Jika Kita Membaca Lillāhi Ta’āla

muslim-scholars

Allah itu Tuhan yang Maha Pengasih.

Dia memberi banyak.

Dia ‘meminta’ sedikit.

Kita dilahirkan sebagai manusia yang diberi pelbagai pemberian, hingga lahir kita langsung sebagai seorang penghutang. Berhutang pelbagai nikmat dan modal kehidupan.

Pemiutang tidak meminta kita membayar kepada-Nya pada kadar yang Dia beri hutang.

Dia suruh kita bayar dalam ibadah yang wajib-wajib sahaja.

Dia suruh kita sumbangkan apa yang kita ada, untuk membangunkan kehidupan sesama kita. Bayaran hutang kita kepada-Nya, bukan untuk kebaikan-Nya kerana Dia tidak perlukan kita. Apabila kita membayar hutang kehidupan, kebaikannya balik kepada kita yang berhutang.

Melakukan kebaikan dengan niat kerana Tuhan yang sebaik itu, besar implikasinya.

Benda yang Tuhan suruh kita buat, ringkas-ringkas dan mengutamakan isi.

Substantial.

PERINTAH BACA

Lihat sahaja kepada perintah membaca.

96_1

Bacalah, dengan nama Tuhanmu yang menciptakan [al-‘Alaq 96: 1]

Dia perintahkan kita membaca, tetapi bacalah dengan nama Dia. Bukan supaya Dia mendapat manfaat daripada pembacaan kita, sebab Dia sentiasa Tuhanmu yang Paling Mulia (إقرأ و ربك الأكرم). Tetapi Dia menyuruh kita membaca dengan nama Dia, supaya pembacaan kita tidak menyusahkan diri kita sendiri. Pembacaan kita menatijahkan apa yang sepatutnya. Pembacaan kita tidak menatijahkan apa yang tidak patut dan tidak perlu.

Jika kita membaca LILLAHI TA’ALA, tulisan di kulit kayu dan keping batu pun kita sanggup baca. Kita baca kerana mahu mencari ilmu. Kita mahu mencari kebenaran. Yang mendatangkan kemanisan ialah pada mengetahui apa yang kita tidak tahu. Mengetahui apa yang tidak diketahui, segera menyedarkan kita bahawa kita sedang diajar oleh Dia.

96_5Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. [al-‘Alaq 96: 5]

Jika kita membaca LILLAHI TA’ALA, kita membaca kerana mahu mendapatkan apa yang Dia perintahkan kita cari melalui baca. Baca untuk mengenal Dia, baca untuk mengenal diri kita sendiri, baca untuk mengenal kehidupan.

Apabila kita membaca bukan LILLAHI TA’ALA, kita terpesong daripada asas membaca. Kita letakkan pelbagai syarat kepada bahan baca agar ia kita baca. Ia mesti cantik, ia mesti ditulis dengan font yang sesuai, ia mesti tidak terlalu panjang, ia mesti tidak terlalu pendek, ia mesti berserta ilustrasi, mesti ergonomik, macam-macam syarat kita letakkan supaya kita baca.

Ia tidaklah salah sepenuhnya.

Tetapi ia boleh menghilangkan tujuan asal kita membaca.

Asalnya kita baca kerana keperluan.

Tetapi tanpa sedar kita baca kerana kemahuan.

Apabila sesuatu kita lakukan, pada kadar kemahuan melebihi keperluan, yang kita layan bukan fitrah diri mencari kebenaran, tetapi nafsu yang mencari keseronokan.

Yavuz_Selim Yavuz Sultan Selim

Yavuz Sultan Selim yang memerintah Daulah Uthmaniyyah antara tahun 1512 hingga 1520, semasa belum menjadi Sultan, beliau adalah putera raja yang tidur 3 jam sehari, dan memperuntukkan 8 jam sehari untuk membaca. Tabiat membaca di usia mudanya berlanjutan, hingga di zaman pemerintahannya. Tatkala baginda melakukan ekspedisi ke Syam, Palestin hingga ke Mesir, antara tahun 1516 hingga 1517, baginda menyediakan seekor unta khusus membawa buku untuk dibaca!

Itulah Sultan Dawlah Uthmaniyyah yang membaca Lillahi Ta’ala.

Semasa lapang dia membaca.

Semasa perang pun dia membaca.

Dan ia bukanlah eksklusif kepada Yavuz Sultan Selim semata-mata.

400 tahun sebelumnya, tradisi membaca berada di mana-mana dunia Islam. Perpustakaan di Cordova mengandungi 600,000 buah buku. Manakala Raja Charles V yang memerintah Perancis pada masa itu ‘hanya’ ada 900 buku di perpustakaannya dan beliau sudah pun dianggap sebagai raja yang paling ‘berpendidikan’ di zaman berkenaan.

Apabila Ancyra (Ankara) ditawan oleh Khalifah Harun al-Rashid (766-809), dan kekuatan Byzantine kemudiannya tumpas di tangan Khalifah al-Ma’mun (785-833), kedua-dua mereka ditawarkan dengan wang siling emas, namun mereka menolak tawaran itu. Sebaliknya apa yang diminta adalah bayaran dalam bentuk buku-buku klasik tulisan tangan yang sarat dengan ilmu pengetahuan.

Hari ini kita berkira.

Buku mahal sedikit, kita mengeluh.

Buku tebal sedikit, kita mencemuh.

bukuboring

Jika di dalam buku yang ‘membosankan’ seperti ini ada banyak kebaikan yang menemukan kebenaran, masihkah ia tidak cukup sebab untuk menjadikan kita membacanya?

Kita teralpa daripada catatan sejarah, di zaman buku begitu dihargai seperti yang diceritakan sebelum ini, menghasilkan buku bukan sebarangan usaha.

Shihabuddin al-Nuwayri (1262-1332), seorang sejarawan Mesir di era Mamluki, bekerja sebagai seorang penyalin buku. Setiap naskhah buku, tiada mesin untuk mencetakkan sebanyak naskhah yang kita mahu. Al-Nuwayri menulis tangan salinan Sahih al-Bukhari dan menjualnya dengan harga seribu dinar emas, seperti yang Ibn Hajar ceritakan di dalam al-Durar al-Kaminah.

Susahnya hendak menghasilkan senaskhah buku.

Mahalnya harga sebuah buku.

Tetapi baca itu Allah perintahkan.

Buku dan penulisan Allah muliakan.

68_1Nuun. Demi Pena dan apa yang mereka tuliskan padanya (al-Qalam 68: 1]

Nun itu huruf yang ditulis.

Qalam itu pena yang menulis.

Wa mā yasthurūn itu lembaran-lembaran yang ditulis padanya tulisan.

Hanya Sang Penulis yang tidak dinyatakan.

Kerana hakikatnya semua buku, pena dan isi kandungannya adalah datang daripada Sang Penulis itu, Tuhan yang Maha Berilmu lagi Maha Bijaksana.

Jika kita membaca LILLAHI Ta’ala, kita sabar dalam menuntut ilmu dengan guru yang suaranya tidak lantang, gaya penyampaiannya tidak menarik, malah sabar dengan kematu buku lali bersila di lantai kayu, buluh mahu pun batu. Sebabnya, yang dicari dalam majlis ilmu adalah kebenaran.

Jika kita membaca LILLAHI TA’ALA, kita membaca kerana mahukan bertemu dengan kebenaran. Maka semasa membaca bahan seperti bahan sejarah, kita menyabarkan diri dengan ‘kebosanan’. Sejarah tidak perlu ditokok-tambah. Malah kita tidak mahu ia ditokok-tambah. Kita membaca sejarah kerana kita mahu tahu apa yang sebenarnya.

kuntowijoyo

Kata Bapak Kuntowijoyo:

“Bangku sekolah tidak ingin bersaing dengan ahli retorika. Bakat itu bawaan. Oleh karena itu, bangku sekolah tidak mengajarkan bagaimana orang yang mempunyai retorika, tetapi mengajarkan bagaimana menulis yang baik, penuh nalar, dan sistematis. Di jurusan sejarah juga diajarkan untuk menghormati fakta. Jadi, lebih mengarah pada substansi daripada retorika.

Diharapkan bahawa kekayaan substantif jauh lebih menarik daripada keindahan retorika. Lagi pula, keindahan sejarah tidak terletak pada gaya bahasa tetapi pada presisinya. Pada Sejarah Kuantitatif yang banyak menggunakan statistik, keindahan justru terletak pada angka-angka. Tidak ada yang lebih indah daripada kebenaran!” (Kuntowijoyo. 2013. Pengantar Ilmu Sejarah. Yogyakarta: Penerbit Tiara Wacana)

Sebagaimana berpakaian kerana Allah akan mengutamakan ciri menutup aurat berbanding rekaan dan gemerlapan, demikianlah membaca kerana Allah akan mengutamakan isi kandungan berbanding rupa paras malah harga yang dinyatakan.

Manusia yang tidak membaca melanggar perintah Tuhan.

Manusia yang membaca pun, apabila tidak membaca kerana Dia, belum mentaati Tuhan.

Pembacaannya tidak membesarkan Tuhan.

Pembacaannya hanya membesarkan industri.

Adakalanya industri berkhidmat untuk ilmu.

Adakalanya industri tersasar dan mengkhianati ilmu.

Duit dilaburkan membeli bahan baca, kedai buku di mana-mana untuk membekal bahan baca, kilang bekerja siang malam mencetak bahan baca, tetapi pembacaan kita cair tidak mendukung kebenaran, apabila membaca bukan lagi kerana perintah Tuhan, tetapi mematuhi kemahuan sebuah keseronokan.

Bersabarlah semasa membaca.

Bacalah dengan nama Dia.

Tuhanmu yang menjadikan baca, rutin manusia yang setia dengan kebenaran.

Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP

Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (217) Pelawat

Comments

4 comments

  1. Assalamualaikum Ustaz

    Membaca dapat membentuk minda kita belajar menyusun fakta. Dan apabila kita membaca dengan nama Dia, maka fakta yang tersusun itu lebih bermakna sebab kita dapat memberi manfaat kepada orang lain dengan berkongsi apa yang kita baca dan apa yang kita faham dengan perkara yang kita baca. Mungkin juga diskusi dengan manusia lain jadi lebih tenang (jika apa yang kita baca itu bukan gosip).

    Saya lah yang rasa macam itu.

    Saya pernah come across satu quote ni katanya, ‘ a child who reads will be an adult who thinks’. Saya fikir quote ni ada benarnya, manusia yang kurang membaca, jadi kurang untuk berfikir

  2. Wanita Hassan

    Terima kasih, Ustaz. Selepas membaca entri ini, saya mengira berapa buah buku saya baca keranaNya. Astaghfirullah.

    Ustaz, saya berminat untuk membaca perihal sunni-syiah.
    Cuti semester ini, saya sedang membaca Tsumma tadaitu kemudian Bal Dhalalta. Selepas ini, saya mahu membaca Tarikh Tabari : Yazid B Muawiyah yang dipinjam di librari.

    Mungkin Ustaz boleh beri cadangan penambahan buku dan sedikit pandangan ustaz berkenaan isu ini? :)
    Terima kasih.

  3. Sungguh membuka jiwa dan minda.
    Entah kenapa terasa tenang apabila membaca entri ini.

    Jazakallahukhairan.

  4. Sungguh membuka jiwa dan minda.
    Entah kenapa terasa tenang apabila membaca entri ini.

    Jazakallahu khairan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>