Diriku, Agama Dan Tanahair Tercinta

Saya sudah lama tidak mencoret apa-apa tentang politik Malaysia.

Sama ada kerana saya sedang berada jauh dari tanah air, atau kehilangan ‘faham’ tentang apa yang berlaku, kedua-duanya memberi maksud diam itu lebih baik daripada berkata-kata. Hanya memerhati, dan berbual dengan anak-anak tentang apa yang berlaku di tanah air, apa politiknya sehingga abi begitu nekad untuk berbuat sesuatu, tetapi melalui jalan pendidikan.

Kehidupan di Finland sangat berlainan.

Mungkin kerana kami berada jauh di utara. Tiada komuniti Malaysia, atau lebih khususnya Melayu Muslim. Semasa ini hanya saya bersama seorang lagi pelajar PhD merupakan pelajar Malaysia di University of Oulu. Serta seorang kakak yang berumahtangga dengan warga tempatan, untuk kami rasa punya jiran, di perantauan. Hidup di sini sibuk menguruskan matahari yang tidak terbit di musim sejuk, tidak tenggelam di musim panas, tiada kedai halal, waktu zohor 9 minit, Muslim sangat sedikit, dan kami melihat agama dari sudut yang tidak pernah dipandang sebelum ini, sejernih kali ini.

Banyak persoalan timbul.

Apa yang makin menghairankan anak-anak ialah bukankah di Malaysia itu kuat agamanya, hingga semua benda terkait dengan agama? Maka jika kuat agama, kenapa banyak perbalahan, banyak pergaduhan, banyak kecurian, pembunuhan, penculikan, rumahtangga bercerai berai, sekolah penuh stress, dan 1MDB?

1MDB itu besar.

Besar di peringkat global.

Akan diperkata, dikaji, apatah lagi selepas menonton Ozark di Netflix dan The Wizard of Lies di HBO.

Susah nak jawab.

Di Finland, banyak perbincangan kami mengenai agama dengan anak-anak beralih daripada soal fiqh, kepada soal nilai, keimanan, bagaimana memandang kehidupan, bagaimana agama berfungsi terhadap identiti mereka sebagai Muslim, di daerah yang sangat asing ini.

Finland adalah negara yang kering kerohanian. Segalanya Lā Ilāha.

Kami yang merangkak-rangkak, di atas salji, untuk terus dengan Illallāh.

KE NEGARA JIRAN

Proses menunggu residence permit (visa anak-anak) pula memakan masa hampir setahun, berbanding jangka masa asal yang diberitahu oleh pihak imigresen Finland iaitu selama 6 bulan. Dalam tempoh menunggu itu, kami tidak boleh bermusafir keluar dari Finland. Keadaan ini menyebabkan rasa terasing dan terpisahnya kami daripada tanah air, dan negara-negara berdekatan yang ada komuniti Malaysia, begitu memuncak. Sebaik sahaja beroleh residence permit sejurus sebelum bermulanya musim cuti Krismas, kami anak beranak bermusafir ke United Kingdom dan Ireland untuk balik ‘kampung nombor 2’, dek ‘kampung nombor 1’ di tanah air yang terlalu jauh bagi kami anak beranak berbajet untuk bermusafir pulang.

Di United Kingdom, yang terkenal dengan daerah diaspora orang Malaysia, khabarnya mencecah 70 ribu orang, saya bertemu dengan ramai rakan. Bukan sekadar mengimbau kenangan, tetapi saya mengambil peluang atas kesarjanaan mereka untuk bertukar-tukar maklumat tentang perihal amalan Islam kami di Finland. Wacana-wacana membabitkan idea Post-Islamism oleh Asef Bayat turun diketengahkan untuk meletakkan kondisi saya, juga anak- beranak di dalam konteks yang munasabah. Islam yang bagaimanakah sebenarnya yang sedang kami tempuhi?

Tetapi, apa yang turut sama penting adalah kesedaran dan kefahaman mengenai politik semasa di Malaysia. Sebelum ke UK, saya membayangkan mungkin saya menjadi seorang rakyat Malaysia yang termenung di hujung dunia, tidak tahu hendak berpendirian apa, hanya mengeluh dan meratapi keadaan negara kita yang serba serbinya membimbangkan.

Kerana itu, selama ini saya meletakkan diri sebagai seorang guru, pendidik, yang hasrat islah diusahakan merentas apa sahaja kelompok. Sesiapa sahaja yang berminat dengan pendidikan, mahu berdiskusi mengenainya, saya sentiasa mahu bersama, tanpa peduli siapa dan apa latar belakangnya.

Saya sempat berprogram di London, Manchester dan Durham, selepas sekian lama tidak berceramah dan tidak dipanggil sebagai ‘ustaz’, selama mastautin kami di Kutub Utara. Terasa kekok hingga semasa berceramah tergigit lidah! Tetapi cukuplah untuk mengubat kerinduan majlis ilmu, yang suatu ketika dahulu sudah sebati dengan diri dan rutin hari ke hari. Terima kasih kepada semua tuan rumah dan penganjur yang mengusahakannya.

Saya bertemu dengan beberapa keluarga Malaysia yang bermastautin di UK. Sungguh, topik yang sering berulang-ulang adalah tentang pendidikan, kondisi anak-anak, bagaimana keberagamaan mereka menjelang usia remaja dan dewasa… kerisauan yang substantial. Di mana-mana pun, saya bersyukur kerana topik yang dibuka, sering mengenai keluarga dan pendidikan.

POLITIK DAN PILIHANRAYA

Walau bagaimana pun ia tidaklah memadam pendirian saya terhadap politik dan kenegaraan. Saya masih mengambil tahu dan mahu tahu. Saya punya tanggungjawab terhadap negara, justeru berkecuali bukanlah pendirian yang sejahtera. Mahu tidak mahu, selepas mana-mana sahaja pilihanraya, esok dan esok akan tiba dengan kesan-kesan keputusan yang dibuat pada hari yang penting tersebut, termasuk kesan tidak mengundi. Saya lebih rela berfikir tentang akibat undian yang salah, berbanding dengan kesalahan tidak mengundi, yang menghilangkan premis saya berfikir.

Pendirian untuk pilihanraya memerlukan kita berfikir tentang politik secara politik.

Ia tidak semestinya berasaskan pilihan yang sempurna dan ideal, tetapi perlulah yang paling berpijak di bumi yang nyata, yang manfaat terjangka mengatasi mudaratnya, dan pilihan yang bersifat politik, bukanlah seperti membeli kasut yang mesti sangat tepat saiznya dan kena dengan selera diri. Perkembangan terkini membingungkan ramai pihak, tetapi untuk diri saya, Insya-Allah ia jernih untuk menyuluh lorong peribadi.

Perbahasan di media sosial garang, sering tidak berakhlak, dan mensesiakan rasional. Justeru tidak sejahtera untuk saya menyumbang apa-apa di keriuhan media sosial. Selepas negara menempuh zaman yang melihat keputusan pilihanraya dipengaruhi oleh apa yang berlegar di internet, ini pula mungkin zaman keputusan banyak ditentukan oleh kampung, kawasan-kawasan FELDA dan daerah yang manusia masih berpegang dengan cara-cara yang asas dalam membuang undi.

Data-data sedang rancak berbicara.

Cukuplah ungkapan di Instagram berikut merumuskan keseluruhan penakulan saya terhadap keadaan semasa ini.

Aku sudah tidak lagi mengikat kesetiaan dengan serban, melindungi maruah dan harga diri dengan jubah, mengukur kebenaran dengan petikan nas di dalam hujah, atau sudah berapa kali berulang ke Mekah. . Lama sudah aku berkelana, di daerah tanpa al-Quran dan al-Sunnah, segalanya La Ilaha, hanya aku dan segelintir mengimani Illallah. . Di daerah asing ini korupsi hampir tiada, politiknya khidmat kepada massa, semua manusia itu sama, bagai ungkapan Nabi yang pernah bersabda. Pendidikan untuk semua, semua percuma, sama bagusnya. Kanak-kanak ke sekolah tanpa orang dewasa, bebas bermain tanpa bahaya. . Apa ertinya slogan Islam yang dibangga-bangga, kalau semua itu kosong daripada nilai dan makna. Kita khuatir musuh mengancam agama, ketika kitalah sumber kesumatnya. . Islam masih punya makna. Sesuatu yang hilang kecuali dengannya. Pada menghubung diri dengan Sang Pencipta, pada segala perbuatan ia diberi nilai dan makna. . Lepaskan diri daripada indoktrinasi orang agama. . Orang agama adalah orang, bukan agama. . #myfinlandmoment #postislamism #syahadah #substance

A post shared by Hasrizal (@iamhasrizal) on

Saya menyentuh hal-hal ini dengan isteri dan anak-anak.

Dari semasa ke semasa, mereka mahu tahu apa yang berlaku di tanah air dan apa pandangan saya mengenainya. Khalayak tetap saya, sepanjang hayat.

Pesan saya kepada anak-anak, kita perlu banyak bergaul dengan orang agama supaya kemudiannya kita faham bahawa ilmu agama, ketayap, tudung, jubah, bahasa Arab, pandai al-Quran dan merujuk hadith, bukan penghalang kepada jenayah wang dan kuasa.

Kita belajar semua itu untuk mengelokkan keberagamaan diri. Tetapi kita mesti masih seperti Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam, meminta ihdinā al-shirāt al-mustaqīm, berkali-kali, setiap hari.

Setiap orang, selagi namanya orang, diuji dengan godaan-godaan ini. Selain mendoakan kemenangan Islam, doakanlah agar kita sentiasa di dalam petunjuk-Nya dan mati dalam husnul khatimah.

Mari kita mentaati Allah, di hujung benua ini.

Hasrizal
Oulu, FI

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

2 comments

  1. shahrul ifwat

    Sayu dan termotivasi membaca catatan ustaz ni. Maaf tidak berkesempatan bertemu sewaktu ziarah ustaz ke UK baru-baru ini disebabkan ahli keluarga kurang sihat dan cuaca yang agak mencabar. Apa pun, terima kasih sudi berkongsi apa yang bermanfaat untuk kami semua

  2. terasing di bumi asing
    bumi indah merancak renung dan fikir
    ujian bagi orang beriman
    itu lah nikmat yg benar
    semoga bahagia ustaz sekeluarga
    jadi lebih jitu…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share