“Anak Saya Minat Lady Gaga, Ustaz!”

“Bagaimana kami hendak menjawab kepada anak-anak yang semakin meningkat remaja, persoalan mengapa mereka perlu bertudung, kenapa kena bataskan pergaulan antara lelaki dan perempuan serta hal-hal lain yang sering menjadi persoalan mereka?” salah seorang sahabat yang hadir di dalam halaqah kami bertanya.

Ia persoalan yang berat.

Menjawabnya secara mudah akan seperti memandang remeh dan enteng persoalan itu.

Kepala saya ligat berfikir.

Hari ini, saya sedang berhalaqah dengan rakan-rakan komuniti Malaysia yang berkampung di Lucan, Dublin. Kami berbicara tentang Ibrah Daripada Surah Luqman. Soalan yang hadir daripada ibu bapa yang membesarkan anak-anak mereka di ‘negeri orang’. Ironinya, soalan yang sama telah beberapa kali saya terima daripada ibu bapa yang membesarkan anak-anak di kampung halaman sendiri.

Di Malaysia.

“Saya tiada jawapan mudah untuk soalan puan. Menjawabnya secara mudah akan seperti memandang persoalan itu remeh sedangkan persoalannya sangat besar” saya berkongsi pandangan.

Satu perkara yang boleh kita analogikan, apabila seorang pesakit sentiasa mengeluh tentang tidurnya yang tidak lena, banyak berdengkur, diabetis yang tidak sembuh, celah peha dijangkiti kulat dan badan sentiasa penat, semua masalah itu serius dan mengganggu saban hari. Namun apakah semua itu masalah sebenar, atau segalanya datang daripada masalah yang lebih mendasar?

Inilah yang membawa perbincangan kami malam tadi kepada kerangka Surah al-Kahf.

Surah al-Kahf memahamkan kepada kita bahawa manusia bertindak tanduk, tidak secara rawak (random). Keputusan-keputusan harian kita, merupakan jelmaan perisian dalaman diri yang menjadi sasaran serangan Dajjal, dan Surah al-Kahf pula melindungi perisian itu daripada serangan tersebut.

Apabila kita memberikan anak-anak pendidikan agama, iceberg ini boleh membantu kita membuat penilaian sejauh manakah anak-anak malah diri kita sendiri telah berjaya ‘beragama’.

Jika ritual yang menjadi penilaian, ritual mungkin berlegar hanya pada tip of the iceberg.

Namun kita perlu bertanya, adakah anak kita mempercayai sesuatu dengan cara percaya Islam?

Apa aqidahnya?

Bagaimanakah cara anak kita berfikir dan melihat? Adakah mereka memandang dengan pandangan Islam? Adakah mereka memandang kehidupan ini dengan pandangan hidup Islam?

Apakah sistem nilai mereka? Adakah mereka menilai baik dan buruk, penting dan tidak penting, berharga dan tidak berharga, berasaskan kepada nilai Islam?

Ini adalah di antara beberapa persoalan dasar yang boleh ibu bapa jadikan ia sebagai asas untuk memantau perkembangan proses beragama anak-anak.

“Anak saya minat benar dengan Lady Gaga!” kata seorang ibu dalam salah sebuah program yang pernah saya kendalikan.

“Minat lagu atau menjadikan Lady Gaga sebagai idola?” saya cuba mendapatkan kepastian.

“Lady Gaga itu menjadi inspirasinya!” kata ibu berkenaan. Gelisah.

Biar pun si ibu dan anaknya sama-sama beraqidah Islam, tetapi ada missing link antara aqidah mereka dengan cara mereka memandang kehidupan. Lady Gaga itu entahlah apa agamanya, tetapi cara pandang hidupnya, ialah pada melihat setiap manusia memiliki dirinya sendiri dan berhak menentukan apa yang baik dan buruk untuk dirinya, dan manusia lain perlu menghormatinya, biar seganjil mana pun ia.

Hakikatnya itu bukan pandangan hidup Islam.

Bagaimana seorang anak Muslim, yang diajar Aqidah Islam, boleh memiliki pandangan hidup yang bertentangan dengan Islam? Lalu seterusnya berpegang dengan sistem nilai yang jauh daripada Islam?

Mungkin Aqidah yang dipelajari, dipelajari secara random dan tidak akhirnya berumusan. Sedangkan dalam semua-semua topik Aqidah kita, sepatutnya ia berakhir dengan kejayaan menjawab tiga soalan utama iaitu:

  1. Siapa aku?
  2. Siapa Allah?
  3. Apakah makna kehidupan ini?

Jawapan kepada tiga soalan itulah yang membentuk cara pandang dan cara fikir Islam.

  1. Aku hamba Allah.
  2. Allah Tuhan dan Penciptaku.
  3. Hidup ini adalah kehambaanku kepada Allah.

Maka pandangan hidup kita akan menjadi pandangan hidup Islam.

Lalu apa yang penting di sisi Islam, pentinglah di sisi kita.

Apa yang utama di dalam Islam, utamalah di sisi kita.

Solat.

Tudung.

Batas-batas pergaulan.

Mungkin masih culas kerana gangguan nafsu, tetapi tidak lagi berbentuk mempersoalkan.

Pokoknya, mendidik anak-anak di era Dajjal ini tidak cukup sekadar melunaskan tuntutan tip of the iceberg.

Kita perlu mendasar.

Ke dalam.

Dan bertuahlah ibu bapa yang ada upaya berbual dengan anak-anak, kerana perbualan ini menyinarkan harapan untuk persoalan ini dikongsi oleh guru pertama dan guru terbaik anak-anak kita.

Ibu dan bapa!

TUJUH BUAH FIKIRAN

  1. Ibu bapa perlu membezakan di antara masalah yang kelihatan dengan masalah yang sebenar. Masalah anak-anak seperti tudung, solat, pergaulan bebas, perlu dinilai apakah ia masalah yang sebenar atau ia merupakan simptom kepada satu masalah lain yang lebih mendasar.
  2. Manusia tidak bertindak tanduk secara random. Perbuatan manusia mempunyai mekanisme yang jika difahami, boleh membantu kita mengenal pasti mengapa masalah-masalah yang kelihatan itu timbul.
  3. Surah al-Kahf memberikan kerangka bahawa perbuatan manusia adalah hasil daripada
    1. Sistem kepercayaan
    2. Sistem fikir dan lihat (pandangan hidup)
    3. Sistem nilai
  4. Pendidikan agama mesti dicerakinkan kepada elemen-elemen yang membentuk kepercayaan, cara pandang dan fikir, serta cara menilai.
  5. Ibu boleh boleh menilai, semasa anak membuat pilihan (misalnya pakaian), adalah pilihannya merupakan pilihan yang mencerminkan kepercayaan dan pandangan hidup Islam, atau bagaimana?
  6. Perbualan tentang Islam bersama anak-anak boleh dipecahkan kepada elemen-elemen itu tadi, seperti:
    1. “jom kita berdoa, Allah pasti membantu” (kepercayaan)
    2. “kita kena berusaha sebaik mungkin, kemudian baru bertawakkal (kepercayaan)
    3. “kami ibu bapa kamu, tetapi Allah Tuhan kami dan kami. Kita semua hamba Allah” (kepercayaan)
    4. “apa tujuan kita ke sekolah?” (pandangan hidup)
    5. “Kenapa dalam peperiksaan kita mesti yakin dengan usaha sendiri dan tidak meniru?” (pandangan hidup)
    6. “Mengapa kita sambut Aidiladha dan Aidilfitri, kita tidak sambut Krismas?” (pandangan hidup)
    7. “Duit kita, elok kita gunakan sebaik mungkin, tetapi 2.5%, kita asingkan untuk sumbangan” (sistem nilai)
    8. “Jom kita solat dahulu. Cuci kereta yang ayah minta tolong tu kita buat kemudian” (sistem nilai)
    9. “Kalau kawan suka, Allah tak suka, kita pun tidak bahagia. Utamakan Allah suka. Mama pun suka” (sistem nilai)
  7. Sekali lagi, upaya komunikasi yang efektif antara ibu bapa dan anak, akan banyak membantu proses pendidikan berlangsung dengan sebaiknya.

HASRIZAL
LUCAN, DUBLIN

 

Check Also

Perjalanan Sengsara Mendidik Anak Remaja

“Mana-mana ibu bapa yang mempunyai anak kecil dan mahu meluangkan masa bersama supaya kita boleh …

10 comments

  1. rogayah hashim

    Kejiwaan anak2 di terap melalui sistem kepercayaan,nilai dan pengangan berteraskan Al-Quran dan Hadis wajib diguna pakai dgn hikmah oleh guru terbaik yakni ibubapa itu sendiri.Soalnya bukan kuantiti tapi kualiti amanah yg dipikul…saham ibubapa di akhirat kelak.Lewat pertemuan saya dgn seorg pengurus jenazah wanita sukarela membuka minda tentang penekanan solat taubat di mana dia mengatakan ibubapa perlu melakukan solat ini kerana dosa ibubapa sedikit sebanyak tempias pd anak2.Saya mengatakan bukan ke dosa itu dipikul sendiri oleh pembuat dosa?Persoalan di balas dgn persoalan…Apakah hikmahnya melakukan solat taubat frequently?sekadar perkongsian..wallahuaklam…

  2. Para pemuda sekrang ini sudah tersalah memilih idola diri. Yang tidak sepatutnya dijadikan idola masih diangkat-angkat, tetapi yang baik untuk dicontohi, tidak pula dipandang.

    • Tersalah pilih idola bukan kerana tidak cukup idola yang baik, tetapi, sepertimana yang Ustaz Hasrizal gariskan, cara pandang pemuda itu sendiri terhadap idola-idola mereka. Jika hiburan sahaja yang mereka cari, maka penghiburlah yang mereka nampak.

  3. Askm..
    Ustaz typo..
    # “kami ibu bapa kamu, tetapi Allah Tuhan kami dan kami. Kita semua hamba Allah” (kepercayaan)

    *kami dan kamu?

  4. salam,

    saya becadang untuk menghantar anak umur 2 tahun setengah tahun dan 5 tahun ke BBIM putra Mahkota. Tapi saya ragu2 kerana masih baru disini, dan tahun depan adalah tahun pertama operasi. Dipahamkan Dahulunya di Impian putra Shoplot tetapi semua aunty dan principal telah bertukar. anak saya yang umur 2 tahun 1/2 itu dilahirkan tidak cukup bulan..kekuatan fizikal nya masih di tahap sederhana..namun daya ingatan dan kepetahan percakapannya lebih baik jika dibandingkan dengan abangnya semasa di umur yang sama Abgnya pula paling tidak suka belajar. sebelum ini belajar di qdees, tapi cukup susah untuk saya menyuruh dia membuat homework. ditambah pula abang nya di rumah hanya suka bermain dengan toys dan tgk TV…apa pun sya berharap agar kesemua anak sya bole membaca dan mengira sebelum masuk darjah satu. pengalaman encik saiful di BBIM bagaimana pula?

  5. Assalammualaikum wbkt ya ustaz…

    Persoalan saya mengenai topik ini, minat menonton seperti kita menonton drama, rancangan tv, filem bangsa dan agama lain tidaklah sampai menjejaskan pegangan kita tetapi mencontohi semangat seperti orang jepun bekerja dan yang lain dari sudut positif adakah salah? Walaupun dalam lakonan mereka membuka aurat, minum arak dll.

    Sekarang dunia tanpa sempadan memudahkan apa saja yang kita perolehi dengan mudah. Muzik yang sedap di dengar terus saja menjadi ikutan. Jika sekali lalu tanpa lalai seperti kita membuka radio didalam kereta bagaimana ya ustaz…

    Adakah cerita anak puan yang minat Lady gaga tadi begitu drastik perubahannya sehingga pakaian dan solekan menyerupai selebriti tersebut?

    Minta penerangan lebih lanjut ustaz supaya kami tidak lalai dengan dunia ini.

    Terima kasih….

  6. Hanya mampu tersenyum ustaz 🙂

  7. syukran atas perkongsian yang sangat berguna . (:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share