Bingung.
Apa ini?
Subuh Jumaat itu, semasa membuka aplikasi WhatsApp di telefon, saya tergamam membaca mengenai kejadian serangan masjid di Christchurh, New Zealand. Saya tidak mengetahui skalanya, dan terheret menonton sebuah klip video yang diedar di aplikasi berkenaan. Langsung jadi kecamuk, terkejut… inna lillah wa inna ilayhi raji’un.
New Zealand itu di hujung selatan, seperti Finland di hujung utara, adalah negara yang sinonim dengan keamanan dan kesejahteraan. Jenayah yang sangat rendah, perkara terakhir yang boleh terfikir di minda ini untuk terjadi di sebuah negara seperti New Zealand adalah serangan pengganas fasisme dengan angka korban sebesar itu. Ya Allah, lindungilah saudaraku, dan sekalian manusia daripada makhluk jahat seperti pengganas ketuanan kulit putih berkenaan.
Kejadian di Christchurch, New Zealand mempunyai kesan yang membimbangkan kepada kami di Oulu Finland ini. Masjid kami sudah 9 kali diganggu semenjak 2017, termasuklah serangan terbaru beberapa minggu lalu menggunakan bom asap. Pihak polis menasihatkan masjid memasang dan menambah CCTV untuk mengawal keadaan dan mengesan pelaku. Sebaik sahaja CCTV dipasang, berlaku kejadian paling membimbangkan. Imej pelaku subuh 5:20 pagi 26 Februari lalu dirakam oleh kamera litar. Laporan sudah disampaikan ke pihak polis. Namun sehingga hari ini, tiada sebarang suspek, tiada tangkapan.
New Zealand yang selama ini dianggap sebagai negara yang sangat selamat malah mesra kelompok minoriti, berdepan dengan tragedi ngeri ini malah mungkin yang terburuk semenjak beberapa tahun ini. Kita tidak memerlukan berjuta individu berpemikiran pengganas untuk mencipta bencana. Cukup beberapa orang, malah seorang, tragedi tercetus. Tidak kiralah negara paling selamat di dunia atau pendidikan terbaik di dunia, syaitan adalah syaitan. Namun ini tidak seharusnya melemahkan kita. Tidak ke masjid bukan pilihan dan penyelesaian.
Mosque-comes-under-bomb-attack-in-OuluSumber http://www.dailyfinland.fi/national/9430/Mosque-comes-under-bomb-attack-in-Oulu
Suasana solat Jumaat agak hening.
Jumlah hadirin juga kebetulannya agak kurang daripada kebiasaan. Saya memilih untuk solat di bilik kedua, lokasi biasa saya selama ini. Semasa mendengar pesanan-pesanan Imam agar kami komuniti Muslim bertenang, membanyakkan doa dan berhati-hati, fikiran saya sekali sekala melayang membayangkan bagaimana jika ada penceroboh masuk ke masjid dan menyerang kami?
Tiada tingkap untuk lari.
Tiada lubang untuk bersembunyi.
Perasaan gusar yang tidak sepatutnya terjadi semasa kita sedang berdamai dengan Tuhan di rumah-Nya.
Namun itulah keadaannya.
Usai solat Jumaat, saya memeriksa di mana anak-anak, dan berpesan agar semua terus pulang ke rumah dan tidak singgah di mana-mana.
“Kenapa abi? What happened?”
“Why I saw so many guards around the mosque just now?”
Bertubi-tubi anak bertanya. Saya tidak mahu menakutkan mereka. Apa yang saya khuatir ialah kalau-kalau ada anak yang tertonton video rakaman serangan di masjid tersebut yang tersebar luas. Sebab itu saya tidak benarkan anak-anak duduk dalam WhatsApp group Malaysia, walaupun kumpulan keluarga, kerana sebaran video ngeri seperti ini berlaku sewenang-wenangnya sedangkan implikasinya amat berbahaya. Alangkan saya yang dewasa ini pun mentally disturbed kesan menontonnya, apatah lagilah anak-anak.
“There was a terrorist attack in two mosque in New Zealand. We’ll talk about it at home later but I warn all of you NEVER EVER watch any circulated video about the shooting. Never!” Saya sampaikan mesej setegas-tegasnya.
Statement-PSIY-18032019Susahnya hendak ‘mengislamkan anak-anak di negeri asing ini. Saya boleh memberitahu anak-anak supaya jangan melepak di pusat membeli belah. Jauhkan diri daripada kawasan pub. Elakkan daripada berada di lorong-lorong gelap dan sunyi. Saya masih berpesan hal-hal ini, walaupun secara umumnya Oulu dan Finland sendiri adalah daerah yang selamat. Tetapi saya tidak boleh memberitahu anak-anak jangan pergi masjid. Ia bukan pilihan. Ia kekalahan. Kalah kepada syaitan manusia, dan kalah kepada syaitan jin, yang kedua-duanya mahu menjauhkan kita daripada Tuhan.
Dalam situasi sedemikian rupa, apa yang boleh dilakukan adalah dengan terus berusaha menjadi muslim yang baik, manusia yang baik, seperti biasa. Selebihnya, bertawakkallah kepada Allah.
BENCANA KEBENCIAN
Pepatah Melayu menyebut, “api semasa kecil menjadi kawan, apabila besar menjadi lawan.” Demikianlah sebuah kebencian dan kemarahan. Ia lumrah kita sebagai manusia, bersetuju dan tidak bersetuju dengan sesuatu. Tetapi emosi yang tidak terbimbing menjadikan kita prejudis dan sikap prejudis itu kemudian diserlahkan dalam perbuatan.
Menyindir.
Mengejek.
Troll.
Di era media sosial ini.
Daripada tindakan individu, ia terus menerus dibaja oleh isu demi isu, menjadikan tindak tanduk itu tadi berubah menjadi sistematik dan berinstitusi, akhirnya marak menyala membakar dengan keganasan dan penyembelihan.
Kita mungkin tidak merasakan impak pesan Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam yang ringkas agar kita tidak marah:
عَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَجُلًا قَالَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : أَوْصِنِيْ ، قَالَ : (( لَا تَغْضَبْ )). فَرَدَّدَ مِرَارًا ؛ قَالَ : (( لَا تَغْضَبْ )). رَوَاهُ الْبُخَارِيُّ
Daripada Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu bahwa ada seorang laki-laki berkata kepada Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam: “Berilah aku wasiat”. Beliau menjawab, “Engkau jangan marah!” Orang itu mengulangi permintaannya berulang-ulang, kemudian Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam bersabda: “Engkau jangan marah!” [Hadith riwayat al-Bukhâri].
Mari mulakan perubahan daripada titik ini.
Bersihkan media sosial daripada kebencian dan kemarahan.
Khususnya dalam konteks kita orang Malaysia, terimalah bahawa era untuk menukar pendirian politik di kalangan kita sudah umumnya berlalu. Hantaran kita di media sosial tidak akan mengubah pendirian politik kawan-kawan, melainkan hanya menyebarkan kemarahan, tekanan, kebencian dan dendam. Justeru berhentilah menjadi agen penyebar hal-hal negatif. Saya ada menyentuh hal ini di dalam artikel lepas berkenaan peranan emosi di dalam pengaruh:
Dr. Tali Sharot menunjukkan bagaimana kritikalnya peranan emosi di dalam pengaruh, lemahnya upaya data di dalam pengaruh, serta gagahnya peranan rasa ingin tahu (curiosity). Apabila dua individu yang saling bersetuju berbincang, imej otak menunjukkan aktifnya otak melakukan proses coding ke atas maklumat yang dikongsi. Tetapi apabila dua individu yang tidak sependapat berdialog, imej otak memberikan indikasi seorang-olah kedua belah pihak shut down, tidak memproses maklumat yang diketengahkan.
Bacaan lanjut di artikel: ‘Confirmation Bias’: Helah Minda Dalam Mencari Hujah
Saya juga terperangkap di dalam hal ini. Kecenderungan kita kekal hidup pada memilih apa yang diyakini sebagai betul dan benar. Namun, sebelum mengulas dan berkongsi sesuatu mengenainya, saya perlu ingatkan kembali diri ini bahawa jika motifnya adalah cuba untuk mengubah pendirian, berkemungkinan besar ia tidak akan berlaku.
Aktiviti di media sosial tidak nyata pada menunjukkan berhasilnya usaha mengubah pendirian.
Apa yang nyata ialah, ia mengubah peribadi.
Mengubah luhur budi.
Hingga kita tidak kenal antara satu sama lain lagi.
Saya juga tidak berhasrat untuk mengubah pilihan anda. Saya tetap hormat pilihan anda. Ini hanya pandangan saya, sahabat anda. Bukan siapa-siapa pun.
Tetapi saya percaya, kita boleh mula membuat perubahan daripada apa yang paling kita boleh ubah; diri kita sendiri.
Berhenti menjadi agen penyebar al-salbiyyāt, perkara negatif.
Jangan didaki piramid kebencian.
Semoga Allah merahmati mangsa keganasan dan kebencian di Christchurch, New Zealand. Semoga ia menjadi kegagalan terbesar sebuah agenda kebencian.
Hasrizal
Oulu FI