Mulut dan Tangan Buat Jahat, Kenapa Ubun-ubun Yang Bersalah?

“Bagi sini tangan kamu!” cikgu bahasa Inggeris yang garang itu memberi arahan. Si murid terketar-ketar menghulurkan tangannya.

“Tangan ini tidak serik-serik mengeja bag sebagai beg. Ini bahasa Inggeris. Bukan bahasa Melayu!” tegas guru berkenaan.

Tangan buat salah, tangan kena ketuk dengan pembaris.

Tidak dengar cakap, telinga kena pulas.

Bercakap biadab, emak mahu cili-cilikan mulut si anak.

Tiba-tiba, apabila Firaun umat ini, si Abu Jahal, berbuat jahat menghalang Nabi Muhammad ﷺ bersolat dan cuba memukul baginda, Allah memberi amaran untuk merentap ubun-ubun penjahat itu.

Malah ubun-ubun itu berdusta.

Ubun-ubun itu bersalah.

Nāṣiyah yang direntap ke Neraka kerana berdusta dan bersalah.

Kenapa ubun-ubun?

Firman Allah SWT:

كَلَّا لَئِن لَّمْ يَنتَهِ لَنَسْفَعًۢا بِٱلنَّاصِيَةِ .نَاصِيَةٍۢ كَـٰذِبَةٍ خَاطِئَةٍۢ

Jangan sekali-kali berlaku derhaka! Demi sesungguhnya jika dia tidak berhenti (daripada perbuatan buruk itu), nescaya Kami akan menyentap ubun-ubunnya (dan menyeretnya ke dalam Neraka),Ubun-ubun yang berdusta, yang bersalah. (al-‘Alaq 96: 15-16)

Secara peribadi, saya dapati ayat ini adalah antara ayat al-Quran yang memperlihatkan kesukaran ilmuan silam menjelaskan maksudnya.

Di dalam bahasa Arab, perkataan nāṣiyah (نَاصِيَة \ نَوَاصِي) diguna pakai dalam makna-makna kiasan merujuk kepada pemuka dan barisan hadapan. Misalnya apabila disebut هُوَ نَاصِيَةُ قَوْمِهِ ia bermaksud beliau adalah ketua yang mewakili kaumnya. Tetapi kemusykilan besar tetap pada memahami makna asalnya itu sendiri.

Istilah nāṣiyah tersebut mendatangkan makna utamanya iaitu bahagian di mana bermulanya tumbuh rambut di dahi, yakni puncak kepala. Saya sendiri kurang pasti semasa menggunakan istilah ubun-ubun kerana ia adalah bahagian berkenaan untuk bayi, bukan kepada orang dewasa. Apabila bahagian itu yang Allah nyatakan sebagai sang pendusta juga pesalah, ilmuan kelihatannya ramai yang merumuskan bahawa istilah nāṣiyah di sini berkemungkinan adalah makna kiasan dan bukan makna hakiki. Sebab itu saya katakan, ayat ini adalah ayat yang amat susah untuk difahami di masa silam, termasuk kepada murid Syariah seperti saya sendiri.

Mengapa bahagian itu menjadi pusat hukuman kerana kesalahannya berdusta?

Malah selain nāṣiyah itu berdusta (كَاذِبَة), Allah juga menggunakan istilah bersalah yakni (خَاطِئَة) dan bukannya (مُخْطِئَة). Istilah (مُخْطِئَة) digunakan apabila seseorang itu melakukan kesalahan tanpa niat. Sedangkan (خَاطِئَة) itu hanya digunakan ke atas seseorang yang melakukan kesalahan dengan niat, dengan sengaja, sebagai pilihan.

Pemahaman terhadap istilah nāṣiyah berkenaan, dengan mengambil manfaat sains moden hari ini, menjadi satu pembuktian kebesaran Allah, kebenaran al-Quran dan kenabian Muhammad ﷺ yang agung. Malah Dr. Daniel Abdul Rahman McBride berkongsi pengalaman bahawa beliau memeluk Islam salah satunya ekoran daripada penemuan ini.

Hari ini kita mengetahui melalui sains moden bahawa bahagian otak manusia mempunyai daerah-daerah induk yang setiap satunya mempunyai peranan tersendiri.

Bahagian paling berkait rapat dengan perbincangan kita ini adalah merujuk kepada bahagian hadapan otak yang dikenali sebagai frontal lobe, terutamanya sub kepada frontal lobe berkenaan iaitu prefontal cortex (PFC). Bahagian ini adalah bahagian yang lahir daripadanya perbuatan-perbuatan secara pilihan.

Di sinilah ibu pejabat kepada fungsi-fungsi eksekutif kita membabitkan antaranya:

  • self-awareness
  • inhibition
  • non-verbal working memory
  • verbal working memory
  • emotional self-regulation
  • self-motivation plan and problem solving

Abu Jahal merancang untuk menganiaya Nabi Muhammad ﷺ , mendustakan Allah, walaupun lidah yang menuturkannya, dan kaki yang melangkah ke arah melakukannya, Allah memfokuskan hukuman dan ancaman ke puncak kepala Abu Jahal, tempat lahirnya pilihan-pilihan keji berkenaan.

Subhanallah!

ADHD KITA

Bagi saya, tadabbur ayat ini menjadi peringatan betapa, kondisi seperti ADHD ini adalah serius. Kelewatan tumbesaran frontal lobe dan defisit kimia otak seperti dopamine boleh mengakibatkan manusia mudah terjerumus ke lembah kejahatan dan kemudaratan.

Dengan memahami nāṣiyah sebagai lokasi frontal lobe dan prefrontal cortex, saya ingin selalu membaca doa ini:

وَعَنِ ابْنِ مَسْعُودٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: ” مَنْ كَثُرَ هَمُّهُ فَلْيَقُلْ: اللَّهُمَّ إِنِّي عَبْدُكَ وَابْنُ عَبْدِكَ وَابْنُ أَمَتِكَ وَفِي قَبْضَتِكَ نَاصِيَتِي بِيَدِكَ مَاضٍ فِيَّ حُكْمُكَ عَدْلٌ فِيَّ قَضَاؤُكَ أَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ أَوْ أَلْهَمْتَ عِبَادَكَ أَوِ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي مَكْنُونِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قلبِي وجِلاء هَمِّي وغَمِّي مَا قَالَهَا عَبْدٌ قَطُّ إِلَّا أَذْهَبَ اللَّهُ غمه وأبدله فرجا “. رَوَاهُ رزين

Ibn Mas’ud melaporkan bahawa Rasulullah ﷺ bersabda, barangsiapa yang banyak mengalami kemurungan, berdoalah: “Ya Allah, aku sesungguhnya adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, dan anak kepada khadam-Mu. Engkaulah tempat kembaliku, ‘frontal lobe’-ku berada di Tangan-Mu, hukum peraturan-Mu berjalan ke atasku, tumpuanku hanyalah ketentuan-Mu. Aku memohon kepada-Mu dengan setiap nama-Mu, nama yang Engkau namakan sendiri untuk-Mu dan yang Engkau turunkan di dalam kitab-Mu, atau yang Engkau ajarkan kepada sesiapa yang Engkau cipta, atau yang Engkau ilhamkan kepada hamba-hamba-Mu, atau yang Engkau sembunyikan di tempat yang tidak kelihatan, agar dengan semua itu Engkau jadikanlah al-Quran sebagai rimbunan bungaan di hatiku, dan ubat menghapuskan kebimbangan dan kesedihanku.” Kata Rasulullah ﷺ , “ tidaklah seseorang membaca doa ini melainkan Allah akan hilangkan daripadanya kebimbangannya, dan menggantikan ia dengan kegembiraan”

Rujukan: Hisn al-Muslim

Bacalah doa ini.

ADHD bukan makhluk asing. Saya tidak katakan ADHD ada di dalam al-Quran atau al-Sunnah.

Tetapi simptom dan ‘impairment’ yang kita lazim alami, ada solusinya, ada panduan, ada rawatan, maka manfaatkanlah ubat-ubatan, CBT, serta doa dan petunjuk-petunjuk agama kita.

Jangan abaikan panduan agama dalam menyokong kehidupan kita. Allah yang buat kita, dan ADHD ini adalah sebahagian daripada kita. Pasti ada syifa’, dan kita kuat dengan-Nya.

Moga Allah bantu kita jaga frontal lobe, dan perbuatan dan perasaan kita semua.

Salam ukhuwwah.

HASRIZAL ABDUL JAMIL
NAAS, IRELAND

PLAYLIST ADHD: https://adhd.hasrizal.com

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share