Pendidikan Uthmaniyyah, ‘Finland’ dan Impian Masa Hadapan

education-01

“Saya masih lagi kehairanan, walaupun saya tahu ia tidak mustahil. Bagaimana kamu boleh bertemu dengan Ismail Ankaravi di Helsinki” saya menghirup teh di bawah pohon rendang di Validebağ.

“Ia bukanlah usaha saya di dalam vakum. Rezekinya, saya bertemu dengan seorang tokoh penting bidang pengajian Islam di Finland iaitu Profesor Jaakko Hämeen-Anttila. Beliaulah mentor saya dan mengajar saya tentang banyak perkara mengenai sejarah Islam” jawab Ville.

“Kali pertama saya mendengar namanya. Beliau sudah berumurkah?” saya bertanya.

“Muda lagi. Sekitar awal 50’an. Pada tahun 1995 beliau telah menterjemahkan al-Quran ke bahasa Finnish. Begitu juga, buku beliau Islamin Käsikirja atau The Handbook of Islam memenangi the State Award for Public Information. Ia adalah sumber pengetahuan yang penting tentang Islam kepada orang ramai di Finland” cerita Ville lagi.

“Besar jasa beliau. Terutamanya pada mendidik masyarakat ‘orang Utara’ tentang Islam. Dan sebagai orang tempatan, tentu pengungkapannya lebih menepati pemikiran dan mentaliti orang Finland” saya berpendapat.

“Betul. Dan bertuahnya saya, kerana mendapat peluang belajar dengan beliau. Rasanya pada masa itu, beliau adalah satu-satunya sarjana tentang Islam di Finland” ujar sahabat saya itu.

education-03

“Beliau juga bertuah kerana mendapat pelajar bernama Ville Suomalainen. Sarjana in the making. Apa-apa pun, Profesor berkenaan dibentuk oleh sistem pendidikan Finland yang dahulu, manakala awak pula adalah produk sistem pendidikan Finland pasca reformasi.  Bukan sahaja pelajar bertuah mendapat pensyarah yang hebat. Pensyarah juga bertuah mendapat pelajar yang cemerlang. Ia perlu bersinergi” saya berkongsi.

“Kadang-kadang saya hairan juga, seluruh dunia bercakap tentang sistem pendidikan Finland. Bagus sangatkah sistem pendidikan di negara kami? Atau teruk sangatkah sistem pendidikan di negara lain?” soal Ville.

“Fuhh… soalan besar itu. Kamu tahu Ville, walaupun jarak umur kita mencecah lebih 10 tahun, saya tidak rasa saya sedang berbual dengan seorang yang berumur 20’an” saya teruja dengan topik yang dibuka.

“27, kalau mahu lebih spesifik, Itu sudah hampir mencecah 30” balas Ville.

“Haha. Saya antara orang yang tidak berapa tua dan tidak berapa muda, menanggung pelbagai penderitaan berurusan dengan anak muda umur kamu di negara saya. Biar pun belajar di universiti hebat-hebat, tetapi saya pening dengan mentaliti mereka. Yang bagus itu ramai juga. Tetapi yang memeningkan itu paling mendominasi. Sehingga saya mencipta sebuah teori. Nyatanya teori palsu. Tetapi saya sengaja buat-buat mempercayainya untuk menjawab misteri common sense is no longer a common thing yang selalu disebut itu” saya memberitahu.

Ville kehairanan.

Beliau sepertinya mahu saya melanjutkan cerita.

“Bukankah Chernobyl Catastrophe berlaku pada tahun 1986 di Ukraine? Tahun kamu lahir. Radiasinya sungguh dahsyat. Teori saya, radiasi Chernobyl itu telah menyebabkan semua bayi yang lahir pada tahun 1986 ke atas jadi pelik. Perangai pelik-pelik. Dan hanya boleh diselamatkan oleh sistem pendidikan sebagus Finland!” saya ketawa.

Ville ketawa.  Beliau baru faham apa yang saya maksudkan.

POLEMIK PENDIDIKAN DI MALAYSIA

Saya kongsikan bersama beliau tentang kerumitan sistem pendidikan yang berlaku di Malaysia. Ada yang mahu mengajar bahasa Inggeris melalui pengajaran matematik dan sains. Ada yang mahu mengajar kalimah Sīrah di dalam bahasa Arab itu berasal dari kalimah Sāra  kepada murid tahun 1! Dan terkini, kerajaan memperkenalkan sistem pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) yang berniat murni mahu menghapuskan kiasu dalam pendidikan, keterlaluan dalam orientasi peperiksaan, tetapi bebanan Lembaga Peperiksaan Malaysia, dipindahkan ke bahu guru-guru yang nisbah murid dan kelasnya mencecah satu kelas 50 pelajar. Memang memeningkan.

