Hanya Dengan Rahmat-Nya Kita Bertahan

Akhir 2016, kami terpaksa membuat keputusan paling perit dalam hidup iaitu terpaksa hidup berpisah. Isteri akan berhadapan dengan kesunyian bertugas seorang diri di Ireland, manakala saya akan berhadapan dengan pengajian, dan mengendalikan empat orang anak sendirian di Finland ini.

Usai menghantar isteri berlepas ke Ireland dari lapangan terbang Oulu ketika itu, saya dan anak-anak mengambil bas untuk pulang ke city centre. Saya duduk di belakang bas dan menangis sendirian memikirkan apakah yang bakal berlaku selepas ini. Menyembunyikan rasa takut itu daripada anak-anak kerana mereka perlu kepada ayah dan ibu yang kuat.

Kini sudah hampir 4 tahun kami hidup begitu.

Adakalanya kami menginginkan apa yang kami tiada.

Isteri menginginkan situasi saya, sentiasa berada di samping anak-anak dan lengkap sekeluarga apabila beliau pulang ke Oulu. Manakala saya pula menginginkan situasi isteri, punya masa bersendirian yang cukup untuk bertenang, tidak perlu berfikir tentang tanggungjawab dan urusan semudah mengejut anak bangun subuh dan esok nak masak apa.

Sering saya mengalami mental breakdown kerana terlalu tertekan dengan situasi harian. Sebab itu saya bertindak bertemu kaunselor keluarga atas saranan jururawat sekolah. Saya perlukan diskusi antara orang dewasa untuk mententeramkan fikiran.

“Kenapa baru sekarang berjumpa dengan saya? Jika situasi yang kamu hadapi ini berlaku kepada typical lelaki Finnish seusia kamu, mungkin diambilnya senapang dan menembak mati seisi rumah!” kata kaunselor.

Saya ternganga.

Beliau ketawa.

“Saya bergurau sahaja. Nampak kamu terlalu serabut. Mari kita mulakan diskusi!” beliau duduk sambil menuang kopi untuk saya.

Sebulan sekali, saya bertemu dengannya untuk berbincang hal-hal yang amat rumit, tidak terdaya untuk saya memikirkannya sendirian.

COVID-19

Di musim pandemik virus ini, kami terkurung di dua negara yang berbeza. Ribuan batu memisahkan.

Sudah berbulan tidak dapat berhimpun sebagai satu keluarga.

Kami berdepan saat getir semasa isteri yang bertugas di Jabatan Kecemasan berdebar menunggu hasil ujian selepas terdedah kepada kakitangan perubatan yang positif COVID-19. Kami rahsiakan debaran itu daripada anak-anak kerana takut hasilnya juga positif.

Syukur Allah selamatkan.

Perit dan payahnya isteri berkurung di dalam pakaian berbungkus dan PPE itu setiap hari berbulan-bulan, diteruskan. Isteri mengadu migrane, sesak nafas, lemas, susah hendak solat, dan kesunyian. Dari jauh, apa yang terdaya saya lakukan hanyalah terus memberi kata-kata semangat dan doa, tanpa mempedulikan situasi diri sendiri juga yang sedang huru-hara di dalam setting yang berbeza. Sejujurnya saya berharap mungkin kesibukan dan tekanan kerja di wad kecemasan dapat menyibukkan fikiran isteri agar beliau pulang ke rumah setiap hari dan boleh terus tidur dek keletihan.

Saya pula meneruskan lock down yang sebenarnya sudah lama sebegini. Adakalanya saya duduk di tingkap dan berkata, “sekarang baru kalian tahu apa situasi saya selama ini!”

Sudah empat tahun saya tidak boleh bergerak ke mana-mana. Kehidupan saya hanya ruang tamu ke dapur, ke kedai runcit, ke universiti. Dulu memandu kereta seluruh negara dan terbang ke sana sini, kini hidup terkurung di sebuah dunia kecil kerana perlu menjaga anak-anak, sambil menjaga diri. Paling saya takut, jika saya jatuh sakit, siapa akan menjaga anak-anak, tanpa keluarga.

Usahkan hendak outstation, hendak stay back di universiti pun adakalanya bimbang. Anak-anak bergaduh di rumah, ada yang mesej kelaparan, dan mereka juga berhadapan dengan tekanan perasaan dari semasa ke semasa. Berbulan hidup tanpa matahari itu pun sudah cukup menguji.

Dan saya perlu sentiasa kuat untuk mereka.

Sesekali saya membayangkan seronoknya jika saya dapat backpack seorang diri ke Utsjoki, hanya kerana saya kebulur inginkan waktu berseorangan. Craving kepada aloneness.

RAMADAN 1441H

Sedih sekali Ramadan kali ini… kami tiada peluang berbuka puasa dan bertarawih bersama. Dan ia bersambung sehingga Aidilfitri yang sudah sedia terasing jadi tambah terasing lagi dengan lock down yang berterusan. Terpisah.

Semasa artikel ini ditulis, Taoiseach bagi Republik Ireland, Leo Varadkar baru sahaja mengumumkan tambahan masa lock down sehingga 18 Mei, dan kemudian semakan akan dibuat selepas itu.

Adakalanya saya letakkan seketika kisah-kisah para Nabi dan Rasul di tepi, meminta Allah kuatkan diri yang bukan Nabi dan Rasul ini. Monolog diri dengan Allah perlu sentiasa kuat, dan Maha Agungnya Allah melayan rintihan diri, yang hanya satu daripada berbilion hamba-Nya yang turut teruji di dalam situasi masing-masing di sana sini.

Setiap kita ada ujian masing-masing. Catatan ini bukanlah perbandingan siapa lebih susah daripada siapa. Ia hanya sebahagian daripada ‘My Learning Journey‘, demi ilmu.

Di sebalik kisah ini tiada hero, tiada jaguh, tiada tokoh, jauh sekali idola. Apa yang ada hanya hamba-hamba Allah yang lemah, berusaha dari sehari ke sehari, mengharapkan kesudahan yang baik untuk semua, terutamanya untuk anak-anak kita.

Sesungguhnya hanya dengan rahmat Allah, kami dapat melakukannya, setakat ini.

Selepas kesusahan, ada kemudahan. Dua kali Allah janji untuk kita, sayang.

Stay strong my love.

Hasrizal
Oulu Finland

Check Also

15 Keburukan Sistem Pendidikan di Finland Bagi Yang Mencari Keburukannya

AKHIRNYA, INI KEBURUKAN SISTEM PENDIDIKAN FINLAND. Saya mula menulis mengenai kekurangan sistem pendidikan Finland pada …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.