Bani Adam: Antara Khalifah Dan Makhluk Perosak Serta Penumpah Darah

Al-Baqarah 2: 30

“Sesungguhnya Aku jadikan di muka bumi Adam itu sebagai khalifah,” Allah memberitahu.

“Mengapa Engkau jadikan di bumi itu seorang khalifah daripada jenis makhluk yang berisiko melakukan kerosakan di sana dan menumpahkan darah?” Malaikat bertanya.

Pertanyaan Malaikat bukan membantah ketentuan Allah. Aqidah kita menetapkan sifat Malaikat itu adalah makhluk yang taat menurut perintah Allah.

“… Neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” [al-Tahrīm 66: 6]

“Sedangkan kami para Malaikat adalah makhluk yang sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan kami sentiasa mensucikan-Mu” tanya Malaikat lagi.

Jika khalifah itu adalah pemegang amanah untuk melaksanakan perintah Allah di muka bumi, mengapa yang dipilih menggalas tanggungjawab itu adalah jenis makhluk yang berisiko membuat kerosakan dan menumpahkan darah? Mengapa Allah tidak memilih jenis makhluk yang semenangnya taat dan sentiasa melaksanakan apa sahaja yang diperintahkan?

Pertanyaan Malaikat itu ekoran daripada keterbatasan Malaikat pada memahami hanya satu potensi Adam dan keturunannya, bahawa jenis makhluk ini, jenis yang boleh melakukan kerosakan dan menumpahkan darah.

Kita pun, sepintas fikir, jika mahu melantik seseorang memegang amanah dan melaksanakan tugas, sudah semestinya kita lebih memilih yang taat berbanding yang mungkin taat dan mungkin sebaliknya. Apakah hikmahnya Adam yang dipilih dan bukan Malaikat?

“Sesungguhnya Aku tahu apa yang kamu tidak tahu!” demikian Allah menegaskan keputusan-Nya.

Ada sesuatu tentang Adam yang Malaikat belum tahu.

POTENSI ADAM YANG MALAIKAT BELUM TAHU

Allah terangkan keunikan Adam di dalam ayat seterusnya. Penerangan yang menjelaskan mengapa Adam dan keturunannya yang menggalas tanggungjawab sebagai khalifah di bumi ini.

Al-Baqarah 2: 31

Allah mengajar Adam nama-nama seluruhnya. Ilmuan Tafsir memberikan pelbagai keterangan tentang maksud (وعلّم آدم الأسماء كلّها). Majoritinya saling melengkapkan antara satu sama lain. Apa yang ingin kita zahirkan di sini ialah, menghubungkan makna dan nama, adalah satu proses yang rumit. Setiap benda di alam ini ada sifat pada zatnya, dan ada nama untuk menama dan memaknakannya.

Jika kita ditanya “ini apa?” sudah tentu soalan itu mudah. Dengan pantas kita menjawab, ini air, ini pokok, ini api. Kita mungkin terlupa bahawa asalnya kita dikeluarkan dari perut ibu dalam keadaan kita tidak tahu apa-apa. Kita tidak kenal air, tidak kenal pokok, tidak kenal api. Kemudian Allah berikan kepada kita pendengaran, penglihatan-penglihatan dan akal fikiran, sebagai alat untuk memindahkan kita daripada daerah tidak tahu kepada tahu. Akal fikiran memproses apa yang disampaikan oleh penglihatan, dan pendengaran, dan menghubungkan cecair itu dengan namanya “air”, adalah satu proses yang amat mudah.

Al-Nahl 16: 78

Hanyasanya semasa seseorang itu diuji, dirinya berpendengaran tidak berpenglihatan (buta), atau berpenglihatan tetapi tiada pendengaran (pekak), atau lebih besar lagi ujiannya, hidup tidak berpenglihatan dan tidak berpendengaran (seperti Helen Keller 1880-1968), maka barulah kita dapat melihat sukarnya proses berkenaan.

Apatah lagi untuk menaakul segala yang maujud di dalam ini, mengupas makna dan mengembangkannya, Adam boleh buat, tetapi Malaikat tidak boleh melakukannya.

Apa yang Allah telah ajarkan kepada Adam, Allah bentangkan ia bulat-bulat kepada Malaikat, dan Dia berkata, “khabarkan kepada-Ku akan nama-nama semua itu (sebagaimana yang Aku minta Adam lakukan), jika kalian benar terhadap apa yang kalian nyatakan tadi!”