Tambahan pula server komputer induk untuk merekodkan taksiran berkenaan tidak mampu menampung akses guru-guru hingga ada yang terpaksa mengupah anak berjaga malam menanti waktu guru lain ‘pengsan’ di jam 4 pagi, agar akses ke komputer kementerian menjadi lebih berkemungkinan.

“Bagaimana dengan sistem pendidikan di Finland. Boleh kongsikan pengalaman kamu?” saya bertanya.

“Hmm… saya tidak pasti hendak memulakannya dari mana” ujar Ville.

“Beginilah… bagi saya, sebuah pendidikan itu baik apabila muridnya seronok belajar, gembira ke sekolah. Adakah kamu seorang murid yang gembira semasa di sekolah?” saya menyoal.

Ville menggaru-garu dagunya berfikir.

“Saya tidak pasti adakah saya gembira atau tidak. Tetapi saya tidak ada pengalaman yang menyedihkan semasa bersekolah. Bergaduh-gaduh dengan kawan itu sesekali memang ada. Tetapi jika saya fikir tentang guru-guru, mereka tidak menentukan apa yang boleh dan tidak boleh. Mereka cuma menyelia perbuatan kami. Dan jika ada konflik, somehow, kami diajar datang meminta bantuan mereka. Dan bukan mereka campur tangan dalam masalah sesama kami, budak-budak di sekolah” cerita Ville.

“Itu permulaan yang bagus untuk cerita kita. Bagi saya, itu sudah cukup untuk memenuhi maksud perkataan ‘gembira’ dalam soalan saya tadi” saya gembira mendengarnya.

education-04

“Saya rasa, untuk topik ini, kamu patut manfaatkan karya Stefan Collini, What are Universities For? Ia sebuah buku yang bagus pada menungkapkan transformasi pendidikan secara holistik, khususnya di peringkat universiti” cadang Ville.

“Bukankah beliau juga pengarang sebuah lagi buku yang kamu sebutkan semalam. Buku tentang cadangan kerangka teori mengkaji Imam Birgivi sebagai public moralist?” saya cuba mengingati perbualan di dalam bas, semalam.

“Benar. Itulah tajuk bukunya pun. Public Moralists: Political Thought and Intellectual Life in Britain. Ia mengkaji antaranya tentang Jon Stuart Mill sebagai public moralist. Cara Stefan Collini mengkaji J.S. Mill mungkin sesuai untuk melandasi kajian kamu tentang Birgivi” ujar Ville.

Oh, sebuah lagi buku. Seorang lagi tokoh. Jika Zacky hadir bersama dalam perbualan ini tentu lebih menyeronokkan sebab hanya kami bertiga di dalam IBA Summer School ini yang berada di dalam bidang Intellectual History.

Zacky pergi melawat rakan-rakan Indonesianya di Istanbul sebelah Eropah.

“Menariknya, semasa rombongan kerajaan Amerika Syarikat datang ke Finland untuk mengkaji tentang sistem pendidikan di negara kami, mereka menamatkan lawatan dengan soalan, bagaimana peperiksaan di Finland. Bagaimana pelajar dimerit. Ertinya sepanjang lawatan berkenaan mereka tidak get the point. Bahawa peperiksaan dan memeritkan pelajar itulah yang dihapuskan. Bukan hapus sepenuhnya. Tetapi sehingga habis pendidikan wajib di sekolah dan untuk menyambung pelajaran di universiti, barulah adalah peperiksaan matrikulasi yang disebut sebagai kaksoistutkinto” cerita Ville.

“Macam mana nak sebut?” saya gagal menangkap perkataan yang beliau sebutkan.

“Haha.. Lupakan sahaja. Memang susah hendak menyebutnya” Ville ketawa.

education-05

“Pendidikan di Malaysia sangat berorientasikan peperiksaan. Pada pandangan saya  bukan peperiksaan itu yang menjadi masalah utama, tetapi keghairahan untuk mengred-gredkan pelajar, semacam tidak percaya bahawa pelajar itu manusia, dan setiap insan adalah unik. Berhak untuk membesar menjadi manusia yang unik dan tersendiri. Bukannya diseragamkan” saya menegaskan pendapat.

“Kamu berulang-ulang kali menekankan tentang rasa tidak setuju kepada penyeragaman. Adakah itu punca utama kemerosotan pendidikan di Malaysia?” tanya Ville.

“Bagi saya, ia punca kemerosotan pendidikan di seluruh dunia, yang menyeragamkan silibus, merit. Ia adalah senjata ahli politik untuk memudahkan kawalan ke atas rakyat. Menjadikan mereka sejenis” saya berkata.

“Bagaimana dengan Dawlah Uthmaniyyah? Kamu ada apa-apa komen tentang syarahan Profesor Tuncay Zorlu tempoh hari?” Ville memanjangkan perbualan kami dengan soalan.

Saya menyemak kembali buku nota di dalam beg.

education-06

SEJARAH PENDIDIKAN DAWLAH UTHMANIYYAH

Di dalam sejarah pendidikan Dawlah Uthmaniyyah, menjadi seorang yang berilmu pengetahuan tinggi (ulama)adalah sangat dimuliakan oleh masyarakat dengan motif budaya dan agama. Seseorang yang mempunyai lebih pengetahuan dalam satu-satu bidang dianggap lebih berotoriti dan dihormati berbanding yang kurang pengetahuannya. Pendidikan Dawlah Uthmaniyyah juga berlangsung selama beberapa ratus tahun melalui dua saluran iaitu pendidikan rasmi dan tidak rasmi.

Bagi pendidikan formal, ada empat kategori institusi iaitu Sibyan Mektebi (sekolah rendah), Medrese, Enderun Mektebi (Sekolah di Istana) dan pendidikan teknik.

Manakala pendidikan tidak formal pula, berjalan di masjid-masjid, perpustakaan dan konak, iaitu kediaman golongan hartawan di dalam kerajaan atau pun ulamanya. Demikian juga pendidikan tidak formal berjalan di tekke dan zaviye yang dibangunkan oleh golongan sufi.

Di dalam sejarah, kanak-kanak yang mencecah usia 5 tahun akan memulakan persekolahan mereka di institusi Sibyan Mektebi itu tadi. Ia akan dimulakan dengan upacara meriah meraikan permulaan persekolahan mereka dan majlis itu dikenali sebagai amin alayı atau bed’-i besmele. Semua kanak-kanak daripada keluarga Muslim mempunyai hak untuk belajar di sekolah ini. Guru-guru di Sibyan Mektebi ini dipilih dari kalangan individu yang telah mendapat pendidikan medrese, atau dari kalangan mereka yang berilmu, khususnya dalam ilmu agama.

Di peringkat ini, tujukan pendidikan adalah untuk mengajar anak-anak ini membaca dan menulis, mengenal asas pendidikan Islam juga al-Quran secara khusus.

Untuk mencapai objektif ini, pendidikan di Sibyan Mektebi akan mengajar kanak-kanak mengenal huruf, mula membaca al-Quran dan menghafal surah-surah daripadanya, belajar asas-asas al-Quran, serta kemahiran menulisnya. Murid-murid juga akan belajar empat asas arithmetik yang dikenali sebagai kara cümle.

Murid di Sibyan Mektebi juga akan belajar membaca syair-syair asas di dalam bahasa Arab dan Parsi sebagai sokongan kepada pembelajaran mereka. Walaupun tiada had umur yang ditetapkan untuk pembelajaran di peringkat ini, murid-murid dikehendaki sekurang-kurangnya khatam membaca al-Quran dari kulit ke kulit sekurang-kurangnya sekali.

Itu dari segi silibusnya.

Ada pun pentadbiran, Sibyan Mektebi yang juga dikenali sebagai daruttalim, darulhuffaz, taş mektep atau sekadar mektep ini, biasanya dibiayai oleh golongan pegawai tinggi atau baginda Sultan sendiri. Ia lazimnya wujud di dalam kompleks masjid (külliye). Oleh kerana pembiayaan institusi ini tidak memerlukan perbelanjaan yang tinggi, ia berhasil diwujudkan di semua perkampungan, kejiranan dan daerah.

Ada sesetengahnya, mempunyai bangunan yang berasingan untuk murid-murid lelaki dan perempuan.

“Di Finland, pendidikan rendah bermula pada usia berapa tahun, Ville?” saya bertanya.

“Pendidikan wajib bermula pada usia 7 tahun. Tetapi pendidikan pra sekolah dimanfaatkan oleh kebanyakan penduduk.

Pendidikan pra sekolah ini menjadikan idea pendidikan melalui permainan. Jadi, kanak-kanak tidak diajar, sebaliknya mereka belajar.

“Bagus begitu. Alhamdulillah, di Malaysia sudah ada banyak pusat pendidikan pra sekolah yang bersetuju dengan idea ini. Mungkin sebab pendidikan pra sekolah ini swasta dan tidak diseragamkan, maka ia boleh dikembangkan, dan ibu bapa diberi peluang untuk memilih mana yang sesuai dengan kehendak mereka. Bagi yang kurang bernasib baik, mereka mungkin akan pilih tadika yang beri 20 mukasurat kerja rumah sampai anak jadi robot pada usia 5 tahun. Pengalaman saya di Belfast dulu pula, ada ibu bapa hantar anak ke Sunday School sebagai tempat buang anak. Mereka tidak peduli dengan apa yang anak mereka belajar di sekolah. Yang mereka tahu, tinggalkan anak pukul 8:30 dan ambil semula 1. Jika ada minggu yang tiada Sunday School, memgamuklah mereka kerana mengganggu rutin ‘kebebasan tanpa anak’ yang mereka kecapi” saya berceloteh.

Ville ketawa.

Mungkin kerana sekali lagi saya suarakan obsesi saya kepada desentralisasi pendidikan. Memberi kuasa otonomi kepada sekolah untuk membangunkan modul dan model mereka. Kemudian, memberi kebebasan kepada ibu bapa untuk memilih apa yang mereka rasakan terbaik untuk anak-anak.

“Di Finland, adakah ibu-ibu ada menerima elaun jika mereka berhenti kerja kerana mahu mendidik anak-anak?” saya menyoal.

“Ya, ada. Di Ireland juga ada, bukan?” tanya Ville.

“Semasa saya di sana dahulu, memang ada. Tetapi sekarang saya tidak pasti. Selepas Ireland bankrap, banyak perubahan terjadi.1996.

education-07

MEDRESE

Institusi pendidikan paling penting di dalam sejarah pendidikan Dawlah Uthmaniyyah adalah Medrese.. Ia berlanjutan sebagai kesinambungan kepada era pra Uthmaniyyah , Selcuk, dan terus wujud hingga ke suku pertama kurun ke-20. Pembinaan masjid juga lazimnya bersama dengan institusi Medrese ini.

Di peringkat ini, medrese menyediakan pendidikan bagi membina pandangan hidup yang dikongsi bersama di kalangan rakyat yang terbentuk oleh berbilang etnik. Pendidikan ini secara strukturnya adalah sebahagian daripada sistem waqf, memiliki kuasa kewangan yang autonomus dengan aktiviti-aktivitinya dipantau oleh pemerintah.

Medrese Uthmaniyyah yang pertama, telah diasaskan di İznik (Nicaea)oleh Sultan Orhan Gazi (1330-1331). Untuk memastikan kewangan medrese ini dapat berjalan dengan lancar, Sultan Orhan Gazi telah mengatur waqf yang menyokong medrese ini dengan secukupnya. Baginda melantik Mevlana Davud al-Kayseri sebagai guru dan pemegang amanah, berbekalkan pendidikan yang diperolehinya di Mesir. Antara tahun 1331-1451, Dawlah Uthmaniyyah yang sedang berkembang sebagai sebuah kuaa pemerintah, mempunyai 82 medrese di seluruh wilayahnya.

Selepas penawanan kota Constantiniple, Sultan Muhammad al-Fatih (Mehmed II) telah menggerakkan kempen perancangan bandar Istanbul kepada karakter yang baru. Baginda telah membina sebuah komplek masjid (külliye). Di kompleks ini baginda telah membina medrese yang boleh difahami sebagai simbol kepada polisi sentralisasinya, serta polisi berkaitan kesarjanaan dan pendidikan.

Sekolah yang dikenali sebagai Semaniye Medrese ini terdiri daripada 8 medrese tinggi yang berada di sekitar Masjid Fatih dan di belakangnya pula terdapat 8 lagi sekolah untuk peringkat yang lebih rendah, dikenali sebagai Tetimme. Secara keseluruhannya, ada 16 medrese di kedua-dua belah masjid.

Di Fatih Medrese ini, buat pertama kali tenaga pengajar yang bertugas di sini disyaratkan menguasai kedua-dua ilmu agama dan sains meliputi logik, falsafah dan matematik. Ia menjadikan Fatih Medrese berbeza daripada medrese sebelumnya yang hanya menekankan kepada ilmu agama.

