Menamatkan Pendidikan Kiasu

Loader Loading...
EAD Logo Taking too long?

Reload Reload document
| Open Open in new tab

Download [146.15 KB]

Entahlah dunia apa yang kita hidup di dalamnya hari ini.

Setelah anak nekad terjun membunuh diri, si ibu berkata beliau hanya berharap anaknya mendapat markah 70, bukannya 80! Apabila markah peperiksaan menjadi currency dalam mendidik anak-anak, ibu bapa dan guru bukan penyiram air dan baja kepada impian, harapan, potensi dan kehidupan anak-anak, tetapi sebagai pembunuh.

Kisah di Singapura baru-baru ini bukan kisah baru.

Kami di kelas berbual mengenainya.

Rakan saya daripada Shandong Province di  China juga bercerita tentang hal yang sama. Katanya mengenai kegilaan National College Examination yang beliau lalui, pelajar menjadi gila dan ada yang membunuh diri. Markah penuh untuk peperiksaan berkenaan adalah 750. Pada tahun berkenaan, mereka perlu memperolehi markah sekurang-kurangnya 595 untuk mendapat tempat di universiti, manakala di province lain, markah yang diperlukan rendah sedikit sekitar 400. Ia ada kaitan dengan diskriminasi dan sikap kerajaan China yang tidak pernah jemu menekan minoriti Uygur di wilayah berkenaan. Di dalam kelas rakan saya ini katanya ada 70 pelajar. Kesemua mereka tidak berehat pada waktu berehat, terus mengulangkaji dan menyiapkan diri untuk peperiksaan berkenaan dalam timbunan buku dan kertas-kertas peperiksaan contoh dan tahun lepas. Dan akhirnya, daripada 70 orang itu hanya 6 orang sahaja yang layak dan mendapat tempat. Mereka yang gagal perlu mengulang, atau mengalah dan masuk ke kolej vokasional yang tiada pelajaran sistematik untuknya, atau jika mereka daripada keluarga berada, mereka mengambil TOEFL atau IELTS dan menyambung pelajaran ke luar negara, terutamanya di Amerika Utara dan Australia.

Teringat saya kepada tragedi yang menimpa negara kita dalam beberapa kes yang semakin dilupakan. Subashini hari ini sepatutnya sudah berusia 19 tahun. Mungkin sudah semakin jelas kelebihan dirinya di dalam bidang, atau kerja yang bagaimana. Tetapi dia pergi dahulu. Tekanan UPSR sudah cukup untuk menyebabkan Subashini menamatkan penderitaannya dengan sebuah tragedi. Malapetaka yang pergi dibawa angin dan masa.

Pemansuhan UPSR tidak berlaku.

Malah bebanannya ditambah lagi daripada apa yang sedia ada. Pelbagai hujah diberikan terhadap perubahan demi perubahan, yang hakikatnya masih seperti “the child on the rocking horse”.

Artikel saya pada tahun 2010 berikut, saya paparkan kembali untuk muhasabah kita bersama:

MENAMATKAN PENDIDIKAN KIASU

Seawal 2006, saya sudah menangkap hasrat Kementerian Pelajaran Malaysia untuk merombak sistem pendidikan negara yang terlalu berorientasikan peperiksaan.

Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein selaku Menteri Pelajaran ketika itu pernah membuat kenyataan betapa sistem pendidikan semasa yang berorientasikan peperiksaan menjadi satu bebanan ke atas guru dan murid. Justeru satu bentuk pendekatan baru di dalam sistem pendidikan mahu diperkenalkan.

Saya mengalu-alu saranan ini.

‘KIASUISM’

Obsesi semua pihak terhadap ukuran kecemerlangan murid berdasarkan pencapaian bilangan A di dalam peperiksaan semakin menjadi-jadi.

Jika dahulunya budaya kiasu sering membawa kita kepada membayangkan negara jiran, Singapura, kini sikap all-must-win itu sudah semakin membarah di Malaysia hingga ia tidak lagi ditonjolkan pada kegilaan menghimpun tertinggi, terpanjang, terbesar dan terhebat di mercu tanda negara, malah turut mengisi seluruh spektrum kehidupan. ‘Segala-galanya bersifat enjit enjit semut siapa sakit naik atas’!

Seawal usia pra sekolah, murid-murid sudah diheret ke budaya ‘saya masuk kelas A sebab ada yang masuk kelas B’.

Murid yang beroleh keseluruhan A akan disanjung oleh semua peringkat masyarakat dan media. Pelbagai anugerah diberikan dan jumlah mereka menyumbang kepada statistik kebanggaan sekolah, kemudian daerah dan akhirnya negeri ke peringkat kebangsaan. Sedangkan segala liputan terhadap kelompok ‘cemerlang ini’ hakikatnya adalah laporan berkenaan kelompok minoriti kecil berbanding kelompok majoriti dengan pencapaian sederhana yang terus dipinggirkan.

