Anak-anak Adalah VIP Sebenar Hari Graduasi

Alhamdulillah.

Hari ini adalah Graduation Day untuk anakanda Muhammad Imaduddin.

Tahun ini beliau belajar di Brainy Bunch Islamic Montessori (BBIM) berhampiran rumah kami untuk melengkapkan proses pembelajaran pra sekolahnya.

Saya dan isteri memilih Montessori atas beberapa faktor. Imad sebagai kanak-kanak yang lahir di hujung tahun, secara semulajadi mudah berasa tertekan dengan rakan sebaya kerana mereka dilihat sebagai kanak-kanak berusia 6 tahun sedangkan Imad masih 5 tahun. Tekanan tersebut menimbulkan anxiety yang meresahkan. Kerana itu saya dan isteri mencari satu sistem yang boleh membantu Imad berminat sendiri dengan pembelajaran tanpa ditekan-tekan dan dipaksa, seronok dengan proses pembelajaran dan menjadikan sekolah sebagai tempat yang seronok untuk beliau berada.

Tarikan yang diharapkan adalah pembelajarannya. Bukan sekadar rakan-rakan dan pengalaman berkawan serta bermain.

Montessori yang memanfaatkan perkembangan deria anak-anak dalam pembelajaran, tambahan pula bonusnya adalah pada pandangan hidup serta nilai Islam yang disertakan, Brainy Bunch merupakan pilihan terbaik dalam upaya praktikal secara logistik, kewangan dan masa kami.

Hari ini Imad sudah melunaskan pembelajarannya.

Terima kasih kepada aunties (gelaran untuk guru di sekolah, menggantikkan cikgu atau ustazah). Umumnya, boleh saya katakan untuk seorang anak yang unik dan mencabar seperti Imad, Brainy Bunch telah berjaya menjadikannya suka dengan sekolah dan pembelajaran.

Graduation Day kali ini, diadakan di Auditorium Pentadbiran KUIS berhampiran rumah kami. Majlis menggabungkan BBIM di kawasan kami dengan BBIM Seremban 2. Majlis diserikan dengan kehadiran Puan Ladyana Zoraya Abdullah, CTO bagi BBIM, Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki bersama suami, Ustaz Muhidin Mokter selaku Penasihat Syariah bagi BBIM. Terdapat ramai lagi tenaga penting BBIM yang kelihatan seperti Encik Azlim Hamzah selaku Pengarah Sumber Manusia BBIM dan lain-lain.

Biar pun ramai VIP yang hadir, sudah tentu VIP sebenar adalah anak-anak yang diraikan.

Apabila saya hadir ke Graduation Day anak-anak, saya cuba untuk tidak mempedulikan soal teknikal bunyi, kelancaran persembahan, makan minum, kerusi atau apa sahaja yang berkaitan dengan majlis. Sekiranya anak-anak yang diraikan itu gembira dan mengenang majlis tersebut dengan baik, maka berjayalah program tersebut.

Ia mengingatkan pengalaman saya semasa menghadiri Graduation salah seorang anak kami di sebuah tadika lain suatu ketika dahulu. Mikrofon sudah tersedia dan terpasang, maka guru-guru tidak perasan bagaimana kasarnya mereka meng’SYHHH’ anak-anak di belakang pentas dan terdengar ayat-ayat marah yang tajam menggambarkan guru yang sedang menguruskan pentas itu sedang tertekan.

Kasihan kepada kanak-kanak itu.

Kemudian, kasihan kepada guru-guru berkenaan.

Kanak-kanak yang paling cemerlang belajar (dalam erti kata belajar yang sebenar), adalah kanak-kanak yang paling gembira dan bahagia. Jika mereka gembira dan bahagia, mereka akan belajar lebih daripada yang kita jangkakan. Kejayaan pendidikan pra sekolah adalah untuk memperkenalkan proses pembelajaran tanpa mengorbankan kegembiraan dan kebahagiaan kanak-kanak.

Jika deretan A dikejar di peringkat pra sekolah dengan tekanan, kemurungan, kekecewaan dan kemarahan, ia adalah sistem pendidikan yang jauh dari rahmat Allah, dan secara jangka panjang membinasakan jati diri anak-anak. Saya menulis artikel ini dengan harapan ibu bapa membacanya, dan mempertimbangkannya sebagai sebuah kepercayaan.

Jika kita cuba memperkenalkan satu paradigma lain terhadap pendidikan, sedangkan ibu bapa masih berpegang dengan paradigma arus perdana sedia ada, sukar untuk transformasi pendidikan boleh dibuat.

Keluhan biasa yang dikaitkan dengan pendekatan Montessori ialah anak-anak secara relatifnya agak terkebelakang pada keupayaan membaca.

Mungkin ada ibu bapa yang kisah.

Saya tidak kisah.

Membaca adalah seperti menunggang basikal. Agak susah untuk mula. Tetapi sebaik sahaja ia bermula, segalanya lancar dan tidak akan berundur ke belakang. Insya Allah saya dan isteri akan berusaha cara lain untuk memupuk upaya membaca dan semenjak rumah kami tiada televisyen, membaca menjadi aktiviti yang semakin menyeronokkan buat semua.

Tahniah Imad.

Abi dan Umi bangga dengan Imad.

Jom bahagia, kurangkan mengamuk dan menangis-nangis, ok.

Tahun hadapan Insha Allah Imad boleh menyertai kereta Abi bersama Yop dan Naurah kerana kalian bertiga berada di satu sekolah!

Seronoknya…

TUJUH BUAH FIKIRAN

  1. Pendidikan pra sekolah adalah untuk memperkenalkan proses pembelajaran, dan ia perlu menjadi sesuatu yang menyeronokkan.
  2. Keseronokan diukur pada apa yang kanak-kanak mahu, bukan apa yang ibu bapa tahu, mahu dan mampu.
  3. Sekolah perlu mendidik ibu bapa untuk berkongsi pendapat yang sama tentang pendidikan agar expectation ibu bapa sama dengan objektif yang diusahakan oleh sekolah
  4. Kanak-kanak akan sangat aktif belajar dalam suasana pembelajaran yang gembira. Gembirakan mereka, mereka akan cemerlang.
  5. Kegembiraan kanak-kanak datang daripada kegembiraan ibu bapa dan guru-guru. Kegembiraan ibu bapa dan guru datang daripada hati yang dilimpahi rahmat Allah. Semakin kita kasar dan berkeras, ertinya kita semakin jauh daripada rahmat Allah.
  6. VIP di dalam Graduation Day adalah kanak-kanak yang diraikan. Mereka tidak perlu memenuhi kehendak ibu bapa melalui persembahan dan pencapaian mereka. Yang diraikan adalah anak-anak. Mereka sebenarnya kagum dengan ‘cool’nya ibu bapa hadir tanpa stress.
  7. Rakamkan kenangan indah Graduation Day di dalam memori melalui perbualan, puji-pujian dan mengingatkan anak-anak tentang hari tersebut. Jangan buang kenangan itu ke dalam sebuah kotak empat segi bernama FOTO.

HASRIZAL
43000 BSP

 

 

Maklum Balas

Maklum Balas

Check Also

bondaku

Selamat Hari Guru, Ibu!

“Siapkan latihan ini dan jangan bising” kata cikgu di hadapan. Soalan-soalan di papan hitam, perlu …

4 comments

  1. Terima kasih ustaz atas tulisan ini. Ianya menyedapkan hati saya kerana anak2 saya bukan yg mendapat deretan A. Anak ke-2 saya membuat kesimpulan, ” adik tak dapat A, kerana abah dan umi tak garang” .

  2. Salam ustaz. Saya doakanan moga Allah mempermudahkan urusan harian ustaz dan dibuka pintu-pintu rahmatnya buat ustaz sekeluarga. Saya menitiskan air mata selepas menghayati tulisan ustaz ini apabila mengenangkan tindakan guru-guru di sebuah tadika tahfiz swasta terhadap anak lelaki saya yang berusia 5 tahun. Saya diberitahu anak saya seorang yang hiperaktif dan satu-satunya kelebihan anak saya yang mereka akuii ialah anak saya seorang yang kuat ingatan kerana lebih cepat menghafaz surah berbanding rakan-rakan yang lain. Daripada tindak tanduk guru-guru, saya memahami bahawa mereka mahu saya mengeluarkan anak saya dari tadika itu pada tahun hadapan kerana anak saya dianggap memgganggu tumpuan dan tugasan mereka untuk mengajar murid-murid yang lain. Sebagai seorang ibu, saya tidak mahu perkembangan dan potensi anak saya di’bunuh’ oleh satu sistem dan kumpulan pendidik yang hanya mementingkan pencapaian A dan boleh menulis dengan sempurna sebagaimana yang mereka mahukan di sekolah. Saya yakin Allah menjadikan setiap anak berbeza potensi dan perkembangan. Anak saya seorang yang periang di rumah tetapi selalu menangis di kelas kerana dimarahi oleh guru. Anak ini adalah satu-satunya hadiah dan anugerah terbesar dari Allah swt buat saya. Terima kasih ustaz atas tulisan di atas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *