Kebangkitan Lelaki Sakit Eropah

s-r-m

“Kedai ini agaknya” saya berbisik.

“Mungkin. Cubalah tanya” balas Wan.

“Assalamualaikum, tuan” saya memberi salam.

“Wa alaikum al-salam wahai Malizi. Ahlan wa sahlan. Silakan, silakan. Banyak buku baru yang diterbitkan tahun ini” kata tuan punya kedai berkenaan.

“Saya sedang mencari sebuah buku. Tetapi buku ini agak susah hendak ditemui. Tetapi sebab kedai tuan menjual buku-buku terbitan Dar al-Bayrak, mungkin saya datang ke tempat yang betul” saya menyatakan hajat.

“Oh, buku apakah itu? Jika ada, Insha Allah saya akan bantu” ujar beliau.

“Saya mencari buku Sahwah al-Rajul al-Maridh tulisan Muwaffaq Bani Marjah” saya memberitahu.

Tuan punya gerai pameran buku tersebut berubah wajahnya. Beliau yang tadinya tersenyum, berkerut dahinya mendengar tajuk buku yang saya cari.

Sambil berpeluk tubuh, beliau memerhatikan saya. Matanya tajam merenung mata saya.

“Kamu pelajar?” tanya beliau, memecah hening perbualan kami yang terbantut.

“Ya, saya pelajar Shariah di Universiti Mu’tah” saya memperkenalkan diri.

“Mengapa kamu mahu buku tersebut?” tanyanya lagi.

Kali ini saya yakin, buku tersebut ada dalam simpanan beliau.

“Saya mengkaji Daulah Uthmaniah. Semua buku Daulah Uthmaniah saya cuba kumpulkan untuk bacaan sekarang dan masa hadapan. Buku Sahwah al-Rajul al-Maridh itu penting sebab ia asalnya sebuah tesis. Sudah tentu kesahihannya telah diuji” saya terus bercerita.

“Apa yang kamu tahu tentang buku itu?” soal beliau lagi.

Terasa seperti disoal siasat pihak polis pula jadinya.

“Saya baru pulang dari Istanbul bulan lalu. Di sana, saya ternampak poster Sultan Abdul Hamid II dibaling batu oleh sekumpulan anak muda. Kasihan mereka. Membenci Sultan Abdul Hamid II, kerana salah faham. Buku seperti Sahwah al-Rajul al-Maridh itu penting untuk memahamkan orang seperti mereka, tidak kira Turki, Arab atau Melayu” saya menyambung kisah.

Beliau memandang ke kiri dan kanan.

Dalam nada berbisik beliau berkata, “wahai anak muda, saya boleh dapatkan kamu buku itu, tetapi dengan syarat kamu bersumpah dengan nama Allah yang kamu akan merahsiakan daripada siapa kamu membeli buku tersebut. Sumpah itu mesti dipegang sehingga kamu mati!”

Tergamam saya.

Begitu sekali risaunya beliau.

Namun saya faham. Isi kandungan buku itu amat sensitif. Ia mungkin sesuatu yang biasa bagi saya. Tetapi ia amat menggetarkan diri anak watan Jordan. Buku tersebut merupakan kajian tentang usaha mempertahankan Daulah Uthmaniah oleh Sultan Abdul Hamid II. Sahwah al-Rajul al-Maridh atau “Kebangkitan Lelaki Tenat” itu merujuk kepada Daulah Uthmaniah yang digelar sebagai The Sick Man of Europe oleh Tsar Rusia, Nicholas I kepada Sir George Hamilton Seymour, duta Inggeris ke St Petersburg.

Buku tersebut menceritakan tentang konspirasi Sharif Husin bin Ali bersama Inggeris, bersama pendedahan dokumen-dokumen asli dan foto nadir, sebagai sandaran bukti. Ia sangat berbau konspirasi, namun Muwaffaq Bani Marjah mengemukakan hal ini di dalam sebuah tesis akademik, yang telah diluluskan oleh panel penilai.

Banyak isi kandungan buku itu yang hangat.

Ada juga gambar Muhammad Abduh bersama rombongan Freemason.

Ada juga catatan berkenaan Hasan al-Banna, Sayyid Qutb dan pejuang-pejuang Islam yang gugur dalam perjuangan mempertahankan jati diri umat pasca kejatuhan Daulah Uthmaniah.

Buku itu memaparkan Jordan sebagai sebuah negara yang seperti anak lahir dari rahim ibunya yang mati dibunuh. Bukan dibunuh musuh semata, tetapi juga oleh anaknya yang merobek dari dalam. Ia menjelekkan. Namun sejarah, ada hitam dan ada putihnya. Kedua-duanya perlu diadili dan diinsafi bersama.

Seperti kata Arnold Toynbee, “kebanyakan tamadun bukan mati dibunuh, tetapi mati membunuh diri”

Daulah Uthmaniah yang hilang keperwiraannya itu, diperkosa kuasa asing dan memberanakkan banyak ‘anak haram’. Antaranya adalah sebuah negara bernama Jordan.

“Wallahi, Wa Billahi, wa Tallahi, saya berjanji untuk merahsiakan daripada siapa saya membeli buku Sahwah al-Rajul al-Maridh ini hingga ke akhir hayat saya” saya bersumpah di hadapan beliau.

Lelaki itu masuk ke belakang gerai dan selepas kira-kira 10 minit, beliau muncul semula bersama sebuah bungkusan yang dibalut kertas serta plastik hitam beberapa lapis. Saya menerimanya dan membayar harga yang disepakati.

“Pergilah kamu balik. Esoklah datang semula kepada ekspo buku ini untuk membeli buku-buku lain” pintanya.

Saya mengangguk.

Sebelum beredar, beliau memeluk saya dan berbisik “fi amanillah”

Biar pun saya rasa kerisauan beliau seperti sebuah paranoid yang melebihi realiti, namun kerana menghormati kesanggupan beliau mengatasi ketakutannya, mempercayai saya dan seterusnya mendapatkan saya buku yang penting ini, saya memenuhi hajatnya dan terus pulang ke Sweileh bersama Wan.

Semenjak memiliki buku itu, saya terbiasa mengunci pintu bilik setiap kali saya ke kelas atau bermusafir ke mana-mana. Biar pun buku itu kini boleh diperolehi di mana-mana, malah boleh dimuat turun dalam bentuk pdf, ia kekal menjadi salah sebuah buku koleksi sejarah Daulah Uthmaniah saya yang unik.

Setiap buku, ada ceritanya…

Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP

 Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (322) Pelawat

Comments

3 comments

  1. Hebatlah. Macam tu sekali kuasa buku.
    :-)

  2. Rupanya hebat juga peranan sebuah buku ye!! Apa tidaknya ia mungkin sesatunya penghubung antara sebuah fakta sejarah yang benar dengan sejarah yang mahu di paparkan untuk pengetahuna umum. Maka sangat benarlah mata pena itu tajamnya boleh melebihi libasan pedang.

  3. Semoga Allah memudahkan ustaz menerjemah buku itu… amin… saya nak beli!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>