Iceberg Sebuah Hedonisma

hedonism

Credit photo: www.zazzle.com

Tindak tanduk manusia tidak rawak (random).

Jauh sekali secara kebetulan.

Tindak tanduk manusia itu ada mekanismanya. Ada perisian dalam jasad manusia yang menyebabkan dia bertindak tanduk dengan tindak tanduk tertentu.

Apa yang dia rasa, apa yang dia pilih, apa yang diutamakan, apa yang tidak dipedulikan, apa yang penting, apa yang tidak signifikan, apa yang utama, apa yang wajar menerima pengorbanan dan apa yang tidak kisah jika ia terkorban sekali pun, semuanya itu tidak random.

Ia hanyalah kemuncak sebuah iceberg.

Kemuncak iceberg ialah apa yang dapat dilihat mata, ketika mana isi yang terlindung daripada pandangan mata adalah berganda lebih besarnya.

Iceberg itulah yang menjadi sasaran Dajjal. Fitnah kecelaruan yang tidak menyerang tip of the iceberg, tetapi berperang dengan dalaman manusia. Perisian. Software. Bukan hardware.

Iceberg itulah yang mesti dipelihara daripada fitnah Dajjal. Dan Surah al-Kahf dibekalkan oleh Allah untuk membentenginya.

Tatkala Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam menyatakan bahawa Fadhilat Surah al-Kahf itu ialah benteng terpeliharanya pengamal daripada fitnah Dajjal, persoalannya ialah: bagaimana Surah itu berfungsi sedemikian rupa?

icebergsurahal-kahf

Sayyid Qutb di dalam Tafsir fi Dhilal al-Quran menyatakan bahawa Surah al-Kahf membentengi manusia daripada fitnah Dajjal kerana ia menjalankan tiga fungsi berikut:

  1. Membetulkan kepercayaan (تصحيح العقيدة)
  2. Membetulkan cara melihat dan berfikir (تصحيح منهج النظر و الفكر)
  3. Membetulkan sistem nilai berteraskan kepercayaan (تصحيح القيم بميزان العقيدة)

Apabila seseorang mengutamakan artis, memuliakannya, mengangkatnya dan memberikan anugerah kepada sumbangan seni hiburannya dan membentuk budaya hedonisme, di sebalik penganjur dan peminat, penerimaan terhadap hal-hal tersebut hakikatnya merupakan natijah daripada sistem nilai yang meletakkan nilai tinggi pada semua itu.

Berharga.

Penting dirai.

Berhak menerima penghormatan.

Wajar dibelanjakan duit untuk mengundi pemenang.

Ia semua akibat daripada sebuah sistem nilai.

Sistem nilai itu pula dibentuk oleh cara manusia berfikir tentang kehidupannya, dan memandang kehidupan tersebut. Apakah makna hidup ini? Adakah ia sebuah pencarian terhadap hal-hal yang menyeronokkan, menghindari hal-hal yang menyakiti lagi menyusahkan, solid utilitarianism, atau ada makna lain?

Itulah sebuah pandangan hidup.

Hasil daripada cara pandang dan cara fikir yang tertentu.

What you see is what you get.

Dan sesungguhnya, “who you are determines how and what you see

Apa yang kamu lihat, itu yang kamu dapat.

Dan sesungguhnya, siapa kamu, menentukan bagaimana dan apa yang kamu lihat!

Menjawab persoalan SIAPA KAMU, itulah intipati sebuah kepercayaan.

Aqidah yang menjelaskan siapa aku, siapa Tuhan dan apakah makna hidup ini.

Jika aqidah mandul, pandangan hidup tidak akan mencerminkan kepercayaan yang didakwa. Dan penilaian hidup juga, tidak akan selari dengan kepercayaan yang didakwa.

Lalu terjadilah missing link antara apa yang dipercayai dan apa yang dilakukan dalam hidup ini. Kepercayaan kata lain. Perbuatan kata lain.

Biar pun kad pengenalan bertulis Islam, sijil KAFA hingga SPM membuktikan gred pengetahuan tentang Islam, bisa saja seorang Muslim memandang kehidupan dengan pandangan yang sangat asing daripada Islam, dan menilai keutamaan di dalam sebuah kehidupan dengan penilaian yang jauh daripada Islam.

Apabila iceberg kelakuan manusia… ditimpa sebuah kecelaruan.

Sinun Khadda’ah

HASRIZAL
43000 BSP

 

Maklum Balas

Maklum Balas

Check Also

waristokakib-10

Menjejak Keluarga Tok Akib dan Sejarah Perjuangannya

Waris Tok Akib yang sempat berkumpul pada 6 Disember 2014 di Laman Warisan Rumah Pusaka …

One comment

  1. ikrar kita tiap kali berdating

    … إِنَّ صَلاَتِي وَنُسُكِيْ وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ العَالَمِيْن…

    …sesungguhnya sembahyangku ibadatku , hidupku dan matiku hanya untuk Allah semesta alam”…

    dalam solat pun dah ada sistem nilai yang kita jarang nampak..
    untuk apa kita ada kat dunia?
    kemana kita?
    siapa DIA..

    tapi kadang2 kita terleka dan terikutkan amarah..

    tidak dinamakan manusia tu manusia kalau dia bukan seorang yang pelupa..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *