Kisah Tik Tok dan Atok

Atok bukan luddite, orang tua yang anti teknologi.

Kamu nak kata atok boomer yang ok atau tak ok pun, atuk tak kisah.

Walaupun Tik Tok semakin popular, atok tetap berpendirian ia sesuatu yang negatif. Bukan berasaskan kemerapuan kandungannya. Sebab ada sahaja content creator yang menghasilkan kandungan yang ‘bermanfaat’ termasuk orang agama.

Ada juga yang kata Tik Tok Malaysia yang mengarut. Tetapi Tik Tok negara lain banyak yang bagus dan bermanfaat.

Tetapi aspek negatif Tik Tok bagi atok melangkaui negara.

Ia adalah kerana aspek rekabentuknya itu yang menjadikan Tik Tok sangat tinggi nilai ketagihannya. Ia mempunyai interface cemerlang berasaskan interaction design yang hebat serta algorithm yang menggerakkannya. Walaupun ia seumpama pisau yang boleh jadi bermanfaat dan boleh melukakan sesiapa yang menggunakannya.

Atok pernah duduk di Finland. Belajar teknologi. Duduk dalam incubator edtech dan berkursus di Game Lab. Serba sedikit atuk belajar teori-teori berkaitan gamification, dikelilingi kawan-kawan yang buat tesis tentang Minecraft, dan tempat kursus Atok ialah tempat buat game Hill Climb Racing, si Fingersoft itu.

Insya-Allah atok faham dan ada asas ilmu tentang apa yang atok cakap.

Bezanya ialah atok sayang kamu, mungkin lebih daripada kamu sayang diri kamu sendiri.

Tik Tok sebagai sociotechnical artifact semasa sukar berfungsi untuk memberi manfaat kepada pengguna yang ada sekarang ini, kerana ia bertentangan dengan fungsi pembelajaran. Isu besar atok dengan Tik Tok ini bukan kerana atok geli geleman tengok tarian kamu yang cringey itu. Walaupun sekali sekala memang atok rasa nak samak mata dengan ayor tanah liat menengoknya.

Tetapi sebagai ayah, cikgu sekolah, dan murid di dalam bidang sains pembelajaran, teknologi dan design, atok risaukan pembelajaran kamu.

Jika ada cikgu, pendakwah muda atau social media influencer (apa bendalah istilah ini) yang terfikir mahu menjadikan Tik Tok sebagai alat dakwah, ingatlah, rekabentuk Tik Tok itu menatijahkan fragmentation of information yang sudah sedia parah sejak zaman Facebook lagi. Apabila kalian masukkan ilmu-ilmu kalian ke dalam Tik Tok, ia jadi alasan untuk aspek negatif Tik Tok yang kita bimbangkan tersebut, terpadam.

Durasi pendek setiap video itu membolehkan kita ‘mengajar’ menggunakan model fragmented learning (debris learning). Tetapi, walaupun ia memudahkan faham pada tanggapan kita, ia berisiko menimbulkan kesulitan untuk menjadikan ilmu yang kamu rasa kamu dapat itu berfungsi. Sebabnya, satu segmen kecil info (ilmu) di dalam video pendek itu terputus hubungan dengan the body of knowledge.

Sekarang ini bukan kamu aje yang apabila nampak artikel panjang sikit, mulalah “lukis boleh?” malah, emak ayah kamu pun ada yang sudah macam itu. Buku tidak boleh nak baca, artikel pun panjang sangat, artikel pendek pun minta dilukis. Kemudian apabila tahu sedikit, berdebat di media sosial macam orang viva PhD.

Sebabnya, dengan secebis info itu, ia boleh memberi impression kita ini sudah tahu banyak. Kalau kita belajar cognitive load theory, akan banyak lagi isu yang beranak daripada implikasi fregmentation of information ini. Atok secara peribadi, yang paling atok menderita tengok ialah apabila anak cucu dan anak murid tempang upaya fikir. Lack of depth of thinking dan mengalami cognitive bias, menghanyutkan kita semua jauh daripada ilmu dan maklumat yang bermanfaat. hingga hilang keupayaan pengguna aplikasi seperti ini fokus semasa membaca dan mengikuti pembelajaran terutamanya yang menbabitkan sesuatu topik yang memerlukan tumpuan dan pemikiran.

Atok bukanlah alim sangat.

Tapi atok nak ingatkan doa yang kita tahu belaka ini:

Sesungguhnya Rasulullah sallallāh ‘alayhi wa sallam membaca doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوْذُبِكَ مِنْ عِلْمٍ لاَ يَنْفَعُ وَمِنْ قَلْبٍ لاَ يَخْشَعُ وَمِنْ دَعْوَةٍ لاَ يُسْتَجَابُ لَهَا

Ya Allah Azza wa Jalla , aku berlindung kepada-Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, daripada hati yang tidak khusyuk, serta daripada doa yang tidak dimakbulkan.

Semua keterangan atok di atas adalah fancy story untuk memberitahu anak cucu atok bahawa makin banyak kome layan Tik Tok, makin tengin kome jadinya. Penat je suap makan dan bagi pendidikan yang baik-baik.

Lagi parah, apabila Tik Tok mengikis sifat bermaruah dan malu apabila dorongannya ialah kepada kandungan yang bingung. Malah ada filter atau tanpa filter, #invincible challenge tempoh hari merebakkan remaja bergurau senda bab-bab telanjang tak telanjang ini.

Kamu tahu tak apa perasaan atok yang pernah basuh berak punggung kamu dulu, memikirkan bab macam ini? Sebenarnya rasa nak benam dalam lumpur je kome. Tapi sabarkan hati, didik, sabar, didik, sabar. Walaupun kome jawab, “ok boomer!

Oleh kerana Atok dulu pernah juga le jadi ustaz, maka atok teringat hadith ini:

عَنْ ابْنِ مَسْعُودٍ عُقْبَةَ بْنِ عَمْرٍو الْأَنْصَارِيِّ الْبَدْرِيِّ رضي الله عنه قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم “إنَّ مِمَّا أَدْرَكَ النَّاسُ مِنْ كَلَامِ النُّبُوَّةِ الْأُولَى: إذَا لَمْ تَسْتَحِ فَاصْنَعْ مَا شِئْت” . رَوَاهُ الْبُخَارِيُّ

Daripada Ibn Mas’ud bin ‘Amr al-Ansari al-Badri r.a., beliau berkata, Rasulullah sallallāh ‘alayhi wa sallam telah bersabda, “sesungguhnya salah satu daripada perkara yang dipelajari sekalian manusia daripada pesanan kenabian sejak dahulu ialah, “kalau sudah tidak malu, buat sahajalah apa yang kamu mahu!” (Riwayat al-Bukhari)

Maksudnya, mahu bagi nasihat apa, hukum apa, dan hukuman apa pun sudah tidak jalan, apabila hilang rasa malu.

Dan semuanya bukan ‘one shot’ malah menjadi ketagihan. Tik Tok ini direkabentuk memang untuk meninggikan ketagihan. Penagih dadah pun ketagih satu dua dadah sahaja. Kalau ketagih macam-macam jenis dadah, boleh bayangkan bagaimana situasinya.

Atok tak berani nak mengaku atuk gamer. Sebab standard kome sekarang ini tinggi untuk status-status tertentu. Tapi, atok dulu main game sejak zaman PS lagi, yang sekarang kome panggil PS1. Kemudian atok belajar sains di belakang game, supaya atok boleh tolong kome.

Dengarlah nasihat atok ini, sayang.

Hasrizal
Oulu Finland.

Bacaan penuh yang baik:

  1. What makes TikTok possible——the technologies and design principles behind it.
  2. Learning Methods based on Debris Learning.

Check Also

Nota Sembang Abah: Boikot Nuh

“Kau tahu, dia tu walaupun berdakwah sana sini, anak sendiri pun bertatu!” “Isy, kalau sudah …

2 comments

  1. Nany Adifah BT Abdullah Kamal

    Tak pernah terfikir macam ni sekali atok boleh tulis panjang lebar. Saya pun tak tahu smpi macam ni sekali dia punya ‘behind the story’ of Tik Tok. Lawak pulak rasa baca atok punya tulisan kali ni. Lama tak dengar perkataan ‘tengin’ hahahahah. Apa pun, terima kasih sebab buka mata dan minda saya tentang Tik Tok ni. Suatu ilmu baru untuk saya. 🙂

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.