Sekurang-kurangnya dua tragedi besar sudah terpampang di hadapan mata kita kesan daripada obsesi terhadap peperiksaan ini.

TEKANAN PSIKOLOGI MELAMPAU

NIBONG TEBAL, 18 Nov. -- S. Subashini,12, pelajar Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT) Ladang Sempah dipercayai membunuh diri dengan menggantungkan diri menggunakan kain selimut akibat kecewa kerana memperolehi pangkat D dalam matapelajaran Pemahaman (Bahasa Malaysia) Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini. Subashini ditemui tergantung di jeriji tingkap bilik tidur oleh kakaknya. Subashini memperolehi 4 B, 2 C dan 1 D dalam UPSR 2007 yang diumumkan baru-baru ini. -- fotoBERNAMA HAKCIPTA TERPELIHARA
NIBONG TEBAL, 18 Nov. — S. Subashini,12, pelajar Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT) Ladang Sempah dipercayai membunuh diri dengan menggantungkan diri menggunakan kain selimut akibat kecewa kerana memperolehi pangkat D dalam matapelajaran Pemahaman (Bahasa Malaysia) Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini.
Subashini ditemui tergantung di jeriji tingkap bilik tidur oleh kakaknya.
Subashini memperolehi 4 B, 2 C dan 1 D dalam UPSR 2007 yang diumumkan baru-baru ini.
— fotoBERNAMA HAKCIPTA TERPELIHARA

Lupakah kita kepada berita terburuk sepanjang 2007 apabila S. Subashini, 12, dari Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Sempah ditemui mati, membunuh diri kerana gagal mendapat A dalam kesemua peperiksaan UPSR yang lalu.

Sejauh mana isu ini diperbahaskan? Sejauh mana kematian S. Subashini dibedah siasat puncanya? Atau ia hanya sekadar satu isu yang datang dan pergi? Tidakkah gila masyarakat kita hari ini, boleh melupakan kematian seorang anak muda seusia 12 tahun yang mati kerana kurang cemerlang dalam UPSR? Saya yakin jika insiden ini berlaku di negara maju lain, ia sudah cukup untuk menggoncang seluruh sistem negara.

Tekanan psikologi yang dikenakan ke atas murid-murid sebagai ‘kuda pertaruhan’ amat membimbangkan. Apatah lagi, tidak semua pelajar boleh cemerlang dalam orientasi hafalan dan muntahan fakta ke kertas peperiksaan. Ramai juga yang datang daripada kategori hands-on. Mereka mahir di dalam pelbagai bidang kemahiran membabitkan seni, teknikal, vokasional dan lain-lain, namun dipandang rendah kerana tidak berjaya diukur dan pembaris tunggal yang mengukur kualiti manusia di dalam sistem pendidikan kita.

GENERASI ROBOTIK

Kesan kedua yang timbul adalah pada kualiti tenaga manusia yang dihasilkan.

Kesan ini sukar dinilai semasa murid-murid berada di bangku pengajian kerana mereka masih berada di dalam sistem itu dan menjadi sebahagian daripadanya.

Tetapi, selepas menjadi graduan kepada sistem itu, bagaimanakah kualiti mahasiswa dan mahasiswi kita di peringkat pengajian universiti hari ini? Bagaimanakah pengalaman para pensyarah semasa mengendalikan murid-murid ‘cemerlang dengan A’ ini? Malah bagaimanakah statistik pelajar universiti yang terpaksa mengulang tahun atau kecundang di dalam pengajian, biar pun mereka itu adalah cream of the cream semasa di peringkat SPM?

Tidak dilupakan, keluhan demi keluhan pihak Sumber Manusia (HR) di dalam industri.

Bagaimanakah kualiti kemanusiaan warga kerja generasi muda kebelakangan ini?

Mereka mungkin mampu memiliki ijazah dengan CGPA 4.0 tetapi tidak terfikir bahawa untuk menghulurkan pisau kepada orang lain, yang patut diajukan adalah hulu pisau dan bukan matanya.

Common sense?

Logical thinking?

Segalanya semakin membarah.

Sistem pendidikan dan peperiksaan berkomputer kita benar-benar menghasilkan computerised-being. Generasi robot!

MAJLIS PERBINCANGAN MEJA BULAT PEMANSUHAN UPSR & PMR

Justeru saya amat mengalu-alukan hasrat Kementerian Pelajaran Malaysia untuk menilai kembali peranan UPSR dan PMR dalam sistem penaksiran pelajar di negara kita.

Majlis Perbincangan Meja Bulat Pemansuhan UPSR dan PMR telah berlangsung di Putra Jaya pada 27 Julai 2010 yang lalu telah menghimpunkan ramai tokoh pendidikan, ahli politik, ahli akademik IPTA dan IPTS serta NGO. Laporan awal menyatakan majoriti mereka yang hadir ke Majlis Perbincangan Meja Bulat itu mahu UPSR dan PMR dikekalkan tetapi dengan penambah baikan.

“Bagaimanapun, kebanyakan mereka yang hadir mahu UPSR dan PMR dikekalkan, tetapi kerajaan memperbaiki segala kelemahan termasuk meningkatkan kualiti guru,” kata Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Md Dom, selepas mempengerusikan Majlis Perbincangan Meja Bulat Kementerian Pelajaran.

Saya juga bersetuju dengan persoalan yang ditimbulkan oleh Setiausaha Kehormat, Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah China Malaysia, Poh Chin Chuan yang mahu Kementerian Pelajaran mengumumkan formula alternatif jika mahu memansuhkan UPSR. Sebarang perubahan mestilah berasaskan kepada kajian yang menyeluruh dan tidak bersifat adhocism. Perubahan mesti bersifat holistik dan bukan gunting sana dan tampal sini.

Mangsanya adalah anak-anak kita dan masa depan negara.

Biar apa pun keputusan yang bakal diputuskan nanti, saya mengharapkan agar sistem pendidikan negara kita kembali bersifat STUDENT CENTRIC dan bukannya SCHOOL CENTRIC apatah lagi PPD CENTRIC!

Bakul sampahkanlah segala yang berkaitan dengan reputasi dan kemasyhuran sekolah, rekod perkhidmatan cemerlang pegawai pendidikan atau apa sahaja yang menyebabkan murid-murid itu sendiri bukan lagi satu keutamaan.

Apakah boleh dikategorikan sebagai salah laku yang serius apabila murid yang kurang cemerlang diarahkan oleh pihak sekolah mendaftar sebagai pelajar persendirian demi menjaga peratusan kecemerlangan keputusan peperiksaan? Kepada siapa salah laku ini patut diadukan?

Menyembah peperiksaan…. demikianlah perumpamaannya.

Atau mungkin kata kuncinya, hentikan campur tangan politik dan ‘pasaran semasa’ terhadap pendidikan negara.

Sekolah bukan gelanggang lumba kuda.

Ia tempat memanusiakan manusia.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

 

p/s: Secara tiba-tiba dua minggu sebelum berlangsungnya Majlis Perbincangan Meja Bulat Pemansuhan UPSR dan PMR, saya dihubungi oleh wakil Kementerian Pelajaran Malaysia memaklumkan bahawa saya dijemput untuk menyertai sesi perbincangan itu. Tidak pasti jemputan dibuat atas kapasiti apa, saya mengalu-alukan peluang itu dan mengambil tindakan pantas membatalkan program di UNIKL-MIMET Lumut demi amanah yang besar ini. Sehingga sehari sebelum program, saya tidak menerima sebarang berita daripada pihak penganjur. Saya mengambil inisiatif menghubungi PIC pada 26 Julai 2010 dan amat mengejutkan, beliau memberitahu bahawa senarai peserta Majlis Perbincangan Meja Bulat Pemansuhan UPSR dan PMR itu telah disenarai pendek oleh pihak atasan dan persidangan itu juga ditunda!

Segalanya tanpa sebarang notis.

Saya kehilangan peluang menyertai persidangan itu, juga kehilangan satu program yang penting untuk klien dan syarikat kami, dan ironinya persidangan itu tidak ditunda seperti yang dimaklumkan.

Tindakan tidak profesional ini semakin mendesak saya untuk terus berusaha melobi rombakan sistem pendidikan negara kita!

