Schadenfreude: Menikmati Paparan Tragedi

“Tengok ni. Ish… ngeri sungguh!” kata Abu.

“Pergh… sampai patah dua pinggang dia. Mesti mati punya tu!” ulas Ali pula. “Aku pernah tengok accident lebih kurang macam ni. Memang termuntah aku dibuatnya” Ali menyambung cerita.

Mereka berdua tercegat di hadapan skrin komputer menonton klip video yang memaparkan imej seorang lelaki yang badannya terlipat dua dan berlumuran darah kerana digilis sebuah lori besar.

Pemandangan yang sepatutnya amat mengerikan itu, tanpa disedari berubah menjadi satu bentuk keseronokan dan kepuasan hingga tanpa bertangguh, Abu segera menekan butang share di rangkaian halaman sosial Facebook beliau agar pemandangan ngeri itu boleh ditonton oleh orang lain pula.

Tabiat ini juga membabitkan foto-foto anak kecil di Palestin yang hilang separuh kepala akibat letupan bom, atau imej wanita di sebuah negara direjam dengan batu bata hingga berkecai muka dan kepalanya. Siri ini berterusan tanpa henti.

Ada garis pemisah yang halus di antara sisi baik keadaan ini, dengan sisi buruknya.

Ramai di kalangan pengguna internet menyebarkan foto dan klip video seperti ini dengan tanggapan bahawa ia adalah materi yang berkesan untuk menimbulkan kesedaran. Ingat mati. Bersyukur dengan keselamatan. Mengambil iktibar. Bertaubat. Semua itu mewarnai lapisan pertama motif mengapa mereka gemar kepada bahan-bahan yang mengerikan seperti ini.

Tetapi ketika mana perbuatan menonton dan menyebar bahan sebegini berubah menjadi seperti suatu ketagihan, ia bukan lagi sebuah keprihatinan. Sebaliknya ia berubah menjadi penyakit mental!

‘Keinsafan’ yang dirasai itu bukan lagi sebuah keinsafan, sebaliknya kepuasan luar biasa, hasil melihat dan mengulang lihat foto serta imej yang ngeri itu.

REGARDING THE PAIN OF OTHERS: SUSAN SONTAG

susan-s

Lambakan foto peperangan ini mengingatkan kita kepada sebuah buku yang secara khusus membincangkan tentang implikasinya terhadap jiwa manusia. Susan Sontag (1933 – 2004), di dalam bukunya, Regarding the Pain of Others meneliti secara terpeinci berkenaan dengan peranan yang dimain serta ditinggalkan oleh foto kepada jiwa dan moral manusia. Fotografi yang kini menjadi sesuatu yang boleh dilakukan dan dinikmati hasilnya oleh sesiapa sahaja, telah membentuk satu kod visual yang baru. Di satu ketika, manusia menghadkan hak dirinya untuk melihat apa yang hanya bersangkutan dengan dirinya, lambakan foto semasa telah mengubah itu kepada suatu tanggapan bahawa setiap kita boleh berasa mahu dan berhak untuk menatap hampir apa sahaja yang boleh divisualkan di dalam bentuk foto. Ini merupakan satu set pemikiran yang baru, yang mungkin kita sendiri tidak sedar akan kewujudannya setiap kali kita berada di atas talian (online).

Fotografi daripada satu sudut yang lain, membantu kita di dalam proses pendidikan. Ia membantu kita meluaskan penglihatan ke masa silam dan mencapah realiti semasa, sedangkan tanpa foto hanya segelintir sahaja di kalangan kita yang tahu bagaimanakah yang dikatakan Piramid di sebuah negara bernama Mesir. Namun, apa yang paling menjadi tumpuan kebimbangan kita adalah sentuhan tentang PEMBIUSAN FOTO.

Lambakan foto kejam berkaitan dengan peperangan, pembunuhan atau kemalangan telah membunuh sensitiviti para penatap. Desensitization yang berlaku itu memberikan kesan yang amat buruk kepada jiwa manusia. Sontag sendiri bercerita tentang pengalaman dirinya berkenaan hal ini.

Dirinya sebagai seorang remaja, pengalaman melihat imej-imej Holocaust Camps, mencetuskan sesuatu yang membimbangkan. Katanya, “when I looked at those photographs something broke… something went dead, something is still crying.”

Entah di mana kebaikannya bagi seorang remaja untuk beliau mengakses imej-imej tersebut tanpa pengetahuan dan kematangan yang sebenar di dalam memahami apakah Holocaust itu sendiri. Apa yang pasti, imej-imej itu menjadi seperti bius, meninggalkan rasa lumpuh dan kebas pada jiwa hingga hilang sensitiviti terhadap REALITI. Images anesthetize dan akses tanpa had, adalah implikasi negatif daripada lambakan foto sadistik ini.

ASHAAB AL-UKHDOOD DAN SCHADENFREUDE

Kisah Ashaab al-Ukhdood amat menyayat hati. Pemerintah yang zalim, berasa amat tergugat dengan keimanan yang dijulang oleh seorang remaja, telah mencetuskan fenomena apabila kematiannya akibat pembunuhan yang beliau sendiri ajarkan kepada pihak pemerintah itu, menyebabkan masyarakat berpaling daripada mentaati raja kepada mengimani Tauhid Allah Subhanahu wa Ta’aala. Ikhtiar akhir… mereka dibunuh. Pembunuhan beramai-ramai itu pula dibuat dalam bentuk yang paling kejam. Sebuah parit besar disediakan. Api yang marak dinyalakan. Orang-orang yang beriman dicampak atau dipaksa terjun ke dalam kemarakan api itu. Termasuk kanak-kanak dan bayi yang belum mengerti.

Bagaimanakah jika pemandangan ini diimejkan? Sebelum soalan itu dijawab, ayuh kita lihat bagaimanakah Allah Subhanahu wa Ta’aala membentangkan kisah ini:

قُتِلَ أَصْحَابُ الْأُخْدُودِ

النَّارِ ذَاتِ الْوَقُودِ

إِذْ هُمْ عَلَيْهَا قُعُودٌ

وَهُمْ عَلَىٰ مَا يَفْعَلُونَ بِالْمُؤْمِنِينَ شُهُودٌ

مَا نَقَمُوا مِنْهُمْ إِلَّا أَن يُؤْمِنُوا بِاللَّهِ الْعَزِيزِ الْحَمِيدِ

 “Celakalah kaum yang menggali parit itu. Parit yang penuh dengan api yang dinyalakan itu. (Mereka itu dilaknat) tatkala kejadian (yang mengerikan) itu mereka duduk mengelilinginya. Mereka itu, perbuatan kejam yang mereka lakukan terhadap orang-orang yang beriman… disaksikan (dengan kepuasan). Dan tidaklah mereka melakukan sedemikian rupa melainkan kerana dendam mereka hanya kerana kaum tersebut beriman kepada Allah yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji” [al-Burooj 85: 4-8]

Jiwa penjenayah itu berada di kemuncak kejam.

Mereka bukan sahaja membunuh kaum yang beriman itu dengan membakarnya, malah mereka duduk di keliling parit berapi, menikmati pemandangan yang sangat kejam itu.

Jiwa manusia apakah ini?

Manusiakah mereka?

Tingkah laku yang amat buruk ini boleh difahami sebagai fenomena Schadenfreude.

Ia adalah perkataan yang berasal daripada Bahasa Jerman yang memberikan maksud, KEPUASAN YANG DINIKMATI DARIPADA PENDERITAAN ORANG LAIN.

Ia adalah suatu kecacatan jiwa yang amat luar biasa. Menonton atau menyaksikan pemandangan-pemandangan ngeri, sama ada secara realiti, video atau foto, telah dikaji pada tahun 2009 dan hasilnya memperlihatkan bagaimana perbuatan tersebut telah mengaktifkan anterior cingulate cortex di dalam otak, iaitu bahagian yang turut berfungsi sebagai pusat penganugerahan otak. Timbul rasa nikmat, puas bersama rembesan oxytocin [Simone G. Shamay-Tsoorya, et. al., “Intranasal Administration of Oxytocin Increases Envy and Schadenfreude (Gloating),” Biological Psychiatry, Volume 66 Issue 9, Pages 864–870 (1 November 2009)].

Jangan tertipu dengan fungsi foto.

