Hillbilly Elegy: Kembara Anak Menuju Jaya Tanpa Segalanya

Hillbilly Elegy adalah sebuah filem drama baharu di Netflix, berdasarkan novel dengan tajuk yang sama, ditulis oleh J. D. Vance (James Donald Bowman). Ia adalah autobiografi JD yang menceritakan perjalanan hidupnya sebagai seorang kanak-kanak daripada sebuah keluarga miskin dan dibelenggu pelbagai masalah sosial, sehinggalah beliau menjadi graduan undang-undang di Yale.

Membaca sinopsis buku berkenaan, saya sarankan agar kita tidak mengambil peduli kepada pelbagai kontroversi yang melanda JD dan bukunya ekoran kritikan beliau terhadap budaya komuniti Appalachian dan bagaimana beliau melakarkan realiti hidupnya di Ohio. Ia menjadi perdebatan politik semasa pemilihan Presiden Amerika Syarikat baru-baru ini.

Cukuplah sekadar kita mengambil teladan berkaitan pendidikan dan keibubapaan kerana pengajaran daripadanya penting lagi menarik..
Ibu JD, Beverly atau “Bev” Vance lakonan Amy Adams, dahulunya adalah pelajar paling pintar semasa bersekolah. Tetapi beliau terperangkap dalam masalah sosial, melahirkan anak sulung pada usia 19 tahun (kakak kepada JD), menjadi penagih heroin dan sentiasa gagal dalam perhubungan. Semasa bertarung dengan kegagalan demi kegagalan, beliau selalu menebus rasa kecewanya dengan berkata kepada JD bahawa beliau dahulunya adalah budak pintar, jangan pandang lekeh kepada ibu.

Tetapi ketagihan dadah amat mendatangkan musibah. Pada suatu hari, apabila Bev hilang arah dan bertukar menjadi ganas, JD terpaksa lari ke rumah seseorang yang tidak dikenalinya dan menefon polis agar menangkap ibunya, demi keselamatan diri.

JD sendiri adalah seorang kanak-kanak pintar, tetapi sedikit demi sedikit beliau terjerumus ke jalan yang sama ditempuhi oleh ibunya Bev. Kemiskinan menghalang beliau untuk lancar belajar di sekolah hingga kalkulator saintifik yang diperlukan untuk subjek matematik tidak mampu beliau sediakan.

JD hampir berputus asa dengan menganggap kepintaran dan pendidikan tidak berguna, terutamanya apabila ibu beliau berkahwin dengan suami ketiga, yang mengheret mereka ke dalam penyalahgunaan dadah seisi keluarga.

Nenek JD, yang dipanggil Mamaw (ibu kepada Bev) bertindak menyelamatkannya. Hayati ayat-ayat beliau yang tegas, garang dan straightforward untuk menyedarkan JD bahawa jika beliau mahu selamat dan berjaya, beliau mesti mengikut neneknya. Kenyataan tegas berbaur hampa kerana sedih dengan keadaan anaknya sendiri, Bev.

Semuanya dalam bentuk flasback kerana JD pada waktu semasa, perlu menghadiri temuduga yang amat penting, tetapi terpaksa pulang ke Ohio sekali lagi, demi menyelamatkan ibunya yang ketagihan heroin. Sesuatu yang telah dilakukannya semenjak kecil sepanjang hayat.

Sampai bilakah beliau perlu terus gagal dan kehilangan peluang, hanya kerana mahu menyelamatkan ibunya yang tidak pernah serik?

Semasa menonton filem ini, saya teringat kepada seorang pelajar yang saya temui di dalam kursus. Beliau takut balik ke rumah kerana ayahnya memberi nafkah sekeluarga hasil wang judi sepanjang hayatnya. Beberapa lama selepas kursus, beliau menghubungi saya memberitahu ayahnya meninggal dunia, sejurus sebelum beliau menduduki peperiksaan STPM.

Saya rakamkan kisah ini di dalam buku Aku Terima Nikahnya di bawah tajuk โ€œBagaimana Untuk Saya Pulang ke Rumah?โ€ Moga Allah menguatkan hatimu, ‘Azmin’.

Hasrizal
Naas, Ireland

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share