Hasrizal Abdul Jamil
Learning, Education and Technology
Oulun Yliopisto, Finland

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

3 comments

  1. Teruskan perjuangan ustaz. Nak saya kongsikan sedikit cerita anak-anak saya yang bersekolah kebangsaan di Ganu kita.
    Anak saya yang ke dua menduduki peperiksaan UPSR tahun ini. Keadaan yang amat tertekan di kalangan cikgu-cikgu di sekolah memang boleh dirasai semasa perjumpaan pihak sekolah dan ibu bapa diwaktu yang sudah hampir dengan hari peperiksaan. Dalam perjumpaan hari itu, cikgu yang ditugaskan bercakap amat menekankan kepada ibubapa supaya anak-anak membuat latihan dari buku-buku kerja yang boleh dibeli sendiri oleh ibubapa di kedai-kedai buku. Nasihat yang diberikan adalah menghabiskan seberapa banyak buku-buku soalan dan latihan bagi mendapatkan skor A untuk setiap subjek. Kami baru berpindah ke Terengganu dan saya baru dapat tahu yang Terengganu merupakan negeri nombor satu dalam skor peperiksan besar di Malaysia. Cikgu-cikgu ini ditekan supaya mengekalkan prestasi cemerlang itu setiap tahun. Kasihan melihat anak-anak terpaksa menduduki kelas tambahan setiap hari bahkan hari minggu! Nasib baik sedikit tidak ada kelas malam. Malang nasib anak-anak ini seperti tidak ada nikmat hidup sebagai anak-anak ribena yang selalunya dibayangkan sentiasa girang itu. Saya memang amat menentang cara dan penekanan yang diberikan oleh pihak sekolah. Tak masuk dek akal pemikiran saya, ibu bapa yang hadir dalam perjumpaan itu seolah-olah menerima sahaja apa-apa yang telah ditentukan pihak sekolah. Perlu dihantar anak-anak ke kelas tambahan setiap hari mahu pun hujung minggu dan waktu cuti sekolah juga.
    Pernah sekali cikgu sekolahnya telefon suami saya menyuruh kami ambil anak perempuan kami di kelas kerana terlalu letih sehingga tidak bangun dari tidur dikejut oleh cikgu kelasnya.
    Bayangkan anak-anak ini baru berusia 12 tahun! Tidak cukup dengan anak-anak, ibu bapa juga ditekan supaya memberi lebih lagi penekanan yang saya kira cukup-cukup lah tu.
    Cikgu-cikgu yang di atas ini seperti tiada ambil kira langsung emosi anak-anak juga cikgu-cikgu yang di bawah arahan mereka. Saya pasti cikgu-cikgu juga amat tertekan. Dan bertambah tekanan dapat dirasa oleh ibu bapa juga bila makin hampir keluar keputusan. Ibu bapa juga boleh ditimpa sakit jantung jika kita masih dihantui dengan sistem pembelajaran yang amat tidak mengambil pertimbangan jiwa dan rohani ini.

    Moga kita ambil iktibar dengan segala peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam kehidupan kita dan masing-masing main peranan untuk mengubahnya kepada yang lebih baik. Kekuatan dari Allah jua kita pohon inshaAllah.

  2. Terima kasih Ustaz. Artikel tahun 2010 masih relevan pada harini.
    Semoga kerajaan dan ibu bapa semakin cakna dan tidak mengagungkan A dalam peperiksaan semata2.

  3. Assalamualaikum. Saya dapati pendekatan guru-guru di sekolah, daerah mahupun negeri yang berbeza adalah berbeza-beza.
    Saudara mara di kampung dengan anak-anak yang bakal menduduki UPSR, perlu ke kelas tambahan sedari awal tahun, bermula dari selepas waktu persekolahan kemudian riadah sebentar dan, kelas disambung ke waktu malam. Namun, ibu bapa-ibu bapa di sana menyambut baik dan bekerjasama dengan guru-guru dan nampak itulah cara yang terbaik untuk masa depan anak-anak mereka.
    Walaubagaimanapun, bagi saya yang berada di Kajang, saya lega apabila guru-guru di sekolah anak saya mempunyai pendekatan yang berbeza.
    Kelas tambahan hanya bermula sekitar April, dan hanya diadakan pada hari Sabtu sahaja, dari 7.30 pagi ke 12 tengah hari. Begitulah sehingga ke akhir tahun.

    Terdapat tindakan dan reaksi yang pelbagai dari golongan ibu bapa – ibu bapa, baik di kampung mahupun di bandar berkaitan dengan peperiksaan.
    Di kampung, saya tahu ramai ibu bapa yg mula menghantar anak ke tusyen bagi matapelajaran yg mereka tidak kuasai sejak dari darjah satu lagi.
    Di bandar pula, saya kenal beberapa ibu bapa yg menghentikan anak-anak ke sekolah agama sewaktu menginjak ke darjah 6 supaya dapat tumpukan perhatian kepada UPSR dan dapat menghadiri kelas2 tusyen.

    Atok2 dan nenek2 pula sentiasa berbangga dengan cucu – cucu yang cemerlang dalam pelajaran.
    Malangnya, menjemput perasaan iri dalam diri anak – anak dan sesama ipar duai (yang tidak dapat melahirkan cucu2 yg sebegitu).

    Hujung tahun, balik kampung..sejak dulu lagi, pakcik,makcik,atok dan nenek, akan bertanya.. “Periksa haritu dapat nombor berapa?”. Yang bagus akan dipuji dan ada diberikan hadiah.

    Jadi, ketaksuban meraih cemerlang dalam pelajaran (dalam kes kita, banyak A), berlaku pada setiap peringkat dan berbagai latar belakang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share