“Summer School kita tidak ada peruntukan masa untuk melawat Masjid Fatih. Sayang juga. Mungkin sebab bangunan masjid yang ada pada masa ini bukan binaan asal. Ia binaan semula selepas gempa bumi pada tahun 1766 yang meruntuhkan keseluruhan binaan” saya rasa terkilan.

“Untuk saya, yang penting kita pergi melawat maqam Ismail Ankaravi di Galata. Mereka sudah bersetuju. Tetapi, entahlah. Lagi pun, saya sahaja yang berminat. Tak wajar juga mengajak orang lain bersama” ujar Ville.

“Tetapi lawatan ke Süleymaniye hari ini, bagus. Saya suka dengan kawasan berkenaan. Sebab Imam Birgivi hidup di zaman Sultan Süleyman” saya mengusik.

“Untunglah kamu” sambut Ville.

SÜLEYMANİYE MEDRESE

education-08

Selepas era Mehmed II, Beyazid II dan Selim I, Istanbul berada di kedudukan terbaiknya, termasuk daripada aspek pendidikan.

Süleymaniye Medrese (1550-1557) telah dibina bangunannya oleh Mimar Sinan di era pemerintahan baginda. Di sini, medrese sebelum-sebelumnya telah dirombak dan diatur semula. Terdapat juga tambahan kepada institusi medrese ini. Antaranya ialah Darulhadis (sekolah untuk pengajian Hadith) dan Daruttib (sekolah pengajian perubatan.

Komplek medrese itu juga disertakan bersamanya Bimarhane / Daruşşifa (hospital), Daruzziyafe (dapur / kafetaria), Tabhane (pusat rehabilitasi) dan Darulakakir (farmasi).

Selepas rombakan, pendidikan era Süleymaniye Medrese ini terbentuk pada 12 peringkat, iaitu:

  1. Ibtida-i Haric
  2. Hareket-i Haric
  3. Ibtida-i dahil
  4. Hareket-i Dahil
  5. Musila-i Sahn
  6. Sahn-i Seman
  7. Ibtida-i Atmisli
  8. Hareket-i Atmisli
  9. Musila-i Suleymaniye
  10. Hamise-i Suleymaniye
  11. Suleymaniye
  12. Darulhadis

Subjek-subjek yang diajar pula merangkumi morfologi(sarf), syntax (nahiv), logik (mantik), Hadith, Tafsir, seni Orator (adab-ı bahs), seni berkhutbah (va’az), retorik (balaghah), ilmu kalam dan falsafah (hikmet). Demikian juga dengan ilmu Fiqh, Faraidh, Aqidah, Usul Fiqh, arithmetik, geometri (hendese), algebra (cebir), astronomi (ilm-i hey’et) dan sains tabii.

Akhirnya, sistem medrese yang membekalkan pengajian tinggi, mula mengalami kemerosotan pada kurun ke-17

Semua medrese di Istanbul telah disatukan menjadi Daru’l Hilafeti’l Aliyye Medresesi pada tahun 1914. Dan seluruh sistem medrese dimansuhkan sepenuhnya pada 3 Mac 1924 melalui penguakuasaan Tavhid-i Tedrisat Kanunu (Unified Education Code).

SEKOLAH ISTANA (ENDERUN MEKTEBİ)

Institusi pendidikan dalam kategori ini bermatlamatkan melatih individu bagi mengisi posisi-posisi elit di dalam pentadbiran istana Uthmaniyyah. Oleh sebab itu, ia mesti diambil kira sebagai satu lagi institusi pendidikan utama Dawlah Uthmaniyyah selepas institusi medrese.

Kanak-kanak dipilih daripada keluarga Kristian yang tinggal di dalam Dawlah Uthmaniyyah. Mereka dibesarkan oleh keluarga Muslim dan kemudian budak-budak kerahan ini (acemi oğlanlar) disekolahkan di dalam istana dan kem tentera. Mereka kemudiannya dihantar melalui sistem agihan yang dikenali sebagai çıkma ke pelbagai cabang ketenteraan. Bagi mereka yang menampakkan bakat dan kelebihan akan diterima belajar di Sekolah Istana ini untuk latihan lanjutan.

