Takutilah Fitnah Ilmu dan Tahu

nilai-ilmu-dan-tahu

Metode siapa yang lebih berilmu dan berhikmah?

Metode Salaf, atau Khalaf?

Perdebatan tentang hal ini berlarutan, menimbulkan kegelisahan malah perbalahan dan pergaduhan zaman berzaman. Ia tidak pernah selesai. Kendur satu pusingan, muncul pula generasi seterusnya untuk menyalakan api, mengipas dan membakar hangus persaudaraan, atas dua kumpulan yang berbalah pada mencari ketepatan dan mengimani Allah sebagai Tuhan, yang tiada sedikit pun ruang untuk dibandingkan dengan makhluq yang Dia cipta.

Dalam banding membandingkan di antara cara siapa yang handal ilmunya, siapa lebih berilmu (A’LAM) dan siapa lebih berhikmah (AHKAM), terselit istilah ketiga yang sepatutnya lebih direnung oleh setiap insan yang berakal.

ASLAM.

Yang lebih selamat.

Ketepikan seketika siapa Taqî ad-Dîn Aḥmad ibn Taymiyyah (1263-1328) dan aliran mana yang beliau wakili.

Dalam perdebatan tentang metode mana yang lebih berilmu dan berhikmah, beliau menekankan kepentingan hakikat ketiga, iaitu metode mana yang lebih menyelamatkan. Apa gunanya berilmu tinggi, berhikmah luas, andai semua itu tidak menyelamatkan. Semasa di ambang hujung perjalanan antara Syurga dan Neraka, manakah yang mahu diberi keutamaan oleh kita hamba-Nya?

Ilmu?

Hikmah?

Keselamatan?

Dalam keghairahan kita menuntut ilmu, adakalanya kita terlupa kepada matlamat berilmu. Adakah kita berilmu untuk tahu, berlazat-lazat menjadi manusia yang tahu, dan meneruskan lagi usaha menambah tahu? Apa ertinya sebuah tahu, kalau ia sekadar tahu? Tidak hairanlah ada guru pondok yang menghalau anak muridnya keluar dari pondok kerana si murid berlama-lama di pondok demi menikmati proses menambah tahu.

Sudah bertahun belajar, bila mahu mengajar?

Renung ke pinggir desa, pandang kehidupan orang biasa, dan hisablah diri, berapa ramaikah manusia menyembah Allah pada tahu yang sangat asas, hidupnya sangat sederhana namun bahagia dan berkesudahan dengan kesudahan yang sejahtera, TANPA MENGETAHUI APA YANG KITA TAHU?

Justeru, apa pentingnya untuk kita mencari ilmu dan menambah tahu?

TUJUAN BERILMU

Ada manusia yang tidak mempunyai rezeki untuk menjawab soalan itu. Sama ada rezeki bahasa, rezeki wang, rezeki logistik, rezeki zaman… mereka tidak mempunyai titik-titik persinggahan hidup untuk membolehkan mereka terfikir akan soalan ini dan kemudian menjawabnya. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih, ada hamba-Nya yang masuk ke Syurga hanya dengan perkara-perkara asas itu.

masuksyurgaDaripada Abī ‘Abd Allāh Jābir bin ‘Abd Allāh al-Ansārī RA: Sesungguhnya seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam, beliau berkata: Apakah pada pandanganmu jika aku tunaikan solat yang fardhu, aku berpuasa Ramadan, aku halalkan yang halal dan aku haramkan yang haram, tanpa menambah apa-apa lagi atas semua itu, aku akan masuk Syurga? Jawab baginda sallallahu ‘alayhi wa sallam: YA! [HR Muslim]

Justeru dalam ketinggian kita memanjat tangga kesarjanaan, jangan kita lupa kepada asas kehidupan kita, bahawa apa sahaja yang kita miliki, semuanya adalah beban, sehingga ia dimanfaatkan.

Sabda Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam:

ramah

“Orang mukmin itu bersikap ramah dan disenangi dalam pergaulan dan tidak ada kebaikan bagi seorang yang tidak bersikap ramah serta tidak disenangi dalam pergaulan. Dan sebaik-baik mukmin itu adalah orang yang paling bermanfaat bagi manusia.” [HR. Thabrani dan Daruquthni]

Ilmu yang dipelajari, mesti dipelajari untuk menatijahkan kebaikan daripadanya. Untuk diri, dan manusia seluruhnya.