Kata Malaikat, “Maha suci Engkau ya Allah, kami tiada ilmu kecuali apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami, sesungguhnya Engkaulah Tuhan yang Maha Berilmu lagi Maha Bijaksana”

Ilmu Malaikat statik. Apa yang Allah ‘install’ dalam diri mereka, itulah sahaja pengetahuan yang ada. Keupayaan mantiq Malaikat terbatas. Sebagaimana mantiq burung [al-Naml 27: 16], batu batan [Al-Baqarah 2: 74] serta langit, bumi dan gunung-ganang [al-Ahzāb 33: 72], terbatas. Apabila upaya fikir makhluk-makhluk ini amat terbatas, mereka tidak memiliki free will. Mereka bersifat confirmist, hanya menurut sahaja ketetapan Allah ke atas mereka (Sunnatullah). Keterbatasan itu tidak membolehkan mereka menggalas tanggungjawab sebagai khalifah, tidak boleh menjadi mukallaf untuknya.

Hanya Adam yang mampu.

Kerana upaya belajar dan upaya fikir Adam itu cukup luas, untuk membolehkannya berkemahuan, berkehendak, boleh membuat pilihan, boleh belajar, mungkin silap, boleh membetulkan kesilapan, dan menggerakkan kehidupan ke arah yang lebih baik dari satu masa ke satu masa.

Al-Baqarah 2: 33

“Adam, khabarkan akan nama-nama semua itu tadi!” Allah memberi perintah.

Adam melakukannya dengan sempurna.

“Bukankah sudah aku khabarkan kepada kamu sesungguhnya Aku mengetahui segala rahsia Langit dan Bumi dan segala yang kamu zahirkan serta yang kamu sembunyikan” tegas Allah.

Kesimpulannya, potensi Adam yang tidak Malaikat ketahui asalnya, adalah Adam itu makhluq yang belajar dan berfikir. Belajar dan berfikir itulah kriteria utama pada sifat Adam yang menjadikannya Khalifah. Inilah yang ditekankan oleh al-Jurjani:

jurjani

KEBOLEHAN BERFIKIR MENENGGELAMKAN SIFAT PEROSAK

Semasa Malaikat bertanya tentang risiko Adam melakukan kerosakan dan menumpahkan darah, Allah tidak menafikannya. Sebaliknya Allah mengalih fokus kita semua kepada potensi Adam yang lebih utama iaitu kemampuannya belajar dan berfikir.

Kemampuan belajar dan berfikir itu menjadikan Adam dan zuriat keturunannya berfungsi di muka bumi. Memakmurkan bumi dengan kebaikan, membina ketamadunan, dan memimpin kehidupan sejagat ke arah kebaikan. Fungsi ini berkait rapat dengan tercapai atau tidak tercapainya usaha-usaha membentuk manusia semenjak lahir, kemudian dewasa sebagai manusia yang boleh belajar dan berfikir.

Apabila belajar dan berfikir merosot, risiko manusia menjadi makhluk perosak dan menumpahkan darah akan berkembang. Banyaklah kerosakan dan kemusnahan yang terjadi apabila manusia lemah akal fikirannya.  Seperti yang diungkap oleh Bapak Agus Mustofa baru-baru ini:

Kejelekan akal fikiran menjadikan manusia itu perosak.

Inilah yang menggusarkan kita hari ini. Pada Mei 2016, saya berforum bersama Ustazah Zawiah Hassan di Masjid Bandar Baru Ampang. Semasa forum, Ustaz Zawiah ada menjelaskan bahawa di daerah Gombak, jumlah pasangan yang bercerai dalam setahun (323) mengatasi jumlah pasangan yang berkahwin (320)! Statistik di Malaysia, jumlah pasangan Muslim yang bercerai pada tahun 2014 ialah satu jam tiga pasangan, mencecah lebih 30 ribu pasang setahun!

Apakah punca kepada statistik yang menakutkan ini?

Semasa berforum, saya utarakan satu hipotesis, bahawa salah satu punca yang mungkin membawa kepada perceraian yang sangat dahsyat ini, ialah kerana pasangan muda TIDAK PANDAI BERGADUH!

Memang tercengang hadirin dibuatnya.