Subjek yang diajar di Enderun Mektebi ini tidak banyak berbeza dengan apa yang diajar di Medrese. Apa yang menjadikan ia unik adalah penekanan khusus diberikan kepada hal-hal ketenteraan dan pentadbiran. Dalam erti kata yang lain, pendidikan di Enderun Mektebi ini mengutamakan aplikasi kepada kemahiran-kemahiran, kesenian, urus tadbir dan pengajian politik. Di bahagian inilah para pelajar akan diberi penilaian khusus terhadap pencapaian mereka.

Pendidikan ini berlangsung di seksyen ketiga Istana Topkapı yang terletak selepas Babussaade. Untuk meningkat naik di dalam pendidikan di Sekolah Istana ini, pelajarnya mesti cemerlang. Mereka yang gagal atau dikenakan tindakan disiplin akan dilantik bertugas di daerah-daerah kecil Pendidikan di Sekolah Istana ini memainkan peranan yang penting dalam kaderisasi pegawai istana hingga ke usia akhir Dawlah Uthmaniyyah.

Semenjak awal kurun ke-19 pendidikan ini mula diambil alih oleh model yang lebih mengambil contoh Barat.

Antara seksyen yang ada dalam Sekolah Istana ini ialah:

  • HAS ODA (Private Chamber)
  • HAZINE ODASI (Chamber of Treasury)
  • KILER ODASI (lARDER)
  • SEFERLI ODASI (Chamber of Campainers)
  • DOGANCI ODASI (Chamber of Falconeers)
  • BUYUK VE KUCUK ODA (Big and Small Chambers)

 BAGAIMANA TURKI HARI INI

“Adakah sistem pendidikan di Turki sekarang lebih baik daripada apa yang wujud di era Dawlah Uthmaniyyah?” Ville bertanya.

“Saya tidak pasti” saya menjawab.

“Tetapi Turki bagi saya adalah contoh sebuah negara Muslim yang maju dari aspek pendidikan universitinya. Kerancakan membudayakan ilmu begitu hebat. Saya tidak nampak negara lain mempunyai kesungguhan yang sama untuk berbuat demikian” ujar Ville.

“Ingat tak hari itu, Prof Tuncay Zorlu kata ada 40 saintis yang berjaya menyelamatkan diri dari serangan Nazi di Jerman, telah datang ke Turki dan menyertai Universiti Istanbul?”

“Prof tak ada sebut. Tapi ada dalam nota kita” kata Ville.

“Oh, betul” saya menggaru-garu kepala.

Terasa sudah beransur tua. Memori tidak setajam dahulu lagi.

Masih banyak catatan tentang sistem pendidikan tidak formal Dawlah Uthmaniyyah yang hendak diulangkaji. Biar pun Summer School ini tiada peperiksaan, setiap hari kami rasa sangat teruja belajar benda baru, belajar topik yang kami sama-sama suka dan mendedikasikan diri untuknya.

Imam Birgivi juga merupakan seorang tokoh penting dalam perkembangan sistem pendidikan Dawlah Uthmaniyyah. Ada banyak observasi beliau yang mesti diambil kira, kerana era Imam Birgivi adalah era transisi daripada Dawlah Uthmaniyyah sebagai kekuatan militari yang kuat kepada kemerosotan. Ia mempengaruhi banyak perkara, terutamanya apabila pendidikan agama dilihat lebih berprospek untuk isu bread and butter berbanding kerjaya yang lain.

“Saya masih memikirkan tentang pendidikan di negara kami. Di negara kamu, tiada jurang binasa antara pelajar pintar dan pelajar lemah, kurikulum pendidikan pula nampaknya seperti sekadar garis panduan. Kerajaan membiayai persekolahan, dan sekolah pula menikmati kuasa autonomi. Saya sebagai ahli lembaga pengarah Yayasan Pendidikan Khalifah kami, masih berusaha mencari ruang transformasi dalam peluang-peluang yang amat terbatas” saya berceloteh.

Semakin perlahan.

Keletihan.

“Saya belum sampai ke umur itu. Tetapi perkongsian kamu membuka banyak perspektif baru kepada fikiran saya. Terima kasih, Hasrizal” ujar Ville.

“Rumusan saya ialah, kejayaan sebuah pendidikan ialah berhasilnya kita melahirkan pencinta ilmu, paling tidak pun seperti kamu, Ville. Berbeza agama, tetapi mempunyai minat mendalam kepada sejarah umat Islam. Bukan aspek tentera, bukan senibina, bukan politik, tetapi pemikiran. Sesuatu yang halus, yang diminati hanya oleh pencinta ilmu” saya mengemas meja.

education-09

“Ayuh kita makan malam. Kawan-kawan pun sudah bergerak ke sana” ajak Ville.

“Ayuh kita” saya bangun, selepas lama bersembang petang itu. Setiap hari pada jam 7 petang kami peserta Summer School akan makan malam bersama.

Sambil melangkah dan melayan gelak ketawa rakan-rakan, kepala saya masih ligat berfikir tentang pendidikan di Malaysia.

Menghapuskan peperiksaan UPSR dan PMR di tanah air, sepatutnya menghasilkan satu suasana yang menggalakkan pelajar cintakan ilmu. Tetapi saya khuatir kerana yang terbit adalah pelajar yang hilang motif belajar. Jadi malas dan cunning, mencari lubang melepaskan diri daripada pendidikan.

Ibu bapa pula sebagai klien utama sistem pendidikan, yang membuat keputusan untuk anak-anak, tidak secara efisyen diberi kefahaman baru tentang erti pendidikan. Berapa gred, mahu kerja kerajaan, masuk hospital percuma, dan ada pencen sampai mati, masih menjadi mentaliti umum yang menurun dari kemuncak menara gading, hingga ke kerusi warna warni tadika si anak.

Apa solusinya?

Saya harap dengan sedikit ilmu pengetahuan dan pengalaman, posisi saya sebagai ahli lembaga pengarah Yayasan Pendidikan Khalifah, serta tenaga pengajar sukarelawan di Sekolah Menengah Mithali Khalifah dapat merealisasikan idea-idea sebuah pendidikan yang memanusiakan manusia.

Yang cintakan ilmu.

Yang berupaya mengendalikan hidup.

Yang menjunjung hakikat dirinya sebagai hamba, dan khalifah Allah.

Ameen.

Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP

 

 

 

 

 

Maklum Balas

Maklum Balas

Check Also

syrianchildreninistanbul

Jangan Beragama Sekadar di Pinggiran

kredit foto: demotix.com “Ammu, Ammu, fi sabilillah!” seorang kanak-kanak kecil menarik baju saya. Dia bukan …

13 comments

  1. Betapa segarnya minda bila dapat kembali membaca artikel-artikel dari Ustaz. Membaca update status di FB merimaskan kepala, tak kira siapa pun, ahli politik dan penyokong, para ilmuan agama , rakan taulan, saudara-mara.

    Semoga Ustaz berjaya dalam bidang yang ceburi.

    • Segarnya dalam kesepian blog dari interaksi, semasa penulis hanya menulis dan menulis, ada jejak yang sahabat tinggalkan. Terima kasih akhi. Semoga bermanfaat apa yang dikongsi. Salam ukhuwwah.

  2. Terima kasih ustaz! deretan artikel seperti ini membuatkan saya yang dah 30an ini mahu kembali ke Universiti dan belajar sejarah kembali secara serius!! sedih….

  3. Khairun Najati

    Semoga Allah sentiasa merahmati ustaz.

    Dan kita semua sehingga ke akhir perjuangan hidup.
    Terasa diri saya sungguh kerdil,masih merangkak dalam perjalanan menuntut ilmu.
    Ingin saya manfaatkan usia muda yang baru mencecah 20an ini sesungguhnya.
    Kerana ustaz ada menulis “sesaat yang berlalu adalah lebih jauh daripada 100 hari yang belum tiba”.

    Mengharapkan nasihat dan hikmah yang luas daripada ustaz,
    semoga segala apa yang saya baca daripada blog ini,menjadi manfaat yang berguna kelak.
    untik ummah ini tentunya!

    JazakaAllah khairan jaza’.

  4. Assalamualaikum Ustaz…
    Seronok rasanya bila blog ini semakin penuh dengan artikel yang baharu.
    Buku-buku dan artikel-artikel ustaz banyak memberikan inspirasi kepada saya.
    Teruskan usaha ustaz dan jakallahu khaira 🙂

    Doakan saya agar terus teguh atas landasan ilmu dan kembara mencari ibrah 🙂

  5. Saya pernah membaca purata buku yg dibaca Oleh penduduk Finland adalah yg tertinggi di dunia.

    Apabila disebut Finland mengamalkan sistem Pendidikan terbaik dunia, amat serasi untuk dikaitkan dengan budaya iqra masyarakat tersebut.

    • Mereka memang banyak membaca dan biasa-biasa sahaja hidup sebagai orang yang banyak membaca. Cuma, mungkin mereka kurang membaca buku resepi masakan. Resepi makanan di Finland sangat teruk 🙂

  6. Terima kasih perkongsian Ustaz. Moga istiqamah.

    Buat masa sekarang, untuk menyelamatkan anak2 daripada perjudian politikus terhadap sistem pendidikan, perlu kepada sekolah swasta atau homeschool.

    Nampak besar hikmahnya ustaz keluar medan FB dan kembali aktif di medan blog seperti dahulu. 🙂

  7. Assalamualaikum w.b.t Ustaz..

    Penulisan Ustaz amat menarik perhatian saya dalam dua perkara. Perkara pertama adalah tentang sistem pendidikan kontemporari yang kita lalui sekarang ini (dengan hasilnya) berbanding dengan sistem pendidikan semasa zaman kegemilangan Islam dalam bidang ilmu (di Bahgdad, Cordova dan yang saya baru tahu terkini – zaman Daulah Uthmaniyyah).. Namun bahagian ini amat ingin saya berbincang jika ada rezeki untuk bertemu dengan Ustaz dikemudian hari..

    Perkara kedua adalah – jika kita baca buku-buku sejarah dan pemikiran Islam (termasuk buku-buku haraki sebagai contoh “Antara Semalam & Hari Ini” pd m/s 6 oleh Al Imam As-Syahid Hassan Al Banna) memberi bayangan bahawa kegemilangan sistem ilmu dan pendidikan mencapai kemuncaknya ketika pemerintahan Dinasti Abbasiyyah dan Dinasti Umayyah di Sepanyol.

    Daulah Uthmaniyyah dilihat hanya menyumbang kepada pencapaian dalam ekspedisi ketenteraan dan perluasan wilayah Islam, dan tidak lebih dari itu.. Malah ada beberapa lagi pandangan yang sangat tidak saya mempersetujuinya sama sekali hingga saat ini..

    Saya bersyukur kerana tulisan Ustaz kali ini memberikan pendedahan dan maklumat baru kepada saya dan peminat-peminat tulisan Ustaz tentang fakta sebenar kaedah pendidikan Turki. Bagi saya sebagai sebuah negara yang maju ketika itu, adalah mustahil Sultan-Sultan Daulah Uthmaniyyah dan para penasihatnya tidak memberikan perhatian kepada sistem pendidikan dan perkembangan ilmu. Malah tanpa sistem pendidikan yang sistematik dan mantap, saya percaya Daulah Uthmaniyyah tidak akan mampu bertahan selama 600 tahun, jika hanya terlalu bergantung kepada ekspedisi ketenteraan semata-mata.. (teknologi dan strategi perang yang mantap pun memerlukan ilmu)..

    Teruskan menulis Ustaz.. teruskan perkongsian ilmu yang amat bermanfaat ini..

    Terima kasih atas ilmu-ilmu yang kami terima dari Ustaz..
    Hanya Allah s.w.t yang mampu membalasnya..

  8. Salam ust…maaf kalau tak “get the point”, perkara yang membingungkan saya lagi adalah kebebasan. Mengapa ya kebebasan itu seolah2 memberi malapetaka kepada kita sedangkan mereka yang berbeza iman sama kita merasa selamat dengan kebebasan…kita pula asyik ketakutan, lembik, mengarut dengan “hantu liberalisme” lah..macam-macamlah…atau kebebasan ini tidak wujud dan sebagai alat untuk menipu apabila sudah merasa kononnya tertindas dan dinafikan haknya? Apakah hakikatnya kita ini mahu ” terpenjara” ? Kadang-kadang hidup ini bila fikir pasal kebebasan semacam tidak ada ertinya pula biarpun mendakwa telah memberibitu dan ini sedangkan hal itu tidak lebih selain perkara memalukan…..bukankah sepatutnya kitalah yang muslim merasa terbela…kenapa yang kafir pula yang senang hati dengan nama kebebasan ini ?

    • Saya sedih…mudah-mudahan liLLahi ta’ala ust..kalau berperasaan itu haram Dan tidak wajar…terpisahkah perasaan ini dari tawhid? Di mana letak nilai cinta dan benci liLLahi ta’ala?

  9. Rasa sayang pula artikel ini tidak masuk sekali dalam buku Menalar Makna Diri, setakat yang saya semak dalam naskhah saya.

    Elok benar tulisan ini merakamkan apa yang ‘istimewa’ di Finland. Secara peribadi, apa yang dibualkan dengan orang yang terlibat dalam sesuatu sistem atau budaya dapat kefahaman yang lebih jernih berbanding apa yang kita baca semata-mata.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *