“Sinun Khadda’ah”, Pascamodenisme dan Kemusykilan Paradigma Perubatan

“Pendusta dianggap benar”

“Yang berkata benar dianggap pendusta”

“Orang amanah dianggap khianat”

“Orang khianat dipercayai”

Hal ini berulang-ulang kali dibaca setiap kali kita melintasi pesanan Nabi Muhammad sallallahu alayhi wa sallam berkenaan dengan tahun-tahun menipu (سنون خدّاعة) dan cabaran golongan al-Ruwaibidhah (الرويبضة).

Peringatan itu berbunyi:

عن أنس بن مالك قال قال رسول الله صلى الله عليه و سلم : أن أمام الدجال سنين خداعة يكذب فيها الصادق ويصدق فيها الكاذب ويخون فيها الأمين ويؤتمن فيها الخائن ويتكلم فيها الرويبضة قيل وما الرويبضة قال الفويسق يتكلم في أمر العامة

“Daripada Anas bin Malik, beliau telah berkata, Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda: Kemunculan Dajjal didahului oleh hadirnya tahun-tahun yang menipu. Ketika itu seorang yang benar dianggap dusta manakala yang berdusta dianggap benar. Orang yang amanah dianggap khianat manakala pengkhianat dipercayai. Ketika itu juga, golongan al-Ruwaibidhah berbicara. Baginda ditanya, apakah yang dimaksudkan dengan al-Ruwaibidhah itu? Jawab baginda, iaitulah golongan bodoh bercakap tentang urusan orang ramai” (Musnad Imam Ahmad 3/220)

Apabila baginda menggambarkan keadaan di masa itu dengan perkataan sinun, ia berbeza dengan sanawāt (سنوات) walaupun kedua-duanya bermaksud “tahun-tahun”. Sanawāt memberi konotasi tahun-tahun kemakmuran dan bertambahnya kebaikan serta kebahagiaan, manakala sinun itu pula bermaksud tahun-tahun yang sukar, penuh ujian dan musibah, sebagaimana konteks penggunaannya di dalam bahasa Arab dan al-Quran itu sendiri.

Tahun-tahun yang menipu itu adalah era yang penuh kesukaran. Era yang mengubah apa yang kita sudah faham selama ini, sudah yakin dan jelas, yang tinggal hanya memberitahu kepada yang tidak tahu, memberi bukti kepada yang mahukan hujah dan sandaran, maka selesailah masalah… semua itu berubah kepada tahun-tahun yang mengelirukan, dan menipu.

Menipu dalam ertikata ia tidak mengubah kebenaran, tetapi ia menipu manusia hingga kebenaran berubah maksud.

Sudah tentu apabila hal ini dibicarakan, kita akan terfikirkan satu istilah yang merunsingkan mereka yang runsing iaitu postmodernism atau pascamodernisme.

Istilah ini banyak perbahasannya, malah mungkin menjadi salah satu istilah yang sukar menemui kesepakatan ke atas maksudnya. Tetapi ia adalah era yang merujuk kepada beberapa karakter yang beroleh banyak persetujuan. Misalnya Fredric Jameson menggambarkan pascamodenisme itu sebagai loss of historicity, a lack of depth and meaningfulness dan a waning of emotional affect.

Era pascamodenisme ini adalah zaman kita menjadi celaru, terutamanya apabila kita berpegang dengan sesuatu yang berstruktur, sistematik, rasional, bermantiq dan berasas. Bagi golongan ini, pascamodenisme adalah anarki.

Sebaliknya ia adalah zaman yang menggembirakan golongan yang menari mengikut rentak keliaran zaman ini.

Kata Rasulullah salllallahu ‘alayhi wa sallam: di dalam sepotong hadith daripada Huzaifah bin al-Yaman radhiyallahu ‘anhu:

“Tidak akan terjadinya kiamat sehinggalah sampainya satu keadaan yang mana manusia paling gembira dengan dunia adalah Luka’ bin Luka'” (Musnad Al-Imam Ahmad 5/389)

Luka’ ini asal maknanya ialah budak-budak. Tetapi apabila ia digunapakai ke atas orang dewasa, maka luka’ ini bermaksud bodoh atau dungu.

Di era pascamodenisme ini, apabila kita menuntut ilmu, menyandarkan fikiran, pegangan dan amalan kepada sesuatu yang benar, berasaskan dalil dan pembuktian, kita akan kebingungan berhadapan dengan gelombang yang menafikan semua itu dan mempersoalkan sesuatu yang begitu jelas kepada kita.

Kita derita.

Luka’ anak Luka’ gembira.

Saya bukan si pintar, tetapi saya berusaha untuk tidak menjadi Luka’ dengan menuntut ilmu dan mencari bukti. Ia cara pilihan saya dalam beragama, dan cara saya mempercayai sesuatu. Biar pun ia mengambil masa yang lama dan susah, saya fikir tiada jalan alternatif kerana demikianlah tabiat kehidupan. Syariatullah memberitahu begitu, Sunnatullah juga menuntut sedemikian rupa.

Semasa kami mendapat anak sulung pada tahun 2002, kami juga dihinggapi kebimbangan terhadap vaksin ke atas anak kami. Saya sebagai seorang ‘ustaz’ dan isteri saya sebagai seorang ‘doktor’, titik yang menemukan kami dalam membuat keputusan bukannya cinta dan perasaan semasa memeterai janji AKU TERIMA NIKAH(nya), tetapi asas kami yang serupa, sama ada dari jalan agama, mahu pun dari jalan sains, iaitu cari ilmu, teliti bukti, manfaatkan kepakaran, dengar nasihat golongan yang arif, dan bertawakkal kepada Allah mengiringi usaha dan keputusan.

Tidak tergambar di fikiran saya ketika itu kegilaan yang datang di tahun-tahun mendatang hingga kehidupan menjadi caca merba seperti hari ini.

Bagi sahabat-sahabat yang mengikuti penulisan saya di blog semenjak 1997 lagi, dahulukala saya sudah sering berkongsi kebimbangan tentang cara berfikir masyarakat yang membimbangkan. Pelajar universiti tiada common sense, pelajar tidak boleh berfikir, dan di era buku Aku Terima Nikahnya (2008), ramai suami isteri menghubungi saya meminta pendapat dalam hal-hal yang membingungkan diri. Lama kelamaan, keadaan tidak beransur baik, malah caca merba itu menjadi semakin sistemik dan mencengkam kehidupan.

ANALISI TV AL-HIJRAH: DOULA: PENEMAN IBU ATAU PENGGANTI DOKTOR?

Selepas isu vaksin minggu lalu, malam tadi saya mengikuti perbincangan mengenai Doula dan isu keselamatan ibu dan bayi semasa melahirkan anak. Pengacara TV al-Hijrah, Finaz Yunus telah menjemput doula yang popular di tanah air, Puan Hayati Muzaffar, serta Profesor dan Konsultan Perbidanan dan Sakit Puan PPUM, Prof Dr. Imelda Balchin.

Tiada apa-apa yang mengejutkan kerana kesemuanya sudah pun lama terpampang di media sosial.

Saya mengetahui tentang Doula Yatt lebih awal daripada saya mengenali Prof Dr. Imelda, terutamanya selepas kes kematian Puan Amy Karmila lama dahulu.

Semasa Doula Yatt hadir ke sebuah ceramah saya di Karangkraf lama dahulu, ia menjadikan ceramah tersebut sebagai antara ceramah yang paling saya berasa tidak selesa. Ketika break antara dua sesi, saya tidak ke meja jamuan dan hanya duduk di kerusi hadapan dewan kerana berasa tidak tenteram dengan kehadiran beliau.

Saya tidak mahu isi ceramah saya memberi modal kepada beliau untuk mencipta konsep-konsep bernuansa agama, dan mnemonic merepek yang menguja khalayaknya.

Tetapi ada sesuatu yang lebih merunsingkan saya ketika itu, sebagaimana yang saya luahkan kepada urusetia.

Pasca kes almarhumah Puan Amy Karmila.

Andai berlaku sesuatu ke atas pesakit semasa rawatan di hospital, doktor-doktor dan seluruh pasukan bertugas akan disiasat sampai ke lubang cacing, diheret turun naik mahkamah bertahun-tahun. Ia adalah perkara yang perlu diterima demi menjaga integriti perkhidmatan kesihatan yang tidak akan sama sekali bertolak ansur dengan keselamatan pesakit. Kita sedia maklum tentang hal itu.

Tetapi apabila berlaku kematian ibu, kematian bayi, ekoran aktiviti doula…. masing-masing hidup aman tanpa tindakan, malah mendapat semakin ramai pengikut dan pelanggan.

Mungkin di padang Mahsyar nantilah agaknya bayi-bayi Malaysia menuntut di hadapan Allah agar sesiapa yang melakukan jenayah dan bertanggungjawab atas kematian mereka dibalas setimpalnya, termasuk ibu bapa mereka sendiri.

Ketika itu, yang memujuk saya ialah rasa syukur percaya kepada akhirat. Dunia memang menghampakan.

PARADIGMA PERUBATAN DI ERA PASCAMODENISME

Semasa saya membaca artikel Brett Bricker dan Jacob Justice mengenai hal ini, saya berasa bimbang seandainya kita meremehkan kaedah untuk menangani kelompok yang dibahaskan di dalam artikel berkenaan. Walaupun ia membicarakan soal vaksin MMR, paradigma perubatan di era pascamodenisme yang disenaraikan di dalam artikel berkenaan turut teraplikasi ke atas mereka yang terbabit di dalam kegiatan kelahiran amani secara yang tidak beretika ini.

Loader Loading…
EAD Logo Taking too long?

Reload Reload document
| Open Open in new tab

Brett Bricker & Jacob Justice (2018): The Postmodern Medical Paradigm: A Case Study of Anti-MMR Vaccine Arguments, Western Journal of Communication, DOI: 10.1080/10570314.2018.1510136

Kata penulis:

Paradigma perubatan era pascamodenisme ini merupakan sebahagian daripada apa yang boleh dipersalahkan mengenai skeptis terhadap bukti-bukti saintifik yang menyokong keberkesanan serta keselamatan vaksin MMR. Biar pun postmodernism itu sendiri merupakan istilah yang longgar takrifannya, apabila ia diaplikasikan ke atas paradigma perubatan era pascamodenisme, ia mempunyai tiga karakter berikut:

  1. Hostility toward singular truths
  2. Aversion to scientific objectivity
  3. Decreased trust in expertise (Gray, 1999, p. 1550)

Sebab itulah bawa pakar macam mana pun tak laku, hujah sekuat mana pun tak jalan, kerana semua fakta dan bukti itu diproses di dalam kognitif golongan ini secara yang berlainan. Setelah para doktor pakar dalam bidang masing-masing, ini adalah daerah multidisiplin yang memerlukan kepakaran baru yang lebih meluas.

Loader Loading…
EAD Logo Taking too long?

Reload Reload document
| Open Open in new tab

Download [285.46 KB]

Kata, A. (2010). A postmodern Pandora’s box: anti-vaccination misinformation on the Internet. Vaccine28(7), 1709-1716.

Anna Kata di dalam artikelnya di atas pula menyebut:

Postmodernism tidak menerima satu sumber kepada ‘kebenaran’ – iaitu falsafah yang diguna pakai oleh gerakan anti vaksin. Golongan yang membantah vaksin menolak ‘fakta’ yang dibentangkan dengan tujuan untuk meyakinkan mereka kepada vaksin, kerana bagi gerakan anti vaksin, “mis”information itu sendiri adalan versi maklumat bagi mereka. Internet di era pascamodenisme adalah Pandora’s box, yang mengeluarkan hujah-hujah yang tidak mudah disangkal.

Apa yang lebih mencabar saya semasa membacanya ialah apabila Anna Kata menegaskan bahawa pendidikan tidak cukup berkesan untuk menanganinya.

“Di halaman-halaman internet anti vaksin, maklumat yang salah itu berleluasa. Ketika mana hal ini dipandang sebagai halangan besar kepada usaha memvaksin, membekalkan pendidikan yang lebih baik masih belum efektif. Ramai aktivis hardcore yang tidak mampu dilentur pendapatnya tanpa mengira sebanyak mana sekali pun maklumat diberikan. Dan kerana itu, pertimbangan yang lebih banyak perlu diberikan kepada wacana awam (social discourse) bagi menyelami fahaman anti vaksin. Ini adalah kerana sebab-sebab penolakan vaksin berkemungkinan membabitkan proses alternatif dalam memahami maksud kesihatan, perspektif yang berbeza tentang tanggungjawab keibubapaan malah barangkali mempersoalkan keabsahan autoriti sedia ada. Wacana ini adalah contoh ketegangan era pascamodenisme (postmodern tension) di dalam masyarakat, yang menjadikan isu anti vaksin ini sebagai sesuatu yang amat kompleks.”

Demikian juga, Poland and Jacobson of the Mayo Clinic menulis bahawa “kumpulan anti vaksin ini mengambil peluang daripada internet bukan hanya untuk menyerlahkan kewujudan mereka di dalam perdebatan malah turut berlebih-lebihan di dalam mengenengahkan kes-kes kesan vaksin dan mendramatikkannya kepada media dan masyarakat awam (Poland  & Jacobson, 2001).

Usaha mereka ini dibantu oleh ‘ilmu-ilmu saintifik yang tempang’ petikan media, serta kecenderungan tidak bertanggungjawab ke arah mensensasikannya. Ray Spier, editor jurnal Vaccine berkongsi kritikan terhadap peranan media dengan berkata, “di dalam media yang laparkan sensasi, kedukacitaan insiden terpencil dibesar-besarkan di kalangan pengulas media, manakala kejayaan perlindungan ke atas jutaan individu daripada wabak-wabak, diabaikan” (Spier, 2002).

Loader Loading…
EAD Logo Taking too long?

Reload Reload document
| Open Open in new tab

Download [234.53 KB]

Blume, S. (2006). Anti-vaccination movements and their interpretations. Social science & medicine62(3), 628-642.

Ia bukan sesuatu yang mudah.

Ia tidak terpencil hanya di Malaysia.

Malah ia bukan benda baru. Gerakan anti vaksin, anti perubatan moden, adalah kejadian yang berulang-ulang semenjak zaman Edward Jenner lagi sehinggalah ke hari ini.

Big Picture kepada isu ini juga lebih rumit kerana kecelaruan dan anti struktur dalam era pascamodenisme ini turut membelenggu hal-hal lain termasuk soal asas agama itu sendiri.

APA SOLUSINYA?

Semua artikel yang saya baca, tidak menawarkan solusi yang straightforward. Ia memang bukan sesuatu yang mudah. Sudah tentu sebagai pendidik, saya akan terus berfikir di dalam ruang lingkup sains pembelajaran, bagaimanakah manusia melakukan construction of knowledge di dalam minda mereka, termasuk dalam interaksi bersama nas agama.

Namun, hakikatnya ialah… kita memerlukan keajaiban.

Solusi yang boleh saya fikirkan, mungkin belum atau tidak mempunyai data daripada sebarang statistik untuk membuktikannya. Ia adalah berbalik kepada keimanan saya kepada Allah, yang al-Quran menawarkan keajaiban dalam kemustahilan:

Firman Allah SWT:

Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib. [Fussilat 41:34]

PERTAMA

Kebaikan dan kejahatan tidak sama.

Macam mana celaru sekali pun, kebaikan masih kebaikan, keburukan masih keburukan.

Itu harus jelas, terlebih dahulu. Jelas perbezaan antara kebaikan dan kejahatan.

“Ahh, buruk baik sama aje!” kata A.

Kata-katanya salah.

“Kalau dia buat jahat, kita balaslah cara jahat. Baru buku bertemu ruas!” kata B.

Kata-katanya juga salah.

Salah kerana kebaikan itu Allah suka. Allah redha. Ia membawa ke Syurga.

Salah kerana kejahatan itu Allah benci. Allah murka. Ia membawa ke Neraka.

Satu tindak balas kita mendekatkan diri ke Syurga.

Satu tindak balas kita mendekatkan diri ke Neraka.

KEDUA

“Balaslah kejahatan yang dikenakan ke atas kamu, dengan sesuatu yang lebih baik”

Setelah jelas mana yang baik, mana yang jahat, pilih tindak balas yang sesuai. Pilihlah tindak balas yang lebih baik berbanding dengan kejahatan yang dikenakan ke atas kita. Apa sahaja, asalkan yang lebih baik daripada kejahatan. Serendah-rendah kebaikan pun tidak mengapa, asalkan bukan yang jahat.

Usaha TV Al-Hijrah mengadakan wacana dua minggu berturut-turut ini adalah usaha yang sangat terpuji. Saya berikan ucapan penghargaan dan tahniah kepada moderator iaitu Hajjah Finaz Yunus yang memenuhi integriti dan kompetensi cemerlang dalam fasilitasi beliau antara dua panelis.

Namun usaha ini jangan dicemar oleh sindir-menyindir, hina menghina, kerana ia mematikan keajaiban yang Allah janjikan ini.

‘Pondan’kah kalau orang buat jahat kita tidak balas dengan kejahatan?

Tidak.

Sebaliknya, ia memang sesuatu yang susah. Membalas keburukan dengan sesuatu yang lebih baik tidak pernah mudah.

Sangat susah hendak mengekang lidah dan jari daripada menukil kemarahan, cacian dan herdikan. Allah beritahu dalam ayat yang berikutnya:

Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar, dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar dari kebahagiaan dunia dan akhirat. [Fussilat 41:35]

Marilah kita mencipta keajaiban ini.

Keajaiban pada membalas kemarahan yang timbul, statistik yang membimbangkan, malah kematian ibu dan anak yang bertambah dari semasa ke semasa, dengan reaksi yang lebih positif dan optimis. Kita lunakkan bahasa, bukan bermanja-manja dan memujuk mereka, tetapi berbahasa dengan tegas, kemas, berisi, bersih daripada sebarang mazmumah.

Teruskan memberi penerangan.

Akhlak setiap seorang adalah penting dan signifikan.

Setiap yang berpihak kepada kebenaran mesti benar bukan hanya pada akal, tetapi juga pada hati, lisan, dan tindakan.

Atau jawapan berbaki yang ada hanya satu:

Kiamat sudah dekat!

HASRIZAL
Oulu FI

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

One comment

  1. Saya baca dan faham. Juga mengambil cakna akan pengisian di dalam tulisan ini. Terima kasih atas perkongsian ustaz yang mendesak minda untuk berfikir dan menilai kembali apa yang saya percaya sebagai benar dan salah, baik dan buruk.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share