Saya huraikan begini:

Semasa saya berada di dalam kereta bersama anak saya yang sulung, kedengaran di radio lagu Bruno Mars diputarkan, Talking to the Moon. Saya tanya beliau, “bagaimana tajuk lagu itu diterjemahkan ke bahasa Melayu?” Katanya, “Bercakap Kepada Bulan.” Saya bertanya lagi, “tiadakah terjemahan yang lebih baik daripada itu?”

Anak saya tidak boleh mendatangkan terjemahan lain. Akhirnya beliau minta saya terjemahkan.

“Kalau abi, terjemahannya ialah Bicara Kepada Sang Rembulan!”

“Apa bezanya? Tak ada beza pun?” tanya anak saya.

“Eh, berbeza. Terjemahan abi lebih sedap!”

Dengan nada bergurau, saya katakan kepadanya bahawa inilah sebab utama mengapa beliau belum boleh bercinta! Alasannya mudah. Beliau belum cukup perkataan! Nak puji awek pun tak cukup perkataan.

“Kau cantik la!”

Selepas itu, nak sembang apa lagi?

“Jika abi yang bercinta, abi boleh puji girlfriend abi dengan panjang lebar. Hidung mancung bagai seludang, bibir bagai delima merekah, pipi bagai pauh dilayang, rambut ikal mayang, betis bagai bunting padi…. siap tiga kajang surat cinta!” kata mengusik.

Kita berfikir menggunakan perkataan.

Shakespeare menggunakan 80 ribu perkataan di dalam karyanya, manakala Goethe menggunakan 50 ribu perkataan di dalam novelnya. Pelajar Inggeris dan Jerman hari ini tidak berdepan dengan masalah untuk memahami karya Shakespeare dan Goethe. Ini bermakna perbendaharaan kata mereka cukup untuk memahami karya-karya klasik ini. Lebih banyak perkataan di minda, lebih banyak modal untuk seseorang itu berfikir.

Apabila seseorang itu ada banyak perkataan, dia boleh memanjangkan pergaduhan sehingga tiga jam dan akhirnya, “oklah, kita berdamai!” Pelbagai aspek perasaan boleh diungkapkan kerana cukup perkataan. Bayangkan, mengangkat, menggendong, menggondol, menjulang, memikul, semua perkataan ini bermaksud mengangkat sesuatu di atas paras bahu. Tetapi adakah semua perkataan itu sama maknanya? Sudah tentu tidak. Ada perincian yang menjadikan perkataan berkenaan berbeza di antara satu sama lain. Dengan menambah perkataan, kita menambah modal berfikir. Dengan menambah modal berfikir, jika mahu bergaduh pun, kita boleh memanjangkan pergaduhan untuk mencapai penyelesaian.

Tetapi lihatlah drama-drama Melayu yang menjadi sumber idea bergaduh hari ini.

“Semua ini salah awak. Sebab awak duduk rumah. Awak patut jaga anak!” kata suami.

“Semua ini salah awak. Sebab awak suami. Awak ketua rumah. Jangan sibuk kerja sahaja!” jawab isteri.

Awak salah, awak salah, awak salah, selepas 10 minit bergaduh, “aku ceraikan engkau!”

SISTEM PENDIDIKAN YANG TIDAK MERANGSANG FIKIR

navigating

Kata Jeff Halstead di dalam bukunya, Navigating the New Pedagogy:

Are Students Thinking Now?

Classrooms should be places where great thinking occurs. Too frequently, though, they are not. If there is one major weakness of the educational system—especially at the secondary level—it is that classrooms are places where knowledge is dispensed.

Many mathematics teachers, for example, still show their students algorithms then assign thirty problems to hammer the concept home. (Students are taught to identify the Y intercept but do not know the practical application of this concept, for example.)

When teachers “make kids think,” they design lessons where students complete activities designed to “construct meaning”—in other words, through learning activities, students create their own knowledge. Not only does this teaching strategy contrast with conventional teaching methods, “constructing meaning” also turns traditional implementation of Bloom’s Taxonomy on its head.

Apabila negara kita mendapat kedudukan yang menyedihkan di dalam Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) dan Program for International Student Assessment (PISA), ia menjadi petanda yang generasi hari ini berdepan dengan krisis keupayaan berfikir. Tindakan reaktif memperkenalkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT / HOTS) tanpa mengubah budaya dan mindset semua pihak yang terbabit di dalam  pendidikan, tidak mengubah keadaan malah memangsakan anak-anak.

Apabila kurikulum dan P&P kita tidak menjurus kepada deep learning, pelajar tidak terdidik untuk menggunakan akal fikirannya untuk FAHAM. Bilamana proses mantiq (reasoning) jarang berlaku, pelajar tidak terbiasa menyelesaikan masalah dengan berfikir sendiri dan membina ilmu serta kefahaman. Mereka belajar Algebra tetapi mereka tidak dapat mengaplikasi Algebra itu dalam kehidupan. Mereka belajar teori kebarangkalian, tetapi mereka tidak nampak di mana teori kebarangkalian itu menceritakan risiko, potensi, dan kebenaran di dalam kehidupan.

Lebih membimbangkan, apabila soal correlation and causation menjadi caca merba. Bagaimana mengaitkan sesuatu dengan sesuatu, menjadi masalah dan mengundang kecelakaan dalam kehidupan.

Masalah rumahtangga, tiada skema jawapan. Masalah kesihatan anak-anak, isu vaksin, rawatan hospital dan yang seumpama dengannya, terperangkap di dalam proses irtibath wa sabababiyyah (correlation and causation) yang caca merba. Mangsanya adalah anak-anak, menjadi korban kecelaruan proses qawaid al-mantiq.

Adalah tidak cukup menyimpulkan perkaitan sebagai penyebab. Pelbagai pemboleh ubah perlu diambil kira dan diuji, untuk akhirnya benar-benar mengesahkan A menyebabkan B. Hal ini sangat lancar berlaku dalam kehidupan seharian kita, tetapi mengundang petaka apabila keupayaan berfikir menjadi caca merba.

Misalnya:

“Semasa kami baru berkahwin dan menjadi ibu bapa, kami tidak ada banyak maklumat. Kami bawa anak kami ke hospital seperti yang disuruh. Anak kami dicucuk. Dia sering demam dan banyak masalah kesihatan. Tetapi selepas kami menambah ilmu pengetahuan, anak kedua dan ketiga kami tidak lagi dibawa ke hospital dan mereka tidak dicucuk atau diberi ubat-ubat hospital. Anak kedua dan ketiga kami lebih sihat dan jarang sakit. Nyata sekali jika dicucuk dan diubat oleh hospital, anak selalu sakit. Jika berubat secara lain, menjauhi hospital, anak lebih sihat”

Benarkah begitu?

Politik juga menjadi huru hara apabila perdebatan diselubungi fallacies of irrelevance, fallacies of presumption dan fallacies of clarity hingga sukar untuk menemukan pendapat tatkala berlaku perselisihan.

Apa solusinya?

Kita tiada jawapan mudah untuk itu.

Bahkan tiada jawapan pintas.

Pendidikan perlu kembali ke landasan asalnya.

Bahawa pendidikan adalah sentiasa mengenai pembelajaran. Semua KPI yang tidak bersangkut dengan pembelajaran mesti berundur. Keutamaan tertinggi adalah pendidikan anak-anak. Mereka adalah VIP dalam sistem pendidikan, kepentingan mereka adalah kepentingan tertinggi. Kita semua, bermula daripada Menteri, hinggalah ke guru dan kakitangan sekolah, adalah khadam menunaikan amanah Allah untuk menjayakan sebuah PENDIDIKAN, yang melahirkan KHALIFAH, dalam erti kata yang sebenar.

Hasrizal Abdul Jamil
www.saifulislam.com

Maklum Balas

Maklum Balas

Check Also

Pedagogi Dahulu, Kemudian Teknologi

Apabila berfikir tentang teknologi dan pembelajaran, kita perlu betulkan hala tuju antara P&P dengan teknologi. …

2 comments

  1. Pendidikan mesti menjadi sebagai pendidikan bukan alat untuk tujuan lain. Niat mesti betul bang, barulah ia menjadi bermakna dan berkembang mengikut yang sepatutnya.

  2. Saya doakan usaha Ustaz mendalami pengajian dalam PENDIDIKAN diberkati & mampu memberi manfaat yang banyak untuk rakyat Malaysia.

    Ps: Mohon Ustaz boleh sumbangkan kepakaran Ustaz nanti dalam meningkatkan kualiti pendidikan di PASTI, KEMAS, SRI, MAAHAD dll.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *