Kenapa Ummi ‘Cuti’ Sembahyang?

“Abi, kenapa Ummi tak sembahyang?” tanya Saiful Islam.

“Umi bercuti” saya menjawab.

“Cuti apa?” tanyanya lagi.

“Hmm, Allah sayangkan orang perempuan. Dia bagi orang perempuan cuti” saya menjawab.

Seperti berdalih.

“Kenapa pula Allah sayang orang perempuan sahaja?” setiap lanjutan pertanyaan bererti jawapan sebelumnya tidak sempurna.

“Ok, Yop betul nak tahu?” saya mengubah kerusi duduk.

“Mestilah. Yop nak tahu” katanya.

“Macam ini. Yop dah faham bab aqil baligh, kan?” saya memulakan penjelasan.

“Hari tu Abi dah cakap” jawabnya.

“Hari itu Abi cakap bab aqil baligh lelaki. Kali ini Abi nak cakap bab aqil baligh perempuan pula” tangan saya seram-seram sejuk membuat penjelasan.

Saiful Islam mendengar dengan tekun. Mulutnya masih mengunyah, kami makan bersama tanpa Ummi kerana Ummi oncall di hospital.

“Apabila perempuan aqil baligh, setiap bulan perutnya mengeluarkan telur kecil. Macam telur ayam tu. Tapi kecil. Nama telur tu, ovum. Telur tu boleh jadi baby. Tetapi kalau tidak jadi bayi, selepas beberapa ketika, telur itu akan pecah jadi darah. Apabila jadi darah, dia keluar dari tubuh perempuan melalui saluran kencing. Nama darah tu haid. Yop pernah dengar tentang haid?” saya berhenti seketika dengan soalan.

Khuatir maklumat yang diberi terlalu banyak dan mengelirukan.

Beliau menggeleng-gelengkan kepala.

“Darah haid itu keluar sedikit demi sedikit dan badan orang perempuan lemah dan sakit. Sebab itu Allah bagi orang perempuan cuti sembahyang semasa darah itu keluar” saya menyambung penjelasan.

“Patutlah Yop tengok Ummi macam demam aje!” katanya.

Saya mengangguk.

“Tiap-tiap bulan ke? Bulan lepas Yop tak nampak pun Ummi cuti!” sampuknya.

“Tiap-tiap bulanlah. Bulan lepas Yop tidak perasan. Yop belum fikir bab ini” saya meyakinkannya.

“Berapa lama darah tu keluar?” tanya Saiful Islam lagi.

“Ada orang sehari sahaja. Ada orang empat lima hari. Tetapi tidaklah sampai lebih lima belas hari. Kalau lebih lima belas hari, mungkin ada penyakit. Maka caranya lainlah!” saya menjelaskan.

Mengelak daripada masalah-masalah perbezaan pendapat fuqaha’ dan hanya memetik apa yang cukup untuk kefahaman si anak.

“Tapi macam mana ada telur jadi baby dan ada telur tak jadi baby?” ujar Saif lagi.

Aduh! Saya ingat topik itu sudah selesai. Boleh pula dia berpatah balik ke belakang.

“Telur itu hanya jadi baby, kalau ia bercantum dengan air mani lelaki!” saya meneruskan penjelasan.

“Aik, macam mana pula air mani lelaki boleh bercantum dengan telur dalam badan perempuan?” tanya anak sulung saya.

Matanya bulat menunggu penjelasan. Mulut yang mengunyah pun terhenti seketika. Menambah tekanan ke atas diri saya untuk menjawab.

“Yop betul nak tahu ke?” saya bertanya.

“Nak tahulah. Cakap ajelah, Abi!” katanya. Tegas.

“Air mani lelaki keluar ikut zakar. Darah haid perempuan keluar ikut faraj. Apabila lelaki berkahwin dengan perempuan, lelaki dihalalkan memasukkan zakarnya ke dalam faraj perempuan dan dengan cara itulah air mani lelaki masuk ke dalam tubuh badan perempuan!” saya bercakap seperti tiada tanda waqaf, dengan satu nafas.

“Stop it! Yop nak termuntah!!!” jeritnya.

“Hah itulah, banyak sangat tanya. Orang banyak bertanya ni kena kuat iman!” saya menamatkan perbualan.

“Itulah makna berkahwin yang sebenar, yang kanak-kanak tidak faham. Hanya orang dewasa sahaja yang faham. Tapi sebab Yop tak sabar-sabar nak tahu, selamat datang ke dunia orang dewasa!” saya menambah lagi perencah.

“Cukup! Cukup! Yop dah faham!” katanya.

Saya bingkas bangun. Berpeluh-peluh menempuh saat mendidik anak yang paling saya takut selama ini.

Alhamdulillah satu lagi bab sudah selesai.

TUJUH BUAH FIKIRAN

  1. Ibu bapa adalah pihak terbaik untuk menerangkan persoalan seksualiti kepada anak-anak kerana kepercayaan yang wujud antara mereka.
  2. Ibu bapa perlu sedar tentang kepekaan anak mereka memerhatikan tindak tanduk mereka, apa yang mereka buat dan apa yang mereka tidak buat. Soalan yang ditanya oleh anak, perlu disambut sebagai gerak hati oleh Allah yang mahukan anak itu belajar kerana masanya sudah tiba.
  3. Elakkan daripada mereka-reka konsep untuk mengelak daripada menyatakan apa yang sebenarnya mereka ingin tahu. Berterus teranglah dalam membuat penerangan. Perkataan penerangan berasal daripada kata akar TERANG. Maka penerangan perlu terang dan menyuluh. Bukan mengelirukan.
  4. Ibu bapa perlu memberikan penerangan secara bertahap dan tidak melompat-lompat dalam penjelasan. Mulakan penerangan tentang makna aqil baligh, apa proses dan ciri aqil baligh lelaki dahulu, jika anak lelaki yang bertanya, sebelum aqil baligh perempuan. Kemudian terangkan apa yang berlaku apabila aqil baligh secara berasingan, dan apa yang berlaku secara perkongsian antara lelaki dan perempuan.
  5. Hindarkan diri daripada perbezaan pendapat fuqaha dan khilaf mazhab dalam memberi penerangan. Terangkan satu jalur kefahaman sahaja sekadar yang cukup untuk membantu anak faham topik yang dibincangkan.
  6. Walaupun bergurau senda boleh membantu mengurangkan rasa tertekan, resah, gementar atau bingung, ia mestilah mengekalkan rasa malu dan menghormati topik yang dibincangan.
  7. Jangan sesekali melucukan seks atau melucahkannya. Ia memusnahkan seluruh proses pendidikan.

HASRIZAL
43000 BSP

 

 

Check Also

Perjalanan Sengsara Mendidik Anak Remaja

“Mana-mana ibu bapa yang mempunyai anak kecil dan mahu meluangkan masa bersama supaya kita boleh …

12 comments

  1. Muhammad Qayyum Halele

    Nasib baik contoh bapa yang senyapkan soalan anak pakai i-pad bagi main angry bird tak dijadikan case study ye ustaz? 🙂

  2. Assalamualaikum,

    Anak-anak didik kat sekolah pun suka bertanya bab-bab macam ni.Artikel ini juga dapat memberi panduan kepada kami warga guru(terutama guru agama).

    Terima kasih Ustaz,Jazaakallah khayral jaza’.

  3. Assalamualaikum,

    Anak-anak didik kat sekolah pun suka bertanya bab-bab macam ni. Artikel ini juga dapat memberi panduan kepada kami warga guru (terutama guru agama) berhadapan dengan soalan-soalan murid yang sewaktu dengannya.

    Terima kasih Ustaz, Jazaakallah khayral jaza’.

  4. Salam Ustaz. Jika si anak (pada usia kanak-kanak) terus bertanyakan soalan, bagaimana persetubuhan tu berlaku (i.e., zakar masuk dalam faraj – maaf, bunyinya agak ‘direct’), bolehkah kita tangguhkan untuk jawab persoalan tu sehingga sampai pada tahap si anak lebih dewasa (mungkin di peringkat remaja) dan lebih faham tentang ilmu-ilmu/hal-hal sebegini? Bimbang kadang-kadang bila terlampau ‘direct’ dalam keadaan si anak masih muda dan mentah, dia terfikir yang bukan-bukan, dan takut dia buat ‘eksperimen’ pula, na’uzubillahi min zalik. Tapi, kalau tak diberitahu, ada kemungkinankah dia akan cari dan dapatkan maklumat tu dari sumber yang salah/kurang tepat?

    • Salam.
      Actually sudah banyak sekolah2 rendah especially private yg sudah mula bg talk education. Baru2 ni rakan sekerja saya telah beri sex education talk pada murid sekolah darjah 3-6. Beserta gambarajah anatomi. Semua gambar ada kecuali gambar hubungan bersama.

  5. saya suka. membuka ruang baru untuk beri jawapan pada anak nanti 😉

  6. Saya pun berpeluh nak baca ayat seterusnya bila baca soalan Yop tu..
    tp betul, “Orang banyak bertanya ni kena kuat iman!”…hihi..

    Pd pendapat saya, memang perlu terangkan pd anak2 dgn betul wlaupun agak direct.
    Macam saya dulu bapak masukkan kt SRI, kt sana masa kami dlm darjah 5 dan 6, ustazah2 kumpulkan pelajar prmpn dan terangkan psl akil baligh dan cara mandi wajib semua,mmg mcm malu2 tp lps tu dah faham.

    Dalam kelas fardu ain belajar pakai kitab Zadul Mutaalim, ada jugak diterangkan, jd sy rasa pendidikan seks yg org nak sgt tu tak perlu kalau tidak bertunjangkan agama, sebab dlm agama dah diterangkan dgn jelas, cuma nk mcm ustaz ckplah, jgn dilucukan, nanti orang segan nak tanya2.

    Kat rumah kdg ada majalah wanita, baca semua bab dan terjumpa bab2 rumahtangga,mula2 terlopong gak,mcm “haaa…mcm tu ke..?” ye lah,selalu teori dan pasal diri sendiri jer…yg lebih senang tanya mak utk anak prmpn =) dan lelaki tanyalah bapa. Tp saya percaya hal ini hanya berlaku kalau wujud kepercayaan yg tinggi antara ibubapa dan anak. Kalau tak, tu yg anak belajar dari sumber lain.

    Dulu masa darjah 6, pernah ckp kt abah, masukkan saya kt sekolah biasa pun takpe sebab sekolah swasta ni yuran mahal, tp saya ingat lagi, abah senyum je… dan sampai sekarang saya rasa sgt ingat apa sy belajar kt sana walupun dah lama. Sungguh!

  7. Terima kasih atas perkongsian pengalaman ustaz, boleh menjadi pengajaran buat kami yang juga akan berhadapan dengan soalan2 anak yang membesar di zaman yang begitu terbuka ini..

    Cuma, kalau boleh mungkin saya akan ‘elakkan’ dulu penerangan kejadian manusia tu & hanya menjawab dulu soalan kenapa ibu tidak solat disebabkan kitaran haid yang berlaku setiap bulan.. Itupun kalau tiada soalan lanjut yang menyeramkan tu 🙂

  8. rogayah hashim

    ibubapa skrg kena membuat persedian pemerhatian atas soalan anak2 yg di luar jangkaan…Al maklum lah anak2 skrg lebih terdedah dgn penyalahgunaan organ genital dari sudut moral & agama sama ada sedar atau tidak menerima refleksi di luar kawalan.D kafa anak saya telah d dedahkan akan perbezaan ini dlm subjek fiqah…agak sedikit terkejut terkasima(my son on step ahead know about it b4 i could explain) tapi mujur la yg menerangkan berlatar belakangkan pendidikkan agama…:)

  9. Perkongsian terbaik dari ustaz, terima kasih
    Sedikit pandangan dari saya, tidakkah bila mana yop respon ” stop it, nak termuntah saya” memberi signal yg pendedahan tentang kelamin itu tidak sesuai dengan akalnya dan memberikan satu kefahaman dan pandangan yg jijik tentang hubungan kelamin, perkahwinan dan proses terjadinya baby itu sendiri..
    Apa pandangan ustaz, sekiranya kita hanya mengatakan yg percantuman benih itu berlaku bila mana lelaki dan perempuan itu berkahwin, bila mereka tidur bersama.. selebihnya bila yop besar nanti yop akan faham, atau bila tiba masanya nanti abi akan ceritakan… wallahu ‘alam..

  10. Risau jgk utk memikirkan apabila yop semakin dewasa kelak dan menjadi pintar setelah membaca Al-Qur’an dan memahami isi kandungannya, bertanya kpd abi dan ummi, ” Abi, kenapa Ummi cuti sembahyang ketika haid?.. Yop tak jumpa pun surah atau ayat yg menyatakan Ummi boleh bercuti maupun mc dari melakukan ibadah kpd Allah..!! (Saya dh pernah kena tanya..terkedu saya di buatnya..) Boleh ustaz share klu utk menjawabnya?…iAllah

  11. Salam.. bagus jawapan ni.. sebab mencari pertanyaan ank didik saya.. hehe… mujurlah jawapan yg saya beri sama dan lebih kurang gtu gak ler..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share