Mengapa Para Sultan Uthmaniyyah Tidak Mengerjakan Haji?

hajj

Kredit foto: Turkishairline.Com

Sultan-sultan Uthmaniyyah boleh berperang hingga ke Mesir dan Austria, memakai gelaran Khadam Dua Tanah Suci dan memimpin kerajaan terbesar di dunia, tetapi tiada seorang pun yang menunaikan ibadah Haji, rukun Islam bagi setiap kita.

Bagaimana boleh terjadi begitu?

Apakah ini boleh dianggap sebagai salah satu bukti, betapa sultan-sultan Uthmaniyyah itu tidak beramal dengan Islam?

Saya agat kecewa semasa mendengar kenyataan yang dibuat oleh Rageh Omaar di dalam klip video pengenalan kepada satu program bersiri di BBC bertajuk The Ottomans: Europe’s Muslim Emperors.

 

Rageh Omaar mempersoalkan bahawa, sultan-sultan Uthmaniyyah bukan sahaja memposisikan diri mereka sebagai pemimpin politik, malah juga sebagai pemimpin spiritual, namun apakah mereka itu sendiri mengamalkan Islam? Soalan sebegini selalunya tidak perlu ditanya di bahagian pengenalan. Biarkan sahaja ia terjawab sendiri selepas kita bentangkan hasil kajian masing-masing. Akan tetapi, apabila ia ditanya seawal klip pengenalan, jawapan kepada soalan hitam putih ini, sangat berpengaruh.

Dalam nada yang tidak begitu kukuh, Rageh Omaar mengatakan TIDAK!

Katanya, “Sultan Uthmaniyyah tiada seorang pun yang mengerjakan Haji, kebanyakan mereka minum arak, dan terbabit dalam maksiat di Harem dan kesimpulannya, mereka tidak beramal dengan Islam dalam kehidupan peribadi masing-masing.”

OBJEKTIF

Saya bukanlah seorang yang taasub memuja Dawlah Uthmaniyyah. Saya boleh menerima hakikat bahawa ada sultan, seperti Sultan Selim II (1566 – 1574) merupakan seorang pemabuk. Malah Sultan Muhammad al-Fatih (1444 – 1446 / 1451 – 1481) yang begitu hebat, tidak terlepas daripada beberapa tindakan kontroversi beliau seperti merampas tanah-tanah waqaf di Anatolia pasca penawanan Constantinople. Semua ini adalah sebahagian daripada hitam putih sejarah Umat Islam yang mesti diadili pada positif dan negatifnya. Namun rumusan Rageh Omaar itu keterlaluan, dan agak ketinggalan zaman. Saya tidak hairan jika ia diungkap pada tahun 1970’an atau sebelumnya. Akan tetapi di zaman ini ketika mata kajian sudah begitu banyak, dan mudah diperolehi, pandangan sebegitu, apatah lagi oleh seorang Muslim, sungguh mengejutkan.

Ada banyak isu yang beliau timbulkan.

Tetapi saya ingin memberi tumpuan kepada persoalan Haji oleh sultan-sultan Uthmaniyyah.

MEMANG TIADA YANG MENGERJAKAN HAJI

Faktanya, memang tiada sultan Uthmaniyyah yang mengerjakan ibadah Haji.

Biar pun ada diungkap di dalam beberapa sumber termasuk kitab Lam’at oleh Badiuzzaman Said al-Nursi, bahawa Sultan Abdul Aziz (1861 – 1876) ada mengerjakan Haji, ia tidak disokong oleh mana-mana sumber berotoriti untuk mengesahkannya.  Demikian juga Sultan Mehmet Vahdettin atau Mehmed VI (1918 – 1922), selepas disingkir oleh Grand National Assembly pada tahun 1992, ada menziarahi Tanah Suci, tetapi tidak berkesempatan mengerjakan Haji.

Namun hakikat ini tidak boleh sewenang-wenangnya difahami bahawa mereka tidak mementingkan ibadah Haji, jauh sekali tidak beramal dengan Islam. Kesimpulan terhadap isu ini, memerlukan kepada milieu yang lengkap tentang persekitaran yang mengelilingi hakikat, tiada sultan Uthmaniyyah yang mengerjakan Haji.

Semenjak daripada awal penubuhan Dawlah Uthmaniyyah sekitar akhir abad ke-13 (1299) sehinggalah ke era pemerintahan Selim II (1566 – 1574) , para sultan Uthmaniyyah terbabit secara aktif di dalam peperangan, memimpin tentera di barisan hadapan. Maka di sinilah pentingnya untuk kita memahami perbahasan ulama di antara hukum jihad dan hukum Haji. Jihad diklasifikasikan sebagai fardhu kifayah, manakala Haji pula adalah fardhu ain, bagi yang cukup syaratnya. Akan tetapi, bagi sultan yang memimpin umat, mereka mempunyai konteks yang unik berkaitan kedua-dua hal ini.

KEINGINAN PARA SULTAN

Keinginan untuk mengerjakan Haji sentiasa ada di dalam jiwa para sultan Uthmaniyyah. Ketika Sultan Bayezid II (1481 to 1512) yang ketika itu menjadi gabenor di Amasya menyatakan hasratnya untuk mengerjakan Haji, beliau telah menerima surat  yang ditandatangani oleh Sadr-i Azam (Perdana Menteri) dan beberapa orang pemimpin utama kerajaan. Mereka mendesak beliau menerima perlantikan menaiki takhta menggantikan bapanya Sultan Mehmed II (Al-Fatih), dan menyerahkan urusan ibadah Haji kepada rakyat jelata yang tidak terpikul di bahu mereka tanggungjawab keselamatan negara. Menolak perlantikan ini dan mengutamakan ibadah Haji, adalah menggalakkan serangan musuh kepada negara. Nasihat itu diterima olehnya dan Bayezid II menaiki takhta pada tahun 1481.

Keinginan mengerjakan Haji ini paling ketara dibahaskan adalah di era pemerintahan Sultan Osman II (1618 – 1622). Beliau bersungguh-sungguh mahu mengerjakan Haji dan menyediakan perbelanjaan untuk ke Tanah Suci bersama isterinya. Namun hasrat itu telah dihalang oleh Sheikh al-Islam ketika itu, Es’ad Efendi, juga bapa mertua sultan. Fatwa dikeluarkan pada menyatakan “Haji tidak dituntut ke atas para sultan. mereka sepatutnya berada di takhta pemerintahan dan melaksanakan keadilan. Jika tidak, ia akan hanya menggalakkan timbulnya pemberontakan.”

Sheikh Aziz Mahmud Hudayi, seorang ulama terkemuka di era berkenaan turut menyetujui fatwa berkenaan dan menegaskan pentingnya Sultan Osman II mematuhinya.

Di kalangan orang ramai, malah tentera sendiri, terdapat cakap-cakap yang mempersoalkan ketidak hadiran sultan mengerjakan ibadah Haji. Di dalam The Treatise of Hajj di Suleymaniye Library, dokumen ini mencatatkan pekeliling yang dikeluarkan untuk menjelaskan hal ini dengan kenyataan “Sultan berkeputusan tidak pergi mengerjakan Haji untuk mengekalkan keamanan dunia. Adalah menjadi kesalahan bagi mereka untuk meninggalkan  Mamalik-i Mahrusah (Dawlah Uthmaniyyah) dalam keadaan wujudnya kebarangkalian muncul ancaman musuh dan pemberontakan dalaman”. [The Treatise of Hajj, Suleymaniye Library, Haji Mahmud, no. 1093, d. 2/a-b; Na’ima Tarih, vol. II, pp. 212-13]

Tempoh 3 bulan untuk urusan Haji pada zaman itu adalah suatu tempoh yang panjang. Kerana itu, sultan tidak berpeluang untuk mengerjakan Haji.

Kebenaran, adalah sebaliknya dan bukan seperti yang diungkap oleh Rageh Omaar. Para sultan Uthmaniyyah tidak mengerjakan haji kerana kepatuhan mereka kepada nasihat dan fatwa yang menjelaskan prioriti seorang pemerintah. Di sinilah pentingnya penafsiran sejarah dilakukan secara teliti, apatah oleh seorang Muslim kepada sejarah umatnya sendiri.

RUJUKAN

  1. Tezcan, Baki. The Second Ottoman Empire: Political and Social Transformation in the Early Modern World. Cambridge University Press, 2010.
  2. Tuchscherer, Michel. “SURAIYA FAROQUI, Pilgrims and Sultans: The Hajj under the Ottomans. London, New York, IB Tauris & Co Ltd., 1994, 244 p. 34.00.” Journal of the Economic and Social History of the Orient 39.4 (1996): 453-454.
  3. Akgündüz, Ahmed, and Said Öztürk. Ottoman History: Misperceptions and Truths. IUR Press, 2011.
  4. Kütükoğlu, Bekir. Kâtib Çelebi Fezlekeʼsinin kaynakları. Edebiyat Fakültesi Matbaası, 1974.
  5. Shaw, Stanford. History of the Ottoman Empire and Modern Turkey Vol 1: Empire of the Gazis: the Rise and Decline of the Ottoman Empire 1280-1808. CAMBRIDGE UP, 1976.

Dan atas dasar nasihat-menasihati, saya telah menghantar mesej kepada Rageh Omaar, semoga ia bermanfaat untuk beliau, saya, dan kita semua, ameen.

Dear Mr Rageh,

May this message find you in good health and spirit. Thank you for the new series: The Ottomans: Europe’s Muslim Emperors.  I am in Malaysia, do not currently have a full access to the series. But watching the preview from youtube , allow me to express my disagreement with your statement (minute 2:10 onward).  I myself, not blindly admire the Ottoman which is currently my field of study (16th century). I can accept the fact that Sultan like Selim II was a drunkard. But to generalise them by saying that all the Sultans were not practicing Muslims, never been to Hajj, and most of them were drinking alcohol, and indulged in the lustful Harem activities, I hope you can reexamine the statement and do proper justice to the truth. I avoid myself from romanticizing the history and at the same time appreciate the importance of our historians to engage with a wider audience. We had Simon Schama, Robert A Rosenstone and many more presenter of history in popular culture like you, but one basic thing is, the truth shall never be compromised.  Thank you and wish you all the best.

Your brother,

Hasrizal

HASRIZAL @ www.saifulislam
43000 BSP

 

Maklum Balas

Maklum Balas

Check Also

syrianchildreninistanbul

Jangan Beragama Sekadar di Pinggiran

kredit foto: demotix.com “Ammu, Ammu, fi sabilillah!” seorang kanak-kanak kecil menarik baju saya. Dia bukan …

3 comments

  1. ooo mr abu… you must be very confused with the term ‘jihad’… enslaving people ? genocide ? destroying churches ? where did you got this information ? are you staying in isolated places like a so called ‘ isolated defenseless Constantinople’ ? everyone is of the same religion is very generalize statement….

    Maybe you can enlighten us with a little bit of explanation on every point that you mention….

    • Yeah Abu, please enlighten us with your statement here. I just want you to explain on the ‘Defenseless Constatinople’ part. That’s all.

  2. In the second episode, Rageh explain why he said the sultans do not follow Islam completely by not performing hajj… His perception, good muslims do perform hajj. He did not go deep enough like your article.