Home / Isu Semasa / Meidän Piti Lähteä (Kami Harus Pergi)

Meidän Piti Lähteä (Kami Harus Pergi)

“Habis, apa pula tarbiah Pakatan Harapan?”

Dalam banyak-banyak soalan yang bertubi-tubi hadir sebagai reaksi kepada penulisan saya di media sosial, mungkin inilah soalan yang paling menarik perhatian untuk saya berfikir.

Perlukah semua yang ditinggalkan ada pengganti?

Meninggalkan sebuah tarbiah, lalu perlu kepada satu tarbiah baru dan lain?

Mungkin ya, mungkin tidak.

Sebagaimana saya percaya, proses pembelajaran manusia mengalami perubahan di dalam kerangka pendidikan alaf ke-21, demikian jugalah saya kira, perkaderan dan tarbiah alaf ke-20, telah berlalu.

Menyertai AMANAH dan menyokong Pakatan Harapan, hanyalah keputusan saya untuk menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia. Ia keputusan politik.

Meninggalkan PAS sebagai ‘jemaah’ dan ‘parti Islam’, tiada penggantinya. Gantiannya bukan AMANAH. Bukan Pakatan Harapan. Bagi saya, untuk diri saya, jemaah hanyalah jemaah solat di masjid di mana saya berada pada masa ini, dan umat Islam sebagai jamaah al-Muslimin. Demikian juga, AMANAH bukan parti Islam saya menggantikan PAS. Sebab saya tidak lagi percaya kepada konsep ‘parti Islam’.

Idea-idea Islamisme telah saya tinggalkan. Penjelmaan Islam dalam kehidupan awam, dan apa yang saya namakan sebagai kerja-kerja Islam, bukan lagi tarbiah, usrah, tamrin, mukhayyam, ijtima’ dan muktamar. Semua itu tinggal kenangan.

Apa yang utama pada masa ini adalah masalah-masalah yang benar-benar berlaku dan memerlukan penyelesaian. Saya tidak lagi berjuang untuk sebuah konsep, sama ada konsep itu berasaskan ‘fikrah’, mahu pun gagasan ‘falsafah’.

Coretan saya pada masa ini tidak mempunyai agenda baru yang hendak diketengahkan, dan tidak bermaksud sebagai satu ancaman kepada PAS. PAS tidak memerlukan apa-apa ancaman daripada diri saya (atau sesiapa), kerana PAS sebagai satu konsep, sudah tidak lagi relevan buat saya. Akan tetapi, ahli-ahli PAS, setiap seorangnya adalah saudara-saudara saya yang saya doakan di dalam ungkapan “Allahummaghfir lil muslimin wal muslimat”. Andai kemarahan dan sentimen sudah reda, kita semua bersaudara sebagaimana di dalam akaun FB kecil saya masih ada ramai sahabat PAS yang sudi meneruskan persahabatan, mengatasi perbezaan pendapat dalam hal-hal ini. Kasih sayang saya kepada mereka sebelum 2015 dan selepas 2015, tidak berbeza. Sama sahaja. Ukhuwwah fillah.

Malah kini saya lebih nyaman untuk bersaudara dan bersahabat dengan semua. Tiada prejudis terhadap kamu jemaah mana, kamu anak usrah siapa, apa tarbiah kamu, adakah fikrah kamu asli atau bagaimana, semua itu roboh dan sejarahnya tinggal sejarah. Saya sedang menikmati persaudaraan kerana Allah, yang mudah-mudahan memang tiada apa di hati selain Allah.

Selepas meninggalkan PAS, hidup saya bukan berpindah kepada jemaah baru atau parti baru. Saya berpindah kepada rutin baru, dan kini di daerah baru.

Islam wujud sebelum wujudnya Islamisme. Islam terus hidup selepas perginya Islamisme. Islam itulah yang saya berpaut kepadanya pada saki baki akhir kehidupan. Adakah dengan itu saya kini adalah seorang yang berfahaman sekian-sekian, terpengaruh dengan sekian-sekian, saya tiada jawapan.  Saya belum pernah baca buku Post Islamism oleh Asef Bayat. Tindakan saya meninggalkan Islamisme bukan kerana Post Islamism Asef Bayat, tidak juga John Esposito.

Saya masih saya yang sama, dalam perjalanan memperbaiki diri.

Di Finland ini tiada PAS, tiada UMNO, tiada jemaah kampus, tiada Majlis Syura, tiada alim ulama, tiada kumpulan-kumpulan dakwah.

Yang ada hanyalah sebuah masjid, dan sekumpulan kecil kaum Muslimin di tengah-tengah masyarakatnya yang jauh daripada kehidupan beragama. Masyarakat ilhad, mulhid, tetapi banyak benih-benih hanif yang ingin saya dekati.

Saya ingin terus belajar, bagaimana tanpa agama, negara itu berfungsi dengan baik lagi harmoni. Tujuan saya bukan untuk membuktikan bahawa kita tidak perlu kepada agama. Tetapi saya tidak lagi percaya, bahawa hanya dengan politik agama, kesejahteraan hidup dapat dibina.

Politik agama adalah politik. Bukan agama.

Siapa lagi bagus daripada siapa? Siapa lagi banyak mengutuk? Siapa kutuk siapa? Saya tidak menjawab persoalan ini kerana bagi saya kita sama-sama telah membuktikan bahawa kita sedang teruk belaka. Masalah akhlak bukan masalah PAS, bukan masalah PH atau BN. Ia adalah masalah kita bersama. Bukan setakat semasa berbalah politik di media sosial, di masjid dan surau pun kita hancurkan akhlak di lidah-lidah agamawan yang berucap penuh amarah.

Masalah yang kalau tukar kerajaan pun, masalah itu kekal bersama. Oleh kerana kita sama-sama lemah, sama-sama teruk, pertimbangan politik saya hanya berasaskan apa agenda politiknya.

Itu sahaja.

Saya tidak peduli hal-hal peribadi calon, kepimpinan atau sesiapa. Saya menilai calon sebagai calon wakil rakyat. Bukan calon isteri atau calon suami saya yang saya akan berkongsi kehidupan peribadi dengannya.

Tumpuan saya adalah usaha dalam daerah pendidikan, sebagai jalan islah.

Islam agamaku.

Islamisme semalamku.

Moga Allah pelihara jalan kita menuju keredhaan-Nya.

HASRIZAL
Oulu FI

Maklum Balas

Maklum Balas

About saifulislam

A school teacher and a lifelong learner. Oulu, Finland

Check Also

Autism Dan Atheism

Satu lagi sebab yang SANGAT PENTING mengapa falsafah pengajaran dan pembelajaran wajib berubah termasuk (terutama) …

One comment

  1. I am againts all organized religions, without any exception, for the simple reason that truth cannot be organized, love cannot be organized – it is not politics.
    -Osho

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *