Home / Arkib / Bagaimana Untuk Saya Pulang ke Rumah?

Bagaimana Untuk Saya Pulang ke Rumah?

Sesi bersama remaja, banyak suka dan duka

“Saya takut nak balik, ustaz!” kata Azmin kepada saya.

“Kenapa pula?” diri ini kehairanan.

“Ayah saya bagi kami makan duit haram. Saya takut mati, takut dosa, takut neraka” sambungnya lagi. Suaranya terketar-ketar.  

Selama hidup ini, ayah Azmin membesarkan mereka sekeluarga dengan duit judi. Kaki judi yang lebih banyak kalah dari menang, dan mengotorkan keluarga dengan harta najis itu. Selepas selesai berkursus, ada sinar cahaya keinsafan pada hati anak muda di hadapan saya ini, tetapi saya telah ‘menghukumnya’ dengan tekanan yang berat. Untuk pulang ke rumah berbekalkan secebis keinsafan, ia adalah suatu beban. Meletakkannya di dalam keadaan tersepit.

Justeru saya pula yang terasa bersalah.

Kejadian seperti itu sangat banyak berlaku. Apabila kita berprogram bersama anak muda, mereka yang responsif ini selalu juga memberikan petanda yang positif di hujung program. Tetapi kesedaran yang berhasil di dalam pertemuan itu (dengan izin-Nya), telah meletakkan diri mereka dalam kesulitan. Mereka insaf, tatkala ayah dan ibu hidup dalam dosa dan maksiat.

Bagaimana mereka harus pulang ke rumah? Berdepan dengan ibu bapa seperti itu?

KONFLIK

“Ustaz tidak ada jawapan yang mudah untuk masalah kamu. Ustaz faham dengan apa yang kamu hadapi. Cuma, apa yang ustaz minta hanya satu. Kamu belajarlah bersungguh-sungguh. Cemerlangkan STPM kamu dan mudah-mudahan dengan keputusan peperiksaan yang baik, kamu boleh segera mendapat peluang untuk mencari rezeki sendiri. Rezeki yang halal” saya berkongsi pandangan.

“Habis, esok lusa ini macam mana?” tanya Azmin kepada saya. Air matanya sudah basah.

Saya memeluk beliau dan menepuk belakangnya.

“Kuatkan semangat!” saya melepaskan beliau dan kami berpisah.

Sulit sekali keadaan seperti ini.

‘BUANG ANAK’

Semasa saya mula berkenalan dengan dunia sekolah semasa di Belfast dahulu, saya sudah awal-awal ditemukan dengan masalah sebegini. Ramai anak murid saya yang dihantar oleh ibu bapa mereka ke Sunday School, supaya ibu bapa ‘bebas dari anak-anak’, boleh berdating suami isteri, dan sekolah menjadi pusat jagaan harian.

Ia bukanlah sangkaan buruk saya. Ibu bapa yang saya kategorikan seperti ini, sering mendesak untuk saya menerima anak-anak mereka termasuk yang baru berusia 4 tahun untuk masuk ke sekolah. Justeru, semua anak mereka berhimpun di sekolah. Sedangkan kami tiada keupayaan untuk mengajar kanak-kanak sekecil 4 tahun.

Selain daripada itu, mereka juga tidak pernah mengambil tahu tentang apa yang anak mereka pelajari di sekolah. Anak-anak kecil tidak pandai menipu.  Cakapnya jujur selalu.

“Kamu sembahyang tak di rumah?” saya bertanya.

“Tak!” jawab anak murid saya. Umurnya sudah mencecah 10 tahun.

Parents tak marah kamu tak sembahyang?” saya menyoal lagi.

“Mereka pun tak sembahyang” jawabnya berterus terang.

“Kalau kamu sekeluarga tak sembahyang, kenapa parents kamu hantar kamu ke sekolah ini?” saya bertanya lagi. Hati kepanasan. Cuba menyabarkan jiwa pengetua berdarah muda ini.

“Entah. Saya pun tak tahu” katanya.

Kami sama-sama terdiam.

MUDAH-MUDAHAN ANAK BAIK

Ada satu lagi kelompok ibu bapa yang ‘ikhlas’ menghantar anak-anak mereka ke sekolah agama. Tidak kiralah bagaimana sekali pun imej dan penampilan diri mereka, saya hargai rasa keinginan di hati mereka untuk anak-anak menerima didikan agama. Pakaian itu urusan mereka. Namun keinginan di hati memberi pendidikan agama kepada anak-anak, sudah pun menzahirkan hidayah Allah.

Saya menerimanya dengan hati terbuka.

Tetapi anak-anak mereka ini menghadapi kesulitan yang sama dengan anak muda seperti Azmin. Apabila kita suntik nilai agama kepada anak-anak, ia mengheret mereka ini kepada suatu konflik tatkala apa yang dipelajari menyalahi praktis ibu bapa sendiri.

Ibu bapa menjadi contoh berlawanan dengan ajaran di sekolah.

AJAR DENGAN SIKAP, BUKAN CAKAP

Di satu sudut, usaha mengajar anak-anak dengan bercakap adalah sangat susah. Anak-anak sering gagal mengikut cakap, tetapi mereka tidak pernah gagal meniru sikap. Cara paling mudah untuk mengajar sesuatu kepada anak-anak ialah dengan mendedahkan mereka kepada praktikalnya, khususnya oleh ibu bapa sendiri.

Ia tidaklah semudah ”monkey see, monkey do” tetapi ia adalah proses pembelajaran anak-anak paling awal dan pantas.

Usia 4 tahun bukan usia berbicara dengan anak-anak mengenai tudung. Tetapi kesan ‘modelling’, Naurah meminta untuk memakai tudung, kerana melihat ibunya.

Apa-apa nilai baik yang ingin kita terapkan kepada anak-anak, memodelkan ia adalah cara yang berkesan untuk anak-anak. Bak kata orang Inggeris, “if you want to deliver a message, be the message!

Tetapi ibu bapa sering terlupa, bahawa tiada guru yang mampu mengatasi pengaruh ibu bapa dalam upayanya membentuk anak-anak. Dan ibu bapa sering terlupa, betapa susah dan kompleksnya anak mengamalkan Islam ketika ibu bapanya sendiri selesa dengan cara hidup yang bertentangan.

“Macam mana saya nak tegur emak dan ayah saya? Mereka bertambah-tambah benci dengan perubahan saya, ustaz” soalan lazim yang anak muda tanyakan kepada saya.

“Tegurlah dengan sikap, jangan dengan cakap. Nanti dikatakan biadab. Konsisten dengan apa yang awak buat sekarang dan jangan lupa berdoa dan bersolat hajat kepada Allah” pesan saya yang sangat biasa-biasa kepadanya.

Tidak mampu memikirkan sesuatu yang luar biasa.

Lebih-lebih pun, kita juga hamba Allah yang belum tahu kesudahannya.

CARA ALLAH

Kira-kira sebulan selepas kursus di utara tanah air itu, telefon saya berdering dengan nombor yang disimpan. Sesuatu yang jarang berlaku.

Azmin menelefon dari jauh.

“Assalamualaikum Azmin, apa khabar awak?” saya menjawab telefon.

Sesuatu yang amat jarang saya lakukan.

“Waalaikum al-salaam ustaz….” jawabnya.

Suara Azmin terketar-ketar bercampur tangisan.

“Eh, kenapa ni Min?” saya terkejut.

“Ustaz, ayah dah tak ada. Ayah meninggal pagi ini sakit jantung!” kata Azmin kepada saya.

Innaa Lillaah wa Innaa Ilayhi Raaji’un… sabar Min. Sabar. Tenangkan diri” saya memujuk.

Sepi sejenak.

“Ayah tak sempat bertaubat, ustaz!” tangisan Azmin semakin kuat.

“Allah…!” saya tergamam.

Terasa sebak yang amat sangat.

“Saya sedih. Tapi saya gembira. Duit haram tak masuk rumah lagi!” kata Azmin.

Saya tersentak!

“Peritnya cara Allah menyelamatkan kamu!” itu sahaja ungkapan saya.

Banyak episod kehidupan di dunia ini mengundang diam.

Agar kita memikirkannya.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

(Siaran asal pada 21 Julai 2008)

Maklum Balas

Maklum Balas

About Hasrizal

A school teacher and a lifelong learner. Oulu, Finland

Check Also

Mengapa Pendidikan Jalan Islah?

Islah merujuk kepada satu tema di dalam kajian di bidang sejarah. Ia merujuk kepada usaha …

One comment

  1. “Mengundang diam”…

    So deep.
    Thanks ustaz.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.