Home / Kenangan Bersama Emak / Aidiladha Tiada Lagi Bersama Bonda

Aidiladha Tiada Lagi Bersama Bonda

“Okay, Yop ke sekolah sekarang, ya” kata Saif.

“Akak pun sama. Kalau boleh akak tak nak miss banyak belajar di sekolah hari ini” sambut Naurah.

“Baiklah. Singgah LIDL, belilah apa-apa pastries buat lapik perut sebelum lunch. Selebihnya bahagi dua buat belanja kalian” saya memberikan wang EUR20 kepada mereka.

Usai solat Hariraya Aidiladha di Sekolah Tuira, rasanya bagai Aidiladha sudah selesai bagi kami. Bagai tiada apa yang hendak diraikan. Sebelum pulang ke Finland, saya ada berpesan kepada abang-abang, walaupun kali ini kita semua akan berhari raya buat pertama kali tanpa emak, dan abah, janganlah sampai tidak berhariraya. Kita beraya kerana Allah.

Kita diberi dua hariraya, agar tanpa mengira sama ada kita sedang senang atau susah, sedih atau gembira, dua hari ini, zahirkanlah kesyukuran dengan sebanyaknya. Apa yang kita ada, masih lebih banyak berbanding apa yang kita tiada, dan telah tiada. Kita sentiasa ada sebab untuk bersyukur, dan syukur itu adalah kegembiraan dan kebahagiaan.

Itu yang saya pesan.

Berpesan dalam kesukaran, kerana saya tahu ia tidak semudah memperkatakannya.

Saya sendiri terasa kosong.

Ingin pulang ke rumah, dan tidur sahaja, untuk memendekkan hari.

Di Hariraya Aidiladha ini, pengajaran buat saya daripada sirah Nabi Ibrahim a.s. agak lain sudutnya.

Hari ini, jika saya tidak ingatkan anak-anak bahawa hari ini hari raya, tidak buat sesi Kahoot! untuk segarkan minda anak-anak kembali maklumat mengenai hariraya, korban dan ibadah haji, apa maknanya Aidiladha, orang sedang mengerjakan haji di Mekah, solat raya, bertakbir, kalau saya tidak buat semua ini, maka akan berlalulah hari ini tanpa sebarang makna kerana tiada apa di sekeliling kami yang memberitahu bahawa hari ini adalah hari kebesaran kita.

Biar pun berseorangan, saya mesti menjadi segalanya untuk famili kami menjadi sebuah al-jamaah kecil. Walaupun bersendirian, saya mesti menjadi ummah, seperti Ibrahim ‘alayhi al-salam.

إِنَّ إِبْرَاهِيمَ كَانَ أُمَّةً قَانِتًا لِلَّهِ حَنِيفًا وَلَمْ يَكُ مِنَ الْمُشْرِكِينَ

Sesungguhnya Nabi Ibrahim adalah merupakan “satu umat” (walaupun Ia seorang diri); ia pasrah bulat-bulat kepada Allah, lagi berdiri teguh di atas dasar Tauhid; dan ia tidak pernah menjadi dari orang-orang yang musyrik [An-Nahl 16:120]

Semoga keluarga di Malaysia tabah. Dalam serba sedikit foto arwah emak yang masih ada, saya kumpulkan di video ini untuk kenangan kita bersama. Memang berat dan payah, untuk melepaskan emak pergi.

Hasrizal
Oulu, Finland

Maklum Balas

Maklum Balas

About saifulislam

A school teacher and a lifelong learner. Oulu, Finland

Check Also

Menjelang Aidiladha Tanpa Emak

Selepas sarapan, makan tengah hari dan makan malam, topik yang berulang kali timbul antara saya …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.