Apa sahaja ilmu yang dipelajari, sama ada ilmu asas pada membetulkan skru yang longgar di pintu hingga kepada ilmu falsafah yang mena’kul alam dan kehidupan, kesemuanya berakhir dengan natijah yang sama.

Jika itu menatijahkan manfaat dan menyelamatkan, ia mahmudah.

Jika ia tidak menatijahkan apa-apa, ia lagha.

Jika menjadikan kita jengkel, ia mazmumah.

Sheikh Fadhl Hasan ‘Abbās (meninggal dunia 9 Februari 2011) di dalam Khumāsiyyāt Mukhtārah fī Tahdzīb al-Nafs al-Ammārah menyatakan bahawa ilmu yang terpisah daripada iman, menjadi sebab seseorang itu bersikap angkuh dan melampau. Ilmu yang sepatutnya menyuluh manusia kepada kebaikan, menjadi penghalang daripada menerima petunjuk Tuhan.

Firman Allah SWT:

40_83

“Maka pada masa mereka didatangi oleh para Rasul yang diutus kepada mereka dengan membawa keterangan-keterangan (untuk menyelamatkan mereka, mereka mengejek-ejeknya, dan) mereka bergembira dengan ilmu yang ada pada mereka dan dengan yang demikian mereka pun diliputi oleh azab yang mereka ejek-ejek dahulu.” [Ghāfir 40: 83]

Pada zaman ini, bahkan pada setiap zaman, banyak sekali kita temui contoh golongan yang melampau disebabkan oleh ilmu. Berpada untuk kita mengambil iktibar akan hal ini dengan merenung firman Allah:

45_17“Dan lagi Kami telah berikan mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata mengenai perkara agama; maka mereka tidak berselisihan melainkan setelah sampai kepada mereka ilmu; (tetapi berlakunya perbalahan dan perpecahan yang demikian)kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Sesungguhnya Tuhanmu akan menghukum di antara mereka pada Hari Kiamat tentang apa yang mereka perselisihkan itu.” [al-Jātsiyah 45: 17]

Berhati-hatilah mengendalikan ilmu dan tahu.

FITNAH AKHLAQ DALAM BERILMU

Imam Birgivi (meninggal dunia 1573) menjelaskan di dalam al-Tarīqah al-Muhammadiyyah bahawa sifat ego itu disebabkan oleh tujuh faktor; ilmu, ibadah, nasab, keelokan paras rupa, kekuatan, harta dan pengikut. Akan tetapi EGO yang berpunca daripada ILMU adalah yang paling berbahaya dan sukar dirawat. Masakan tidak, ilmu itu mulia kedudukannya di sisi Allah, menolak untuk berilmu kerana bimbangkan ego bukanlah sikap yang betul.

Untuk merawat sifat ego disebabkan oleh ilmu, Imam Birgivi menjelaskan bahawa dalam proses belajar, perlulah seseorang itu ingat, bahawa kemuliaan ilmu itu bukanlah pada sekadar mengetahuinya. Tetapi ia mestilah disertakan dengan niat yang baik, beramal dengannya dan menyebarkannya Lillāhi Ta’ālā. Jangan sekali-kali ada rasa tamak menginginkan habuan yang berada di tangan manusia, atau cuba memperolehi harta kekayaan dengan ilmu itu. Seandainya hal ini tidak dijaga, maka ilmu itu akan bertelangkup menimpanya, lalu jadilah dia lebih buruk kedudukannya daripada orang yang jahil. Malah dia akan diazab dengan lebih berat menutut pendapat yang paling absah.

Jika seseorang itu sedar akan hakikat ini, mana mungkin dengan ilmu dia mampu menjadi ego?

Pelbagai ilmu dikuasai, terlupa kepada ilmu yang menyelamatkan. Ilmu yang mengajar cara diri berakhlaq sebagai orang berilmu. Bukankah ego itu haram ke atas makhluq?

Justeru ilmu mesti diguna untuk mencari kebenaran dan menyampaikan kebenaran.

Bukan untuk kemegahan diri atau bermain-main jargon yang merendahkan orang awam.

representationsoftheintellectual

Bukan seperti veteran tentera USA saat bertemu dengan Edward Said pada pertengahan 1960-an. Beliau membahasakan tugasnya di dalam tentera udara sebagai  ‘target acquisition‘ agar berbunyi profesional. Hakikatnya kerja beliau adalah untuk mengebom!

Ilmu bukan untuk dibanggakan.

Ilmu adalah alat untuk berkhidmat.

Dalam bahasa seorang pemikir, Edward Said menyebut di dalam Representations of the Intellectual tentang peranan golongan sarjana bercakap benar di hadapan pihak berkuasa bahawa cara untuk mengekalkan kemerdekaan intelektual adalah dengan memiliki sikap para amatur dan bukannya profesional. Amatur dalam erti kata, mengutamakan peranan yang boleh dimainkan di dalam masyarakat dan bukan berselindung di sebalik pengkhususan untuk bercakap secara selektif di dalam majlis dan wacana yang sesuai dengan kepentingan semata.

Orang tua-tua kita, berpesan dalam bahasa tafakkur orang biasa-biasa kepada alam persekitarannya. Kata mereka, jangan bawa resmi jagung, makin berisi makin jegang. Jangan makin berilmu makin sombong meninggi diri. Sebaliknya bawa resmi padi, makin berisi makin tunduk.

Abu Nasr berkata, telah sampai kepadaku bahawa Hammād bin Abi Hanifah pada suatu ketika berbicara tentang ilmu kalam. Lalu perbuatannya itu ditegah oleh Abu Hanifah. Lalu anaknya itu berkata kepada bapanya, “anakanda pernah melihat ayahanda berbicara tentang ilmu kalam yang sama, apa justifikasinya ayahanda menghalangku daripada melakukannya?”

Jawab Abu Hanifah, “wahai anak kesayanganku. Dahulunya semasa kami berbicara tentang ilmu kalam, setiap seorang daripada kami berasa seperti ada burung terbang di atas kepala dan bila-bila masa sahaja akan jatuh menimpa (yakni dengan hati-hati dan merendah diri). Namun kalian pada hari ini membicarakan tentang ilmu ini, dalam keadaan setiap seorang mahu menghina saudaranya. Dan sesiapa yang mahu menghina saudaranya (dalam hal ini), dia itu sebenarnya mahu saudaranya itu menjadi kufur. Barangsiapa yang mahu menjadikan saudaranya itu kufur, maka dia telah menjadi kufur sebelum kufurnya saudara dia.”

Kisah ini dipetik oleh Imam Birgivi di dalam karyanya al-Tarīqah al-Muhammadiyyah daripada kitab al-Nawāzil oleh Abū al-Layts al-Samarqandī pada membicarakan tentang bahaya mempelajari ilmu kalam. Kata beliau, “daripada contoh-contoh yang kuberikan itu tadi, ia menjelaskan bahawa ilmu kalam itu adalah fardhu kifayah. Tetapi tidak harus ilmu itu dipelajari kecuali oleh seorang yang:

  1. Pintar
  2. Kuat beragamanya
  3. Bersungguh-sungguh dalam berusaha

Sesungguhnya setinggi-tinggi falsafah dan pemikiran, adalah pada membawa kepala seorang hamba sujud di atas tanah menyerah diri kepada Tuhan.

Takutilah fitnah ilmu dan tahu.

Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP

 Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (147) Pelawat

Comments

4 comments

  1. Assalamualaikum ustaz,
    Mungkin secara briefnya saya boleh simpulkan, sebab itulah kita disuruh berdoa supaya mendapatkan ilmu yang bermanfaat. Supaya dengan ilmu itu kita bukan sahaja mampu memberi manfaat kepada manusia dan makhluk sekalian alam tetapi sekaligus menjadi hamba Allah yang diredhai. Tiapa apa yang dapat menyelamatkan kita tanpa keredhaan Allah.

  2. Woah! I’m really digging the template/theme of this blog.
    It’s simple, yet effective. A lot of times it’s tough to get that “perfect balance” between usability and appearance.
    I must say you have done a amazing job with this. In addition, the blog loads super quick for me on Firefox.
    Exceptional Blog!

  3. Jzkk atas perkongsian

  4. It’s not my first time to visit this web site, i am browsing this web
    site dailly and obtain nice data from here all the time.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>