasa.

Selanjutnya saya demokan di smartboard bagaimana bahasa Melayu ditulis di dalam bentuk ejaan rumi dan jawi. Para pelajar teruja melihat bagaimana ice hockey boleh ditulis sebagai هوكي أيس dari kanan ke kiri. Mereka tahu ia adalah huruf Arab, dan bertanya bagaimana satu bahasa boleh ditulis dengan dua cara.

“Apakah ada lagi bahasa lain yang ditulis seperti itu?” tanya pelajar.

Saya beritahu mereka yang kebanyakan bahasa umat Islam ditulis dengan huruf Arab kerana tamadun Arab membantu menukar bahasa pertuturan kepada bahasa penulisan. Antaranya adalah bahasa Urdu, Parsi, Turki Uthmaniyyah, bahasa kaum Uyghur di China dan mungkin ada bahasa-bahasa lain yang tidak saya ketahui.

“Kalau tulis kanan ke kiri, adakah ia lebih laju atau perlahan berbanding kiri ke kanan?” tanya seorang murid.

Beliau teruja tentang adakah otak berfungsi dengan cara yang berbeza apabila berubah orientasi penulisan. Saya juga teruja sebenarnya.

Teringat bagaimana di zaman scripito continua dahulu, cara membaca pun berbeza berbanding zaman sekarang.

“Adakah tulisan jawi boleh broken sebagaimana bahasa Melayu dan Inggeris boleh rosak seperti zaman media sosial hari ini?” seorang pelajar bertanya.

Saya kata cikgu saya di sekolah dahulu mengeja bumi sebagai بوم dan bukannya بومي.

Sedangkan بوم pada hari ini dibunyikan sebagai BOM.

Hebat sungguh pelajar-pelajar di sekolah ini. Puas hati saya mengajar. Kejadian di kelas itu mengingatkan saya tentang kesilapan yang banyak dilakukan di zaman sekarang dalam memahami Taksonomi Bloom.

Ramai yang ingat, pelajar ini kena diberi macam-macam benda untuk tahu dan faham (knowing & understanding), kemudian barulah mereka boleh buat hal-hal berfikir aras tinggi. Akibatnya, di awal usia, atau kalau lebih rakus lagi, di awal semester persekolahan, sumbat murid dengan banyak-banyak maklumat. Kemudian segera tanya soalan aras tinggi yang membingungkan murid. Walhal bukan murid bingung. Kita orang dewasa yang bingung.

Sedangkan, jika pembelajaran membuka ruang untuk pelajar meneroka persoalan hidup, kisah-kisah yang merangsang mereka berfikir, ia boleh menjadi pendorong besar mereka menambah ilmu untuk tahu dan faham.

Cetuskan perbincangan aras tinggi membabitkan analisis, sintesis dan lain-lain, murid akan terdorong sendiri untuk tahu dan faham (aras rendah). Aras atas dan aras rendah itu saling lengkap melengkapkan. Bukannya aras bawah bodoh, aras atas baru cerdik.

Otak manusia ini dinamik. Kita bukan robot.

Sebab itu Finland tiada KBAT.

Apa yang ada di Finland ialah atur pembelajaran secara KBAT tanpa istilah KBAT agar KBAT terjadi secara organik.

Kurangkan kandungan pembelajaran, buka banyak perbincangan dan belajar daripada fenomena-fenomena sekitar, agar ia secara semulajadi cetus keghairahan murid meneroka. Bukan setakat meneroka semasa sekolah, bahkan meneroka sepanjang hayat.

Oleh kerana kandungan pelajaran tidak dilanda tsunami maklumat, cikgu bahasa Inggeris itu pun sempat buka komputer, hubungi saya dan jemput datang ke kelasnya dengan hajat saya dapat sumbangkan pengkayaan pembelajaran bahasa di kelasnya dengan konteks baharu. Saya mengajar secara sukarela di bawah program Erasmus in Schools oleh Finnish National Agency for Education.

Bayangkan, di daerah terpencil sejauh Ivalo, saya dapat nikmati pemandangan indah. Bukan sekadar keindahan alam, tetapi keindahan wajah anak-anak Finnish ketawa dengan lawak jenaka bahasa Arab Jordan dan Sudan.

Check Also

Tragedi Gaza Runtuhkan Tembok Rome

Sama ada kematian mencecah dua puluh ribu saudara-saudara kita di Gaza, semenjak 7 Oktober 2023 …

One comment

  1. Bertuah cikgu ada pengalaman mengajar di finland.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share