Pendedahan yang asalnya bermaksud mahu mencetuskan kesedaran, berubah menjadi pembiusan jiwa yang mematikan sensitiviti. Adakah anda membaca berita dengan hanya menatap slide BERITA BERGAMBAR?

Anda sentiasa tertarik pada imej darah, kecederaan, kesakitan, penderaan, pembunuhan dan kematian?

Adakah anda mendapat tabiat suka menghantar gambar-gambar sadistik itu melalui emel ke kenalan dan bukan kenalan? Adakah anda mempunyai tabiat gemar mengedit gambar-gambar anak Palestin yang cedera parah dan terbunuh, lalu menghasilkan poster tanpa disuruh?

Tanyalah kepada diri.

KLIP VIDEO PEMBUNUHAN SHEIKH MUHAMMAD SAED RAMADAN AL-BUTI

Al-Marhum  Sheikh Muhammad Saed Ramadan al-Buti

Sheikh Muhammad Saed Ramadan al-Buti telah pergi meninggalkan kita dalam sebuah tragedi.

Di tengah-tengah medan pertempuran bumi Syam.

Dalam suasana yang diselubungi misteri dan tanda tanya.

Namun, rakaman video yang menunjukkan serangan bunuh Sheikh  muncul sehari dua ini amat menyayat hati dan mengerikan kita. Ia seperti biasa, tersebar melalui media sosial dan setiap perkongsian diiringi dengan keluhan, “Allah!”, “sedihnya!”, “sampai hati!” dan yang seumpama dengannya.

Tetapi, saya tidak tergamak untuk berkongsi serta menyebarkannya kerana video itu bukan sekadar SALAH SATU video. Ia adalah video yang sangat besar maknanya. Ia sepatutnya hanya ditonton sebagai BAHAN BUKTI untuk pendakwaan, atau untuk satu tindakan yang signifikan lagi besar.

Menonton video tersebut, kemudian beralih ke klip -klip video yang lain, sebagai satu rutin biasa melayari internet, saya rasa seperti terdedah kepada ‘laknat’, apabila menonton seorang ulama mati dibunuh, saya saksinya, dan saya tidak berbuat apa-apa!

Allah…

Semoga Allah memelihara kita daripada fitnah akhir zaman yang sungguh rencam ini!

HASRIZAL @ 43000 BSP

 

Maklum Balas

Maklum Balas

Check Also

mengintai

Rantaian Kefasikan ‘Print Screen’ yang Membinasakan

Ramadan adalah bulan mengejar kebaikan. Kita pula berperasaan tidak tentu hala tuju kerana pelbagai tragedi …

19 comments

  1. 1) adakah kita tidak boleh langsung share benda2 yg ystaz sebutkan kt atas ni? adakah sebenarnya boleh je…namun pada kekerapan yang berbeza?

    • Definisi SCHADENFREUDE ialah apabila kengerian bertukar jadi nikmat tanpa sedar.

      Ia berlaku apabila kengerian dikongsi bersama-sama SELALU.

  2. Saya pernah terbaca yang kita kena jaga aib si mati, termasuk gambar-gambar mereka yang terkorban di Palestin, sebagaimana kita menjaga aurat kita ketika hidup. Pendek katanya, kalau kita betul-betul hormat pada si mati kita tidak akan menyebarkan gambar si mati tu.

    Sejak daripada tu saya menjauhkan diri saya dari melihat gambar sebegitu. Video tersebut pun saya tak sanggup nak tengok.

    Terimakaseh ustaz atas peringatannya.

  3. terkesan di hati..terima kasihh

  4. Salam ustaz..terima kasih ustaz kerana ulasan yg baik dan bermanfaat.. saya ingin bertanya pula berkenaan dgn hukuman qisas dan hudud yg dilaksanakan di khalayak ramai. bukankah ini juga boleh mendorong kepada SCHADENFREUDE. mohon penjelasan ustaz. Terima kasih

    • Wsalam wbt.

      SCHADENFREUDE itulah yang menyebabkan hukuman hudud tidak berfungsi. Hudud sebatan dilakukan di khalayak untuk menimbulkan rasa takut yang nanti berfungsi sebagai pencegahan. Tetapi apabila kita immune dengan kengerian dan ketakutan, tengok orang kena hukum pun dah tak rasa apa-apa.

      Api Neraka baru nak terasa, barangkali. Naudhubillah

  5. Salam ustaz……
    Selama ini saya memang mengelak untuk melihat gambar-gambar seperti yang disebut itu dan merasa kurang senang dengan gambar berkenaan, tapi saya tidak dapat terjemahkan perbuatan tersebut, tapi Alhamdulillah dengan artikel ini telah menerangkan maksud sebenarnya….terima kasih ustaz

  6. Assalamualaikum ustaz..
    pada masa ini terdapat banyak page FB yang menyebarkan gambar-gambar sedemikian untuk meningkatkan solidariti sesama Muslim. Gambar-gambar tersebut kemudian dikongsi dengan meluasnya dalam laman FB. Terus terang saya tidak lalu untuk menontonnya. Pada pandangan ustaz dalam keadaan media yang berat sebelah sekarang ini apakah cara lain yang boleh dilakukan oleh mereka untuk menyedarkan kita bahawa saudara kita di sana telah dibunuh dengan kejam dan kita mesti membela mereka?

  7. Assalamualaikum ustaz.

    Terima kasih banyak-banyak di atas pencerahan yang diberikan. Saya juga menyedari hal ini berlaku, khususnya dalam kalangan anak muda dan pelajar sekolah (gen Y) tapi saya tak tahu pula itu sindrom. Baru hari ini saya tahu rupanya ia PENYAKIT!

    Saya punya ramai kawan yang begini. Suka share gambar2 ngeri dengan alasan untuk spread awareness. Suka tonton cerita yang tragis, berperang. Malah memuji CGI cerita2 yang darah memancut-mancut dan kepala dipenggal. Contoh : Final Destination. Kerana demand yg tinggi, filem ini boleh diterbitkan secara bersiri sedangkan motifnya sama, menunjukkan CARA MATI yang tragis. Sebelum ini saya melihat ianya masalah jiwa yang parah, keganasan dalam jiwa yg disuburkan melalui lambakan bahan media yang mmbunuh jiwa secara senyap.

    Berbalik kepada isu yang ustaz bentang di atas, hal ini juga berlaku apabila ianya berkaitan dengan penyebaran gambar2 peperangan dan sebagainya. Seingat saya zaman sekolah dahulu, ada kawan yang sanggup menonton video pengeboman dan rakaman peperangan berbelas kali. Saya pun menonton juga untuk tahu keadaan, tapi cukuplah sekali, saya tak akan tengok lagi untuk kesekian kalinya. Ustaz saya dulu selalu pesan, katanya, boleh kalau nak tengok untuk tahu, tapi jangan banyak kali nanti hati keras. Ada kawan yang kata, mereka boleh tengok kerana jiwa kuat dan berani, tapi bila disuruh berjalan dalam gelap sendirian, takut hantu pula. Keberanian yang tidak bertempat saya kira…

    Ummi saya yang merupakan seorang guru sekolah rendah selalu merungut…kartun sekarang semua ganas2, lawan2 tak macam kartun dulu yang damai dan ceria. Kartun sekarang semua nak jadi superhero, lawan kejahatan. Ini bentuk jiwa budak sekarang jadi ganas dan liar…

    Setelah membaca perkongsian ustaz tentang SCADENFREUDE ini, saya terus relate dengan situasi2 berkenaan…saya melihat media sedia ada hari ini yang tidak dikawal secara baik mungkin penyumbang terbesar kepada masalah ini…

  8. an eye-opening article!
    i will surely read more about schadenfreude inshaa Allah
    thnks

  9. Bukankah schadenfreude juga bermaksud (secara tak langsung) adalah “kegembiraan atas kesusahan dan penderitaan orang lain”?

    Tak perlu pergi jauh nak bandingkan dengan filem macam Final Destination ataupun filem filem ngeri tempatan yang ada. Ataupun apa jua filem yang ada “kematian tragis”. Itu fiksyen yang diolah supaya nampak at most tragic to the human mind. Ataupun dokumentari mass murders, serial killers. Kita boleh memilih untuk tidak menonton, melihat, ataupun tidak menjadikannya satu bentuk ketagihan.

    Cuba tengok, contoh katakan kawan kenalan sendiri dapat kesusahan, ataupun kawan sekerja yang selalunya memijak kepala orang lain telah dimarahi bos. Dalam hati tak sengaja ada yang berkata “nah, padan muka kau!”. Mungkin mereka pernah berlagak, dan terima padahnya. Dan kita berseronok atas kesusahan mereka. Itupun schadenfreude.

    Zaman ini terlalu ramai yang suka meletakkan status (tak kisah apa platform sosial) yang mereka gembira hingga menjengkelkan semua orang. Tak kisahlah pasal mengandung, baru dpt anak, baru berkahwin. Sedarla yang masih ada orang yang tiada semua itu. Kita tak mahu orang gembira bila kita susah, jadi janganla kita mencebik bila ada org susah ataupun berpura pura kisah semata mata nak tau apa ceritanya. Diamkan diri, dan panjatkan doa supaya mereka dapat keluar dari kesusahan itu. Dan mudah mudahan ada juga orang yang akan mendoakan kita yang baik baik walaupun tidak kita kenali siapa mereka.

  10. Mungkin boleh disamakan dengan menonton video kes buli baru -baru ini, saya juga rasa itu adalah satu schadenfreude.

    Kita perlu lebih banyak belajar,

    belajar melihat isu utama, bukan luaran semata-mata

    terima kasih ustaz 🙂

  11. perkara ini bukan saja melibatkan penderitaan dan kekejaman ke atas manusia, ia termasuk penganiayaan terhadap haiwan dan alam sekitar. bila jiwa dah terbiasa melihat tindakan kejam dibuat ke atas segala makhluk Allah, segala sensitiviti di dalam hati makin lama makin menipis.
    saya cukup tak puas hati dengan insan2 yg suka sangat menyebarkan video sadis penyeksaan terhadap manusia dan haiwan. tukang sebar tu boleh cakap yg dia nak tunjukkan kebenaran atau nak bagi kesedaran kpd umum, tapi boleh ke dia jamin yang semua org yang tengok tu dpt kesedaran? masalahnya sekarang, perkara ni dah jadi bahan ruji di media sosial. saban hari ada saja kawan2 kita yg berkongsi video dan gambar2 seperti ini. dah jadi satu pandemic zaman moden yang perlu dibanteras dgn segera…

  12. akhir2 ni akhbar2 macam dah tak cakna langsung pasal benda ni semua. Gmbar2 disiar tak bertapis langsung. Dalam kes baru2 ni, dalam 1 surat khabar di tunjukkan dgn jelas gambar pengasas ambank yang ditembak mati. tidak di blurkan lansung. Juga saya pernah jumpa gambar seorang warga india yang ditembak mati.. Jelas dan cukup terang gambarnya.. Kalau pun tak disiarkan gambar, digambarkan pula dengan penerangn yang ditambah unsur hiperbola..perut terburai, otak berkecai…
    Faktor utama mungkin untuk menarik ramai pembaca.
    Saya teringat satu kejadian tsunami yang melanda Jepun, yang melibat kan kematian ratusan @ ribuan orang(tak pasti). tapi saya tak jumpa 1 keping gambar pun yang menunjukkkan keadaan mayat yang mati bergelimpangan. Mereka amat menjaga bab2 menjaga aib si mati.

  13. Ustaz, memohon share jika ade kaedah psychology untuk reverse back this IMMUNised condition, sehingga kadang2 saya bertanye… sudah hilang ke rase simpati dalam hati ini melihat kekejaman yg dilakukan oleh orang yg zalim… saya rase itulah penyebab ummah kite terus ditindas tanpa ade sedkit pon sensitivity dlam hati umat islam yang lainnya.. wallahualam

  14. Assalamualaikum wbt. Saya pernah bertemu tazkirah yang dipanjang2kan di laman maya, mengikut para penyebar daripada kalam Imam Syafi’i rahimahullah. Menurut pesan Rahimahullah, antara sebab mata menjadi kabur adalah melihat orang yang dibunuh / disalib. Ingin mohon pencerahan Ustaz, adakah kata-kata ini benar dari Imam Rahimahullah, dan jika betul tentu ada dalilnya. Dan jika betul juga, bolehkah kita panjangkan (atau qiyaskan) kepada tidak digalakkan melihat gambar2 sedemikian? Terima kasih Ustaz.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *